Home Novel Cinta SEBELUM NAFAS TERHENTI
SEBELUM NAFAS TERHENTI
16/1/2014 09:51:09
63,977
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

“Lisa tengok tu. Aldi sedang mengintai kita dari sebalik langsir di biliknya.Sedari tadi mak cik perhatikan. Dia tak bergerak-gerak dari belakang langsir tu. Sebenarnya dia ada keinginan untuk bersama kita semula tetapi dia tu dah jadi ego. Bongkak. Tak mau redha menerima ketentuan Allah! Lisa pujuk dia perlahan-lahan, ya. Manalah tahu lembut hati anak sulung mak cik tu!” Datin Rabiatul menarik tangan Nurlisa supaya mengikutnya berselindung di sebalik pokok jambu yang rendang dan berbuah merah itu. Dari celahan daun-daun jambu itulah, kedua mereka mengintai pula telatah Aldi yang masih berada di sebalik langsir di jendela.

Datin Rabiatul tertawa kecil melihat telatah anaknya itu, namun Nurlisa hanya mendiamkan dirinya. Perasaan simpatinya semakin melebar.


@@@

PAGI itu cuaca amat cerah sekali. Awan memutih, langit membiru. Bunga-bunga sudah berkembangan. Embun di taman sudah mengering tetapi kamar itu tetap berwajah muram dan bergedup. Langsir tidak pernah dirungkaikan daripada ikatannya. Kaca jendela tidak pernah bergerak dari gelansarnya.

Bunga-bunga di jambangan yang diletakkan di beberapa sudut sudah kering dan menghitam. Ada bau hapak dan pengap. Aldi akan mengamuk jika Bibik Sunarti ingin mengemas dan membuang bunga-bunga yang sudah mengering dan kehitaman itu.

Aldi masih di atas kerusi rodanya. Matanya melihat ke hujung katilnya. Semalam sebelum tidur dia telah melonggokkan beberapa buah buku bersama sehelai blaus kesayangan Arishal. Pagi ini semuanya telah hilang daripada pandangan mata. Tempat longgokan bukunya semalam telah digantikan dengan senaskah al-Quran dan sejadah serta dua buah buku lagi yang tidak diketahui judulnya. Dia tidak berminat untuk menyentuhnya apatah lagi untuk membaca buku-buku itu.

Hatinya tiba-tiba menjadi berang. Teringat kepada gadis kecil molek itu. Mungkin dia yang meletakkan barang-barang itu di atas katilnya sewaktu dirinya masih lena.

“Budak!” Pantas tangannya menekan punat interkom berhampiran meja kecil di sisi katil. Lalu suaranya bergema di seluruh ruang di rumah itu.

“Budak!” Aldi terus memekik-mekik dari biliknya memanggil Nurlisa.

Di perkarangan vila, Nurlisa sedang membedek-bedek bunga-bunga orkid yang sedang berkembangan terkejut mendengar jeritan Aldi. Terhincut-hincut gadis itu kembali ke dalam rumah.

“Lisa! Tak payah naik ke atas sana! Biar dia menjerit begitu! Dia memang begitu. Nanti bila Lisa naik, dia akan mengusir Lisa keluar dari biliknya. Biar ibu saja yang menguruskan anak itu. Lisa teruskan dengan kerja di luar sana,” kata Sunarti.

“Tapi, dia panggil saya!” Nurlisa menjadi serba salah seketika. Teringat pula janji yang telah dibuatnya bersama dengan Datin Rabiatul. Dia akan bersabar dengan karenah Aldi. Membantunya sehingga dia sembuh. Kalau boleh biarlah Aldi dapat menjalani kehidupan yang normal kembali.

“Tak apa,” ujar Sunarti sambil melangkahkan kakinya menuju ke tangga untuk naik ke tingkat atas rumah itu.

“Bibik, nanti Encik Aldi meradang!” Suara Nurlisa seolah meminta pengertian daripada wanita separuh umur itu.

“Biarkan dia meradang! Kadang-kadang panggil, sekejapan kemudian sudah diusir kita seolah anjing!” Bibik Sunarti seolah merungut.

Mahu tidak mahu, Nurlisa terpaksa akur kepada nasihat Sunarti. Bukankah Sunarti orang yang lebih tua darinya. Tambahan pula Sunarti telah lama bekerja di situ.

“Kenapa ni Aldi!Pagi-pagi lagi sudah ribut-ribut, marah-marah?” Sunarti menghampiri Aldi yang masih tersandar di kerusi rodanya. Wajah Aldi yang murung dan masam mencuka direnungnya.

“Kenapa bibik yang naik ke sini? Budak itu mana? Mana?” Sunarti pula dimarahi Aldi. Dia menjegilkan matanya apabila memandang Sunarti.Nafasnya kencang tanda perasaan berangnya sudah mulai membakar hati.

“Budak mana?” Sunarti pura-pura tidak mengerti. Matanya merenung Aldi yang duduk di kerusi roda.

Aldi kelihatan gelisah. Sepagi ini dia belum melihat wajah gadis itu. Mungkin awal pagi tadi Nurlisa ada datang ke bilik untuk mengejutkannya tetapi dia masih lena. Kerusi roda digerakkannya ke depan dan ke belakang.

“Buang tu semua! Aku tak mahu tengok! Tak mahu!!!” Aldi terus memekik sambil menudingkan tangannya ke arah sejadah, buku serta al-Quran yang terlonggok di sudut katilnya.

“Masyaallah! Aduh! Aduh! Anak ini! Kerana sehelai sejadah dan Al-Quran marah-marah begini?” Sunarti mencapai sejadah tersebut lalu menyimpannya di dalam almari.Al-Quran dan buku-buku diletaknya kembali di almari buku. Setelah itu wanita tua itu terus meninggalkan Aldi bersendirian.

Aldi menolak kerusi rodanya ke tepi jendela. Dari sebalik langsir berwarna ungu muda itu, dia mengintai ke perkarangan rumah. Dia memerhatikan gadis tempang itu menyiram pokok-pokok bunga yang banyak tertanam di sekeliling vila itu. Semenjak dipelihara rapi, pokok-pokok bunga itu berbunga lebat. Mawar, orkid, bunga raya bermacam warna, bunga kertas dan semuanya nampak berseri dan berwarna warni.

Dia juga dapat mendengar dengan jelas suara tawa Nurlisa yang sedang bergurau dan berbual dengan Wak Dollah sambil menyiram bunga. Hatinya bagai disiat-siat. Sudah lama dia tidak merasai keriangan itu. Segala keriangan seolah sudah berakhir di hatinya. Hatinya kini semakin kemarau dan gersang.

“Bibik!” Wanita tua itu pula yang dipanggil. Beberapa ketika kemudian, Bibik Sunarti sampai di sisinya.

“Bibik! Saya mahu ke taman! Panggil budak itu ke sini!” Aldi memberi arahan.

“Alah! Kalau nak Aldi mahu ke taman, bibik pun boleh tolakkan kerusi ni. Si Lisa kan kakinya masih belum sembuh betul. Kasihan dia.” Bibik Sunarti membujuk dengan suara yang lembut.

Mujur pemuda itu dapat menerima pujukan daripada Bibik Sunarti. Dia hanya mendiamkan diri apabila pembantu rumahnya itu menolak kerusi rodanya dan membawanya ke taman di Vila Kencana Emas itu.

“Tinggalkan saya di sini Bibik!” Aldi memberi arahan apabila kerusi rodanya yang didudukinya sudah berada hampir dengan kolam di tepi rumah. Suaranya tetap seperti selalu. Tegas dan tegang.

Sepeninggalan Bibik Sunarti, Aldi cuba menggerak-gerakkan kerusi rodanya sendiri di atas rumput-rumput di halaman vila itu. Dari kejauhan, dia memerhatikan Nurlisa melakukan kerja dengan tekun. Menyiram pokok bunga dan mengubah kedudukan pasu-pasu mengikut kesesuaiannya walaupun dalam keadaan yang amat payah.

Apabila hendak bergerak jauh, gadis itu akan menggunakan tongkat. Bila hendak bergerak dengan jarak yang dekat, dia akan berpaut kepada para-para yang menempatkan pasu-pasu di taman itu. Sekiranya dia ingin mengubah pasu yang berada di kedudukan atas tanah, gadis itu akan duduk dan mengesot perlahan-lahan sambil menolak pasu dengan tangannya.

“Wak! Tolong angkat pasu yang ini!”

Terdengar suara Nurlisa di telinga Aldi. Suara gadis itu kedengaran riang dan ceria. Pada waktu itu Nurlisa sedang duduk di atas rumput.

“Perlahan-lahan, Wak. Di depan tu ada lubang.”

Jeritan kecil Nurlisa itu menarik perhatian Aldi yang berada beberapa meter dari tempat Wak Dollah dan Nurlisa sedang bekerja.

Lelaki tua itu tidak menghiraukan pesanan daripada gadis itu. Dia mengangkat pasu dan melangkah dengan gagah. “Allah hu akhbar...” Kaki Wak Dollah terseradung timbunan tanah lalu terjatuh. Pasu yang ditangan terlepas dan tergolek di atas tanah. Dia terjatuh bagaikan seekor katak.

“Wak!” Nurlisa menerpa dengan merangkak ke arah lelaki separuh umur itu.

Wak Dollah bangun dan ketawa berderai. “Dah lama Wak tak tangkap katak!” Dia cuba bergurau dengan gadis itu sambil ketawa.

Nurlisa turut ketawa bersama. Suara tawa mereka membuatkan hati kecil Aldi berasa cemburu. “Nasib baik Wak tak terbaham tanah.”Dia ketawa tanpa menyedari ada sepasang telinga yang sedang mencuri dengar tawa riangnya.

Tanpa disedari, Aldi sudah menggerakkan kerusi rodanya hampir dengan mereka. Ketawa Nurlisa terhenti. Wak Dollah terus menyapa Aldi yang berwajah muram.

“Budak tu rajin dan kuat semangat!!” Suara Wak Dollah tiba-tiba menyinggahi telinga Aldi. Wak Dollah kelihatan berpeluh-peluh kerana menyapu daun-daun kering di sekitar taman mini di situ.

Aldi tidak mengulas apa-apa. Dia terus memerhatikan Nurlisa.

“Dia melakukan segalanya tanpa rungutan dan bersabar.” Wak Dollah terus memuji-muji Nurlisa di hadapan Aldi. “Kecacatannya diterima dengan redha!”

Kata-kata Wak Dollah langsung tidak menarik perhatian Aldi. Yang lebih menarik perhatiannya hanyalah gadis itu. Gadis yang terhincut-hincut berjalan ke sana dan ke sini menyelesaikan tugas yang diberi dengan senyuman. “Saya nak balik ke bilik saya!” Aldi benar-benar berasa malu dengan dirinya sendiri. Apabila mendengar kata-kata pujian Wak Dollah terhadap Nurlisa dan melihat telatah gadis itu yang cukup tabah melakukan itu dan ini, dia merasakan yang dirinya terlalu lemah.

Mahu tak mahu lelaki itu berusaha sedaya upaya menggerakkan tayar kerusi rodanya dengan seluruh kudratnya yang ada. Dirinya terasa amat kecil. Mampukah dia terus bertahan dalam keadaannya yang seperti itu?

PEJAM celik, pejam celik sudah hampir empat bulan Nurlisa bekerja sebagai pembantu rumah di Vila Kencana Emas itu. Setiap hari dia menjalankan tugas rutin di kamar Aldi. Namun kerap kalinya Aldi menghalangnya. Lelaki itu lebih rela keadaan biliknya berselerak, muram dan hapak.Suasana bilik seolah menggambarkan hatinya yang gelap dan tidak bercahaya.

“Encik Aldi, boleh saya buka tingkap bilik encik?” Nurlisa memberanikan diri meminta kebenaran daripada Aldi pada suatu pagi. Dia berasa rimas dengan keadaan bilik itu. Mujurlah bukan dirinya yang menghuni bilik itu. Dia hanya datang sekejap-sekejap untuk menjenguk Aldi sekiranya ada perkara yang perlu dibantu.

Namun kadangkala, lelaki itu yang akan memanggilnya melalui interkom. Suaranya berkumandang di seluruh rumah itu. Budak! Itulah yang akan dilaungkan oleh Aldi dan gadis itu akan terhincut-hincut dengan kakinya yang tempang menaiki tangga menuju ke tingkat atas.

“Tak usah!” Aldi melarang tegas. Dia yang sedang duduk di atas kerusi rodanya memandang ke wajah gadis itu sekilas. Nurlisa mempunyai kecantikan yang tersendiri. Berkulit cerah dan berwajah tenang serta bersih. Matanya yang lembut dan redup dihiasi dengan bulu mata panjang lurus.Tanpa mengukir senyuman pun, wajah gadis itu tetap kelihatan manis. Mungkin kerana lesung pipit yang comel di hujung kedua bibirnya itu. Menggerakkan bibirnya untuk mengucapkan sesuatu pun, dia seolah sedang tersenyum.

“Encik, sudi tak jika saya bawa encik bersiar-siar ke taman.”Nurlisa cuba memujuk dengan lembut dan sabar. Wak Dollah telah memberitahunya bahawa Aldi sudah lama tidak keluar dari bilik itu. Bukan itu sahaja. Aldi juga tidak berbual dengan orang lebih lama daripada itu. Bercakap sekadar yang perlu sahaja. Selebihnya dia akan mendiamkan diri dan berkurung di dalam bilik itu.

Sepanjang tempoh dia bekerja di situ, Aldi hanya keluar dari bilik itu ke halaman rumah dua kali. Iaitu pada hari pertama Nurlisa bertugas di situ dan hari Wak Dollah terjatuh kerana mengangkat pasu. Selepas hari itu, Aldi tetap berkurung di dalam bilik dan termenung di sisi jendela tanpa jemu.

“Tak mahu! Pergi! Aku tak mahu diganggu! Leave me alone!” Aldi bersuara agak kuat dan keras nadanya. Matanya terus memandang keluar jendela tanpa berkelip. Sebenarnya dia sentiasa menunggu-nunggu dan sentiasa memerhatikan kehadiran gadis itu di muka pintu. Apabila gadis itu berada di dalam kamarnya, dia berpura-pura tidak menginginkan kehadiran gadis itu.

“Tapi...” Nurlisa merenung wajah Aldi yang sedang menggerakkan kerusi rodanya ke arah almari buku yang bercermin kaca tidak jauh dari jendela.

“Leave me alone!” Bagai petir, suara Aldi memekik sambil menghentak cermin kaca pada almari berkali-kali. Bergemerincingan bunyi kaca itu pecah dan berderai di atas karpet. “Keluar!!!” Sekali lagi dia bersuara seumpama petir mengusir Nurlisa dari biliknya.

Nurlisa terkejut. Untuk mengelakkan Aldi semakin mengganas dan kemungkinan mencederakan dirinya, gadis itu terpaksa keluar dari bilik itu.Namun kekerasan suara Aldi kali ini tidak lagi boleh merebakkan kolam matanya.

“Bibik! Bibik! Tolong bibik!” panggil Nurlisa sebaik sahaja melihat kelibat Bibik Sunarti di dapur.

“Mengapa? Orang itu mengamuk lagi?” Bibik Sunarti cuba meneka. Nurlisa mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Bibik! Dia tumbuk almari buku. Habis pecah cermin kaca! Jomlah bibik, tolong tengok. Tangannya sudah berdarah tadi!” Nurlisa mengadu kepada Bibik Sunarti dengan suara yang cemas dan risau.

“Eh! Anak itu tak habis-habis amuknya! Lisa pergi naik dulu, sekejap lagi bibik pergi tengok!”Bibik Sunarti bersuara perlahan. Dia sudah bosan dengan amukan dan sikap panas baran Aldi.

Dengan perasaan yang berbelah bahagi, Nurlisa gagahkan diri masuk ke bilik Aldi. Perlahan-lahan daun pintu bilik itu dikuak sambil menjengukkan kepalanya memerhatikan keadaan Aldi yang masih berada di tempat tadi, tidak bergerak walau seinci.

‘Astaghfirullahaladzim!!!’ bisik Nurlisa di dalam hatinya apabila melihat keadaan Aldi. Kanan dan kiri telapak tangannya dipenuhi darah. Dia rasa sangat bersalah. Kalau tidak kerana dia membantah percakapan Aldi tadi, sudah tentu perkara itu tidak berlaku.

“Aldi! Subhanallah! Mengapa jadi begini nak oiii!!!” jerit Bibik Sunarti yang baru muncul di bilik itu. Dia mencapai tangan Aldi dan melihat kecederaannya. “Lisa, pergi ambil vakum dan bersihkan semua kaca-kaca ni! Biar bibik bersihkan luka Aldi. Nanti bawa kotak ubat sekali.” Bibik Sunarti mengarahkan Nurlisa yang sedang mengutip kaca yang jatuh di pangkuan Aldi.

“Lisa?” Aldi yang sedari tadi mendiamkan dirinya bersuara kuat dan matanya mencerlang pada Bibik Sunarti apabila mendengar kata-kata wanita itu. Kemudian matanya beralih ke kaki Nurlisa. Nurlisa yang berdiri di hadapannya dengan tongkat di celah ketiak kirinya.

“Aduh! Bibik lupa! Maaf! Tak apa!Biar bibik yang pergi ambil. Lisa cucikan luka di tangan Aldi.” Bibik Sunarti membantu menolakn kerusi Aldi ke singki yang berhampiran diekori Nurlisa. Permaidani yang berselerakan dengan kaca dilipat dua untuk mengelakkan Nurlisa terpijak kaca sewaktu berjalan terhincut-hincut dengan tongkatnya.

Wajah Aldi masam mencuka. Perasaannya bercampur baur.Sesal. Marah. Kecewa dengan diri sendiri. Namun hatinya akan terlebih sakit lagi jika dia bersama wanita Indonesia itu di dalam kamarnya.

Nurlisa semakin rasa serba salah dengan tugas barunya itu.Perasaan malu mengintip di kalbu. Walau bagaimanapun, dia mencapai juga tangan Aldi dan membuka paip di singki dengan aliran air yang perlahan. Di bawah aliran air itu dia mencuci tapak tangan Aldi yang luka dengan berhati-hati dan penuh kelembutan.

“Aduh!” Aldi terjerit kecil apabila terasa tapak tangannya ada benda yang mencucuk dan menghiris.

Nurlisa memberhentikan cuciannya. Wajahnya ditundukkan untuk melihat tapak tangan Aldi dengan jarak yang lebih dekat. “Ada kaca ni! Saya keluarkan. Minta maaf encik, saya terpaksa tekan tapak tangan ni!” Dengan penuh kelembutan, Nurlisa cuba mengeluarkan sisa kaca daripada tapak tangan lelaki itu. Telapak tangan Aldi didekatkan dengan matanya untuk melihat serpihan kaca yang halus itu. Hembusan nafasnya menyentuhi tangan lelaki itu.

Dahi Aldi berkerut-kerut menahan pedih sewaktu Nurlisa cuba mengeluarkan serpihan kaca.

“Nah! Lisa, ada ubat luka dan plaster serta kapas. Lepas cuci dengan air tu, cuci dengan anti kuman ni. Setelah itu, letak ubat luka dan balut.” Selepas itu, Bibik Sunarti meneruskan tugasnya menvakum bilik itu dan mengutip semua kaca-kaca yang tidak mampu disedut oleh vakum.

Aldi diam seribu bahasa. Satu demi satu tangannya dibersihkan oleh Nurlisa. Dia hanya memerhatikan wajah gadis itu dari jarak yang amat dekat. Alisnya, bulu matanya yang panjang dan lurus serta lebat, bibirnya, pipinya, giginya yang kelihatan apabila dia bersuara bagaikan mutiara yang tersusun.Segala-gala yang ada pada diri gadis itu menarik hatinya.

Nurlisa tersenyum setiap kali pandangan mata mereka bertemu. Senyuman itu begitu indah.

Menatap indahnya senyuman di wajah gadis itu, membuatkan Aldi terdiam dan terpaku. Hanya senyumannya yang membeku. Dia tetap berwajah kering dan selamba.

“Bibik! Saya belum sarapan!” Terasa perut berkeroncong, barulah lelaki itu bersuara tatkala Nurlisa sedang meletakkan ubat luka di tapak tangan dan jari jemarinya dengan sabar.

“Oh! Bibik terlupa. Sebentar ya. Bibik siapkan ini dulu. Nanti bibik bawa naik ke sini,” jawab Bibik Sunarti.

“Budak! Suap aku makan!” Aldi bersuara garang sebaik sahaja Nurlisa selesai merawat tangannya dan makanan telah dihidangkan Bibik Sunarti di meja makan di bilik itu.

Nurlisa dan Bibik Sunarti saling pandang memandang.

Bibik Sunarti menganggukkan kepalanya lalu meninggalkan mereka berdua di situ. Sukar sungguh memahami anak lelaki majikannya itu.

Nurlisa mengambil sudu dan mencedokkan makanan yang disajikan menggunakan sudu.Sudu yang berisi makanan disuakan ke mulut Aldi. Lelaki itu merapatkan bibirnya. Berkali-kali Nurlisa cuba menyuap tetapi Aldi enggan membuka mulutnya.

“Kenapa, encik?” Nurlisa menyoal dengan lembut sambil bibirnya tersenyum lagi. Matanya memerhati makanan yang tersaji. Spageti goreng itu nampaknya menyelerakan tetapi mengapa Aldi enggan makan?

“Suap dengan tangan!”

Permintaan daripada Aldi seolah meruntuhkan perasaan Nurlisa. Masakan lelaki itu mahu makan, makanan yang disuap oleh tangannya. Kalau makan nasi, tidaklah menjadi halangan. Mahu atau tidak, permintaan itu diturutinya juga. Dia menyuap Aldi dengan sabar. Tambahan pula mengenangkan yang tangan lelaki itu mengalami kecederaan.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.