Home Novel Alternatif Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
F.Ain.K
2/7/2019 23:35:07
145,671
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
13.2✓
Tajuk : Don't Judge My Blindness (Bhgn 2)




SEPTEMBER 2013



Semakin hampir kepada tarikh program, semakin aku risau. Aku tak pasti apa sebenarnya yang aku risaukan. Adakah kerana aku tak pernah hadir program seperti ini; atau adakah kerana mereka yang akan hadir ke program ini semuanya orang asing bagi aku; atau adakah aku takut mereka yang mengendalikan program ini nanti mampu mengetahui sesuatu tentang aku. Aku tak pasti apa yang aku takutkan. 


Aku kini berada di kedai mamak lagi, menanti makanan sampai. Malam ini kelas malam habis awal setengah jam kerana hari Khamis. Kelas malam aku hanya pada hari Selasa dan Khamis. Untuk hari Khamis selalunya habis awal kerana ia digunakan lebih untuk perbincangan mengenai hal semasa, juga proses membangkang dan meyakinkan pihak yang mendengar. 


Lutfi Ikram dan dua orang lagi rakan sekelas sedang duduk di meja yang sama dengan aku, rancak berbual. Rasanya hari ini kelas khas bahasa isyarat kami terpaksa dibatalkan kerana tadi tiba-tiba sahaja dua orang rakan sekelas aku ini berminat untuk ikut dinner bersama. Aku tidak selesa untuk membiarkan sesiapa tahu aku berminat dengan bahasa isyarat. 


Ketawa kedua orang rakan sekelas aku ternyata kedengaran terlalu gembira di telingaku. Lutfi Ikram pula kadang-kadang sahaja tertawa kecil, kebanyakan masanya dia hanya berseloroh dengan nada seriusnya. Mungkin butir percakapan Lutfi Ikram yang straightforward namun menarik itu membuatkan keadaan menjadi riuh. Aku memilih untuk lebih banyak mendengar dan sesekali ikut tersenyum bila ada sesuatu yang menggelikan hati.


Dari pemerhatian akal logik aku, aku dapat rasakan sebenarnya kedua orang rakan sekelas aku ini berminat dengan Lutfi Ikram. Dari  lenggok percakapan hingga ke lirikan mata, semuanya menjurus ke arah itu. Kerana itu aku membuat keputusan untuk memberikan ruang kepada mereka berinteraksi. 


Sampai sahaja nasi goreng kampung telur mata aku di meja, aku terus membaca doa makan dan menumpukan pada perut aku yang lapar. Tayangan bola sepak dalam televisyen di hadapan kedai kurang menarik perhatianku. 


"Hidayah. Awak bukan tak boleh makan pedas sangat ke?” suara jantan menerpa pendengaran membuatkan aku memandang ke kiri. 


Lutfi Ikram yang sedang duduk di sebelah kiri aku ternyata sedang memandang aku meminta penjelasan. Tiba-tiba sahaja aku rasakan 3 pasang anak mata sedang memandang aku. 


“Tapi nasi goreng kampung kalau tak pedas, tak sedap makan,” jelas aku mempertahankan nasi goreng kampung aku yang dipenuhi cili api. Malah aku juga meminta cili potong sebagai tambahan.


“Nanti tengah malam sakit perut lagi macam mana? Awak tu bukannya boleh minum susu pun untuk kurangkan pedas. Lagi bertambah sakit adalah. Tengah malam nanti saya tak nak dengar complain tak boleh tidur sebab sakit perut .”


Sejurus sahaja bait-bait kata dari Lutfi Ikram sampai ke pendengaran, aku segera memandang reaksi kedua orang rakan sekelas aku. Ternyata mereka tidak berapa suka dengan apa yang baru mereka dengari. Aku mula dihuni rasa risau. Aku paling tidak suka jika ada orang lain yang merasakan bahawa aku ini seperti ingin merampas apa yang mereka kehendaki. Lagi pula sememangnya aku dan Lutfi Ikram tidak mempunyai apa-apa hubungan istimewa, dan aku tak merancang untuk ke arah itu. 


Aku memilih untuk senyap dan menyambung makan. Cuba menghilangkan resah aku. Aku harapkan diamku akan membuatkan Lutfi Ikram berhenti dari menjadikan aku topik pemerhatian. 


“Saya orderkan limau suam untuk awak ye?” 


Aku pandang semula ke arah Lutfi Ikram. Ternyata matanya memandang aku risau. Perlahan aku mengangguk. Aku menumpukan semula perhatian pada makanan.  Perbualan antara mereka kembali bersambung. Aku menghembus nafas lega. 


Suara rakan sekelasku yang berambut panjang lurus ke paras bahu itu riuh berceloteh tanpa henti. Manakala seorang lagi bertudung biru bunga-bunga hanya menyampuk bila perlu. Namun entah kenapa aku tak mendengar suara Lutfi Ikram di sebelah aku menyampuk atau menyambung topik seperti selalu. Pandangan aku yang melekap di kaca televisyen seolah-olah menampakkan aku seperti menumpukan perhatian, hanyalah lakonan sedangkan aku sebenarnya sedang memasang telinga mendengar keadaan sekeliling. 


Dalam ketidakselesaan entah kenapa aku rasakan seperti ada tangan di belakang penyandar kerusiku. Aku menoleh ke kanan lalu memandang ke belakang. Ternyata Lutfi Ikram menyandarkan tangannya di situ. Selamat aku tidak bersandar di kerusi. Aku yang tidak selesa diperlakukan begitu segera menoleh ke kiri menghadap Lutfi Ikram untuk membantah. 


Namun tak aku sangka. Lutfi Ikram rupa-rupanya sudah menyendeng ke arah aku, untuk membisikkan sesuatu di telinga aku. Wajah kami yang terlampau hampir membuatkan aku terkaku. Dua saat yang mengelirukan bagi aku kerana aku dapat merasakan dengusan nafas Lutfi Ikram di wajahku. Aku yang tersedar kemudiannya segera menoleh ke kanan dan batuk kecil.


Ternyata Lutfi Ikram juga terkejut dengan apa yang terjadi, kerana penghabisan malam itu aku dapat merasakan dia memilih untuk tidak terlalu dekat atau memandang aku tepat di mata seperti selalunya. Malam itu berakhir dengan perkara yang membuatkan aku malu sendiri. 


Previous: 13.1✓
Next: 13.3✓

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.