“BUAT apa kamu datang ke sini?” Aldi terkejut dengan
kehadiran Nurlisa yang tiba-tiba muncul di hadapannya pada pagi itu. Dia sedang
bermenung di balkoni. Lamunannya terhenti tiba-tiba. Yang dilamunkannya pun
hanyalah gadis itu.Gadis yang tabah dan sabar.
Miliki keistimewaan yang tersendiri.
Hatinya mulai rindu jika tidak dapat merenung wajah gadis itu
dalam sehari.Bukan
sahaja sehari. Bahkan sejam pun dia berasa sudah terlalu lama. Bibirnya
mengukir senyuman apabila terkenangkan detik-detik gadis itu mencuci tangannya
sewaktu dia mengalami kecederaan semalam. Saat itu amat indah dirasakannya.
Namun senyuman itu segera hilang apabila menyedari Nurlisa berada di
sampingnya. Wajahnya kembali serius.
“Bibik suruh tanya encik, tengah hari ini encik
nak makan apa?” Nurlisa bertanya dengan
lembut. Matanya menatap wajah Aldi.
Aldi diam. Nurlisa menunggu dengan sabar.
Aldi menggerak-gerakkan kerusi rodanya di sekitar balkoni. “Terubuk bakar!” Suara Aldi agak perlahan.
“Yang lain encik?” Nurlisa bertanya lagi.
Bimbang jika disaji makanan yang tidak bertepatan dengan seleranya, makanan
yang disajikan akan menjadi santapan permaidani.
Aldi hanya diam.
“Saya beritahu bibik, ya.” Nurlisa melemparkan senyumannya kepada
lelaki itu walaupun tidak pernah mendapat balasan sebelum beredar dari situ.
Beberapa minit kemudian, gadis itu muncul
lagi.
“Err... encik! Bibik suruh saya...” Nurlisa tergagap-gagap apabila Aldi merenung
tajam kepadanya. “Bibik suruh saya cuci luka di tangan encik!” Sambungnya. Dia bimbang,
Aldi akan melenting dengan permintaannya itu.
Aldi diam, namun perlahan-lahan dia menggerakkan kerusi rodanya
menuju ke bilik dan terus ke singki. Di situ Nurlisa telah menyiapkan
peralatannya.
“Alhamdulillah. Luka-luka di tapak tangan encik ni, tidak
bernanah,” ujar Nurlisa sambil matanya menumpu kepada tapak tangan Aldi yang
luka. Masih ada calar-calarnya.
Aldi memasamkan mukanya. Tidak memberi respons kepada kata-kata
gadis itu. “Nanti kamu suapkan aku makan tengah hari!” Dia memberi arahan
sebaik sahaja Nurlisa menyelesaikan tugasnya dan beredar daripada bilik
itu.
Nurlisa tidak menjawab. Dia akur dengan kehendak Aldi kerana
memahami situasi lelaki itu pada waktu itu.
Kedua-dua tanganya luka. Jari jemarinya pun luka. Hampir kesemua jarinya
dibalut dengan plaster.
TERUBUK bakar sudah tersaji di atas meja. Air asam yang
disediakan oleh Bibik Sunarti begitu menyelerakan sekali. Sayur campur goreng mungkin akan membuka
selera Aldi kerana warna-warna sayurannya.
Kuahnya likat. Udang serta sotong menjadi rencahnya. Pencuci mulut,
puding sago berkuah.
Nurlisa menanti dengan sabar arahan lelaki
itu. Pinggan nasi sudah berada
ditangannya. Sekiranya Aldi enggan duduk di meja makan, tugasnya menjadi
rumit. Bagaimana hendak menyuap nasi
berlaukkan terubuk bakar yang banyak tulang itu, yang pastinya perlu dicicah
dengan air asam terlebih dahulu? Kalau dicurahkan dengan air asam
awal-awal, ikannya akan menjadi kembang
pula dan tidak menyelerakan lagi.
Dengan lafaz bismillah, dia memulakan tugasnya
menyuap Aldi. Nurlisa melakukan segalanya dengan sabar tanpa bersuara. Tugasnya
dilakukan tanpa rungutan. Dia bersyukur kerana Aldi nampaknya berselera untuk
makan. Mudah-mudahan dia segera sembuh.
Diberi pertunjuk dan hidayah oleh Allah dan kembali seperti dulu. Begitulah
doanya di dalam hati dan setiap kali selepas bersolat. Sama ada solat wajib
atau solat sunat. Dia mendoakan untuk semua orang.
Aldi memerhatikan gelagat Nurlisa memisahkan
tulang ikan terubuk daripada isinya tanpa berkelip dan bibir yang terkunci.
Gadis itu melakukan segalanya dengan sabar dan tekun. Sebelum gumpalan isi ikan
terubuk itu dicicahkannya dalam air asam, Nurlisa memperhatikannya sekali lagi
kalau-kalau ada tulang yang masih terlekat. Barulah disuapkannya ke dalam mulut
Aldi yang mengangakan mulutnya macam anak burung.
“Minta maaflah encik, kalau masih ada tulang
yang saya tidak nampak,” ucap gadis itu sambil tersenyum apabila memandang
Aldi.
Aldi tetap berwajah selamba sambil mengunyah perlahan gumpalan
nasi bercampur lauk yang telah menghuni mulutnya. Tiba-tiba kunyahannya terhenti. Ada
tulang yang mencucuk lelangitnya. Dia tersedak.
“Tulang ke encik? Maaf, saya tak nampak.”
Suara Nurlisa agak terketar. Dia bimbang
Aldi akan mengamuk lalu menolak serta menepis pinggan mangkuk yang di sisi
lengannya. Namun lelaki itu tidak menunjukkan wajah marah.
“Tapak tangan kamu!” Aldi bersuara kasar sambil menolak tulang
dari dalam mulutnya ke hujung lidahnya lalu dikapit dengan gigi kacipnya. Tanpa
membantah Nurlisa menadah tapak tangannya di tepi bibir lelaki itu. Lantas,
tulang-tulang halus yang terkumpul dua tiga diluahkannya di atas tapak tangan
gadis itu.
Nurlisa membuang tulang-tulang itu ke dalam bekas yang
disediakannya dari tadi lalu membasuh tangan.Tugasnya untuk menyuap lelaki itu makan
diteruskan semula dengan sabar dan senyuman. “Tambah nasi lagi encik?” Barulah
dia bersuara sebaik sahaja sampai ke suapan yang terakhir.
Aldi mengeleng kepala.
Nurlisa menghampirkan pula gelas minuman ke
bibir Aldi. Bagaikan anak kecil yang disuapkan oleh ibunya, Aldi mencicip air
minuman itu perlahan-lahan. Dia memandang ke arah lain, apabila gadis itu
merenungnya.
“Encik nak makan puding?” soal Nurlisa sambil
matanya merenung ke wajah lelaki itu. Mata mereka bertentangan lagi. Kali ini
Aldi membalas renungannya seketika sebelum membuang pandangan ke arah lain.
“Sikit saja!” Aldi menjawab agak perlahan.
Nadanya masih seperti selalu. Keras dan tegang. Tiada kemesraan. Segalanya seolah asing. Lelaki itu hanya
membatukan dirinya apabila Nurlisa mengesatkan sekitar bibirnya yang basah
dengan tisu. Tanpa mengucapkan terima kasih, dia meninggalkan Nurlisa seorang
diri di meja makan itu.
Nurlisa memahami yang Aldi tidak mahu makan
lagi. Dia menyusun pinggan mangkuk ke atas troli dan
ingin beredar dari bilik itu. Sebentar lagi, Bibik Sunarti akan membawa turun
semua pinggan mangkuk itu ke dapur.
“Jangan pergi!” Aldi tiba-tiba bersuara. Tanpa gadis itu di
sisinya dia berasa kesuraman di hatinya bertambah menebal. Kesuraman jiwanya kian lama seolah disuluhi
cahaya apabila gadis itu berada di sampingnya. Hatinya berasa tenang dan damai
untuk beberapa ketika. Apabila ditinggalkan keseorangan, dia berasa seolah
ditusuk buluh runcing yang amat tajam.Tusukan itu membawa rasa sakit ke seluruh urat sarafnya.
Perasaan itu sudah dirasakannya lama. Sejak kali pertama melihat gadis
itu. Perasaan itu bertambah dari saat ke
saat. Hari demi hari.
“Encik, saya belum sembahyang zuhur.” Nurlisa
memberitahu dengan lembut dan perlahan. Dia sudah mendengar suara azan dari
masjid yang berhampiran dengan vila itu sewaktu sedang menyuap Aldi makan. Dari
kecil lagi dia cuba mengelakkan diri daripada melengah-lengahkan waktu
solatnya.
“Zuhur?” Aldi bertanya kembali. Suaranya agak keras.
Nurlisa mengangguk-anggukkan kepalanya sambil
tersenyum lagi. “Nanti encik sembahyanglah. Dah masuk waktu, encik.
Assalamualaikum...” Tanpa mempedulikan halangan daripada lelaki itu, Nurlisa
tetap beredar juga dari situ. Kewajipan kepada Allah harus diutamakan.
Aldi membisu kembali. Tanpa rela, dia
membiarkan Nurlisa melangkah pergi meninggalkannya seorang diri di kamar itu.Perasaannya seolah kosong. Segalanya menjadi hambar semula.
DUA minggu Nurlisa menyuapkan makanan untuk lelaki
itu. Tidak sekali pun dia mengucapkan
terima kasih kepada gadis itu. Kini tangannya sudah sembuh. Tidak perlu
berplaster lagi. Luka di tangan sudah tidak ada parutnya pun. Keadaan tapak
tangannya kembali seperti sebelumnya. Aldi melihat telapak tangannya, kemudian
merenung ke dua kakinya pula. Mengapa
kakinya tidak mahu sembuh? Bukankah telapak tangannya juga mengalami kecederaan
tetapi boleh sembuh. Mengapakah kakinya tidak sembuh-sembuh?
“Buat apa kamu datang? Aku belum panggil
lagi! Kalau aku tidak panggil jangan
datang. Pergi!!!” Suaranya amat perlahan tetapi singgah juga ke telinga Nurlisa
yang menghampirinya dengan terhincut-hincut.
“Tapi, tadi encik panggil saya!” Nurlisa
bersuara selamba dan bersahaja. Dia
merenungi wajah Aldi sambil melontarkan senyuman. Memang lelaki itu yang
memekik memanggilnya melalui interkom. Matanya masih memandang wajah lelaki
yang tidak pernah dilihatnya mengukir senyuman sejak dia berada di rumah itu.
Aldi masih berwajah keruh dan masam.
Hanya jambangnya kelihatan kemas sedikit.
“Nak saya bacakan surat khabar?” Nurlisa mengingatkan Aldi. Setiap hari selepas sarapan lelaki itu akan
meminta dia membacakan surat khabar. Matanya terus merenung Aldi yang membaluti
tubuhnya dengan baju T kuning berbelang hitam dan berseluar sukan warna hitam.
“Baca surat khabar?” Aldi menyoal Nurlisa
kembali dengan tegas dan matanya merenung ke arah lain. Dia seolah terlupa pada
rutin itu.
“Ya, encik.” Nurlisa menjawab perlahan.Dia menunggu arahan daripada Aldi dengan
sabar. Aldi kembali membisu tanpa kata. Diam tanda bersetuju. Beberapa bulan
bersama lelaki itu, Nurlisa seolah dapat membaca kehendak hati Aldi.
Aldi menggerakkan kerusi rodanya dengan tangannya. Dia bergerak menuju ke balkoni yang berada di
hujung kamarnya. Dari sana dia dapat melihat suasana di
persekitaran hadapan vila itu keseluruhannya. Nurlisa terhincut-hincut
mengekorinya sambil membawa akhbar harian.
“Budak! Baca tajuk berita di semua muka
surat!Semuanya sekali!”
Aldi mengarahkan Nurlisa yang berdiri bersandar ke tiang berbentuk seni bina
Rom itu.
Pemuda kecewa putus cinta,
membunuh diri. Mat rempit semakin mengganas. Tuntutan
kenaikan gaji oleh Cuepacs.
Begitulah, Nurlisa membaca dengan jelas dan
terang sambil berdiri. Aldi seolah ingin menderanya. Bukan sahaja tidak
menyuruh gadis itu duduk di kerusi yang berada di hadapannya bahkan menyuruh
Nurlisa membaca tajuk yang sama berulang-ulang kali dengan kuat dan jelas.
“Baca balik muka surat lima!” Aldi
mengarahkan lagi. Dia melihat Nurlisa
dengan ekor matanya. Di wajah gadis itu mempamerkan ketulusan hatinya.
“Ulang balik muka surat sepuluh! Baca dengan
kuat!” Begitulah kata lelaki itu
berulang kali. Matanya masih merenung ke wajah Nurlisa yang sedang menunduk.
Tidak ada riak marah yang terlukis di wajah gadis itu. Dia tetap tenang dan
bersahaja. Bacaannya tetap jelas.
“Baca balik kisah pemuda yang bunuh diri
tadi! Baca! Baca!” Tiba-tiba Aldi menengking dan mengulang-ulang permintaannya
macam orang hilang akal.Dia menggerak-gerakkan kerusi
roda ke depan dan kebelakang.
Apa yang diminta, Nurlisa tetap membaca
dengan sabar dan tenang. Surat khabar
yang dipegang diselak ke depan dan ke belakang berkali-kali, berulang-ulang.
“Eh budak! Buat apa kamu baca?
Berulang-ulang?” Mata Aldi merenung ke mata Nurlisa.
Nurlisa menundukkan wajahnya apabila tajamnya
renungan mata lelaki itu seolah menusuk ke hatinya.
“Encik yang suruh!” Nurlisa menjawab selamba
sambil menggigit bibirnya.
“Berapa lama kamu berdiri di situ?Tak rasa sakit kaki ke? Tak ada rasa lenguh
ke?Tak ada rasa
marah ke?” Aldi menyoal lagi dengan serius dan nada suara yang tegang.
“Tidak, encik. Saya pernah berdiri lebih lama dari ini. Saya yang pilih. Saya hadapi semuanya dengan
sabar, tidak perlu merungut, encik.” Nurlisa menjawab dengan nada
perlahan. Ekor matanya mengerling lelaki
itu yang dilihatnya berpura-pura merenung ke arah lain. Sememangnya dia sudah
biasa dengan kesusahan, keperitan hidup. Dia redha menempuhi segalanya kerana
faham kehidupan di dunia ini hanyalah jambatan menuju ke kehidupan yang lebih
kekal. Tidak diciptakan manusia selain
untuk diuji oleh Tuhan yang memiliki langit dan bumi. Dia harus bersabar untuk
menempuhi segalanya. Dengan ikhlas dan berlapang dada.
“Kamu jawab apa yang aku soal saja!” Aldi menghampirkan kerusi
rodanya kepada Nurlisa yang sedang berdiri berhampiran tiang. Jawapan daripada
gadis itu tadi, membuatkan hatinya terfikir sejenak.
“Luka di tangan aku boleh sembuh dalam masa dua minggu. Mengapa
kaki aku tak boleh sembuh? Aku nak berjalan balik!Aku nak berlari! Aku nak bawa kereta!” Suara
Aldi bertambah nyaring sambil menampar-nampar pehanya. Dia kelihatan tidak karuan kembali.
“Kau rawat luka ditangan aku sehingga jadi
baik! Mengapa kau biarkan kaki aku begini? Jawab!” Aldi menengking Nurlisa.Suaranya keras.
Nurlisa beristighfar di dalam hati.
“Encik, beristighfar banyak-banyak encik! Bukan saya yang
sembuhkan tangan encik.Sihat dan
sakit, kepunyaan Allah. Dia yang berkuasa menyembuhkan, bukan kita. Kita hamba Allah. Kita tidak ada apa-apa
kuasa pun encik. Kalau Allah nak beri
kesihatan yang baik, dia akan beri kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Kalau
Allah hendak memberi penyakit, dia akan memberi kepada sesiapa yang
dikehendaki-Nya. Sebagai hamba-Nya yang kerdil, kita kena terima segala yang
Allah telah tentukan kepada kita encik.”
Pertama kali, Nurlisa berbicara panjang lebar dengan lelaki itu. Tanpa rasa takut, dia meluahkan apa yang ada
di dalam fikirannya. Itulah kebenarannya. Segala-galanya Allah yang
menentukan.
“Ini semua ujian untuk kita. Walau apa pun
kita harus bersyukur dan sujud kepada-Nya kerana Dia yang maha besar, maha
agung.” Sambung Nurlisa lagi.
Bagaimanapun, nada suaranya tetap tidak berubah. Tenang dan lembut. Tengkingan dan sergahan daripada lelaki itu langsung tidak menggoyahkan
sikapnya. Dia yang selalu bersikap lembut dan tenang.
“Syukur? Sujud? Hey budak! Kamu menyindir
aku, ya!” Sambil bersuara garang, jari telunjuk Aldi dihalakan ke wajah
Nurlisa.
Nurlisa terkejut dan berasa sedih dengan
sangkaan itu. “Ti... tidak encik! Saya tidak berniat menyindir encik.” Suara Nurlisa sayu.
“Saya jawab soalan encik, kerana Allah.”
Ada air jernih berkumpul di penjuru
matanya. Bagaikan terhiris, pedih hatinya kerana tuduhan itu, sedangkan dia
tidak sedikitpun berniat untuk mengguriskan hati lelaki itu.
“Tempang! Sudah! Pergi dari sini! Aku mahu
bersendirian!” Aldi menggerakkan kerusi
rodanya dan beralih ke tepi pagar balkoni yang menghala ke arah barat rumahnya.
Pandangan matanya dilontarkan ke arah halaman rumah.
Nurlisa benar-benar terkejut dengan panggilan
yang diterimanya daripada Aldi. Dia tidak pernah berkecil hati apabila Aldi
memanggilnya dengan panggilan ‘budak’ walaupun sudah berbulan dia bekerja
dirumah itu. Namun panggilan atau gelaran tempang begitu mencarik
perasaannya. Hatinya bagai direntap dan
dicarik-carik sehingga menjadi berkeping-keping.
Sudahlah begitu, dirinya diusir pula seolah
kucing kurap yang tidak diperlukan. Walaupun sudah berkali dia dihalau begitu,
namun pada hari itu, usiran yang diterima walaupun dalam nada perlahan amat
menyentuh hatinya. Kata penghinaan yang dilemparkan oleh Aldi sebentar tadi
benar-benar telah meremukkan hatinya.
Nurlisa yang terhincut-hincut ketika
berjalan, segera meninggalkan bilik Aldi. Air matanya menanti masa untuk
mengalir deras di pipinya. Suara esakannya terpaksa ditahan sehingga dadanya
dirasakan seolah akan meletup.
Aldi melontarkan pandangannya ke arah lain.
Tidak ingin melihat susuk gadis itu yang terhincut-hincut berjalan meninggalkan
dirinya. Dia menekup pipi dengan telapak tangannya. Menahan air mata yang tertumpah.
Nafasnya seolah terhalang seketika. Apabila dia berpaling, Nurlisa sudah pun
tiada. Matanya merenung langit yang tiba-tiba kelihatan mendung. Titis-titis
gerimis tidak semena-mena menghadiri bumi, seolah langit pun sudah terluka dan
menitiskan air mata seumpama hati gadis itu.