Home Novel Cinta Dia…Mr Dude Aku
Dia…Mr Dude Aku
Domi Nisa
31/12/2014 12:21:33
19,111
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

Bab 2

Malam itu Nuha tidak dapat nak lelapkan matanya. Kejadian siang tadi betul-betul menyerabutkan kepala otak dia. Kali pertama berjumpa dengan lelaki itu hidup Nuha jadi malang dalam masa sehari saja. Nuha berdoa sangat agar lelaki itu bukan doktor klinik sekolahnya kalau tak mahu hari-hari mereka akan bercakar. Dari terlentang Nuha berniarap dengan kaki digoyang-goyangkan berkali-kali. Tidurnya tak lena. Bila nak pejam mata wajah lelaki doktor itu muncul.Tersenyum dengan wajah jahat yang amat dan kepala yang tumbuh tanduk.

Nuha peluk tubuh sendiri sambil menggelupur ke kiri dan ke kanan. Teringat lagi Nuha akan tangan doktor itu yang mahu menyentuh dadanya. Fikiran buruk menerjah dalam benak otaknya sekarang. Dia bangun seraya menyimpul sila. Selimut yang tebal masih melekat di belakang badannya.

“Haih! Kau ni dah gila ke apa Nuha. Dia cuma nak merawat kau aje bukan nak buat apa-apa pun. Think positif! Bersangka baik pada dia. Arggh! Ini semua Syah punya pasal!” tidak kena mengena bantal tidurnya dihempuk kuat untuk melepaskan rasa geram dalam hati.

Tutt…Tutt…

Tiba-tiba telefon bimbit Nuha berdering menandakan ada panggilan masuk. Lambat-lambat Nuha capai. ‘Syah’ itulah nama yang tertera pada telefon Asus miliknya.

“Panjang betul umur kau Syah aku baru aje sebut tiba-tiba kau telefon aku. Rindu ke?” sempat lagi Nuha mencemuh sebelum dia menyahut panggilan itu.

“Nuha, kita perlu berjumpa,” sapa lelaki itu sebaik Nuha menekan butang hijau tanpa memberi salam terlebih dahulu. Nampak macam serius.

“Jumpa? Kenapa, awak ada dekat kampung ke sekarang ni?” sindir Nuha pedas.

“Nuha jangan nak mulakan. Risya ada bagitahu yang awak dah tahu saya balik sini sebab tu saya nak jumpa awak,” suara Syah Redza kedengaran keras.

“Baguslah kalau awak dah tahu. Siapa perempuan tu Syah?” terus sahaja Nuha bertanya. Malas nak pendam-pendam. Buat bernanah hati aje.

“Saya tak boleh nak jelaskan dalam telefon pada awak Nuha. Petang khamis lepas waktu sekolah kita jumpa di restoren dekat sekolah awak, assalamualaikum,”

Klik.

Tak sempat Nuha cakap apa-apa Syah dan menamatkan panggilan itu. Nuha mengeluh berat. Nuha dapat agak apa yang bakal terjadi petang khamis nanti.

“Nuha maafkan saya. Saya sukakan orang lain. Dia sangat baik dan memahami kehendak saya berbanding awak. Bukan saya nak curang dengan awak tapi saya rasa selesa sangat dengan dia,” Syah Redza dah memulakan mukadimah. Lepas waktu sekolah Nuha terus memecut skuter pinknya ke Restoran Selera Kita. Masuk saja ke restoran itu dia lihat Syah Redza sudah sampai.

Nuha langsung tak angkat wajah. Dia asyik menunduk pandang gelas sambil mengacau tea ais lemon dengan straw. Hati Nuha dah sakit bagaikan dihiris pisau belati tajam. Nuha dikhianati oleh lelaki yang dia sayang.

“Nuha, saya tahu awak masih sayangkan saya tapi sekiranya awak dah ada orang yang awak suka awak kejarlah dia. Jangan berharapkan saya lagi,” Syah Redza menyambung lagi. Nuha semakin sakit hati.

‘Dia ingat aku ni perempuan lemah ke?Apa dia ingat dia dah dapat penganti lebih baik dan lebih bijak dari aku, aku akan terhegeh-hegeh akan merayu pada dia jangan tinggalkan aku? Sorry…Ini Nuha Dahlia Cempakalah. Kau taknak ramai lagi yang nakkan aku. Kumbang bukan seekorlah bodoh!’ cemuh Nuha dalam hati. Bila dia angkat muka seraya tersenyum manis.

"Tahniah Syah. Saya sebenarnya ada nak bagitahu awak sesuatu jugak. Sebelum cakap saya nak mintaaa maaf banyak-baanyak dari awak. Awak cakap awak dah ada orang lain kan? Saya pun sama jugak. Kami baru saja kenal dalam masa sebulan. Dia lebih hensem dari awak malah lebih kaya dari awak," untuk hilangkan rasa kecewa di hati Nuha dah buat kata pembohongan. Kata-kata dia pun agak sinis hendak didengar.

Syah Redza tiba-tiba gelak."Nuha saya tahu awak marahkan saya tapi janganlah nak bohong. Hati awak sejak dulu lagi melekat pada saya mana mungkin awak secepat itu dapat lupakan saya. Saya tak percaya awak dah jumpa seseorang yang boleh gantikan saya," riak Syah Redza bercakap. Nuha dah bengang.

Bongek punya Syah! Ada hati nak kutuk aku bagai.Tahulah aku pernah cakap dia cinta mati aku. Itu dulu sekarang dah tukar jadi cinta monyet! Sakit pulak rasanya kena perli dekat dia ni. Ee... macam mana nak buktikan dekat dia yang aku tak terhengeh dekat dia? Dia ingat dia sorang yang boleh curang? Aku pun boleh! Dulu masa belum couple dengan dia berderet orang nakkan aku. Aku je yang tak mahu sebab duk tergilakan kau. Nuha dah gigit bibir. Mata dah melilau ke kiri dan ke kanan. Alamak mati aku kali ni…

“Aysar, jadi tahu kau kerja dengan aku. Aku memang tak cari orang lain dah ni,” suara Waiz kepada Aysar sebaik mereka melangkah masuk ke dalam kedai yang sama dengan Nuha.

“InshaAllah aku akan kerja dengan kau. Semalam aku ada bincang dengan pihak hospital mereka cakap terpulang pada aku. Lagipun aku dengan pihak mereka takde sebarang kontrak untuk bekerjasama,”

Mata Nuha dah tertancap pada satu figure. Ting! Tiba-tiba Nuha ada rancangan yang menguntungkan dia.

"Abang!Kenapa datang tak bagitahu.Takut Nuha curang ek?" Nuha dah peluk lengan Aysar yang kebetulan lelaki itu dan Waiz melalui mejanya.

Syah Redza terbeliak biji mata. Rupanya Nuha tak bohongi dia. Ayasar dah terkelu.Wajah Nuha ditatap terus.Waiz juga tersentak. Tak sempat lelaki itu nak buka mulut Nuha terlebih dulu bersuara

"Jom! Tadi cakap nak pergi Tesco cari kasut untuk Nuha kan? Apa tunggu lagi jomlah!" selamba lembu kekenyangan saja Nuha menarik lengan Aysar keluar dari situ. Aysar tak dapat nak berbuat apa-apa mengekor sahaja langkah Nuha kerana lengannya kemas ditarik oleh gadis itu.

Nuha senyum bangga. Kening terangkat sebelah bila Syah Redza melihat ke arah mereka berdua.Wajah lelaki itu nampak sedikit bengang. Marah mungkin. Nuha lagilah sengaja merapatkan dirinya pada Aysar nak cakap yang dia dan Aysar pasangan bahagia. Sebaik Syah Redza pergi dari situ bersama kereta Honda Citynya, terus Nuha lepaskan lengan Aysar.

"Terima kasih doktor klinik sekolah sebab dah bantu Nuha tadi. Kalau tak mesti maruah saya dipijak-pijak. Hmmm...Okeylah Nuha nak balik dulu ni, assalamualaikum," pot pet mulut Nuha berbunyi langsung orang lain tak dapat nak mencelah. Bila mana Nuha mahu pergi.

"Ehem!Sayang nak pergi macam tu saja ke? Sayang tahu tak abang sayang ni lapar sebab tu abang sayang ni masuk ke dalam sana nak makan bukan nak ajak sayang abang ni keluar dating!"

Zap! Nuha terkedu. Sinis betul ucapan lelaki tu.

"Erk...Maafkan Nuha doktor klinik sekolah. Takpelah doktor kilinik sekolah pergilah makan kawan doktor dah tunggu tu. Sekarang Nuha pun dah selamat Nuha pergi dulu. Daa..." cepat-cepat Nuha memecut pergi dari situ. Mahu selamatkan diri dari kena marah. Aysar dah mula panas hati tapi tak sempat dilepaskan kerana Nuha dah pun selamat pergi.

Waiz dah gelak sebaik Aysar melangkah mendekati dia.

"Sejak bila kau couple dengan budak bawah umur ni Aysar? Tahulah kau dah lama membujang selepas isteri kau meninggal dunia tapi tak akan dengan pelajar sekolah bapak aku kot!" seloroh Waiz.Tawanya masih tersisa.

"Jahat punya pupu! Kau ingat aku kemaruk sangat ke nakkan dia tu? Kenal baru sehari dah macam-macam hal berlaku. Dahlah kita order dulu,” Aysar malas melayan gurauan Waiz. Bukan dia tak kenal perangai sepupu dia yang sorang ni. Usik mengusik memang tak boleh nak dipisahkan. Ibarat kembar siam pada sepupunya itu.

"My little angel macam mana sihat tak?" Waiz buka mulut sebaik pesanan sampai di meja.

"Hmmm..Macam tulah nak macam mana lagi.Terima kasih dik," Aysar mengucapkan terima kasih kepada si pelayan.

"Kau ni memamg tak sayang dia kan?" Waiz dah menyindir lembut sambil tersengih.

"Waiz sekali lagi kau buka mulut aku sumbat kasut aku dalam mulut kau yang takde insurans!" wajah Aysar dah bertukar serius. Eh, sebelum ni Aysar mana tak pernah serius okey? Asyikserius 24/7 aje mukanya.

“Okey-okey… Orang bergurau pun tak boleh,”

“Sekejap lagi aku nak jemput Shila dekat airport lepas hantar kau ke klinik aku pergi terus ke sana,”

“Shila pengacara televisyen yang anak angkat mamy kau tu ke?”

"Aah...Mamy aku telefon semalam cakap Shila nak datang rumah aku kebetulan dia ada projek amal di sini,"

" Kau betul-betul serius ke nak jadikan dia pengganti arwah isteri kau?"

"Hmmm... Aku tak bersedia untuk kahwin lain Waiz tapi kau tahukan anak tu perangai dia macam mana. Asyik minta nak mama, mama aje. Mamy aku apa lagi suruh kahwin dengan anak angkat dialah. Nak rapatkan perhubungan kekeluargaan,"

"Auni setuju ke kalau Shila jadi mama tiri dia?"

"Entahlah. Aku takde bagitahu lagi dekat dia pasal ini. Alah Waiz budak umur lima tahun asalkan dapat kasih sayang seorang ibu sesiapa yang jadi mak tiri dia pun aku rasa dia tak kisah,"

"Aysar, Auni tu kekasih cilik aku. Kalau diseksa oleh isteri baru kau nanti aku fail saman dekat kau!"

"Dah tak betul ke apa kau ni Waiz? Auni tu anak aku tak akanlah aku nak biarkan dia diseksa. Cakap ikut akal di kepala bukan kepala lutut!" bebel Aysar.Waiz gelak.

“Nasib baik ada doktor klinik sekolah tadi kalau tak masak aku kena perli dekat Syah tadi!” bebel Nuha. Dia memecut skuternya dalam kadar hadlaju sangat laju. Marah punya pasal sampaikan dia masuk lorong perumahan orang kaya langsung dia tak sedar. Terasa lama jalan untuk ke rumahnya Nuha kalih ke kiri dan ke kanan. Dahi dah naik kerutan.

“Eh, aku kat mana pulak ni? Ini bukan jalan rumah aku,” ngomel Nuha. Serentak itu juga dia terdengar suara kanak-kanak menjerit.

“Papa tolong Auni!”

Nuha terus kalih ke sebelah. Terlihat seorang kanak-kanak perempuan sedang teresak menangis sambil terduduk. Nuha cepat-cepat menghentikan skuter dan terus berlari untuk mendapat kanak-kanak perempuan itu.

“Dik kenapa ni?” soalnya.

“Kaki Auni berdarah…Tadi masa Auni lari Auni tersepak lubang tu lepas tu Auni jatuh dan lutut Auni berdarah…” cerita kanak-kanak itu sambil menenyeh kelopak mata yang sudah banjir dengan air mata.

“Adik tahan sikit biar akak lihat luka adik,” Nuha mendekatkan wajahnya ke lutut budak itu sambil menyelak skrit yang dipakai oleh kanak-kanak perempuan yang bernama Auni ke atas sedikit. Lutut yang putih bersih itu tercalar sedikit dan ada beberapa biji anak batu atas permukaan lutut kanak-kanak perempuan itu. Merememg bulu roma Nuha. Seriau betul bila lihat luka itu.

“Teruk jugak luka adik ni. Akak hantar adik ke klinik ya?” kepala Auni, Nuha usap lembut. Comel betul budak ni. Mata bulat besar rambut panjang berikal berwarna perang pulak tu! sempat lagi Nuha memuji ciptaan Allah.

Auni hanya mengangguk. Nuha membelakangi Auni seraya meminta kanak-kanak itu naik ke belakangnya untuk digondeng.

“Auni pegang pinggang akak kemas-kemas tahu,” pesan Nuha sebaik mereka selasa di atas skuter. Enjin skuter dihidupkan dan sesaat kemudian mereka meluncur pergi dengan laju.

“Auni takut akak!”Auni sudah menjerit.Kemas dipeluk pinggang Nuha sambil memejamkan mata.

“Okey akak perlahan sedikit motor ni. Maaf ya dik, akak terlebih emosi pulak bawak motor,” jawab Nuha turut terjerit sama. Dia memperlahankan kadar had laju motornya.

Nuha ni pun satu suka sangat pecut motor secara racing. Tak ingatkan Nuha akan peraturan jalan raya. Hailaa…

“Kak Dilla! Doktor ada tak sekarang?” cepat Nuha menerjah kaunter pendaftaran sebaik dia sampai di klinik Firas iaitu klinik sekolah dia.

“Eh! Nuha kamu tak balik lagi ke? Doktor sekarang pergi makanlah waktu macam ni. Sekarang klinik kita kekurangan doktor. Yang kerja sekarang hanya Doktor Waiz seorang. Siapa ni adik ke?” soal Adilla pekerja di kilinik itu.

“Doktor Kamal dah tak kerja sini lagi ke? Hmmm…Lama lagi ke nak kena tunggu doktor tu? Adik saya ni terjatuh tadi lutut dia luka,” Nuha mengeluh berat. Masa gentir inilah doktor takde pulak. Nuha tak kenal siapa tu doktor Waiz sebab sepanjang Nuha belajar di sini dia tak pernah jumpa empunya diri lelaki itu.

“Mungkin dalam lima belas minit lagi dia masuk. Boleh tunggukan?”

Nuha senyum. “Boleh aje,”

“Kalau macam tu Nuha duduk atas kerusi dulu. Doktor Waiz masuk Kak Dilla akan panggil ikut giliran,”

Nuha membawa kanak-kanak perempuan itu duduk selepas membuat pendaftaran atas nama Auni Firas. Jelas terpancar di wajahnya sangat risaukan kanak-kanak itu. Beberapa orang yang turut menunggu tersenyum padanya. Nuha membalas sebelum menatap wajah Auni.

“Dik masih sakit lagi tak?” tanya Nuha.

“Sakit…” jawab Auni sambil merengek.

“Sabar ya?” Nuha menggosok bahu Auni seraya menarik kepala kanak-kanak itu rapat ke badannya. Kasih sayang seorang kakak untuk adiknya sedang mengalir.

Hampir setengah jam menunggu kelibat seorang lelaki yang tinggi lampai berwajah kulit cerah masuk ke dalam klinik.

“Dilla ramai tak pesakit tunggu saya?” soal Waiz sebaik dia tiba di kuanter sudah tersenyum manis.

“Dalam dua tiga orang gitulah doktor,” jawab Adilla seraya tersenyum manis. Waiz terus memandang ke arah para pesakitnya di tempat menunggu. Tiba pada Nuha dan seorang kanak-kanak perempuan mata Waiz terbeliak sedikit. Tanpa membuang waktu terus dia berkata sesuatu pada pembantunya itu.

“Dilla nanti awak panggil budak perempuan sekolah ayah saya dulu ya?” sempat lagi Waiz mengenyitkan mata sebelah kepada Adilla sebelum dia melangkah masuk ke biliknya. Senyuman yang tak pernah lekang di wajah selalu terpamer.

Adilla dah garu kepala yang tidak gatal. Dah kenapa dengan Waiz pada petang ini. Jangan nak cakap yang lelaki itu dah tersyok pada pelajar bapanya sendiri.

“Boleh kami masuk?” suara Nuha dari luar. Waiz yang sudah tahu akan siapa pesakitnya sudah tersungging dengan senyuman.

“Masuklah. Sila duduk,”

“Uncle!” jerit Auni dari atas dukungan Nuha. Waiz bangun seraya mendapatkan Auni.

My little angel kenapa ni?” pipi Auni dikucup kiri kanan sebaik Auni selamat didukungannya. Nuha dah terkebil-kebil. Kenalkah mereka berdua?

“Auni terjatuh lepas tu lutut Auni luka…Sakit uncle…nasib baik ada akak ni yang bantu,” cerita Auni dengan jari telunjuk lurus pada Nuha yang masih kelihatan bingung akan situasi ini. Waiz kalih pada Nuha.

“Oh begitu. Hmmm… Terima kasih sebab dah tolong selamatkan my little angle,” Nuha tersedar dari lamunan pendek terus tersengih.

Waiz tersedar akan sesuatu. Rasanya dia pernah lihat gadis ini tapi di mana? Sesaat kemudian baru dia perasaan yang dia pernah jumpa gadis ini dua kali. Gadis ini pernah dirawat oleh Aysar dan gadis ini juga yang mengaku Aysar ni buah hati dia dekat restoran tadi. Sebuah senyuman yang sukar untuk dia sendiri taksirkan terukir di wajah.

“Okey! Siap pun. Dengar sini uncle nak cakap kalau papa tanya kenapa dapat luka ni ila my little angel kena bagitahu yang jujur barulah papa tak marah. Ingat tu…Papa kan tak suka bila my angel berbohong pada dia,”

“Auni cuma keluar nak beli ais krim dekat kedai depan tu aje,”

“Uncle dah faham sangat dengan angel ni. Beli ais krim satu alasan ajekan yang selebihnya angelnak pergi main dekat playground,” nafi Waiz. Pipi montel Auni dicubit geram. Auni dah tarik muka masam seraya memeluk tubuh sendiri. Tanda protes. Nuha dah tergelak kecil.

Waiz terus kalih pada Nuha sebaik terdengar gelak halus gadis itu. “Hmmm nama apa ya?” manis sahaja senyuman dari Doktor Waiz.

“Nuha. Hmmm dah selesaikan? Boleh tak kalau saya bawak balik adik saya?” selamba aje Nuha mengaku Auni ni adik dia. Waiz angkat kening.

“Adik?”

Nuha dah kalut. Dia bangkit terus menarik tangan Auni yang berapa dia atas kerusi di sisi meja Waiz untuk keluar dari situ.

“Ubat ambik dekat kaunterkan? Kami balik dulu ya?” Waiz sekali lagi terkedu. Nuha tak toleh ke belakang. Terus saja dia keluar dari situ. Lari untuk menyelamatkan diri sebab dah mengaku yang Auni ni adik dia.Padahal Nuha masih tak pekak untuk mendengar perkataan my little angel terkeluar dari mulut doktor muda itu kepada Auni.

“Nu…Ha...” Waiz menyebut nama Nuha sambil juling ke atas. Dia merehatkan badannya pada kerusi. Bayangan Aysar, Auni serta gadis itu terbayang di fikirannya sekarang. Sera merta sebuah sengihan lebar carik di bibirnya.

Ketika menuju ke rumah Auni, Nuha sempat singgah di kedai untuk membeli ais krim. Tadi dia terdengar yang kanak-kanak itu mahukan ais krim jadi tak salah jika dia tolong belikan.

“Nah, untuk Auni!” Nuha menghulurkan sebatang ais krim cornetto kepada Auni.

“Terima kasih akak. Hmmm..Auni tak kenal lagi nama akak ni?”

“Panggil aje Kak Nuha. Auni dah macam bertih jagunglah. Cakap tak henti-henti dari tadi,” sempat lagi Nuha mengimbas kejadian di atas motor tadi. Auni asyik menceritakan pengalaman dia di tadika bersama kawan-kawan. Kanak-kanak itu juga ada meluahkan ras tidak puas hati dengan papanya kerana terlalu mengongkong dia untuk keluar bermain bersama rakan-rakan di taman permainan. Sekarang ini pun mulut yang penuh dengan ais krim masih boleh bercakap lagi.

“Siap makan?” soal Nuha. Auni mengangguk sambil menyapu mulut pada bahu bajunya. “Kita gerak sekarang! Jap, rumah Auni dekat mana?”

“Taman Mini, Kak Nuha .”

‘Taman Mini... Hrmm… Setahu aku kawasan rumah Taman Mini tu kawasan orang kaya-kaya je,’ ngomel Nuha sambil menggaru dagunya. “Ayah Auni kerja apa?” tanya Nuha cuba soal selidik latarbelakang budak kecil itu.

“Doktor. Papa selalu balik lewat, tinggal Auni sorang-sorang. Tak suka lah,” keluh Auni.

Doktor jugak? Nuha dah terkejut.

“Tak baik cakap macam tu, papa kerja pun untuk Auni jugakkan,” ucap Nuha lembut sambil tersenyum memandang Auni. Auni mengangguk.

“Auni pegang akak kuat-kuat ya, nanti jatuh,” pesan Nuha sebelum memulakan perjalanan mereka.

“Baiklah,” jawab Auni lalu memeluk kemas pinggang.

“Kak Nuha! Rumah yang warna hijau tu rumah Auni!” jerit Auni di belakang Nuha memberitahu kedudukan rumahnya.

“Mana? Oh yang dekat depan sana? Okey-okey,” Nuha turut menjerit sama.

“Okey, kita dah sampai. Ini ke rumah Auni?” tanya Nuha sebaik dia mematikan enjin motornya betul-betul di hadapan pintu pagar yang gah terpacak tinggi.

“Aah, inilah rumah Auni cantikkan?” jawab Auni sempat lagi memuji rumahnya.

“Memang cantik. Jika dibandingkan dengan rumah akak yang macam reban ayam memang sah-sah kalah adik oii...” jawab Nuha dengan nada dibuat sedih.

Auni ketawa mengekek. Nuha terjungkit-jungkit cuba mengintai rumah banglo itu melalui celahan pintu pagar yang tinggi itu. Dia dapat melihat ada sebuah kolam mini di sudut sebelah kanan rumah itu. Terbeliak matanya bila terlihat tiga buah kereta tersusun di garaj, semuanya kereta mewah.

‘Memang kaya betul si Auni ni,’ desis Nuha .

“Kak Nuha tunggu kejap, Auni nak tekan loceng.” Loceng rumah ditekan. Nuha mengangguk tapi matanya masih menfokus pada ruangan rumah itu.

“Mak Dini!” kerit Auni sambil melompat kecil meminta untuk didukung oleh seorang wanita separuh abad, Mak Dini pembantu rumahnya sebaik pintu pagar terbuka.

“Auni pergi mana? Merata Mak Dini cari tau? Jangan buat macam ni lagi Mak Dini tak suka. Kalau papa tahu macam mana?” bebel Mak Dini dengan nada khuatir sambil mengelus-elus rambut Auni yang di toncong dua itu. Auni tersengih sambil menayangkan giginya yang cantik tersusun itu.

“Err … Maafkan saya mak cik. Tadi saya terjumpa Auni menangis kat simpang sana. Lutut dia berdarah jadi saya bawa dia pergi klinik,” celah Nuha dengan nada sedikit serba-salah.

“Luka? Auni macam mana boleh luka ni? Auni memang nakal. Mak Dini dah cakap jangan keluar dia nak keluar jugak. Nasib baik ada kakak ni yang bantu. Terima kasih ya, nak,” ucap Mak Dini sempat lagi mencubit geram di pipi Auni.

“Takde apa-apalah mak cik. Hrmm… Kalau macam tu saya minta diri dulu,” Nuha meminta izin untuk pulang memandangkan hari semakin senja.

“Nanti sekejap!” panggil Mak Dini tiba-tiba. Nuha yang sudah mendapatkan skuternya kembali menoleh ke belakang.

“Ada apa?” soalnya.

“Nah! Ini duit untuk aiskrim Auni tadi, bakinya tak perlu bagi balik,” tutur Mak Dini seraya menghulurkan duit bernot RM 10 ke dalam tapak tangan Nuha.

Nuha terpinga sebentar. “Eh, apa ni mak cik? Saya tak minta untuk dibayar balik,” tolok Nuha lembut.

“Auni beli aiskrim guna duit anak kan? Ini mak cik ganti balik, ambiklah. Lagipun papa Auni tak suka kalau anak dia berhutang dengan orang lain, ambillah,” pinta Mak Dini sambil memegang erat tangan Nuha.

“ Takpe mak cik lagipun saya tolong Auni, ikhlas,” tolok Nuha lagi.

“Kenapa ni?” Siapa budak perempuan ni? Apa yang dia buat kat rumah ni?” Tiba satu suara yang garau mencelah. Dia memandang Nuha dari atas ke bawah dengan seribu persoalan. Sesaat kemudian matanya terbeliak besar.

“Kamu lagi?” jerit lelaki itu kuat.

Nuha terus kalih serta merta menutup mulut yang hampir ternganga luas. Lelaki yang baru tiba di sebelahnya telah membuatkan dia terkejut besar.

Next: Bab Tiga

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.