Home Buku Kisah Hidup Dari Estet ke United States
Dari Estet ke United States
Pencoret Cerita
23/1/2019 13:11:02
83,147
Kategori: Buku
Genre: Kisah Hidup
Bab 3

Kerenah guru-guruku

Sepanjang 6 tahun belajar diSekolah Kebangsaan Sungai Raya Muar aku diajar oleh ramai guru-guru. Aku tidak ingat nama semua guru-guru yang mengajarku tapi ada beberapa nama yang melekat di mindaku atas sebab-sebab tertentu.

Guru darjah 1 seorang guru muda yang cantik dan lemah lembut orangnya. Nama dia kalau tak silap aku cikgu Haliza.Cikgu Haliza semasa mengajar kami masih lagi anak dara dan mungkin baru saja keluar dari Maktab Perguruan. Cikgu Haliza mengajar Bahasa Inggeris dan mengajar kami belajar menyanyi ‘nursery rhymes’. Sampai sekarang aku masih ingat lagi lirik lagu ‘My Bonnie’ yang diajar oleh Cikgu Haliza kepada kami semasa darjah 1 tahun 1970 walaupun telah berlalu hampir 50 tahun yang lepas. Liriknya berbunyi,

‘My Bonnie lives over the ocean’

My Bonnie lives over the sea

My Bonnie lives over the ocean

Oh bring back my Bonnie to me, to me

Kebanyakan kami yang belajar lagu itu dapat menghafal lirik lagu itu kerana Cikgu Haliza mengajar kami dengan lemah lembut dan gayanya yang tersendiri. Rasanya tidak ada seorang pun antara kami di dalam kelas 1 Ros ketika itu faham maksud lirik lagu My Bonnie walaupun kami berjaya menghafal lirik lagu itu.

Satu lagi lagu Bahasa Inggeris yang diajar oleh cikgu Haliza ialah mengira di dalam Bahasa Inggeris

One two buckle my shoe

Three four shut the door

Five six pick up the stick

Nine ten a big fat hen

Kami sangat-sangat seronok belajar dengan Cikgu Haliza.

Ada dua kelas darjah 1 sehingga darjah 6 ketika kami bersekolah dulu. Kelas Ros dan kelas Melur. Kelas Ros untuk pelajar-pelajar yang agak cerdas sementara kelas Melur untuk yang tidak berapa cenderung dalam bidang akademik.Aku  sentiasa berada di kelas Ros dari darjah 1 hingga ke darjah 6.

Seorang lagi cikgu yang masih kekal dalam ingatan aku  ialah cikgu Kamariah yang mengajar subjek matematik yang ketika itu dikenali dengan matapelajaran Ilmu Hisab. Cikgu Kamariah amat ditakuti oleh pelajar-pelajar kerana garang. Setiap pelajar yang gagal menjawab soalan cikgu Kamariah akan mendapat ‘misai’ yang dilukis oleh Cikgu Kamariah dengan pen dakwat merah.Bayangkan budak-budak berumur 7 atau 8 tahun bermisai merah hasil lukisan cikgu Kamariah. Aku tak berpeluang mendapat misai dari cikgu Kamariah.Alhamdulillah.

Disebalik sikapnya yang garang Cikgu Kamariah baik hati. Dia pernah mengeluarkan modal sendiri membeli ubat kutu untuk salah seorang pelajar yang ada banyak kutu. Bukan setakat membeli ubat kutu malahan dia sendiri yang menyapu ubat kutu ke atas rambut pelajar berkenaan, sesuatu yang aku rasa amat jarang dilakukan oleh guru-guru zaman sekarang. Jasa cikgu Kamariah amat kami kenangi.

Guru-guru perempuan yang lainny aaku kurang ingat nama. Ada seorang ustazah kami yang dipanggil Cikgu Zaiton yang mengajar pengetahuan Ugama Islam. Orangnya tinggi lampai dan tak memakai tudung. Bayangkan ustazah tidak memakai tudung kepala. Kalau zaman sekarang dah jadi viral di facebook ustazah tak menutup aurat tapi tahun 1970 memang tidak ada wanita yang menutup kepala.Cikgu Zaiton ketika itu sudah agak berusia tapi masih belum mendirikan rumahtangga. Aku hairan dengan orang  Muar yang memanggil semua ustaz dan ustazah dengan panggilan ‘cikgu’ bukannya ustaz atau ustazah seperti yang diamalkansekarang.

Guru-guru lelaki pula lebih ramai yang aku ingat. Dengan pelbagai ragam dan kerenah guru-guru pada ketika itu.Salah seorang guru yang aku ingat ialah Cikgu Long yang sentiasa menghisap rokok daun dan selalu meminta rokok daun dari tukang kebun sekolah. Guru-guru pada ketika itu bebas merokok di dalam sekolah, malahan di dalam bilik darjah ketika mengajar. Tidak timbul pada ketika itu soal tentang larangan merokok atau merokok jauh sekurang-kurangya 3 meter dari restoran seperti sekarang.

Pernah sekali itu Cikgu Mahzan,salah seorang guru kami yang mengajar subjek Bahasa Inggeris sedang menunggu-nunggu loceng menandakan   tamat waktu persekolahan, kalau tak silap pukul 1 tengah hari. Dia menyalakan rokok dan meminta kami menerangkan kepada dia  apa yang dia sedang buat di dalam Bahasa Inggeris. Sesiapa yang boleh menjawab akan dapat balik awal. Aku  mengangkat tangan dan menjawab  ‘You are smoking’.Pada hari itu aku  dapat balik awal beberapa minit dari rakan-rakan sedarjah. Pada ketika itu tidak ada yang paling menggembirakan hati aku selain dapat keluar awal dari bilik darjah dengan rasa bangga.

Ada seorang lagi cikgu yang kekal dalam ingatanku, Cikgu Tawil. Cikgu Tawil rajin membuat perniagaan secara sambilan. Pada ketika itu tak ujudnya internet atau perniagaan atas talian.Semua urus niaga secara fizikal, bukan maya seperti sekarang. Antara produk yang dijual oleh cikgu Tawil ialah kicap. Kami pelajar-pelajarnya menjadi sasaran mempengaruhi ibu bapa kami agar membeli kicap cikgu Tawil. Antara gimik jualan yang digunakan oleh cikgu Tawil ialah menggunakan sentimen jauhi produk yang diragui status halal haramnya. Cikgu Tawil memberitahu kami semua kicap keluaran bukan bumiputera memang lebih sedap berbanding dengan kicap yang dijual oleh dia kerana kicap keluar bukan bumiputera menggunakan tulang khinzir.Kami yang percaya dengan dakwaan cikgu Tawil membawa cerita itu kepada ibu bapa kami dan ramai ibu bapa yang beralih membeli kicap cikgu Tawil, meninggalkan kicap yang biasa di beli di kedai-kedai runcit. 50 tahun yang lepas orang telah menggunakan sentimen keugamaan untuk melariskan produk jualan.

Ada seorang cikgu lagi yang wataknya amat menarik. Nama dia cikgu Mat. Cikgu Mat datang ke sekolah menunggang motorsikal Vespa. Satu perangai unik cikgu Mat yang aku ingat sampai sekarang ialah meletakkan akhbar yang dibuka ke dadanya semasa dia menunggang motorsikalnya.Dulu aku tak pernah faham kenapa cikgu Mat membuka suratkhabar harian yang dibelinya dalam perjalanan ke sekolah dan meletakkan didadanya. Sekarang setelah dewasa baru aku boleh agak motif sebenar dia berbuat demikian. Mungkin cikgu Mat menggunakan akhbar yang bersaiz besar atau broadsheet untuk melindungi tubuhnya dari kedinginan pagi semasa menunggang vespanya. Kalau cikgu Mat sanggup berbelanja lebih sedikit dan membeli jaket rasanya tak perlulah dia menggunakan akhbar sebagai pelindung tubuh dari kedinginan pagi.

Aku biasanya berjalan kaki ke sekolah dari rumah nenek bersama-sama dengan kawan-kawan sekampung. Aku pernah berpeluang menumpang Vespa cikgu Mat pada satu pagi. Kebetulannya aku terlewat bangun dan ditinggalkan oleh kawan-kawan untuk ke sekolah. Tinggal aku sorang-sorang berjalan kaki. Tiba-tiba cikgu Mat memberhentikan motorsikalnya dan menumpangkan aku. Dia pesan suruh peluk dia rapat-rapat. Setibanya disekolah aku dipandang dengan rasa cemburu oleh pelajar-pelajar lain kerana ke sekolah naik motor cikgu Mat. Dua tiga hari kemudian pun kawan-kawan masih memerli aku dengan panggilan anak cikgu Mat.

Cikgu Khalid seorang lagi cikgu yang amat digeruni oleh pelajar kerana sifat garang dan panas barannya. Boleh dikatakan hampir semua pelajar takut kepada cikgu Khalid. Aku ingat lagi semasa aku di darjah 6 aku menjadi Ketua Darjah. Salah satu tugas aku ialah mengalas kerusi yang akan digunakan oleh cikgu Khalid dengan kertas putih yang biasa digunakan oleh pelajar untuk matapelajaran lukisan. Cikgu Khalid satu-satunya cikgu Sekolah Kebangsaan Sungai Raya yang mesti kerusinya dialas setiap kali dia nak duduk. Nak kata dia ada bisul atau penyakit dipunggung tak pula nampak.Ada sekali tu aku terlupa untuk meletak alas di kerusi. Aku teruk dimarahi oleh cikgu Khalid.

Ada juga insiden pelajar berbuat bising di dalam bilik darjah ketika cikgu Khalid tidak ada . Sebagai hukuman satu kelas kena berdiri di atas kerusi tetapi aku terpaksa berdiri di atas meja, lebih tinggi sedikit dari rakan-rakan sekelas yang lain kerana sebagai Ketua Darjah aku gagal mengawal kelas. Itu alasan yang digunakan oleh cikgu Khalid.

Cikgu Khalid pernah mendapat tawaran belajar ke luar negara dalam jurusan undang-undang tetapi memilih untuk terus bertugas sebagai guru. Kami pada ketika itu merasakan cikgu Khalid melepaskan peluang yang besar untuk memajukan kerjaya beliau. Keputusan cikgu Khalid untuk menolak tawaran biasiswa itu juga menyebabkan kami kehilangan peluang untuk bebas dari ‘kezaliman’ cikgu Khalid.

Walaupun cikgu Khalid amat digeruni dan ditakuti oleh semua pelajar tetapi cikgu Khalid meyumbang sesuatu yang amat besar dalam perjalanan hidupku. Tanpa sumbangan cikgu Khalid mungkin aku tidak berada di tempat aku berada sekarang.Nanti aku akan ceritakan apakah sumbangan cikgu Khalid kepada aku  di bab yang akan datang

Cikgu Khamis seorang ustaz yang sentiasa kemas berpakaian dengan songkok sentiasa di kepala. Dia ke sekolah menunggang basikal. Seorang yang amat disenangi oleh pelajar-pelajar kerana sikapnya yang tidak banyak cakap dan baik hati.

Cikgu Rashid seorang cikgu yang amat istimewa dalam hidupku. Beliau seorang yang mempunyai perawakan yang kelihatan tegas tapi dia amat baik hati terutamanya dengan aku. Oleh kerana cikgu Rashid ini amat istimewa aku khususkan cerita tentang cikgu Rashid dalam bab seterusnya.

 

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.