Aku pun tidak ingat sejak bila aku mula meminati bidang fizik kuantum dan relativiti. Fizik kuantum ialah suatu bidang dalam cabang ilmu fizik yang mengkaji tentang interaksi jirim dan tenaga dalam skala mikroskopik. Sementara itu, relativiti pula mengkaji tentang pergerakan jirim dan interaksinya dengan tenaga dalam kelajuan menghampiri kelajuan cahaya.
Seingatku, aku mula meminatinya semasa aku di zaman kanak-kanak. Aku dengan sendirinya mendapat 'idea' tentang kaedah saintifik, fizik teoretikal, dunia selari dan kedudukannya, konsep masa dan konsep ruang yang tidak selanjar iaitu bersifat diskret, dan pelbagai lagi pengetahuan saintifik berkaitan fizik. Dari mana aku tahu semua itu? Dari pembacaan? Tidak, setahu aku, aku masih tidak tahu membaca pada saat itu. Malah, aku bukannya seorang yang rajin membaca pun. Sumber bahan bacaan pun tidak ada sangat pada waktu itu di rumah saya, tetapi bagaimana saya boleh mendapat ilmu itu semua?
Bukan juga dengan cara pembelajaran daripada persekitaranku. Orang di sekelilingku tiada yang mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bidang fizik. Tiada di antara mereka yang boleh mengajarkan kepadaku tentang semua itu. Jikalau mereka ingin mengajarkannya kepadaku sekalipun, tiada sebab untuk mereka ajarkan tentang pengetahuan itu kepada diriku yang masih kanak-kanak itu. Mereka tiada keperluan untuk itu.
Dari manakah aku mengetahui dan mempelajari tentang semua itu? Aku ada satu teori sahaja untuk persoalan itu, cuma teori sahaja belum dibuktikan lagi. Aku rasa apa yang aku dapat itu adalah ilham. Ilham? Apa itu ilham? Ilham menurut definisi Kamus Dewan Edisi Keempat membawa kepada beberapa maksud.
Pertama, ilham ialah suatu petunjuk dari Tuhan untuk menolong hambanya keluar daripada kesusahan. Contohnya Tuhan mengilhamkan ibu Nabi Musa A.S. untuk memasukkan Nabi Musa ke dalam peti dan menghanyutkannya di Sungai Nil untuk menyelamatkannya daripada dibunuh oleh tentera Firaun.
Ilham juga merujuk kepada suatu bentuk gerak hati, intuisi untuk mencetuskan sesuatu idea atau mencipta sesuatu yang baru untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Ilham seperti yang dialami oleh Albert Einstein untuk mencetuskan Teori Relativitinya. Ilham yang dicapai melalui proses pemikiran seseorang itu untuk menyelesaikan suatu masalah, teori dan sebagainya. Bagiku dan melalui pengamatanku, ilham hanya boleh dicapai oleh orang yang menggunakan akalnya untuk berfikir. Dia juga mesti faham ilham apa yang dia cetuskan di mindanya.
Namun, apa yang aku alami ini ilham ke? Sebahagian daripadanya aku faham, manakala sebahagian yang lain pula aku langsung tidak faham. Akalku yang masih muda dan tidak mengetahui apa-apa itu tidak mampu memahaminya, terlalu tinggi untuk digapai akalku. Pelik bukan?
Sebagai contoh, ilham tentang dunia selari yang tiba-tiba sahaja tercetus di mindaku tidak langsung aku fahami. Konsep tentang dunia selari pun aku tidak pernah dengar sebelum itu. Aku hanya mendengar dan memahaminya sedikit demi sedikit apabila aku meningkat dewasa. Aku mendapat pengetahuan itu melalui pembacaan dan siri dokumentari sains yang aku tonton di televisyen. Namun begitu, aku cuba memahaminya melalui imaginasiku sendiri. Apa yang aku faham, dunia selari itu ialah dunia yang berlainan dengan dunia kita. Kedudukannya berada di sekeliling kita, di antara 'celahan ruang'. Jika kita mahu ke dunia itu, kita boleh melaluinya 'pintunnya' yang juga berada di antara 'celahan ruang'. Entah, aku pun masih kurang faham sebenarnya tentang konsep dunia selari, kedudukannya dan sebagainya.
Ilham itu membuka pintu hatiku untuk meminati bidang sains secara umumnya dan fizik secara khususnya. Malah, aku mempunyai cita-cita untuk menjadi saintis. Aku mahu rungkai segala persoalan yang terbit di mindaku. Oleh kerana aku sendiri tidak berapa memahami ilmu yang aku dapat, benak fikiranku menimbulkan beberapa persoalan. Kadang-kadang persoalan itu timbul kerana aku kurang memahami ilham yang aku dapat itu. Imaginasi aku sendiri tidak mampu untuk memahaminya. Namun begitu, ada kalanya juga persoalan itu muncul secara tiba-tiba di mindaku, seolah-olah persoalan itu sendiri ilhamnya.
Mula-mula aku sangkakan apa yang aku hadapi ini normal. Apa yang aku hadapi ini juga dialami oleh orang lain semasa mereka pada zaman kanak-kanak juga. Aku sangkakan semua orang akan mendapat pengetahuan seperti aku, mencetuskan minat dalam sesuatu bidang bersesuaian dengan kemampuan masing-masing. Aku memang selama ini menyangkakan bahawa setiap orang dilahirkan dengan kemampuan yang unik mengikut individu itu sendiri. Ilham atau ilmu pengetahuan yang mereka dapat ditentukan oleh kemahiran atau bakat masing-masing. Dengan erti kata lain, ilham itu menentukan hala tuju mereka pada masa hadapan.
Kata-kata Einstein bahawa 'seekor ikan jika diajar memanjat pokok sampai bila-bila pun tidak akan pandai' aku pegang dan percayakannya sungguh-sungguh. Kata-kata itu membawa maksud jika seseorang itu menceburi sesuatu bidang yang tidak bersesuaian dengan kemampuan mereka, sampai bila-bila orang itu tidak akan maju. Namun begitu aku lupa bahawa Einstein bukannya Tuhan. Kata-katanya bukan sentiasa benar. Boleh jadi dia salah. Berdasarkan pengalaman aku ketika zaman kanak-kanaklah yang menyebabkan aku percaya kata-katanya itu.
Walaubagaimanapun, ramai juga para ilmuwan yang tercatat namanya dalam sejarah boleh menguasai pelbagai bidang. Contohnya, Isaac Newton seorang ahli fizik yang terkenal dengan penemuannya mengenai Hukum Gerakan Newton juga merupakan seorang ahli alkimia? Eh, biar betul? Selain itu, Ibnu Khaldun juga menguasai pelbagai bidang seperti sejarah, sosiologi, ekonomi dan sebagainya. Ibnu Kathir juga menguasai bidang sejarah selain dari bidang tafsir Al-Quran.
Adakah sangkaanku selama ini silap? Mula-mula aku mempercayainya bulat-bulat dan menyampaikannya kepada semua kawanku tanpa ada rasa bersalah. Sedikitpun aku tidak terfikir tindakanku itu akan menyebabkan mereka terguris hati. Sedikit sebanyak mereka memang terguris hati apabila aku bercakap mengenainya. Aku dapat mengagak melalui riak wajah mereka. Barangkali, sebab itulah mereka mula membenciku dan menjauhkan diri daripadaku.
Kepercayaanku semakin menjadi-jadi apabila aku mempunyai masalah untuk memahami apa yang dipelajari. Aku berasa sukar untuk memahami konsep-konsep asas dalam fizik seperti daya, tenaga, kerja, momentum, kuasa dan sebagainya. Walhal aku tahu, jika aku tidak memahami konsep itu, aku akan mengalami kesukaran untuk memahami cabang-cabang ilmu fizik yang lain.
Aku masih ingat lagi ketika aku mula-mula mendapat markah yang pertama dalam subjek fizik. Aku mendapat 'C'. Aku masih ingat lagi ekspresi yang terlukis pada wajah rakan yang menyerahkan kertas peperiksaan itu kepadaku. Dia senyum kepadaku, ingin memujukku barangkali. Namun begitu, aku merasakan bahawa dia seolah-olah sedang mengejekku, walaupun tidak pada hakikat yang sebenarnya. Aku benci dengan perasaan itu setiap kali aku mengingatkannya. Pada masa itu, dadaku terasa sesak kerana tidak dapat menerima hakikat itu.
Pada ketika itu, aku teringat akan cita-citaku yang ingin menjadi saintis. Bagaimana aku ingin menjadi saintis jika keputusanku teruk seperti itu. Bagaimana aku ingin menjadi saintis jika konsep asas pun aku tidak lepas. Tunggu, sejak bila pula aku bercita-cita tinggi seperti itu. Kenapa aku pilih untuk menjadi seorang saintis? Aku telah terlupa pada waktu itu tentang pengalamanku ketika zaman kanak-kanak. Sehingga aku kurang meminati bidang fizik lagi.
Kadang-kadang aku menghabiskan masaku dengan membaca buku-buku sains, fizik terutamanya. Melalui pembacaan itu, aku dapat belajar ilmu fizik yang masih belum diajar di sekolah. Aku amat meminati fizik kuantum dan teori relativiti. Aku dapati aku boleh fahami konsep-konsep di dalamnya tanpa masalah, seperti yang aku hadapi ketika aku mempelajari Fizik Klasik. Sedangkan Fizik Klasik itu adalah asasnya, bagaimana aku boleh 'lompat' begitu sahaja. Pelik bukan?
Aku berasa pelik dengan diriku. Aku cuba untuk mencari jawapannya. Sampailah pada suatu hari, aku kenang kembali peristiwa pada masa lampau. Ya, peristiwa itu yang mencetuskan minat aku dalam bidang fizik. Aku fikir ilham atau pengetahuan yang aku dapat itu akan membantuku untuk memahami dengan lebih mendalam lagi tentang fizik kuantum. Kemungkinan juga ia merupakan suatu model yang masih belum ditemui lagi. Aku mula terfikir adakah akulah orang pertama yang akan mencetuskan teori mengenai model itu dan merungkai permasalahan dalam fizik.
Aku sudah berazam untuk meneruskan minatku dalam bidang fizik. Malah, itulah bidang yang aku ambil di universiti. Berani sungguh aku pada masa itu. Namun begitu, sekali lagi aku menghadapi kesukaran yang sama ketika aku mula-mula mempelajarinya di sekolah. Aku mula berasa rendah diri. Aku takut orang akan melemparkan tuduhan bukan-bukan jika mereka mengetahui kelemahanku. Aku cuba melarikan diri daripada masalahku dengan mengatakan bahawa ia bukan bidangku, tidak perlu risau jika aku tidak memahaminya. Aku cuma membiarkan sahaja. Aku rasa ia tidak perlu pun.
Aku cuba juga untuk menyelesaikan masalahku, aku cuba untuk memahami konsep-konsep yang selama ini aku tidak fahami. Namun begitu, aku tidak ketemu penyelesaiannya. Aku tidak tahu apa puncanya lalu aku biarkan sahaja masalah itu. Aku mula fokus untuk memahami Fizik Moden pula.
Mula-mula memang tiada masalah, aku berasa gembira. Namun begitu, lama kelamaan aku sudah tidak mampu lagi memahami apa-apa pun baik Fizik Klasik atau Fizik Moden. Aku berasa kecewa dengan diriku. Aku mula terfikir bahawa selama ini memang aku bukan dilahirkan untuk bidang ini. Keadaan diriku seperti ikan yang belajar memanjat pokok, mungkin. Aku sudah berputus asa.
Beberapa hari sebelum semua orang menamatkan pengajiannya kecuali aku kerana belum berjaya menghabiskan pengajianku ini. Aku terbaca suatu artikel di Internet. Artikel itu menerangkan suatu model yang kurang mendapat sambutan. Aku pun tidak tahu kenapa sebabnya. Selalunya, model-model seperti Superstring Theory dan Supersymmetry yang lebih dikenali dalam dunia saintifik.
Space-time Superfluidity ialah suatu model mengenai ruang masa yang mempunyai sifat seperti superfluid. Aku rasa seperti sudah biasa dengan model itu dan dapat memahaminya dengan mudah. Padahal inilah kali pertama aku terbaca artikel mengenai model itu. Aku teringat sebahagian daripada ilham yang aku dapat. Ilham bahawa ruang itu bukan sesuatu yang selanjar tetapi diskret, terbahagi kepada quanta-quanta.
Aku pernah mengilhamkan tentang suatu model. Suatu model yang aku reka sendiri berpandukan ilham aku dahulu, sedikit pengetahuan aku dalam fizik dan imaginasiku sahaja. Quanta ialah sesuatu yang berada di dalam kuantiti atau jumlah yang tetap seperti quanta tenaga atau quanta cahaya iaitu foton. Namun kali ini quanta ruang pula. Syarat untuk berada di dalam ruang ialah apa sahaja entiti yang mempunyai jisim seperti jirim. Disebabkan cahaya tidak mempunyai jisim, maka cahaya tidak boleh berada di dalam quanta ruang. Setiap entiti yang berada di dalam quanta ruang akan mengalami konsep masa, sementara cahaya tidak.
Masa pula didefinisikan sebagai tempoh yang diperlukan untuk sesuatu entiti itu bergerak dari suatu titik ke titik melalui rujukan pemerhati. Jarak di antara dua titik adalah konsep di dalam ruang. Konsep masa pula mesti ada konsep awal dan akhir. Awal berada di titik mana dan akhir berada di titik mana. Namun menurut pemerhati, cahaya kelihatan tiada di titik mula dan di titik akhirnya, sejak bila ia mula bergerak pun aku tidak tahu. Maksud aku, aku tidak tahu untuk menerangkannya.
Sementara itu pula, konsep ruang merujuk kepada tempat kita berada. Pada pemerhatian aku, cahaya berada di mana-mana, kedudukannya tidak terbatas. Masa kosong dan ruang infiniti bagi cahaya. Masa kosong kerana cahaya tidak mengalami masa, manakala ruang infiniti atau tiada bertempat kerana cahaya tidak duduk di dalam ruang.
Quanta-quanta ruang pula amat halus, boleh dialami dalam skala mikroskopik sahaja. Partikel-partikel dalam skala mikroskopik bergerak dengan halaju tertentu kerana ruang yang dilalui terbahagi kepada beberapa quanta. Seperti jirim yang mana unit asasnya adalah atom dan jirim pula mempunyai tiga keadaan iaitu pepejal, cecair dan gas. Ketiga-tiga keadaan itu ditentukan oleh jarak antara atom-atom itu. Atom paling rapat kedudukannya ialah pepejal diikuti cecair dan akhir sekali gas.
Persoalannya, adakah ruang tempat kita duduk ini adalah sama? Apa kesannya jika jarak antara quanta-quanta ruang ini juga boleh berubah? Boleh berlaku ke? Adakah ruang atau ruang-masa itu seperti pepejal, cecair atau gas? Model Space-time Superfluidity yang menyatakan bahawa ruang-masa itu seperti superfluid benar-benar menarik perhatianku sehingga kini.
Namun begitu, aku tidak membentangkan modelku kerana aku tiada bukti untuk membuktikan teori aku. Sesuatu teori itu mesti dibuktikan melalui kajian. Kajian pula boleh didapati dengan melakukan eksperimen di dalam makmal atau melalui persamaan matematik. Aku rasa model aku ini hampir mustahil untuk dijalankan eksperimennya. Aku Cuma tinggal satu pilihan sahaja iaitu melalui persamaan matematik. Persamaan matematik? Hmm... aku tidak tahu hendak mula dari mana ya?