“SHAFIQ! SHAFIQ!” jerit Dalia dari luar rumah.
Rafiq mengekori daripada belakang. Dia turut ingin tahu apa yang terjadi kepada Shafiq.
“Shafiq,” panggil Dalia sebaik sahaja masuk ke dalam rumah. Melilau matanya mencari kelibat abangnya itu.
“Dalia!” balas Shafiq dalam nada lemah dari arah bilik.
Dalia yang mendengar pantas masuk ke dalam bilik. Tubuh Shafiq yang sedang duduk menyapa mata.
“Shafiq!” Dalia memeluk erat tubuh Shafiq. Dia menangis teresak di bahu abangnya itu.
Rafiq hanya memandang. Dia melemparkan senyuman kepada Shafiq tatkala bertemu pandang dengan pemuda itu.
“Kau pergi mana, Shafiq? Kau tahu tak aku risaukan kau?” esak Dalia. Dia memandang wajah Shafiq meminta penjelasan.
“Aku okey. Kau tak perlulah risau,” balas Shafiq. Dia menggelengkan perlahan.
“Kau tipu aku, Shafiq. Kau kena culik, kan?” tukas Dalia tidak percaya.
“Kau okey ke, Shafiq?” sampuk Rafiq setelah lama membisu.
“Aku okey! Aku minta maaf kalau Dalia susahkan kau,” jawab Shafiq dalam nada tenang. Dia berasa bersalah kerana menyusahkan Rafiq.
“Aku tak kisah. Mana yang aku boleh bantu, aku bantu,” kata Rafiq menolak rasa bersalah Shafiq.
“Siapa culik kau, Shafiq?” tanya Dalia ingin tahu. Dia mengesat sisa air mata di pipi.
Shafiq turut sama membantu menyeka air mata di pipi Dalia. Sekian lama dia tidak melihat Dalia menangis dan hari ini dia melihatnya semula.
“Dalia beritahu aku yang kau kena culik. Siapa yang culik kau, Shafiq?” Rafiq turut sama ingin tahu. Dia melabuhkan duduk di atas kerusi yang ada di situ.
“Aku… aku…” Shafiq berkira-kira dalam hati.
“Siapa?” Dalia mendesak. Dia ingin tahu perkara yang sebenarnya.
“Kawan aku. Dia saja nak bergurau dengan kau, Dalia.” Shafiq bangun dari duduk. Dia melangkah keluar dari dalam bilik menuju ke ruang tamu. Ada baiknya dia tidak berterus-terang perkara yang sebenarnya. Tidak mahu merisaukan hati Dalia.
Dalia dan Rafiq hanya memandang. Mereka turut sama keluar dari dalam bilik.
“Kau orang dah makan belum? Kalau belum, jom aku belanja kau orang makan,” kata Shafiq lagi. Dia melemparkan senyuman buat Rafiq dan Dalia.
Rafiq dan Dalia berpandangan antara satu sama lain. Masing-masing memandang pelik kepada Shafiq. Sepertinya Shafiq sedang merahsiakan sesuatu daripada mereka berdua.
“TERIMA kasih!” ucap Shafiq dalam nada ikhlas.
Rafiq yang mendengar berkerut dahi.
“Sebab kau sudi bantu Dalia ketika Dalia memerlukan bantuan,” sambung Shafiq lagi.
“Aku tak buat apa-apa pun Shafiq,” tukas Rafiq, ramah.
“Kalau jadi apa-apa pada aku nanti, aku minta tolong kau jaga Dalia, boleh?” pinta Shafiq, berharap.
“Apa maksud kau, Shafiq?” Rafiq kurang faham.
“Dalia satu-satunya adik yang aku ada. Dia dah banyak menderita disebabkan aku. Kalau boleh, aku nak tengok adik aku gembira dan bahagia. Mungkin bukan aku yang dapat membahagiakan dia. Mungkin kau atau orang lain.” Shafiq berterus-terang. Sebarang kemungkinan boleh terjadi. Maka dari itu dia membuat permintaan sebegitu.
“Aku…”
“Aku tak memaksa. Walaupun kita baru saja berkawan, aku nampak kejujuran kau. Aku yakin kau dapat jaga Dalia bila aku tak ada nanti.”
Rafiq menghela nafas ringan.
“Aku masuk dalam dulu. Terima kasih sekali lagi,” suara Shafiq. Dia melangkah masuk ke halaman rumah.
Rafiq hanya memandang. Kata-kata Shafiq meniti dalam minda.
“Shafiq!” panggilnya selepas itu.
Shafiq mematikan langkah. Dia menoleh memandang ke wajah Rafiq.
“Insya-Allah, aku cuba tunaikan permintaan kau tadi,” kata Rafiq penuh ikhlas.
Shafiq yang mendengar melepaskan nafas lega. Dia menundukkan kepala tanda hormat dan terima kasih atas kesudian Rafiq.
“Aku akan cuba tunaikan permintaan kau, Shafiq,” kata Rafiq lalu beredar dari situ.
“Encik Rafiq!” panggil Dalia dari arah belakang.
Rafiq mematikan langkah. Dia menoleh ke belakang. Wajah Dalia menyapa mata.
“Terima kasih!” ucap Dalia dalam nada ikhlas.
Rafiq tidak membalas.
“Maaf sebab susahkan Encik Rafiq,” sambung Dalia lagi.
“Tak ada susahnya Dalia. Saya bantu mana yang mampu,” tukas Rafiq, ramah.
Dalia hanya tersenyum.
“Saya minta diri dulu,” pamit Rafiq. Dia melangkah menuju ke kereta yang diparkir tidak jauh dari mereka berdua berdiri.
“Terima kasih, Encik Rafiq,” ucap Dalia buat kali yang kedua.
Rafiq mengangguk. Dia segera masuk ke dalam kereta lalu memandu keluar dari kawasan itu. Nafas ringan dilepaskan.
Dalia memandang pemergian Rafiq. Dia mengucap syukur atas kesudian Rafiq membantunya.
“Semoga Encik Rafiq dilindungi Allah,” doa Dalia buat Rafiq.
“JAUH termenung. Ingatkan siapa?” tegur Haikal sambil melabuhkan duduk di sisi Rafiq. Setin air minuman dihulurkan kepada kawannya itu.
“Tak ada apa,” balas Rafiq. Tin minuman sudah pun bertukar tangan.
“Iyalah tu tak ada. Dari tadi aku tengok kau termenung saja. Aku cakap pun kau tak ambil port sangat. Kau fikirkan tentang apa?”
Rafiq meneguk air dari dalam tin.
“Minggu depan Dalia boleh start kerja,” suara Haikal seraya memandang ke wajah Rafiq.
“Thanks, Haikal,” ucap Rafiq. Dia mengangguk perlahan.
“Kau ni, kenapa? Macam ada masalah saja.” Haikal berkerut dahi. Dari tadi dia melihat Rafiq seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Aku sedang fikirkan permintaan Shafiq,” ujar Rafiq berserta nafas ringan.
“Shafiq?” ulang Haikal berserta kerutan di dahi.
“Abang Dalia.”
Haikal mengangguk perlahan.
“Ada sesuatu pada mereka berdua.”
“Sesuatu? Maksud kau?”
“Entahlah! Aku rasa macam dah lama kenal dengan mereka berdua.”
Haikal tidak membalas. Dia memberi sepenuh perhatian kepada Rafiq.
“Makin aku kenali Dalia dan Shafiq, makin aku rasa berminat pada mereka berdua.”
“Maksud berminat kau tu apa?”
“Untuk mengenali mereka berdua lebih mendalam.”
“Hurm… aku tak faham dengan apa yang cuba kau sampaikan sekarang ni.”
“Abaikan sajalah.”
Haikal memandang ke wajah Rafiq. Riak keliru jelas di wajah kawan baiknya itu.
“Sorry, kalau aku ajak kau last-last minute macam ni.”
“Kenapa pula nak minta maaf? Aku bersyukur sangat dapat keluar dengan kau malam ni. Bukankah kau kata ada hal?”
“Mama aku. Dia kata ada hal nak bincang dengan aku. Tapi tadi dia call aku yang dia tak dapat balik sebab ada meeting dengan persatuan.”
“Hal apa?” Haikal sekadar bertanya.
“Entah! Aku pun tak tahu,” balas Rafiq sambil menjungkitkan bahu. Dia turut sama memikirkan perkara yang ingin dibincangkan oleh Puan Raihan dengannya.
“Kau dah jumpa dengan orang yang melanggar Hanis?” tanya Haikal, spontan.
Rafiq yang mendengar pantas menoleh ke wajah Haikal. Kenapa dengan tiba-tiba Haikal bertanya tentang itu?
“AKU bagi kau seminggu, Shafiq. Kalau kau tak pulangkan duit tu, tahulah nasib kau nanti,” amaran Harun dalam nada serius. Kolar baju Shafiq ditarik kasar.
Shafiq hanya mendengar. Matanya memandang tajam ke wajah Harun.
“Kalau kau nak adik kau selamat, baik kau serahkan duit tu pada aku. Kalau tidak…”
“Kau jangan nak apa-apakan adik aku. Kalau tidak, aku bunuh kau Harun,” pintas Shafiq, laju. Dia menggenggam erat tangan menahan kemarahan.
“So, kalau kau tak nak aku apa-apakan adik kau, kau serahkan duit tu pada aku, boleh?”
“Aku tak ada duit tu.”
“Kau jangan nak tipu aku, Shafiq. Aku tahu, kau simpan duit tu.”
Shafiq tidak membalas. Dia sedang memikirkan sesuatu.
“Ingat Shafiq! Aku bagi kau tempoh seminggu,” amaran Harun lagi. Kolar baju Shafiq dilepaskan. Dia meludah dan beredar dari situ. Beberapa orang suruhannya turut sama beredar dari situ.
Shafiq melepaskan nafas deras. Dia terbatuk sebaik sahaja Harun berserta orang suruhannya beredar dari situ.
“Shafiq!” tegur Dalia, tiba-tiba.
Shafiq yang sedang leka termenung sedikit terkejut. Dia menghalakan mata ke arah Dalia. Adiknya itu sudah pun melabuhkan duduk di sisinya.
“Kau menungkan apa?”
“Tak ada apa. Kenapa tak tidur lagi?”
“Aku tak mengantuk lagi.”
Shafiq mengangguk perlahan. Dia membuang pandang ke langit malam.
“Aku sayangkan kau, Shafiq,” ujar Dalia seraya menoleh ke wajah Shafiq.
Shafiq turut sama menoleh ke wajah Dalia.
“Aku takut kehilangan kau,” sambung Dalia lagi.
“Aku pun takut kehilangan kau. Kau satu-satunya adik yang aku ada.” Shafiq turut sama berkata. Dia tersenyum kepada Dalia.
“So? Siapa yang culik kau?” tanya Dalia. Dari tadi persoalan itu bermain-main dalam minda. Persoalan siapa yang menculik Shafiq masih belum berjawab.
“Duit apa yang mereka maksudkan, Shafiq?” tanya Dalia lagi. Wajah Shafiq dipandang meminta jawapan.
Shafiq menelan air liurnya sendiri. Kelat! Pertanyaan Dalia meniti dalam minda.
“Shafiq!” seru Dalia. Shafiq kelihatan membisu dari tadi.
“Betul ke kau diberhentikan kerja?” tanya Shafiq menolak untuk menjawab pertanyaan Dalia.
Dalia tersentak.
“Kau diberhentikan kerja. Betul?” ulang Shafiq meminta kepastian.
“Siapa beritahu kau?” Dalia pula bertanya.
“Siapa beritahu aku tak penting. Aku cuma nak tahu, betul atau tidak kau diberhentikan kerja?” Shafiq bertanya dalam nada serius. Dia perlu tahu perkara yang sebenar.
“A’ah. Aku diberhentikan kerja.” Dalia mengalah. Ada baiknya dia berterus-terang kepada Shafiq.
“Sebab?”
“Err…”
“Dalia!”
“Aku gaduh dengan boss.”
“Encik Zaihan?”
“Bukan! Orang lain.”
“Orang lain? Siapa?”
“Ziqri!”
Shafiq berkerut dahi. Ziqri! Sebutnya dalam hati.
“Kau janganlah risau. Aku dah dapat kerja lain. Minggu depan aku start kerja,” beritahu Dalia. Menghalau perasaan risau dalam hati Shafiq.
Shafiq mengangguk perlahan.
“Aku masuk tidur dulu. Mengantuk!” ujar Dalia bingkas bangun dari duduk. Dia menguap seketika.
“Pergilah! Dah lewat ni,” suruh Shafiq dalam nada lembut.
Dalia melangkah menuju bilik. Seminit kemudian, dia mematikan langkah lalu menoleh memandang ke wajah Shafiq.
“Siapa yang culik kau, Shafiq?” tanya Dalia tatkala pertanyaan itu meniti dalam minda.
Shafiq yang mendengar tersentak. Dia membalas pandangan Dalia yang sedang menanti jawapan darinya. Perlukah dia berterus-terang perkara yang sebenarnya?