Home Buku Kisah Hidup Dari Estet ke United States
Dari Estet ke United States
Pencoret Cerita
23/1/2019 13:11:02
83,147
Kategori: Buku
Genre: Kisah Hidup
Bab 9

Tinggal dengan keluarga Pak Long

Pada tahun 1973 atau 1974, ketika aku berusia 10 atau 11 tahun keluarga Pak Long yang dulunya menetap di Batu Anam Segamat berpindah tinggal bersama dengan kami. Pak Long Ahmad ialah abang sulung emak.Emak cuma dua beradik sahaja. Kami masyarakat Muar memanggil Pak Long dengan panggilan Pok Long seperti mana kami menyebut ‘Muo’untuk ‘Muar’.

Kehadiran Pok Long sekeluarga sebenarnya tidak pun dimaklumkan kepada kami terlebih  dahulu. Satu hari Pok Long tiba-tiba muncul  di rumah dengan membawa satu lori penuh barang-barang rumah  dia dan terus duduk di rumah kami tanpa memaklumkan kepada abah, emak atau sesiapa pun terlebih dahulu. Rupa-rupanya Pok Long membuat keputusan untuk berhenti dari bekerja di estet di Segamat (aku dah lupa nama estet itu) dan ingin menetap di kampung.Kegagalan Pok Long memaklumkan kepada kami sekeluarga mungkin disebabkan komunikasi ketika itu tidak semudah sekarang.

Pok Long Ahmad dan isterinya Mok Long Timah ada dua orang anak. Yang sulung sebaya dengan aku namnya Md Sham tapi dipanggil dengan nama gelaran ‘Buang’. Buang adalah anak angkat Pok Long.Mengikut cerita abah, Pok Long mengambil Buang sebagai anak angkat selepas berbelas tahun berkahwin tetapi gagal mendapat cahaya mata. Sebab itu dia dipanggil dengan nama ‘Buang’. Seorang lagi anak Pok Long namanya Fathilah dipanggil Faridah@ Fidah. Fidah muda 2 tahun dari aku.

Kehadiran Pok Long sekeluarga sedikit sebanyak mengubah kehidupan aku dan tok. Kalau selama ini kami cuma tinggal berdua sahaja, sekarang sudah ada tambahan 4 orang lagi dalam rumah yang tak lah besar mana.

Seperti adat kebiasaan apabila mertua dan menantu tinggal bersama akan ada sedikit sebanyak pergeseran. Aku sendiri ketika itu terlalu kecil untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku di dalam rumah itu selepas kehadiran keluarga Pok Long.Mungkin ketika itu aku masih kanak-kanak dan tidak mengambil endah apa yang berlaku. Apa yang aku tahu sampai masa makan aku makan, sampai masa pergi sekolah aku pergi sekolah,sampai masa tidur aku tidur.

Kehadiran Pok Long sekeluarga juga membawa budaya yang agak baru dalam hidupku. Kalau dulu ketika bedua dengan atok  kehidupan kami terlalu mudah. Makan sehari tiga kali, sarapan, makan tengah hari dan makan malam.Kalau makan malam ada ketikanya Tok malas nak memasak aku disuruh tok untuk membeli lauk di kedai runcit berhampiran dengan rumah kami. Pemilik kedai runcit seorang mamak yang kami panggil Maidin. Maidin membuka kedai runcit di kampung,bukannya membuka restoran. Tapi dengan aku dia sanggup jual sebahagian dari lauk yang dimasaknya untuk aku dan tok. Rasanya tak ramai orang kampung yang tahu tentang ‘rahsia’ aku berkongsi lauk Maidin untuk makan.

Bila tinggal bersama Pok Long aku menjadi lebih berdisiplin kerana kehidupan kami diatur. Setiap petang akan ada minum petang. Setiap malam ada masa untuk belajar. Kalau dulu semasa berdua dengan atok dia cuma menekankan pengajaran AlQuran semata-mata.

Kalau semasa dengan atok memadai untuk aku makan nasi dengan satu jenis lauk sahaja tetapi Pok Long sekeluarga lebih mengamalkan diet seimbang. Kalau ada ikan mesti ada sayur. Kami memang tak pernah jumpa ayam atau daging kecuali setahun sekali pada hari raya sahaja. Aku tidak memilih makanan. Apa yang ada aku makan berbanding dengan Buang dan Fidah yang agak memilih makanan. Kalau lauk tak sedap mereka tak berapa nak makan.

Aku mula belajar menunggang basikal pada usia 10 atau 11 tahun, satu usia yang agak lewat berbanding dengan rakan-rakan lain yang boleh menunggang basikal pada usia yang jauh lebih muda.Aku dan Buang sama-sama belajar menunggang basikal dan sama-sama pandai menunggang basikal pada usia yang hampir sama.

Seperti yang aku coretkan di atas, bila menantu dan mertua duduk serumah sedikit sebanyak akan berlaku pergeseran. Kemuncak pergeseran bila atok membuat keputusan untuk keluar dari rumah dan tinggal bersama dengan adik beradiknya di Kampung Pergam, yang terletak kira-kira 4 atau 5 kilometer dari kampung Batu 6 di mana terletaknya rumah kami.

Punca berlakunya perselisihan faham antara atok dan Pok Long aku tak berapa jelas. Cuma apa yang aku ingat ketika itu penduduk Pergam mengusahakan tanaman padi. Oleh kerana ketika itu atok memang ada tanah pusaka di Kampung Pergam dia dan adik perempuannya yang menetap di Kampung Pergam membuat keputusan untuk mengusahakan tanaman padi. Pok Long dan Mok Long pun terlibat sama dengan projek menanam padi di Pergam.

Pada zaman itu menanam padi memerlukan kerja keras. Benih padi perlu di semai, di alihkan ke sawah bila anak padi sudah membesar,di tuai apabila padi telah masak dan proses-proses seterusnya.Aku ditugaskan oleh Pok Long untuk menghantar bekalan makanan tengahari kepada Pok Long dan Atok yang berada di sawah sebaik sahaja balik dari sekolah. Ketika itu aku sudah mendaftar masuk ke Sekolah Agama sebelah petang yang kelasnya bermula pada pukul 2 petang dan berakhir pada pukul 3.30petang. Buang, anak Pok Long masih belum bersekolah Agama lagi pada ketika itu.Seperti yang aku pernah cerita dalam bab terdahulu, proses mendaftar masuk ke sekolah Agama tidak mengikut usia.

Sebaik sahaja aku sudah pandai menunggang basikal emak membelikan aku sebuah basikal. Dengan basikal itulah aku ke sekolah setiap pagi. Sebaik sahaja balik dari sekolah pada sebelah pagi aku bergegas balik ke rumah dan makan nasi. Selepas makan nasi aku mengayuh basikal ke Pergam menghantar bekalan makanan untuk atok dan Pok Long yang berkerja di sawah. Balik dari menghantar nasi aku bergegas ke sekolah Agamap ula. Kadang-kala aku ketika sampai semula di sekolah, kelas telah pun bermula. Begitulah rutin seharian hidupku pada ketika itu.

Selain dari tugas menghantar makanan ke sawah , aku juga ada tugas lain seperti mengangkat baju di ampaian dan tugas-tugas sampingan yang lain yang bersesuaian dengan usia aku.

 

Pada permulaannya seingat aku atok dan Pok Long masih berulang-alik ke sawah setiap pagi dan pulang semula ke rumah pada sebelah petang dengan membonceng basikal Pok Long. Selang beberapa lama kemudian atok terus menetap di rumah adiknya di Pergam meninggalkan aku dalam jagaan Pok Long sepenuhnya.

Seperti adat kebiasaan tinggal di kampung banyak mata yang memandang. Seminggu sekali apabila abah dan emak balik ke rumah melihat keadaan aku, ramailah makcik-makcik jiran tetangga  yang mengadu kepada emak tentang layanan keluarga Pok Long kepada aku. Oleh kerana aku dan Buang seusia mudahlah mak  cik-mak cik menghasut kepada emak berhubung layanan Pok Long kepada aku yang dikatakan buruk walaupun bagi aku semua itu biasa saja.Mereka menghasut yang Pok Long kononnya memberi layanan istimewa kepada anaknya Buang tetapi melayan aku dengan agak berbeza. Kalau difikirkan tentang layanan yang berbeza apa yang nak dihairankan. Takkan sama layanan terhadap anak sendiri dengan layanan terhadap anak orang lain walapun anak orang lain itu adalah anak saudara sendiri.

Bagi aku layanan Pok Long dan MokLong terhadap aku tidak ada bezanya dengan cara mereka melayan anak-anak mereka. Cuma persepsi orang dewasa yang memandang mungkin berbeza berbanding dengan persepsi kanak-kanak.

Mungkin aku ditugaskan kerja yang lebih sediikit berbanding dengan apa yang ditugaskan kepada Buang. Ada mak cik yang memberitahu emak yang dia kesian tengok aku terkejar-kejar balik sekolah terpaksa menghantar makanan ke sawah di Pergam. Balik dari sawah ke sekolah agama pula sedangkan Buang yang ketika itu belum bersekolah agama sewajarnya ditugaskan menghantar makanan  ke sawah.

Banyak lagi aduan-aduan yang disampaikan oleh orang kampung kepada emak setiap kali emak balik ke kampung menjengah aku. Keadaan menjadi lebih buruk apabila atok dan tidak tinggal bersama lagi. 

Akhirnya emak membuat keputusan membawa aku tinggal semula dengannya dan adik beradik yang lain di Geli-Geli Estet. Emak mungkin membuat keputusan selepas mendengar ‘laporan’  tidak bertulis dari penyiasat persendirian yang tak diupah.

Kehidupan aku sebagai budak estetuntuk kali kedua pun bermula.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.