SATU-PERSATU anak tangga dituruni. Jejak saja tangga terakhir, kaki terus bergerak ke bilik belakang. Ada sesuatu yang nak disampaikan.
Tiba depan bilik, daun pintu dilihat separuh terbuka. Kening Aryan berkerut. Tak pernah-pernah begini. Selalu bukan main susah. Ketuk berapa kali pun belum tentu didengar.
Aryan menjengah. Cari kelibat Sefhia di dalam. Tak ada.
"Ke mana dia?"
Otak ligat berfikir. Waktu-waktu petang begini ke mana gadis tersebut pergi?
"Dapur barangkali."
Langkah lantas dibawa ke ruangan itu. Masuk saja, sosok Mak Minah menyapa lebih dulu.
"Mak Minah.
"Ya, Aryan."
"Sefhianya lagi di sini?"
"Sefhia? Ha! Tadi ada. Tapi Mak Minah dah suruh dia masuk bilik berehat."
"Di kamar juga nggak ada, sih."
"Tak ada? Eh, pelik!"
Mak Minah garu kepala. Memang tadi Sefhia ada bersamanya. Waktu nak siap-siapkan juadah minum petang. Tapi bila gadis itu dah mula nak tolong, terus disuruhnya beredar. Nampak dek Aryan nanti, niaya.
"Err... cuba Aryan tengok kat taman. Biasa waktu petang macam ni dia teman Mak Minah siram pokok bunga. Mungkin dia dah tunggu Mak Minah kat sana agaknya."
Aryan kembali atur langkah. Minta-minta betul apa yang dicakap Mak Minah. Hatinya dah mula resah. Bimbang insiden tempoh hari berulang kisah.Jangan gadis itu lari lagi, sudah!
Debaran Aryan makin kencang. Sampai-sampai di taman, kelibat Sefhia tak kelihatan. Tak keruan lelaki itu berlari keliling laman.
"Di mana kamu, Sefhia? Apa udah kabur?" bisiknya perlahan. Mata terus melilau cari sosok gadis berkenaan.
Puas cari di laman, Aryan bergerak ke belakang. Kut-kut tersesat ke sana. Namun hampa. Bayang-bayangnya pun dia tak jumpa.
Aryan terkaku. Berkira-kira mana lagi tempat dia nak tuju?
Kolam renang!
Itu saja harapannya sekarang. Kalau tak ada juga, memang betullah gadis itu dah hilang.
Pantas langkah menghala ke arah itu. Saat kaki cecah kawasan kolam, jantung Aryan terasa seakan berhenti berdegup.
"Sefhia...." Bibir Aryan mengungkap perlahan.
Gadis itu nyata tenang menongkat dagu merenung sesuatu di tangan. Dia saja yang separuh nyawa tercari-cari seluruh kawasan.
Aryan helas nafas. Separuh lega, separuh keletihan. Hilang penat, baru dia berjalan dekati Sefhia.
"Kamu di sini rupanya."
Lamunan Sefhia serta-merta mati. Kaget dengan sapaan yang tak dinanti. Kehadiran Aryan disambut sepintas lalu sebelum muka dipaling ke tempat lain. Kepingan di tangan cepat-cepat disimpan kembali.
Aryan senyum nipis. Sedar hadirnya dah ganggu ketenangan si gadis. Dan dia tahu, marah Sefhia padanya masih belum habis. Pasal insiden malam pergaduhan itu.
Tolak tepi soal marah, lelaki itu lantas daratkan duduk di kerusi rehat sebelah. Sejak dia balik Abu Dhabi kelmarin, baru hari ini mereka berdua bertemu mata.
"Gimana keadaan kamu sekarang? Udah pulih?" tanya Aryan mula bicara. Seperti jangkaan, tak ada jawapan yang diterima.
Aryan pandang gadis di sebelah.
Sepanjang dua minggu ditinggalkan, ternyata keadaan Sefhia makin baik. Luka dan lebam dah tak nampak. Kaki kirinya juga kian pulih. Cuma hencut sikit. Jalannya juga dah tak guna tongkat. Waktu pulang ke sini dia dah perasan.
"Kamu apa udah selesa tinggal di sini?" sekali lagi Aryan menyoal. Cuba pancing perbualan.
Kata Mak Minah, Sefhia dah banyak berubah. Dah mula keluar bilik. Dah mula nak bercakap. Dah mula nak bergaul. Selalu rajin tolong buat kerja rumah dan kerja dapur.
Dah mula keluar bilik, betul. Buktinya sekarang, Sefhia ada tepi kolam dengannya. Tak macam dulu. Terperuk dalam bilik saja.Rajin tolong buat kerja rumah dan dapur, dia tak pasti. Sebab belum nampak depan-depan lagi. Mungkin lain hari.
Tapi hal Sefhia dah mula nak bercakap dan bergaul, dia kurang setuju. Dengan Mak Minah dan Pak Majid, mungkin ya. Dengan dia? Sama saja macam dulu. Dingin, kaku, beku. Malah soalan-soalan yang diajukan tadi pun, hanya ditiup bersama angin lalu.
"Kamu masih marah sama aku?"
Sefhia tetap membisu. Pandang Aryan pun sebolehnya dia tak mahu.
"Okey. Maafin aku. Tentang kejadian malam itu. Aku nggak berniat sama sekali mau berlawan sama kamu. Apalagi menyakitimu."
Sefhia ketap gigi. Baginya ayat yang keluar dari mulut Aryan sekarang lebih sakit dari tumbukan dan tendangan yang dia dapat malam tempoh hari.
"Aku tau marah kamu sama aku masih ada. Ya nggak kenapa-napa. Terserah kamu mau marahin aku sampei kapan pun. Tapi untuk lepasin kamu dari rumah ini, hal itu nggak akan sekali-kali berlaku.
"Sefhia pejam mata. Serasa sabarnya mula terbakar. Kata-kata Aryan pula seolah-olah sengaja ingin mencabar. Serentak dia bangkit untuk beredar.
"Sefhia, tunggu."
Gadis itu hanya tak endah. Cepat-cepat kaki diatur mula langkah. Namun tak sempat. Lengan kirinya lebih dulu disambar.
Zap!
Dan-dan itu tangan Aryan ditepis. Dan sepantas kilat juga lengan kanannya Aryan tangkap dan genggam erat. Hingga pergerakannya terkunci habis.
"Dengar! Aku bukan mau kenapa-kenapakan kamu!"
Aryan cuba mereda keadaan. Namun mata biru Sefhia makin mencerun tajam.
"Aku cuman mau serahin ini."
Satu bungkusan atas kerusi rehat diambil lalu disua depan Sefhia.
"Aku beliin di Abu Dhabi. Buat kamu."
Kotak diletak semula. Lengan Sefhia turut dilepas sama.
"Enough, Sefhia. Jangan maksain aku terus-terusan nyakitin kamu. I don't want it."
Lelaki itu pantas berlalu. Sefhia ditinggal dalam rasa termangu dan terkedu.
"AMACAM, game malam ni?"
Aryan toleh ke sisi. Wajah Wafri dipandang bersama senyum di bibir. "Not bad."
"Mengah?"
"Dikit."
Tawa Wafri berderai. Pandangan kembali terhala ke depan.
Sengaja malam ini dia ajak Aryan main bola keranjang. Bersama team yang dia tubuhkan. Habis satu set perlawanan, mereka rehat sebentar. Duduk santai beralaskan lantai gelanggang.
"Udah lama lo tubuh team ini?"
"Adalah dalam lima tahun. Mulanya tubuh suka-suka. Lama-lama jadi serius. Join competition itu, competition ini. Sampailah ke tahap sekarang ni."
"Lo kangen ya jaman kita di universitas dulu?"
Sekali lagi tawa Wafri melantun di bibir. Dulu waktu di universiti, memang sukan ini yang dia dan Aryan bergiat aktif. Jadi wakil sampai peringkat tertinggi. Habis belajar, masing-masing bawa haluan. Then, tamat.
"Tu salah satu sebab jugak aku tubuh kumpulan ni, Ryan. Bila tengok piala-piala kita dulu, selalu tengok game dalam tv, rasa rindu nak main balik tu membuak-buak. Tu yang aku nekad kumpul dia orang ni semua.
Adalah member-member kat hospital tu yang pandai main. Kebanyakan budak-budak junior. Bila dia orang pun excited sama bawa masuk geng-geng, aku apalagi. Macam orang mengatuk disorongkan bantallah jawabnya!" cerita Wafri teruja.
"Kira-kira ada borang kosongnya lagi nggak buat aku?"
Wafri toleh. "Kau biar betul?"
"Ya siapa tau bisa balikin jaman kegemilangan kita dulu."
"Kau betul ni serius nak join?"
"Lo nggak percaya?"
"Of courselah tak. Busyman macam kau ni ada pulak masa nak datang training apa benda semua. Tu belum bab bertanding lagi. Nak tunggu kau free, alamat umur 60 tahunlah agaknya borang tu baru diisi. Tu pun tak tahu larat lagi ke tak main!"
Kali ini Aryan yang tergelak. "Aku cuman bercanda doang, ah."
"Tahu! Lagi-lagi kau dah ada Sefhia nak dijaga sekarang."
Mendengar nama Sefhia, riak Aryan sedikit berubah. Botol air di sisi dicapai. Diteguk minuman itu hilangkan penat yang berbaki di badan.
"How is she?"
"Alhamdulillah. Dua minggu aku nggak ada, kayaknya dia makin selesa di rumah."
"Kesihatan dia?"
"Semakin membaik. Berantem sama aku juga udah bisa."
"Hah?" riak Wafri nyata terkejut. "Kau bertumbuk dengan dia ke?"
"Hampir-hampir juga tadi."
"Biar betul? Sefhia tu baru nak sihat, kau tahu tak?"
"Nggak butuh nungguin sampei dia sihat, kok. Masih sakit juga udah bisa."
"Maknanya, masa kau mintak aku datang rumah tengokkan dia hari tu, kau baru lepas bergaduh dengan dialah? Luka, lebam, kaki dia tu, kau yang buat?"
Lambat-lambat Aryan angguk.
"Astaghfirullahalazim!" Wafri tepuk kepala. Terkesima dek pengakuan rakannya. "Kau biar betul, Ryan? Sampai teruk macam tu kau belasah dia? Perempuan tu kut!"
"Apa yang aku lakuin itu masih nggak setimpal sama apa yang telah dia lakuin ke aku dulu, Ri. Lebih teruk! Lo masih ingat sama lebam di rusuk kiri itu?"
"Hah! Kenapa dengan lebam tu? Jangan cakap kat aku Sefhia yang buat."
"Emang dia yang lakuin."
Wafri telan air liur. Posisinya yang tadi santai juga dah tegak duduk.
"Bukan calang-calang orang boleh tendang sampai lebam macam tu, Ryan. Perempuan pulak tu. Patutlah aku tengok dia steady aje masa aku datang rumah. Isk! Seram pulak aku nak rawat dia lepas ni. Buat silap kang, tak pasal-pasal mendapat aku dia punya flying kick!"
"Kalau lo nggak cari pasal, nggak mungkin dia akan kenapa-kenapakan lo."
Suasana jadi senyap. Hanya suara-suara orang bermain di gelanggang yang kedengaran. Hingga beberapa detik kemudian, tawa Wafri tiba-tiba berderai.
"Lo ngapain, sih? Ketawa tiba-tiba kayak gini?"
"Entah. Tiba-tiba aku rasa kelakar pun ada tengok kau orang berdua."
"Apaan sih yang kelakar?"
"Yelah. Selalu orang risaukan perempuan tak pandai lawan. Tapi Sefhia, dah terlebih handal aku tengok. Dengan engkau-engkau pun dia boleh kerjakan. Adui!" ujar Wafri masih dengan tawanya. "But... it was good actually. Atleast, kau tak payah nak risau pasal keselamatan dia. She could manage herself in case something bad happen.
Well... ex-Crazierlah katakan! Siapa tak kenal. Gangster paling otai. Semua gangster-gangster kat Malaysia ni dia orang bantai! Bab-bab gaduh ni dah jadi darah daging all of them!"
"Maybe."
"Tapi kan... terror sangat ke Sefhia tu lawan? Sampai kau pun boleh kalah!"
"Cobain lo yang rasa. Lo juga tadi yang bilang dia itu bukan sembarangan orang. Kalau aku yang berantem sama dia pasti lagi kalah, apa lagi lo."
Serentak Wafri angkat kedua tangan. "Wooo! Dah tentu-tentu aku surrender awal-awal, bro!"
"Bagus kalau lo tau."
"Tapi kira okeylah tu. Bolehlah kau hire dia jadi bodyguard lepas ni."
"Lo ngomongnya usah yang macem-macem, ah."
"Betul apa? Mana tahu kalau kau kena culik lagi ke lepas ni, dia boleh protect kau!"
Kali ini Aryan tak balas. Kata-kata Wafri buat otaknya bekerja keras. Fikir sesuatu.
"Dah... kenapa pulak kau diam ni? Terasa ke dengan apa aku cakap?"
"Nggak."
"Habis tu? Apa yang serius sangat?"
"Aku lagi mikirin gimana nanti Sefhia sekembalinya orang tua aku dari Jakarta."
"Bila parent kau balik?"
"Aku juga nggak tau."
"Apa susah? Kau lepaskan ajelah dia. Dari hari tu lagi aku dengan Leeya dah suruh kau serah dia kat polis. Tapi kau tak nak."
"Udahku bilang. Belum waktunya lagi."
"Kalau macam tu, carikanlah rumah untuk dia tinggal sendiri."
"Gimana kalau Crazier bisa menemukannya?"
"Kan dia orang semua dah kena tangkap. Apa lagi kau nak risaukan?"
"Untuk saat ini, ya. Tapi waktu-waktu ke depannya nanti? Kita nggak tau yang bakalan terjadi, Ri. Siapa tau mereka bisa terlolos dari hukuman. Atau kabur dari penjara."
Wafri diam. Dalam hati turut mengiakan. Siapa tak kenal geng Crazier. Bijak. Tangkas. Licik. Benda mustahil pun boleh jadi tak mustahil.
Keadaan sepi sekali lagi. Aryan fikir masalahnya. Wafri terus mencari akal.
"Susah-susah sangat, kau kahwin ajelah dengan dia!"
Serentak Aryan dongak. "What?"
"Kalau kau orang kahwin, tak ada sebab Sefhia tak boleh tinggal terus kat rumah tu dengan kau dan family kau. Kau jugak cakap tadi, belum waktunya lagi kau nak serah dia kat polis. Nak suruh dia tinggal sendiri, takut nanti geng-geng lama dia jumpa. So... that's only the way you have."
"Ah! Kerja gila itu."
"Gila tak gila. Sejak kau bawa balik Sefhia ke rumah tu pun, memang kau dah buat kerja gila. Apa bezanya?"
"Kalau nanti identiti Sefhia itu ketahuan sama keluarga aku, gimana?"
"Kalau macam tu, kau lepaskanlah dia. Habis cerita! Tak payah nak pening-pening dah fikir semua. Kalau terus fikir, dengan aku-aku sekali ikut jadi gila!"
"Wafri! Aryan! Second set dah nak start. Get in!"
Suara itu serta-merta matikan perbualan Aryan dan Wafri.
"Dah, jom. Dia orang dah panggil."
SILING nun di atas direnung. Berharap dapat hilangkan rasa bosan yang menggunung. Lama dia termenung. Tapi tak ada apa-apapun. Sudahlah putih. Kosong.
Sefhia hela nafas. Tak tahu apa lagi perlu dibuat. Untuk singkir rasa bosan yang dah sarat.
Sejak Aryan pulang, dirinya dah tak bebas. Keluar masuk bilik terbatas. Nak buat apapun, semua terkandas.
Baru dia nak rasa seronok. Tolong Mak Minah masak kat dapur. Bantu Mak Minah kemas satu rumah. Teman Mak Minah siram bunga di laman. Makan sama-sama Pak Majid.
Tapi sekarang... semuanya dah tak dapat lagi. Sebab Aryan dah kembali.
Aryan.
Spontan Sefhia toleh ke kanan. Bungkusan pemberian lelaki itu diperhatikan.
'Apa yang dia beli? Mimpi apa tiba-tiba bagi?'
Mata berkalih ke siling semula. Ikut hati, dia nak biarkan saja. Rasa marah pada si pemberi masih menggila. Tapi nalurinya meronta-ronta kuat suruh buka.
Lima minit berkira-kira, akhirnya Sefhia turun dari katil. Bungkusan atas meja solek diambil. Sambil tangan mengoyak pembalut, sambil itu dia bergerak balik ke katil.
Dengan tangan separuh menggeletar, kotak itu dibuka. Dan tak semena-mena, kaki Sefhia kaku serta-merta. Isi dalam kotak bagai mencarik-carik koyak seluruh daging dalam tubuhnya. Sesak. Panas. Berbisa. Hinggakan dia jatuh terduduk ke lantai dek serangan perasaan yang luar biasa.
Gadis itu terkedu. Otaknya bercelaru. Nafasnya beralun laju. Kejutan apakah ini yang sedang berlaku?
Dalam termangu, kotak di pegangan dipandang satu demi satu.
Sepasang telekung. Selembar sejadah. Senaskah Al-Quran.
Kepala Sefhia tersandar lemah di birai katil dalam ketakutan yang menderu.