BIBIK Sunarti tergesa-gesa mengemaskan meja di dalam
bilik anak muda itu. Sesekali bibir tuanya merungut-rungut. Telinganya mendengar bunyi pancuran air dari
dalam bilik air. Tangannya sibuk mengutip pinggan mangkuk kotor di atas meja.
Banyak makanan yang tidak dihabiskan. Setengah daripada lauk-pauk yang
dihidangkan langsung tidak berusik.
“Kenapalah dengan Aldi ini? Setiap hari
membazir sahaja. Dimasak itu enggak mau makan, dimasak ini enggak berkenan!”
Bibik Sunarti mengutip pinggan dan cawan yang bergelimpangan di atas meja
sambil merungut-rungut. Kain alas meja berwarna putih dan bersulam lebat
diwarnai dengan warna hitam kicap.
“Iya, jika enggak mahu makan sudah. Tapi
mengapa semuanya dilintang pukang di atas meja ini. Semalam mahu dibawa turun
ke bawah tidak diberi. Marah-marah.
Aduh...” Bibik Sunarti terus membebel
dengan suara perlahan. Selesai menyusun
pinggan mangkuk yang terisi makanan yang sudah mengeluarkan bau yang kurang
enak ke atas troli, alas meja diganti dengan yang lain. Yang bersih.
Setelah itu Bibik Sunarti menuju ke bilik air apabila tidak mendengar
lagi bunyi pancuran air.
“Aldi! Aldi! Sudah selesai mandi nak?Bibik mau ambil semua pakaian kotor ya.”
Bibik Sunarti mengetuk-ngetuk pintu bilik air.
Beberapa ketika kemudian pintu bilik air
terbuka dan Aldi keluar sambil menggerakkan kerusi rodanya perlahan-lahan. Aldi
berkain pelikat yang hampir basah dan tubuh yang tidak berbaju ditutupnya
dengan tuala juga yang hampir basah. Rambutnya yang basah berjuraian dengan
titisan air menitis di atas karpet.
Bibik Sunarti merungut-rungut lagi. Sebaik
sahaja kerusi roda yang membawa anak muda itu keluar dari bilik air, dia segera
masuk untuk mengutip kain baju yang terlonggok di atas lantai bilik air.
Semuanya sudah basah lencun. “Aldi, lap rambut kering-kering dulu nak!”
Leternya lalu mencapai tuala dan ingin mengelapkan rambut anak muda itu.
“Bibik!!! Mana pakaian saya hah!!!”
Bibik Sunarti tersentak, tidak sempat
tangannya menyentuh kepala dan rambut anak muda itu. Wanita separuh umur itu
terlari dan menerkam ke almari pakaian.
“Aduh... Aduh... Bibik lupa nak!”
Terlatah-latah perempuan itu mengeluarkan beberapa helai baju dan meletakkannya
di atas ribaan Aldi.
Wajah Aldi masam mencuka sebaik sahaja
melihat pakaian yang terlambak di atas pangkuannya, spontan bibirnya bertempik.
“Bibik! Apa ni? Eh! Bibik keluarlah dari bilik ini! Keluar!” Aldi terus bertempik.
Dua tiga helai baju kemeja melayang ke udara. Troli yang terisi dengan pinggan
mangkuk yang berada hampir dengannya pun menjadi mangsa. Habis bertaburan
segalanya di atas lantai setelah ditepis oleh Aldi yang tiba-tiba naik angin.
“Keluarrr!!!” Aldi benar-benar marah dan
geram dengan pembantu rumahnya itu.
Bibik Sunarti terkocoh-kocoh berlari keluar
dari bilik. Diturutkan hati, tidak ingin
dia bekerja di rumah itu kerana terpaksa melayani pemuda gila seperti itu.
Bermacam-macam bisikan datang ke hati Bibik Sunarti.
Hati anak muda itu panas membakar. Kemeja
lengan panjang yang bertaburan di atas lantai dipandangnya dengan perasaan
kecewa, lantas matanya terus merenung kakinya yang tidak berdaya. Kelakuan
Bibik Sunarti tadi seolah menghiris tangkai jantungnya. Sengaja ingin menambah
penyeksaan batinnya yang saban hari semakin sarat. Tanpa disedari, ada air mata
yang menitis dipipinya. Kejam. Dunia ini amat kejam. Tuhan amat kejam.
Orang-orang di sekelilingku terlalu zalim. Hatinya bagai disiat-siat. Udara
yang disedut seolah beracun. Aldi menampar-nampar kepalanya sendiri dengan
perasaan yang amat kesal dan sedih.
SUASANA di ruang makan Vila Kencana Emas sunyi sepi.
Datuk Haris masih mengadap sarapan pagi itu. Sejak dari tadi, belum ada suara
yang memecah keheningan ruang itu. Datuk Haris dan Datin Rabiatul, pasangan
suami isteri yang menetap di vila itu. Mereka hanya memiliki dua orang anak.
Kedua-duanya lelaki. Aldi anak sulung berumur 24 tahun. Adzman anak bongsu baru mencecah 23 tahun.
“Adzman di mana? Pagi-pagi lagi dah
menghilangkan diri? Tak tahu nak duduk di rumah?”Mata Datuk Haris mengerling ke arah
isterinya yang sedang menuang Nescafe ke dalam cawan.
Datin Rabiatul diam. Matanya hanya merenung
Datuk Haris sambil bibirnya melarik senyuman.Datuk
Haris yang memakai baju T berlengan pendek, berwarna maroon dan berseluar warna
beige tua diperhati dengan pandangan kasih sayang seorang isteri. Datuk Haris
seorang lelaki yang bergaya juga. Umurnya sudah melebihi 50 tahun, namun
wajahnya seperti lelaki berumur 40-an sahaja. Bertubuh sederhana, berwajah
sedikit bujur dan berkulit cerah kemerahan. Rambut lurus dan berdahi luas.
Datuk Haris sentiasa berpakaian kemas, walaupun berada di rumah.
“Adzman tak balik dari semalam.” Datin Rabiatul menjawab dengan
tenang. Cawan yang telah dipenuhi Nescafe dihulurkan kepada Datuk Haris.
“Ke mana dia pergi? Saya dah berulang kali
suruh dia datang ke pejabat.Datanglah belajar sikit-sikit bagaimana menguruskan syarikat kita tu! Asyik
nak berjoli saja!” Datuk Haris meleteri Adzman yang tiada di hadapannya. Tangan
kanannya mencapai cawan Nescafe. Nescafe yang masih panas itu dicicipnya
perlahan.
“Anak muda begitulah.Suka berhibur dan berseronok. Nak buat macam mana. Takkan nak kurung dia di
rumah ni macam anak dara!” Datin Rabiatul menjawab sambil menarik kerusi di
hadapan Datuk Haris lalu melabuhkan pinggulnya.
“Dah berapa hari dia tak balik ke rumah?” Datuk Haris menyoal
lagi. Seingatannya sudah beberapa hari dia tidak melihat wajah anak bongsunya
itu. Susah sangat mendapat peluang untuk makan bersama. Berbual-bual bersama.
“Aldi dah sarapan?” Tanpa menanti jawapan
daripada isterinya itu tentang Adzman, Datuk Haris teringat kepada anak
sulungnya pula. Matanya menyorot ke wajah Datin Rabiatul. Datin Rabiatul mengenakan blaus labuh ke
lutut berwarna pinang masak dan berseluar hitam.
Wanita bertubuh sederhana itu tersenyum
apabila melihat Datuk Haris tidak berkelip matanya. “Kenapa bang? Cantik sangat
ke saya sampai mata abang tak berkelip begitu?”
Datin Rabiatul cuba berseloroh. Matanya bertemu pandang dengan mata
Datuk Haris yang masih memerhatikannya.
“Cantik? Paling cantik di dalam rumah ni.”
Datuk Haris ketawa meleret.
Datin Rabiatul turut ketawa kerana memahami
gurauan suaminya itu. Siapalah lagi wanita di dalam rumah itu kecuali dirinya
dan pembantu rumah mereka yang lebih tua daripadanya?
“Anak sulung awak dah makan, Tun?” Datuk
Haris mengulangi pertanyaannya tentang Aldi.
Pandangan matanya tertumpah ke wajah isteri yang dicintai. Datin
Rabiatul memang seorang isteri yang baik. Selalu tenang dan lemah lembut
melayaninya serta anak-anak.
“Dah, bang.
Tadi saya dah
bawakan makanan ke biliknya.” Datin
Rabiatul menerangkan. Selalunya makanan untuk Aldi akan dihantar oleh Sunarti,
orang gaji mereka yang diimpot dari Indonesia. Sunarti sudah empat tahun
bekerja dengan mereka.
“Bibik mana?” Datuk Haris sedikit
kehairanan. Selalunya Bibik Sunarti yang
akan membawakan hidangan untuk anak muda itu pada setiap hari.
“Biasalah, bang. Dia takut dengan Aldi,
bila budak tu naik angin.” Sambil tersenyum, Datin Rabiatul bercerita.
“Tapi makannya tak banyak. Sesudu dua
sahaja. Minum pun begitu juga.” Suara Datin Rabiatul bernada sedih. Tangan
kanannya mencapai roti yang sudah sedia dibakar. Roti itu disalutnya pula
dengan butter dan jem marmalade
sebelum disuapkannya ke mulut.
“Macam mana dengan budak tu?” Datuk Haris menyoal lagi. Mengenangkan Aldi,
hatinya berasa risau dan kecewa.
Bagaimana dengan masa depan anak itu jika masih di kerusi roda? Sampai
bila?
“Macam itu juga bang. Asyik bersedih
sepanjang hari. Risau saya, bang. Dah
hampir lapan bulan peristiwa itu berlaku tetapi dia seolah tidak dapat
melupakannya. Asyik menangis siang dan malam.” Datin Rabiatul mencapai pinggan
dan cawan untuk dirinya. Mee goreng yang berada di dalam mangkuk di tengah meja
itu menjadi santapannya pula.
“Hai, sikit sangat tu Tun. Diet ke?” Datuk
Haris cuba berseloroh apabila dilihatnya Datin Rabiatul mengambil mee goreng
hanya sesudip sahaja.
Datin Rabiatul tersenyum. Dia tidak
menjawab gurauan suaminya itu kerana fikirannya memikirkan tentang anak sulung
mereka. “Begini bang! Saya risau, jika Aldi berterusan begitu.” Tidak sanggup
Datin Rabiatul menghabiskan ayat itu. Biarlah orang lain sahaja yang tergamak
menyebut perkataan itu dan membuat anggapan begitu kepada anak sulungnya itu.
‘Aldi anak Datuk Haris, gila.’
“Dah puas saya menasihati. Doktor jiwa pun
saya dah bawakan ke rumah untuk merawat dia. Lepas seorang-seorang... tapi
langsung tak ada perubahan. Selagi dia tidak boleh menerima kenyataan, selagi
itulah dia tidak boleh sembuh.” Datuk
Haris seolah mengeluh.
“Itulah! Bantah lagi cakap ibu bapa! Suruh
belajar di universiti tempatan, nak pergi oversea. Studi entah ke mana. Menikah tak menyempat.Kahwin baru dua hari, isteri dah mati. Diri
sendiri merana sampai begitu.Kehidupan ini masih panjang lagi. Tak sedar-sedar lagi!” Suara Datuk Haris turun naik. Sesal dan kecewanya berbaur.
“Sudahlah tu, bang! Kemarahan awak ni masih
belum padam lagi rupanya. Budak tu kecewa. Bukannya awak tak faham dengan dia.
Susah hendak berdampingan dengan perempuan.Susah nak jatuh
cinta. Hanya Arishal tu saja yang boleh memikat hatinya. Itulah yang paling dia
sayang.Dia cinta. Tiba-tiba takdirnya jadi begitu. Tentulah dia tak sanggup
hendak terima kenyataan itu. Dia tak inginkan kehilangan, tapi itulah yang
mendatang dalam hidupnya. Kita sebagai
ibu dan bapa sepatutnya memberi sokongan dan membantu dia memulihkan jiwanya.”
Datin Rabiatul bersuara panjang lebar.
“Yalah-yalah! Macam inilah Tun, saya rasa si Aldi ni kita
nikahkan saja. Carikan dia seorang perempuan untuk layani dan membelainya
setiap hari. Lambat laun tentu dia dapat melupakan Arishal.” Datuk Haris
memberi cadangan. Perkahwinan mungkin
boleh menjadi ubat yang paling mujarab bagi anaknya itu.
“Kahwin? Dengan siapa? Perempuan mana yang sanggup melayani
lelaki yang begitu? Silap sikit, pinggan mangkuk melayang ke luar pintu.
Tersentuh sedikit dihatinya, dihalaunya orang dari bilik itu macam kucing
kurap! Mengapalah dia jadi begitu?”
Datin Rabiatul seolah berbisik dengan dirinya sendiri.
Lagipun bukankah semua kawan-kawan rapatnya telah menganggap
anak sulung mereka itu telah tidak siuman kerana kematian isteri? Lalu anak
siapakah yang akan dipinangnya nanti untuk dijadikan isteri buat Aldi?Pinangan itu tentu akan ditolak
mentah-mentah. Ke mana harga dirinya di waktu itu?
“Semua mereka menganggap Aldi tu...” Datin Rabiatul tidak sanggup menghabiskan
ayatnya itu.Dadanya
tiba-tiba terasa sebak. Sebak yang menyesakkan.
“Aldi tidak gila!!!” Datuk Haris seolah
dapat menduga apa yang ingin dikatakan oleh isterinya itu. Lantas bibirnya cepat mengeluarkan patah
perkataan yang menafikan sangkaan hati Datin Rabiatul.
“Pagi tadi dia naik angin dengan Sunarti
lagi. Dihalaunya orang tua itu keluar daripada biliknya macam kucing kurap.
Ditepisnya pinggan mangkuk sehingga semuanya habis jatuh ke lantai dan semua
makanan bertabur di atas karpet. Penat Sunarti tu kena membersihkan bilik dia
setiap hari.” Datin Rabiatul cuba mengadu.
“Mesti ada sebab dia naik angin!” Datuk
Haris seolah membela Aldi.
“Sunarti pun satu hal juga. Cepat melatah
jika mendengar si Aldi tu bertempik. Ada ke pagi ini dia beri si Aldi tu kemeja
lengan panjang dua tiga helai untuk dipakai. Siap mengeluarkan tali leher dari
almari pakaian tu...” Datin Rabiatul tidak dapat menghabiskan bicaranya kerana
hatinya bagai digeletek teringatkan cerita Sunarti pagi tadi.
“Hisy... Patutlah budak tu telan kepala
angin!Dia terasa
disindir dan diperlekehkan. Dia kan dah begitu!” Datuk Haris mengulum senyuman.
Dentuman pintu kereta yang dihempas kuat
menarik perhatian mereka suami isteri yang sedang berbual.
“Tengok tu! Anak awak yang lagi
seorang, si Adzmanlah tu. Entah dari
mana, pergi merayap ke mana agaknya!”
Datin Rabiatul merungut sendiri.
“Lain macam bunyi enjin keretanya!” Datuk Haris pula merungut. Pandangan matanya
beralih ke porch melalui tingkap
kaca.
“Mak! Ayah! Selamat pagi!” Terjengul saja
mukanya di pintu menghala ruang makan, Adzman bersuara riang.
“Hmm... Adzman! Bawa kereta siapa pula tu.
Mana kereta kamu?” Datuk Haris melontarkan pertanyaan.
“Kereta saya masuk workshop! Remuk!Entah, semalam saya terlanggar kambing agaknya, tak perasan!” Adzman
menarik kerusi di sebelah ibunya.
Datuk Haris dan Datin Rabiatul pandang
memandang. Datin Rabiatul terbayangkan
Nurlisa yang terlantar di hospital.
“Ai! Kamu langgar orang ke langgar kambing?
Mana ada orang bela kambing tengah-tengah bandar ni!” Suara Datuk Haris agak
serius. Dahinya berkerut sambil memandang Adzman yang sedang menuang Nescafe ke
dalam cawan. Adzman menunjukkan wajah
yang selamba.
“Kalau langgar orang, tunggu sajalah, bila
masanya polis datang untuk tangkap saya. Orang yang kena langgar mesti buat
laporan polis. Kalau tak ada polis mencari saya, maknanya saya langgar
kambinglah, emak, ayah!” Adzman menjawab sambil tersengih-sengih.
“Kamu biar betul Adzman! Perkara begini
dijadikan gurauan pulak. Kalau orang yang kamu langgar mati, tak ada saksi yang
melihat kejadian tu! Boleh ke polis datang cari kamu? Semalam kamu pergi mana?”
Datuk Haris menyoal lagi. Geram pula rasa hatinya dengan perangai anak
bujangnya yang terlalu asyik bersuka ria dan mengambil mudah kepada semua
perkara.
Adzman diam tidak menjawab. Datuk Haris
bangun lalu meninggalkan kedua beranak itu di meja makan. Dia bercadang untuk
ke padang golf pada hari ini. Sudah Beberapa bulan dia tidak menyentuh kayu
golfnya.
“Kalau kamu yang kena begitu macam mana?”
Datin Rabiatul pula menyampuk.
Adzman masih tidak menjawab. Keresahan
jiwanya dilindungi dengan pura-pura tidak mendengar pertanyaan daripada
emaknya.
“Adzman, lepas makan nanti tolong bawa
abang keluar dari bilik tu!” Datin Rabiatul bersuara dengan agak lembut dan
perlahan. Matanya merenung Adzman yang sedang mengusap-ngusap rambutnya yang
ikal kasar dan dibiarkan panjang sehingga ke bahu. Nada suaranya berbeza
daripada tadi.
“Tolak kerusi roda abang? Heee... malaslah
mak! Pak Dollah ke mana? Biarlah, abang tak payah keluar, duduk saja dalam
bilik tu! Alah mak, kalau dia keluar pun bukannya sembuh jiwa dia tu. Sakit
merana ni susah cari ubatnya mak.”
Adzman menjawab dengan nada sinis.
“Tengok tu! Sampai hati cakap begitu kepada
abang sendiri! Adzman, mak nak tanya ni dalam satu minggu berapa kali Adzman pergi jenguk Abang Aldi di
dalam biliknya dan berbual-bual dengan dia?”Datin Rabiatul bertanya dengan nada sedikit
marah.
“Memanglah tak ada mak! Habis tu macam mana
nak bersembang dengan dia? Abang tu asyik nak peluk dan hidu baju isteri dia
saja. Lepas tu asyik tengok gambar-gambar Kak Arishal yang di gantungnya di
sekeliling bilik tu. Kalau boleh di lantai pun dia nak lekatkan gambar Kak
Arishal tu! Nasib baik dia tidak
terfikir hendak letak gambar isteri dia di dinding. Buat besar-besar. Hmm...
jadi wallpaper! Saya bukan apa mak.
Saya kasihan sangat pada dia. Risau pun ada
kalau-kalau Abang Aldi menjadi buta... macam Kasim Selamat di dalam filem Ibu
Mertuaku tuu!” Kata-kata yang diluahkan oleh Adzman terhenti seketika. Dia
menghirup minumannya.
“Ramai lagi perempuan di dunia ni...
bukannya Arishal seorang sahaja. Abang Aldi tu apa kurangnya. Rupa paras? Dia
lebih handsome dari saya.” Adzman
menyambung kembali hujahnya yang belum selesai.
“Kekayaan? Sudah tentu.Semuanya ada. Harta ayah berlambak-lambak,
takkan ke mana perginya nanti.” Adzman
masih berleter. Menurut fikirannya perlakuan Aldi itu adalah suatu perkara yang
amat tidak wajar. Menyeksa diri kerana seorang wanita. Bunga bukan
sekuntum.
“Sudahlah tu Adzman!Membebel tentang Abang Aldi kau pula!Sama macam ayah kau! Pergilah bantu dia...”
Datin Rabiatul cuba memujuk. Ada anak dua orang pun membawa haluan
masing-masing.
“Alah mak! Macam kata pepatah Inggeris tu, You can lead horse to water but you cannot make it drink. Abang
Aldi ni, tak mahu bantu diri dia untuk melupakan kisah silam, orang-orang
sekelilingnya tak akan dapat berbuat apa-apa.Buat buang masa saja!” Adzman menghabiskan
sisa minumannya.
“Baiklah, mak. Saya nak mandi!” Pemuda itu
terus meninggalkan si emak yang masih ingin berbual dengannya. Adzman terus berjalan dengan agak pantas
menuju ke kamarnya. Sesekali hatinya terdetik dan mengenangi peristiwa semalam.
Selepas mandi dia ingin berehat dan tidur.
Semalaman dia tidak lena tidur kerana
diganggu oleh mimpi yang mengerikannya. Di ruang matanya asyik terbayang
kelibat perempuan yang dilanggarnya pada petang semalam. Perempuan berbaju
kurung biru tua berbunga kuning. Entah perempuan tua atau muda, dia pun tidak
dapat meneka kerana sewaktu itu kereta dipandunya laju.
“Man! Pergi gunting rambut hari ini juga. Mak
tidak suka tengok anak lelaki mak menyimpan rambut panjang begitu!” Suara Datin Rabiatul agak kuat kerana kelibat
Adzman sudah hampir hilang daripada pandangannya.
DARI satu pasu ke satu pasu, Datin Rabiatul membelek
bunga-bunga orkid yang di tanamnya. Di bibirnya menguntumkan senyuman apabila
melihat bunga yang berkembang walaupun tidak banyak. Entah mengapa bunga-bunga
di tamannya susah sangat hendak berbunga. Setiap kali membeli pokok-pokok
bunga, Datin Rabiatul akan memastikan yang pokok yang dibeli sedang berbunga
mekar.
Pada waktu itu, tamannya akan kelihatan indah
dan berseri. Seminggu dua selepas itu, bunga-bunga yang berkembangan akan gugur
ke bumi, tamannya kembali sunyi daripada warna warni. Bunga-bunga tidak pernah
menjadi. Bunga-bunga berkembang seminggu
dua sahaja. Pokok-pokoknya kurus dan nampak tidak segar walaupun di baja.
“Abang, petang nanti saya rasa nak pergi
melawat Nurlisa. Entahlah bang, saya rasa kasihan pula kepada budak itu dan
keluarganya.” Datin Rabiatul meluahkan keinginannya kepada Datuk Haris. Datuk
Haris yang berada tidak jauh darinya sedang membetul-betulkan susunan batu-batu
yang menghiasi taman mereka.
“Kasihan? Mengapa pula?” Datuk Haris
menghampiri Datin Rabiatul sambil mengusung sebuah pasu. Besar pasu yang sedang
diusung oleh lelaki itu sehingga memaksa dia berhenti dua tiga kali untuk
berehat seketika.
“Pokok ni kena diletakkan di tempat redup!
Tengok ni, dah hampir lecur.” Datuk Haris menunjukkan Datin Rabiatul pasu yang
dibawanya, yang tertanam pokok paku pakis berdaun halus. Pasu itu diletakkannya
di atas tanah berhampiran pokok keladi.
Datin Rabiatul membantu Datuk Haris
mengalihkan kedudukan pasu berisi pokok keladi yang daunnya lebar-lebar. Pasu
itu agak besar juga.
“Letak di sinilah bang. Redup! Cahaya
matahari pun tak banyak di sini sebab pokok-pokok yang kita tanam di sini jenis
berdaun rimbun.” Datin Rabiatul memberi cadangan.
“Hah! Tadi... tu yang awak kata awak kasihan
pada keluarga Nurlisa tu, apa yang tak kenanya?” Datuk Haris menyoal
kembali. Dia berdiri tegak setelah
mengubah pasu dan bernafas agak tercungap. Membatalkan hasratnya untuk bermain
golf, Datuk Haris membantu isteri menyusun atur pasu-pasu di taman mereka.
Sesekali beriadah begitu, mungkin lebih baik daripada bermain golf.
“Keluarga dia susah dan miskin! Melihat keadaan rumah mereka,
sedihnya rasa hati saya. Rumah arnab peliharaan kita pun lebih elok lagi!”
Datin Rabiatul bersuara sayu. Sungguhpun
waktu malam dan rumah tempat tinggal Nurlisa yang dijengahnya semalam tidak
begitu jelas di pandangan matanya kerana agak samar-samar cahayanya, Datin
Rabiatul dapat meneka kedaifan rumah mereka.
“Saya dulu pun susah dan miskin! Ini hakikat kehidupan, kenalah usaha sikit
jika mahu hidup senang!” Datuk Haris seolah merungut.
“Sekarang ni abang dah kaya raya, kenalah
bantu orang yang susah!” Datin Rabiatul cuba menduga. Wajah suami yang berpeluh
diperhatikannya.
“Tun!
Setiap tahun saya keluarkan zakat untuk perniagaan saya, zakat wang dan
macam-macam lagi! Wang zakat ni untuk bantu orang-orang miskinlah! Saya
membantu mengikut saluran yang betul.” Datuk Haris memandang ke wajah isterinya
yang berpeluh.
“Itu saya tahulah, bang! Tapi saya rasa nak bantu dengan cara yang lain.” Datin Rabiatul seolah
berfikir.
“Cara yang lain? Yang bagaimana? Dirikan
mereka rumah batu?Hulurkan
wang sehingga satu guni? Beri makanan untuk satu tahun? Macam yang selalu awak tengok di TV tu?” Datuk Haris seolah menyindir.
“Itu semua, cuma dapat membantu sementara
saja Tun! Sampai bila orang kita hendak disuap? Mereka kena berusaha untuk keluar daripada kelompong kemiskinan! Kena
ingat, eh! Kan Rasulullah dah berpesan, bekerja dan berusahalah kamu seolah
kamu akan hidup untuk selamanya!”Datuk Haris bersuara agak serius sambil menarik nafas panjang. Peluh di dahi dilap dengan belakang
tangannya.
“Abang ni! Apa salahnya saya hendak membantu
orang lain.Manalah
tahu dengan kebaikan itu, Allah akan pulihkan kembali si Aldi tu.” Datin
Rabiatul seolah merajuk dengan kata-kata yang dilemparkan oleh suaminya itu.
Wanita itu juga mengelap peluh yang membasahi tepi pipinya.
Mendengarkan ungkapan yang dikeluarkan oleh
isterinya itu, Datuk Haris ketawa kecil. “Tengok tu, itu dah tak ikhlas
namanya. Berbuat sesuatu kebaikan untuk mendapatkan ganjaran pula.Niatnya dah tak betul lagi dah.” Datuk Haris
seolah menempelak.
“Niat saya baik, bang. Saya nak bantu
keluarga itu. Ganjaran daripada Allah tu, terpulanglah kepada-Nya. Hanya yang
saya harapkan ialah Allah akan memulihkan kembali si Aldi itu. Harapan dan doa
seorang ibu bang!” Nada suara Datin Rabiatul agak sedih.
“Lagipun, takkan abang tak tahu hadis
Rasulullah tu, selain Rasulullah menyatakan bekerjalah kamu seolah kamu hidup
selamanya. Rasulullah juga menyatakan, beramal ibadatlah kamu seolah kamu akan
mati esoknya!” Datin Rabiatul bersuara perlahan sambil tangannya melibas-libas
nyamuk yang terbang berkeliaran di sekelilingnya.
“Kita berbuat kebaikan kepada orang lain,
bukan ke satu amalan baik yang pahalanya akan mengikut kita sehingga ke hari
kiamat nanti.” Datin Rabiatul terdiam seketika.
“Tak taulah pula, kalau harta benda dan wang
ringgit abang akan ikut sama.” Sambung Datin Rabiatul lagi sambil tersenyum dan
menjeling suaminya.
“Menyindir sayalah tu!” Datuk Haris seolah
merungut.
“Bukan menyindir! Saya ingin mengingatkan
abang!” Datin Rabiatul bersuara lembut
sambil merenung ke wajah Datuk Haris. Bibirnya mengukir senyuman cuba memujuk
suami yang hatinya mungkin tercalar.