Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 18
BAB 18

“JOHAN, kau dah siapkan kerja sekolah yang Encik Shuib bagi minggu lepas tu tak?” soal Iskandar sambil menatap Johan.

“Yang mana satu?” soal Johan, kurang pasti.

“Alah, kerja amali untuk subjek Kimia tulah.”

“Ohh... kerja amali tu dah lama aku siapkan. Kenapa?”

“Tak adalah. Saja aku tanya. Mana tahu kau lupa nak buat.”

“Abang buat apa tu?”

Enam pasang mata menghala ke arah hujung meja. Asyikin sudah terpacak di situ. Mata gadis itu tertancap pada Iskandar.

“Buat apa, studylah. Takkan nak main pulak. Adik datang dengan siapa ni?” soal Iskandar, terkejut dengan kehadiran adik kembarnya di situ.

“Dengan kawan-kawanlah. Tu dia orang kat sana,” ujar Asyikin sambil menunjuk ke satu arah.

“Kak Ila ikut sekali Ikin?” soal Afiq sambil memanjangkan leher memandang ke arah yang ditunjuk gadis itu.

“Ada, dia dengan Regina ada kat belakang rak buku tu. Haiza dengan Izrin pun duduk sekali dengan dia orang,” jawab Asyikin sambil memandang sekilas Afiq yang telah bangun meninggalkan teman-temannya.

Afiq melangkah mendapatkan Laila di hujung rak-rak buku perpustakaan negeri.

“Aku nak jumpa Marya kejap ya,” pamit Nazrin, turut bangun.

“Huh, ambil kesempatan,” kutuk Iskandar sambil menjeling Nazrin yang mahu melangkah pergi.

Nazrin hanya tersengih sebelum menghampiri Marya. Gadis itu ralit membaca bersama Jeslynn dan Marina tidak jauh dari mereka.

“Abang tengah study subjek apa ni?” soal Asyikin lalu mengambil tempat kosong yang ditinggalkan Afiq.

“Biologi.”

Iskandar masih laju menyalin nota-nota penting daripada buku rujukan yang diambil dari rak buku sebentar tadi.

“Ikin, dalam kelas kau siapa yang paling pandai dalam subjek Biologi ni?” soal Danial sambil memandang wajah gadis yang telah dikenali sejak sekolah rendah lagi itu.

“Hmm...” Asyikin berfikir seketika.

“Dalam kelas kita orang, boleh dikatakan semua pandai tapi paling pandai Farahlah. Dia selalu dapat A untuk subjek ni. Tak pernah sekali pun dia dapat B.”

“Really? Selalunya Farah dapat nombor berapa dalam kelas kau orang?” soal Adib.

Dia sempat mengerling Johan yang mula memerah wajah. Mengerti maksud soalan itu.

Nak menyakat akulah tu! desis hati Johan.

“Farah? Oh, kalau kau orang nak tahu, dialah yang selalu dapat nombor satu dalam kelas kita orang. Sejak dari tingkatan satu lagi kedudukan dia macam tu. Susah betul kita orang nak kejar dia. Pandai sangat otak dia tu,” ujar Asyikin lagi tanpa sebarang syak wasangka.

“Kalau macam tu, Farah sama pandai dengan Johanlah sebab Johan pun selalu dapat nombor satu dalam kelas kita orang,” sampuk Iskandar, turut menggiat teman yang semakin memerah wajahnya.

“Kau orang ni,” ujar Johan perlahan, memberi amaran.

Mereka hanya tersengih nakal melihat reaksi kawan mereka.

“Ikin, tanya sikit boleh?” tanya Danial pula.

Dia menatap wajah Asyikin yang sedang membelek buku.

“Nak tanya apa?” soal Asyikin tanpa mengangkat wajah.

“Farah dengan Faizam tu ada apa-apa ke? Rapat semacam aje kita orang tengok. Dia orang bercinta ya?”

“Hisy, mana adalah. Farah dengan Faizam tu kawan baik aje. Dia orang tu memang rapat tapi tak semestinya bercinta. Ala, bak kata orang teman tapi mesra.”

“Betul ke apa yang kau cakap ni Ikin? Ke saja kau cakap macam tu semata-mata tak nak orang tahu hal sebenar?” soal Adib, kurang percaya.

“Hal sebenar apanya Encik Adib. Memang dah sah dia orang tak bercinta, aku nak cakap apa lagi,” nafi Asyikin cepat-cepat.

“Jangan kata kau orang, kami semua dulu pun mati-mati ingat Farah dan Faizam tu bercinta. Farah kata dia tak nak kat Faizam. Faizam pun cakap benda sama. Kita orang tak percaya mulanya. Tapi bila dah lama kenal, baru kita orang sedar cakap dia orang tu betul. Cuma tulah, dia orang nampak macam bercinta kan? Tambah-tambah lagi bila duduk berdua macam tu,” sambung Asyikin sambil menoleh pada Farah dan Faizam yang duduk tidak jauh dari mereka.

Kedua-duanya nampak berbual mesra sambil menelaah pelajaran. Membangkitkan cemburu di hati Johan namun dia pura-pura tidak peduli dengan keadaan itu.

“Yang kau orang banyak tanya pasal Farah dan Faizam tu kenapa? Ada yang tak kena ke dengan budak berdua tu?”

soal Asyikin.

Dia mula terasa pelik dengan pertanyaan mereka.Dipandang setiap wajah yang ada di depannya.

“Eh, tak adalah. Saja tanya sebab kita orang ingat dia orang couple selama ni,” sangkal Danial cepat-cepat.

“Tapi kenapa kau orang tak tanya aje terus kat Faizam? Bukan ke dia satu sekolah dengan kau orang? Dahlah tu, satu asrama lagi kan?”

“Macam mana nak tanya Ikin. Nama aje satu sekolah tapi kami jarang-jarang jumpa. Dia kan ketua pengawas, pengerusi pelbagai kelab dan persatuan pulak. Jadi selalulah dia sibuk. Lagi pulak kami berlainan kelas dan bilik asrama. Senang cakap memang payahlah kami nak bertegur sapa pun,” terang Adib.

Asyikin mengangguk faham.

“Eh, tak apalah kau orang, aku minta diri dulu ya. Nak study. Oh ya bang, jangan lupa call mak nanti. Mak kata abang dah lama tak call. Membebel mak nanti.”

Sempat Asyikin meninggalkan pesanan pada Iskandar sebelum berlalu dari situ.

“Hai, nampaknya adalah harapan kawan kita ni nak pikat Farah tu ya,” ujar Danial sambil tersenyum lebar sebaik kelibat Asyikin menghilang dari situ.

“Bukan setakat pikat aje Danny, nak couple pun boleh aje. Mana taknya, bunga belum dipetik orang,” giat Iskandar sambil tersengih nakal.

“Hisy kau orang ni, aku cepuk kepala sorang-sorang nanti baru tahu,” marah Johan sambil menjeling teman-temannya.

“Alah Han. Kalau betul pun kau suka, apa salahnya. Dia kan sepupu kau. Bukannya berdosa pun kau jatuh cinta dengan dia,” giat Danial, masih tidak putus asa.

Mereka tidak sedar yang Adib sejak tadi menatap kelakuan Laila dan Afiq. Sesekali mata tajamnya bertembung mata Laila namun gadis itu segera mengalih arah. Pura-pura tidak melihat. Adib tersenyum sendiri dalam hati. Senang dengan keadaan itu.

“Ah kau orang ni, tak habis-habis nak kenakan aku aje. Dahlah. Daripada aku melayan kau orang, baik aku study. Ada juga faedahnya,” balas Johan.

Dia terus merapatkan buku ke mata. Tidak peduli lagi pada teman-temannya.

“JADI betullah Balkis tak mahu ikut ayah balik ke California?”

Nada suara Datuk Baharin jelas menampakkan rasa hatinya ketika ini.

Balkis pula tenang mengangguk. Tiada riak bersalah atau kesal di wajahnya. Jauh berbeza dari riak Datuk Baharin yang telah lama diserbu kecewa dan sayu. Kecewa dengan keputusan gadis itu. Sayu mengenangkannya yang tidak mungkin menjadi kenyataan.

“Balkis tak nak ikut ayah balik ke walaupun sekali? Mana tahu hati Balkis terbuka nak menetap kat sana nanti.”

Datuk Baharin masih tidak putus harap. Menatap Balkis mengingatkan dia pada arwah isteri yang begitu setia menyayanginya. Lantas mencungkil rasa kesalnya semula. Kesal kerana mengabaikan arwah isteri dan Balkis suatu masa dulu.

“Hati Balkis belum terbuka nak ke sana ayah. Lagipun Balkis tak pernah terfikir nak tinggalkan Malaysia. Kalau setakat nak sambung belajar kat luar negara tu esok-esok, bolehlah lagi. Tu pun empat lima tahun ajelah. Lebih dari tu Balkis tak mahu.”

“Tapi cubalah faham keadaan ayah sayang. Ayah tak ada sesiapa lagi yang boleh ayah harap untuk menguruskan perniagaan ayah tu. Takkan ayah nak benarkan orang asing pulak ambil alih sedangkan ayah masih ada anak yang boleh bantu ayah menguruskan semuanya.”

“Huh! Masa ayah bawa Aunty Christina ke dalam keluarga kita, tak pulak ayah fikir dia tu orang asing hingga ayah sanggup lukakan hati isteri dan anak ayah sendiri. Walaupun Aunty Christina kawan baik ibu tapi tu dulu. Sebelum dia rampas ayah dari ibu dan Balkis. Jadi apa salahnya kalau perniagaan ayah yang selama ni asing pada Balkis diserahkan kepada orang asing macam ayah serah hati ayah pada Aunty Christina.”

Tajam kata-kata itu singgah di telinga Datuk Baharin. Mencucuk terus ke lubuk kalbunya yang telah lama terluka. Wajah tegang anaknya dipandang lagi. Tiada dendam mahupun marah terlukis di wajah itu. Sekadar kesal dan terkilan.

“Balkis tahu keputusan Balkis melukakan ayah tapi Balkis buat keputusan ni bukan untuk diri Balkis aje. Balkis tak mahu lukakan hati semua yang selama ni bersusah payah menjaga dan membesarkan Balkis. Walaupun mereka tak pernah larang Balkis tapi Balkis tak boleh tinggalkan negara ni walau apa pun terjadi.

Arwah ibu dah lama tiada tapi jasadnya disemadikan kat sini, di negara kelahiran Balkis. Mungkin ayah tak pernah kenang ibu dalam hidup ayah tapi Balkis takkan sesekali lupakannya. Balkis tak dapat lagi menyentuh ibu. Jauh sekali merasa kasih sayangnya tapi Balkis tahu ibu tetap di sisi Balkis sampai bila-bila,” ujar Balkis sebak.

Air mata yang mulai gugur dilap dengan hujung lengan baju. Begitu mudah mutiara jernihnya merembes setiap kali perihal bonda kesayangan dibangkitkan.

Datuk Baharin yang melihat turut diterpa sebak. Air mata kesal terus bertakung di kelopak mata. Segera dia mengelap dari tumpah.

“Kalau benar ayah sayangkan Balkis, kenapa ayah tak pulang dan menetap semula kat Malaysia? Apa kurangnya negara kita hingga ayah terpaksa menghambakan diri kat sana? Atau ayah terlalu sayangkan harta kekayaan ayah hingga ayah rasa tak layak untuk tinggal kat negara kelahiran ayah sendiri?”

“Ayah bukan tak mahu sayang tapi ayah dah biasa dengan kehidupan ayah kat sana. Impian ayah terbina kat sana yang mana ayah takkan mungkin dapat lakukannya kat sini. Sebab tu ayah nak Balkis ikut ayah. Ayah jamin Balkis akan bahagia sebab Amerika jugak seperti Malaysia sayang, tak ada bezanya.”

Tersenyum sinis Balkis mendengar kata-kata itu.

“Yakin benar ayah yang Balkis akan bahagia kat sana, kat tempat yang Balkis sendiri tak pernah terfikir untuk pergi melawat. Jauh sekali menetap selamanya,” balas Balkis.

“Kalau betul Malaysia dan Amerika tiada beza, kenapa ayah masih nak tinggal kat sana? Bukan ke kedua-dua negara tak ada beza kat mata ayah? Jadi tak ada bezalah kalau ayah tinggal kat Malaysia sebab Malaysia pun sama macam Amerika,” sambung Balkis sinis.

Datuk Baharin kehilangan kata. Tergamam dengan kata-kata keras itu.

“Ayah, tak perlu cakap lantai tak sama rata kalau kita yang tak pandai menari. Balkis faham sebab apa ayah tak mahu menetap kat sini. Tapi apa guna ayah kejar kekayaan setinggi langit kalau hati ayah tak pernah tenang dengan semua tu. Ayah kata impian ayah terbina kat sana, kat bumi California. Tapi ayah kena faham. Balkis jugak ada impian Balkis sendiri, ada kehidupan sendiri. Balkis nak terus berada di negara ni biar apa pun berlaku.

Walaupun ke mana Balkis pergi suatu hari nanti, Balkis akan tetap pulang ke negara asal Balkis sebab Balkis tahu darah dalam tubuh Balkis ni adalah darah anak Malaysia. Kalau bukan Balkis, anak bangsa Malaysia sendiri yang tak bangunkan negaranya, siapa lagi yang boleh kita harapkan kalau semuanya ingin membina impian kat negara orang?

Balkis minta maaf kerana terlalu biadap berbicara dengan ayah tapi Balkis lebih suka berterus terang dari memendam rasa. Balkis tak mahu apa yang berlaku pada ibu berlaku pada Balkis. Ini amanat ibu yang Balkis pegang hingga ke hari ini.

Tentang jemputan ayah tu, Insya-ALLAH, suatu hari nanti Balkis akan pergi jugak ke rumah ayah kat California tu tapi bukan sebagai pemilik. Sekadar melawat ayah Balkis yang tak benar-benar menyayangi anaknya hingga tak sanggup untuk tinggalkan harta kekayaannya demi anaknya yang seorang ni. Tapi Balkis tak kisah sebab dari dulu Balkis dah biasa hidup tanpa ayah dan tetap bahagia walaupun ayah tak ada kat sisi. Sama seperti ayah yang bahagia tanpa kehadiran Balkis dan arwah ibu selama ni,” ucap Balkis sebak.

Datuk Baharin kembali terkaku. Lama dia menatap gadis itu yang mengalirkan air mata semula. Pilu dengan kata-kata sendiri.

“Balkis minta diri dulu. Balkis perlu balik ke sekolah semula. Satu Balkis minta dari ayah. Tolonglah jangan datang bertemu Balkis lagi. Bukan kerana benci tapi Balkis tak mampu lagi melihat ayah buat masa ni. Berilah ruang untuk Balkis terima ayah semula dengan hati ikhlas. Apa pun, terima kasih kerana sudi berjumpa Balkis buat kali terakhir. Andai umur panjang kita berjumpa lagi. Assalamualaikum,” sambung Balkis.

Usai bersuara dia terus bangun. Meninggalkan Datuk Baharin yang masih terpaku di tempatnya. Dibiarkan air mata duka merembes laju buat sekian kali. Namun dia puas. Puas kerana telah meluahkan segala rasa hatinya selama ini. Balkis menangis sendiri.

“HEI bodoh! Mata besar kau tu letak kat mana hah? Kat lutut atau kat kepala otak kau yang bangang tu sampaikan baju kotor aku ni pun kau tak cuci?” tengking Julia sambil menunjal kepala Susie beberapa kali.

“Saya minta maaf Cik Julie. Saya terlupa nak cuci baju ni,” jawab pembantu rumah itu terketar-ketar ketakutan.

“Kau makan apa sampai boleh lupa nak cuci baju mahal aku ni hah? Otak bangang kau tu letak kat mana sampai boleh lupa nak buat kerja kau ni? Kalau kau nak kerja lama kat sini, buat perangai elok-elok. Jangan sampai aku suruh daddy berhentikan kau yang tak sedar diri tu. Dahlah miskin, bodoh pulak tu!”

Kepala wanita berbangsa Indonesia itu ditunjal lagi buat sekian kali. Lebih kuat dari tadi.

“Maafkan saya Cik Julie. Saya janji takkan ulangi kesalahan saya ni. Saya akan cuci baju tu nanti.”

Terkocoh-kocoh Susie mencapai baju yang dihumban Julia ke muka pucatnya. Takut dengan kebiadaban anak majikannya itu.

“Kau cuci bersih-bersih baju aku tu. Jangan sampai koyak pulak. Gaji yang kau terima setiap bulan tu pun belum tentu boleh beli baju aku walaupun sehelai tahu. Aku nak pakai sekarang jugak!”

“Tapi Cik Julie, baju ni tak boleh kering kalau dicuci sekarang. Baju ni tebal kainnya. Lagipun hari ni cuaca mendung. Tak ada matahari.”

“Amboi, pandai melawan pulak dia ya. Hei bangang! Baju ni boleh kering atau tak, aku tak peduli! Pandai-pandailah kau keringkannya. Lain kali, jangan jadi nyanyuk muda-muda macam ni sampai lupa nak cuci baju aku tu. Dasar perempuan tak ada otak, pergi cuci sekarang!” tengking Julia.

Terus ditendang tubuh yang terketar-ketar itu. Membuatkan Susie terus tertiarap jatuh ke permaidani.

“Bodoh! Bangkit sekarang! Jangan nak buat-buat nak mampus pulak! Pergi cuci baju aku sekarang jugak!” tengking Julia lagi.

Tubuh lemah itu ditendang semula beberapa kali.

“Astaghfirullahalazim. Julie, kenapa buat Susie macam tu? Tak baik tahu,” tegur Hanie yang tergesa-gesa masuk ke bilik itu tatkala terdengar tengkingan Julia beberapa kali.

Bergegas dia mendapatkan Susie yang bersusah payah bangun berdiri.

“Apa pulak tak baiknya? Dia tu yang bodoh sangat, langsung tak ada otak. Buat kerja pun tak tahu. Lain kali kalau kak nak pilih pekerja, cari yang ada otak, bukannya bodoh dan nyanyuk macam Susie ni,” ujar Julia dengan nada tinggi sambil memeluk tubuh.

“Kalau dah tahu dia tak ada otak, kenapa adik yang ada otak tu tak tahu nak beradab dengan orang yang lebih tua? Dah tahu dia buat silap, maafkan ajelah. Takkan tu pun susah nak dibuat!” sergah Zarif yang tiba-tiba muncul di situ.

Dia dan Hanie sedang berbual-bual di bilik tidur tatkala terdengar jeritan gadis itu. Dicekak pinggangnya seraya membalas tajam pandangan Julia.

“Abang jangan cari pasal dengan adik ya? Dah memang Susie tu bodoh orangnya, nak buat macam mana lagi,” dengus Julia.

Kurang senang dengan campur tangan lelaki itu dalam urusannya.

“Kalau adik tu pandai sangat, mana perginya budi bahasa adik tu? Hanya orang yang tak ada budi bahasa dan adab sopan macam adik tu aje yang layak dipanggil bodoh tahu. Bodoh serba-serbi.”

Zarif semakin menyinga dengan jawapan biadap adiknya.

“Hisy!” bentak Julia sambil menghentak kaki beberapa kali sebelum bergegas keluar.

Sempat dia menjeling marah pada Zarif lalu merengus keras. Dihempas pintu bilik sekuat hati. Menyakitkan telinga mereka yang hanya memandang.

“Susie, saya minta maaf bagi pihak adik saya,” pohon Zarif pada pembantu rumah yang telah lama berkhidmat di rumah mereka.

“Tak apa tuan. Bukan silap Cik Julie tapi silap saya sebab lupa cuci bajunya,” balas Susie.

Mengerti dengan sikap Zarif yang jauh berbeza dari Julia sepertimana kedua-dua orang tuanya. Kerana itu dia sanggup bertahan bekerja di rumah itu sejak beberapa lama walaupun layanan Julia adalah sebaliknya.

“Tak apalah, pergi sambung semula kerja awak,” ujar Zarif lagi.

Dia memandang Susie mengangguk dan berlalu dari situ sebelum mengalihkan pandangan pada Hanie. Isterinya hanya menarik nafas panjang. Zarif menguak rambut tebalnya beberapa kali. Cuba memujuk hati yang masih panas dek sikap kurang ajar Julia.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-18-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh