Home Novel Cinta Isteriku Bekas Banduan
Isteriku Bekas Banduan
Kasturi Madu
26/12/2020 06:27:16
84,297
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 19

Mawar berjalan kaki menuju ke arah kedai Pak Hamid. Sudah lama dia tidak berjalan disekitar kampung tempat kelahirannya. Kebetulan pada hari ini Puan Zubaidah meminta agar Mawar membeli sedikit barangan keperluan dapur.


Beberapa minit berjalan kaki, Mawar akhirnya sampai jua dikedai Pak Hamid. Senyuman tipis diberikan sebelum dia memulakan bicara.


"Assalamualaikum Pak Hamid," sapa Mawar ramah.


"Wa.. Waalaikumsalam.. Ehh Mawar..." jawab Pak Hamid. Mata terpaku ke arah Mawar yang masih berdiri dihadapannya.


"Pak Hamid sihat?" soal Mawar cuba beramah mesra.


"Sihat.. Alhamdullilah.. Bila kamu balik?" soal Pak Hamid.


"Dah sebulan pun Mawar balik," jawab Mawar.


"Baguslah macam tu. Ni kamu ada nak beli apa-apa ke?" soal Pak Hamid.


"Ada.. Mak pesan belikan barang dapur. Takpelah Pak Hamid, Mawar ke dalam dulu ya," pamit Mawar.


"Iyalah.. Kalau ada yang kamu tak jumpa bagi tahu je Pak Hamid ya," ucap Pak Hamid.


"Yelah.." sahut Mawar.


Kaki dibuka melangkah masuk ke dalam kedai runcit itu. Mencari barangan yang dipesan oleh Puan Zubaidah.


Hampir sepuluh minit kemudian, sedang Mawar leka mencari segala barangan yang diingin tiba-tiba telinganya menangkap perbualan seseorang. Siapa lagi kalau bukan radio buruk kampung. Mak Nab. Yang pasti perbualan orang tua itu telah menarik perhatian Mawar.


"Hamid.. Aku dengar budak Mawar tu dah balik," ujar Mak Nab.


Pak Hamid menelan air liur pahit. Risau jika percakapan mereka akan didengari oleh Mawar yang masih berada didalam kedai runcitnya.


"Habis tu kalau dia dah balik pun kenapa? Ganggu kau ke?" soal Pak Hamid.


"Kau tahu kan dia tu bekas banduan. Sepatutnya orang macam dia tu tak patut ada dalam kampung kita ni. Tak pasal-pasal nanti datang bala pulak," keras Mak Nab berbicara.


"Ishh apa kau merepek ni Nab? Tak baik cakap macam tu," tegur Pak Hamid.


"Aku cakap benda betul Mid. Orang macam dia tu memang tak patut ada dalam kampung kita ni. Kita semua patut halau je Mawar dengan Zubaidah tu daripada kampung kita ni. Nanti kalau dia orang satu keluarga terus terusan tinggal dekat kampung ni habis nama kampung ni busuk disebabkan perbuatan dia orang satu keluarga," ujar Mak Nab selamba.


Mawar yang mendengarkannya sudah mengepalkan tangannya. Bila-bila masa amukan amarahnya bakal terhambur.


"Nab.. Tak baik kau cakap macam tu. Kita takde hak nak halau dia orang satu keluarga. Tanah dan rumah yang dia orang duduk tu rumah peninggalan suami si Zubaidah tu. Dia orang ada hak kalau nak terus tinggal dekat dalam kampung ni," ucap Pak Hamid.


"Ahh aku tak kisahlah semua tu. Yang penting aku nak suruh ketua kampung halau je si Mawar tu daripada kampung ni. Aku tak nak esok anak-anak muda dalam kampung ni ikut perangai tak senonoh Mawar tu. Memalukan..!" tegas Mak Nab.


Menggeleng kepala Pak Hamid melihatkan sikap Mak Nab. Baru sahaja dia mahu membuka mulut namun bicaranya di potong oleh Mawar.


"Hai Mak Nab..." sapa Mawar. Senyuman sinis dilakarkan dibibir merahnya.


Membuntang mata Mak Nab apabila dia disergah dari arah belakang. Laju dia menoleh ke arah figura Mawar yang kini sudah berdiri dihadapannya.


"Ma.. Mawar..." gagap Mak Nab.


"Kenapa? Terkejut?" soal Mawar sinis.


"Kau buat apa dekat sini?" soal Mak Nab gugup.


"Basuh baju tadi. Tapi tengah-tengah basuh baju tiba-tiba dengar orang duk sebut-sebut nama sendiri. Tu datang kot-kot ada yang rindu," perli Mawar. Tangan Mawar mencapai sebiji bawang besar Holland.


"Ha... Hamid aku balik dulu lah ya. Lain kalilah aku beli barang," pamit Mak Nab.


Baru saja dia mahu membuka langkah laju Mawar menghalang laluannya. Kening dijongketkan.


"Awal lagi ni Mak Nab. Marilah borak-borak dulu dengan aku. Kau mesti rindu nak membawang pasal aku kan?" keras Mawar berkata.


"Aku nak balik. Dekat rumah tu banyak kerja nak kena buat," gugup Mak Nab.


"Aku dengar tadi kau nak halau aku dengan keluarga aku keluar dari kampung ni. Kenapa? Aku ada ganggu hidup kau ke radio buruk? Opss..," perli Mawar.


"Mana ada. Kau salah dengar ni Mawar," sangkal Mak Nab.


"Oo.. Mungkin telinga aku dah ada masalah sampai boleh salah dengar," ucap Mawar mendatar.


"Itulah kau lama sangat dalam penjara kena pegi periksa badan kau takut nanti ada bala yang lekat," laju Mak Nab berkata.


Seakan tersedar wanita tua itu laju menutup mulutnya. Sedar akan kata-kata yang keluar dari mulutnya.


Mawar kembali merenung tajam ke arah Mak Nab. Beberapa saat kemudian senyuman sinis semakin tersungging dibibirnya. Dia mendekati wanita tua itu.


"Bala ya?" soal Mawar.


Tanpa sebarang amaran wajah tua Mak Nab didongakkan. Senyuman sinis masih tidak lekang dibibirnya. Jelas senyuman yang begitu mengerikan.


Tangan kirinya menahan kepala Mak Nab daripada bergerak. Kemudian bawang besar Holland yang berada di tangan kanannya dimasukkan kasar ke dalam mulut wanita tua itu.


Membulat mata Mak Nab apabila bawang besar Holland selamat masuk ke dalam mulutnya secara paksa. Pak Hamid yang melihatkan kejadian itu turut terkejut. Tidak menjangka akan diperlakukan sebegitu oleh Mawar.


"Ni pengajaran pada kau yang suka sangat membawang pasal keluarga aku. Daripada dulu lagi aku sabar dengan perangai kau. Dulu aku bodoh sebab apa kau cakap aku tunduk je. Sekarang tak lagi," ucap Mawar selamba.


Terbatuk-batuk wanita tua itu setelah berjaya mengeluarkan bawang besar yang di sumbat paksa ke dalam mulutnya.


"Kau dah gila ke Mawar? Kau cuba nak bunuh aku ke?" jerkah Mak Nab.


"Memang aku dah gila. Orang tua macam kau tak boleh dibagi muka," jawab Mawar lantang.


Bukan dia tidak tahu sepanjang ketiadaannya Mak Nab memang sering menjaja cerita perihal dia dan keluarganya pada orang kampung.


"Zubaidah ni memang tak reti nak didik anak hormat orang tua gamaknya. Semuanya nak jadi samseng," marah Mak Nab.


"Ni baru sikit amaran daripada aku. Kalau lepas ni aku dengar lagi macam-macam kau kutuk keluarga aku siap kau," tengking Mawar. Tangan menunjal kepala wanita tua itu. 


Terkedu Mak Nab. Tanpa kata dia segera berlalu meninggalkan kedai runcit milik Pak Hamid. Risau jika dia di apa-apakan nanti.


Hilang saja kelibat Mak Nab, Mawar mengerling ke arah Pak Hamid. Jelas wajah takut terpancar diwajah Pak Hamid.


"Pak Hamid kira barang saya ni cepat. Kirakan sekali bawang yang Mak Nab telan tu," arah Mawar.


"I... Iyalah..." laju lelaki tua itu menekan kalkulator yang berada dihadapannya.


Mawar memandang kosong ke arah jalan yang dilalui oleh Mak Nab tadi. Tercarik satu senyuman sinis dibibirnya. Cukup mengerikan bagi sesiapa yang melihatnya.


"Tak lama lagi..." desis Mawar.





~~~~~





Melati melirik sebentar ke arah ibu serta kakak dan adiknya. Mereka sedang makan malam bersama-sama. Air kosong yang berada disebelah kirinya dicapai dan dicicip perlahan-lahan sebelum dia memulakan bicara.


"Mak.. Melati ada benda sikit nak bagi tahu," ujar Melati menarik perhatian semua yang ada disitu.


Kini semua mata sudah tertumpu kepada Melati. Menunggu untuk Melati menghabiskan bicaranya.


"Kamu nak bagi tahu apa?" soal Puan Zubaidah hairan.


"Tadi bos tempat kerja Melati ada bagi tahu, Melati dinaikkan pangkat," beritahu Melati teruja.


"Betul ke? Alhamdullilah..." jawab Puan Zubaidah gembira.


"Alhamdullilah.. Tahniah Melati," ucap Mawar bersama senyuman tipis.


"Tapi... Melati kena pindah ke Kolumpo," keluh Melati.


"Kolumpo?" berkerut hairan Puan Zubaidah.


"Iyalah.. Melati dinaikkan pangkat dan dipindahkan ke Kolumpo sebab dekat sana staff tak cukup. Jadi kilang hantar Melati ke sana," jujur Melati.


"Habis tu macam mana? Kamu setuju?" soal Puan Zubaidah tidak senang.


"Melati belum bagi keputusan lagi. Melati nak bincang dengan mak dan Kak Mawar dulu macam mana," jujur Melati.


"Kalau kau tanya akak, akak tak kisah. Sebab yang nak kerjanya kau bukan akak," jawab Mawar.


"Mak pulak macam mana?" mata tunaknya redup memandang si ibu.


"Kolumpo tu bahaya Melati. Bukan tempat kita, kamu pulak duduk sana seorang diri. Mak risau," keluh Puan Zubaidah.


Bukan dia tidak mahu melepaskan Melati untuk berkerja mencari rezeki buat keluarganya. Tapi selepas apa yang terjadi pada Mawar dia sendiri sedikit trauma.


"Siapa pulak cakap Melati akan duduk sorang dekat sana?" senyuman tipis diberikan.


"Habis tu? Dah kamu kena pindah dekat Kolumpo mestilah kamu akan duduk sorang-sorang tanpa mak dengan adik beradik kamu," ucap Puan Zubaidah.


"Mak.. Melati takkan pegi sorang diri. Melati nak kita semua pindah sama ke Kolumpo," pujuk Melati.


"Maksud kamu, kamu nak kami semua ikut kamu ke Kolumpo tu?" soal Puan Zubaidah.


"Iyalah.. Kenapa?"


"Kalau kalau kami semua ni ikut kamu, mana kita nak tinggal? Sewa rumah mesti mahal dekat sana," ujar Puan Zubaidah.


"Pasal rumah mak tak payahlah risau. Kilang dah bagi Melati rumah untuk kita tinggal dekat Kolumpo tu," sahut Melati bersama senyuman nipis.


"Ta.. Tapi.." belum sempat Puan Zubaidah berkata laju Melati memotong.


"Mak.. Melati rasa dah sampai masanya kita keluar daripada kampung ni. Dalam kampung ni dah takde apa untuk kita. Orang semua pandang hina dekat kita satu keluarga. Nak-nak Mak Nab tu, asyik nak membawang saja pasal keluarga kita. Apa yang dia tak puas hati pun Melati tak tahu," geram Melati.


"Tapi kalau mak ikut sama ke sana, mak nak kerja apa? Kalau duduk dekat kampung ni boleh jugak mak menoreh. Dapat jugak duit sikit-sikit. Kalau dekat sana mak nak kerja apa?" keluh Puan Zubaidah.


"Melati rasa mak tak payah dahlah kerja. Mak pun dah tua, pasal belanja sekolah Dahlia ni InshaAllah Melati boleh tanggung," lembut Melati berkata. 


"Kamu macam mana Mawar?" soal Puan Zubaidah kepada Mawar apabila sedar kebisuan anak sulungnya itu. 


"Mawar ikut je mana yang baik untuk keluarga kita. Lagi pun betul apa kata Melati tu mak pun dah tua, dah sampai masanya mak rehat. Kalau dekat Kolumpo nanti Mawar ingat nak cari kerja boleh bantu mana yang patut. Dekat sini Mawar dah tanya banyak tak nak ambil bekas banduan macam Mawar ni," keluh Mawar.


Memang benar beberapa hari lepas dia ada ke bandar untuk mencari kerja namun apabila mengetahui akan status sebenarnya rata-rata menolaknya mentah-mentah.


"Mak bukan apa mak berat hati nak tinggalkan rumah ni. Rumah pusaka arwah ayah kamu," ucap Puan Zubaidah.


"Nanti kalau Melati dan Kak Mawar cuti kita masih boleh balik rumah ni mak. Melati tahu mak sayangkan rumah ni," ujar Melati.


"Hmm... Kalau ikut keputusan kamu adik beradik mak ikutkan je..." jawab Puan Zubaidah.


Tersenyum kedua beradik itu. Dalam hati Mawar berdoa semoga akan ada peluang pekerjaan untuknya kelak di Kuala Lumpur nanti.





~~~~~





Aizat memicitkan kepalanya yang terasa begitu senak. Nafas dihela kasar. Dia kelelahan kerana hari ini restoran miliknya mendapat tempahan makanan untuk sebuah majlis perkahwinan.


Badan disandarkan di kerusi empuk didalam pejabat kecil miliknya.  Mata dipejam rapat. Baru beberapa minit Aizat tersentak apabila pintu biliknya diketuk dari arah luar. Merengus kasar Aizat apabila sedar ketenangannya sudah di ganggu oleh tetamu yang tidak diundang itu.


"Masuk.." laung Aizat malas.


Terjengul figura salah seorang pekerja wanitanya yang bernama Ika. Ika antara salah seorang pekerja yang paling lama telah berkhidmat dengannya. Sejak mula-mula Aizat membuka restoran beberapa tahun yang lalu.


"Maaf ganggu bos," ucap Ika bersama senyuman manis.


"Ada apa awak datang jumpa saya ni?" soal Aizat malas.


"Erkk... Sekarang dah pukul 6 petang, bos tak nak balik lagi ke?" soal Ika lembut."


Aizat menilik jam yang berada di pergelangan tangan kirinya. Jam sudah menginjak ke angka 6 petang. Wajah diraup kasar. Nafas lelah dilepaskan.


"Saya nak rehat dulu, kejap lagi saya balik. Awak bagi tahu budak-budak lain suruh dia orang balik," pesan Aizat. 


"Okay bos. Hati-hati bos, jangan balik lambat sangat," ucap Ika bersama senyuman manis. 


"Iyalah.. Terima kasih," jawab Aizat bersama senyuman tipis. 


"Sama-sama bos. Saya balik dulu ya," beritahu Ika.


Aizat hanya memberikan anggukan. Siapa sangka dalam diam sebenarnya Ika telah lama menyimpan perasaan suka kepada Aizat. Jauh di lubuk hatinya dia berharap suatu hari nanti status mereka berdua akan berubah daripada pekerja dan majikan kepada suami isteri. 


Hampir setengah jam kemudian, Aizat berlalu keluar daripada restoran miliknya. Pintu dikunci rapat. Baru sahaja dia mahu melangkah ke arah kereta miliknya Farah tiba-tiba muncul di hadapannya dan berdiri ditepi kereta Perodua Myvi milik Aizat. Senyuman mengoda tidak lekang dibibir wanita seksi itu. 


"Hai abang Zat, dah nak balik ke?" soal Farah. 


"Kau kalau tak soal aku dengan soalan bodoh tak boleh ke?" sebal Aizat. 


"Alaa abang Zat ni dah kenapa? Asyik nak marah-marah je kalau jumpa Farah," bibir dicebikkan tanpa dia sedang merajuk. 


Aizat menjulingkan bebola matanya ke atas. Bosan dengan sikap Farah yang suka mengedik tak tentu masa. 


"Aku takde mood lah nak layan kau ni Farah. Aku letih nak balik rumah nak rehat," tegas Aizat. 


"Abang Zat kalau dengan Farah memang tak penah nak ada mood. Cubalah kalau sehari abang Zat layan Farah ni baik-baik sikit tak boleh ke?" soal Farah tidak puas hati. 


"Kau sebenarnya nak apa ni Farah datang sini?" keluhan berat dilepaskan. 


"Haa kan bagus macam tu.. Farah nak ajak abang Zat ikut Farah pegi tengok wayang," ucap Farah teruja. 


"Tak kuasa aku nak pegi tengok wayang dengan kau. Daripada aku menghabiskan masa dengan kau baik aku balik rumah tido. Dah lah tepi. Aku nak balik," tubuh Farah ditolak kasar. 


"Abang Zat....! Jomlah teman Farah please..." rengek Farah. Lengan Aizat sudah dipaut erat. 


Laju Aizat merungkaikan pelukan tangan Farah di lengan miliknya. Dia merengus kasar. 


"Kau ni memang jenis tak faham bahasa ke?! Aku cakap aku letih, aku letihlah..!" jerkah Aizat geram. 


"Abang Zat... Sampai hati abang Zat tengking Farah.." ujar Farah sebak.


"Lantak kaulah.. Aku malas lah nak layan perangai kau ni. Aku nak balik. Kau kalau nak terus duduk dekat sini kau punya pasal..." selesai menghabiskan kata-katanya Aizat laju masuk ke dalam perut kereta. 


Beberapa minit kemudian kereta yang dipandu oleh Aizat laju meninggalkan restoran miliknya itu. Farah yang melihat menghentakkan kakinya. Dia benar-benar tidak berpuas hati dengan sikap Aizat yang sering dingin dengannya. 


"Arghhh...." raung Farah geram. 


Dalam mereka tidak sedar ada sepasang mata yang daripada tadi melihat ke arah mereka. Terlakar senyuman sinis dibibir si pemerhati melihat drama sebabak tadi. 


Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.