Home Novel Keluarga Tenggelam Dalam Cinta
Tenggelam Dalam Cinta
30/4/2015 13:04:09
46,698
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 50

Mengerutup bunyinya minyak masak yang berasap di dalam kuali apabila segenggam keropok menyelam ke dasarnya. Setelah itu keropok-keropok berkenaan mengeliat-ngeliat ke kiri dan ke kanan, berasak-asak dengan kawan-kawannya yang berebut-rebut ruang di dalam kuali.

“ Emak, cepatlah goring nugget ayam tu! ” arah Safirah kepada emaknya yang sedang mengadap dapur.

“ Sabarlah, emak nak goring keropok ni dulu. Kau tu elok makan keropok ni. Taklah badan tu macam belon!” marah Mak cik Shimah yang kepanasan.

“ Alah, emak ni. Keropok tu makan sampai satu lori pun bukan boleh kenyang!” balas Safirah sambil mengunyah pisang goring.

“ Dekat kilang tadi tak makan ke?” soal Mak cik Shimah. Hairan melihat Safirah yang asyik mengunyah tidak berhenti. Semua makanan yang terhidang di atas meja disentalnya. Safirah macam lintah lapar sahaja gayanya!

“ Dah makanlah, emak. Kalau tak makan, pitamlah Firah.. ” jawab Safirah sambil gelak-gelak. Lucu hatinya melihat emaknya membulatkan mata merenungnya.

“ Makan apa? Kuih karipap seketul saja ke?” soal Mak cik Shimah seakan menyindir. Lagi kuat gelak Safirah.

“ Nasi ayam 2 pinggan. Tak mainlah karipap seketul, mak! Lekat dicelah gigi sahaja, ” balasnya. Sementara berada di rumah emaknya, biarlah dia makan puas-puas.

Di rumah mertuanya, stok makanan pun tak ada. Kalau ada pun tak banyak dan tidak sesuai dengan seleranya. Semalam sewaktu perutnya pedih berdendang minta diisi, dia cuba-cuba mengintai di dapur mencari makanan. Puas menyelongkar almari di dapur barulah dia terjumpa dengan sebiji tin yang terisi dengan biskut lutut. Biskut lutut pun ada tiga biji sahaja lagi. Kerasnya mengalahkan anak lesung batu. Tidak teringin pun lidahnya untuk menjamah biskut yang hampir hapak itu.

“ Kau tidur di sini ke malam ini?” soal Mak cik Shimah sambil tangannya menuangkan keropok yang telah dikeluarkan dari kuali ke dalam pinggan di hadapan Safirah.

Tersentak Safirah. Terus tangannya menyambar sekeping keropok yang masih panas.

“ Kalau Abang Faizal benarkan, ” jawab Safirah. Walaupun masih terasa janggal sebenarnya dia suka bermalam di rumah mertuanya. Di sana dia tidak perlu membuat apa-apa kerja pun. Emak mertua tirinya rajin. Pendiam pula tu! Hanya hatinya berasa cemburu. Dia syak Faizal ada merahsiakan sesuatu. Begitu juga dengan bekas tunangannya. Azmi macam suka kepada emak mertua tirinya. Sakit hatinya melihat Azmi datang ke rumah mencari Aryati. Konon-konon hendak bertanyakan kabarnya. Entah-entah rindu! Perasaan Safirah tiba-tiba rasa sebu.

“ Kamu berkhayal kenapa? Tu, dah selonggok nugget ayam emak goring, kenapa tak telan lagi?” soal Mak cik Shimah apabila melihat Safirah tiba-tiba leka dan memikirkan sesuatu.

“ Emak.. ” seru Safirah. Dia seolah telah kehilangan kata-kata. Sebenarnya bermacam persoalan yang muncul di fikirannya. Sampai hari ini dia takut hendak bertanya lagi kepada Faizal berkenaan peristiwa pada hari itu. Mengapa Faizal mengunci pintu bilik dari luar. Katanya sakit perut dan hendak membuang air besar! Entah-entah dia ada muslihat bersama dengan emak tirinya!

“ Ermm, ada apa? Tersangkut-sangkut pulak hendak bercerita, ” pintas Mak cik Shimah sambil menyergah.

“ Emak rasa, Azmi kahwin tak nanti selepas Firah kecewakan dia?” tanya Safirah spontan. Tiba-tiba pula soalan itu meluncur dari mulutnya.

“ Kenapa? Kau nak carikan calon isteri untuk dia ke?” sindir Mak cik Shimah. Sungguh dia tidak faham dengan sikap Safirah. Sudah menjadi isteri orang pun masih terkenangkan bekas tunangannya.

“ Erm..” balas Safirah separuh hati. Perasaannya sayangnya kepada Azmi masih menyubur. Apatah lagi, apabila melihat penampilan Azmi sewaktu berkunjung ke rumah mertuanya tempoh hari. Azmi kelihatan bergaya. Sudah menjadi pengurus kilang pula tu!

“ Buat apa kau hendak susah hati, Firah! Biarlah dia nak kahwin ke atau nak jadi bujang tua ke? Kau jaga saja Faizal tu jangan sampai dia menengok perempuan lain. Silap-silap haribulan kau dapat adik nanti!” usik Mak cik Shimah.

“ Dapat adik? Bukan dapat anak ke?” tanya Safirah yang tidak memahami maksud yang tersirat di dalam ungkapan emaknya. Mengekek Mak cik Shimah ketawa kerana kedunguan anaknya itu.

“ Itupun tak faham! Maksud emak, takut nanti Faizal kahwin lain, ” jelasnya kepada Safirah. Berkerut kening Safirah mendengar kata-kata emaknya itu. Perkara itu tidak mustahil terjadi kerana sebelum ini Faizal sudah bernikah dua kali.

“ Emak, hari tu ada Azmi datang ke rumah, ” cerita Safirah teragak-agak. Tangan Mak cik Shimah yang sedang memasukkan keropok di dalam kuali terhenti sejenak. Dia menoleh melihat kepada Safirah yang muram wajahnya dengan tiba-tiba.

“ Kenapa pula dia datang? Dia hantar hadiah untuk kamu ke?” tanya Mak cik Shimah dengan gaya mengejek.

“ Berapa ekor lembu yang dia hantar sebagai hadiah pernikahan kamu?” tanyanya lagi. Herot benyot bibirnya, memahat senyuman memperli.

“ Emak ni, janganlah sebut pasal lembu! Firah tak sukalah! Nak-naknya lembu dia yang nama Lela tu, ” tingkah Safirah sambil menggoyang-goyangkan bahunya. Gara-gara lembulah mereka berputus tunang!

“ Habis tu? Yang engkau bercerita tersangkut-sangkut apa halnya?” Mak cik Shimah mula naik angin.

“ Dia cari Mak cik, mak!” adu Safirah sambil mencebek. Hatinya bergelora dengan rasa marah dan cemburu.

“ Apa? Buat apa dia cari emak mertua tiri kamu?” tanya Mak cik Shimah. Hatinya semakin tertarik untuk mendengar cerita yang seterusnya. Jangan-jangan emak mertua tiri Safirah yang muda dan cantik itu ada skandal dengan Azmi. Hati jahat Mak cik Shimah mula mereka-reka plot cerita yang seterusnya.

“ Mak cik, bekerja di kilang bapa saudaranya. Sekarang ni, Azmi yang akan menguruskan kilang tu. Mak cik dah lama tak pergi kerja, sebab itu dia datang menyusul dan bertanya kabar, ” jelas Safirah dengan panjang lebar.

Terjojol mata Mak cik Shimah mendengarkan kenyataan itu.

“ Aaap.. apa? Azmi jadi pengurus kilang dan tak bela lembu lagi?” soalnya dengan nada sesal.

“ Lembu dia bela juga, mak! Kan Azmi tu satu-satunya penternak lembu di daerah kita ni. Lembunya banyak. Bukannya seekor dua. Sebelum kami putus tunang kelmarin, Azmi memang sudah ada cadangan untuk membesarkan lagi saiz ladangnya, ” terang Safirah bersungguh-sungguh.

“ Ap.. apa, Firah? Bukan Azmi hanya bela lembu tiga empat ekor saja?” tanya Mak cik Shimah tidak percaya. Kenapa cerita tentang banyaknya lembu ternakan Azmi timbul pada waktu itu? Soal hati Mak cik Shimah sesal.

“ Siapa kata?” tanya Safirah pula kepada emaknya. Mak cik Shimah rasa hendak pitam. Rugi! Rugi! Memang rugi dia tidak menjadikan Azmi menantunya!

“ Kenapa Firah tak bagitau emak?” tanya Mak cik Shimah. Mendung wajahnya. Memang dia menolak tuah!

“ Firah pun baru tahu, emak. Tapi, pada waktu itu, Firah sedang marah sangat dengan Azmi..” balas Safirah.

“ Seronoknya dua beranak ni berbual!” tegur Faizal yang tiba-tiba muncul di dapur. Tadi dia leka berbual dengan bapa mertuanya di ruang tamu. Sengaja memberi ruang kepada Safirah untuk melepaskan rindu kepada emaknya.

“ Abang dah nak balik ke?” soal Safirah lantas bangun dari bangkunya menuju ke singki untuk membasuh tangan.

“ Ermm, jomlah kita balik!Esok Firah nak kerja pagi, ” jawab Faizal sambil melihat Safirah yang sudah menghampirinya.

“ Faizal, takkan nak suruh Firah tu kerja lagi. Suruh dia berhenti kerja saja, ” sampuk Mak cik Shimah. Apa gunanya Safirah bersuamikan anak orang berharta kalau masih bersekang mata dan menggunakan tulang empat kerat untuk mendapatkan duit poket!

“ Biarlah Firah bekerja dulu, mak! Sementara kami tak ada anak ni. Takut dia bosan di rumah nanti!” jawab Faizal. Sebenarnya dia terkejut dengan saranan emak mertuanya itu. Kalau emak mertuanya tahu tentang hal dia yang tidak bekerja lagi, pasti kecoh.

“ Emak tu bukannya hendak menyibuk hal urusan rumahtangga kau orang. Emak lebih suka Firah duduk di rumah sahaja kalau sudah bersuami. Barulah padan dikatakan bersuamikan orang berharta, ” ujar Mak cik Shimah sambil mengerling ke wajah menantunya.

“ Terpulang kepada Firahlah, emak. Saya tidak memaksa. Biarlah dia buat keputusan sendiri supaya tidak menyesal di kemudian hari, ” balas Faizal dengan suara yang sangat perlahan. Di dalam hatinya, hanya dia sendiri yang tahu. Perasaan geram dan marahnya meriah memercik! Kenapa emak mertuanya hendak mengaturkan hidup mereka?

“ Seperkara lagi Faizal, kalau dah berumahtangga ni eloklah kalau duduk di rumah sendiri. Berdikari suami isteri,” pesan Mak cik Shimah dengan selamba.

“ InsyaALLAH, ” jawab Faizal perlahan menahan hati yang membara. Nampak seolah emak mertuanya hendak mengawal hidupnya pula!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.