Home Novelet Seram/Misteri RUMAH KOSONG
RUMAH KOSONG
Mohd Fazli Fast
16/1/2017 21:17:26
8,577
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 11-BERMULA

BAB 11-BERMULA

JAM di dinding berdetik tanpa henti. Masa itu tidak akan menunggu sesiapa. Shahirah terbaring kaku diatas kerusi sambil tangannya menutupi matanya. Pak Cik Abdul terkejut dengan kehadiran Shahirah. Isterinya tidak memberitahu langsung tentang kehadiran orang asing di dalam rumahnya itu. Pak Cik Abdul lalu masuk kembali ke dalam bilik tidurnya.

Kelihatan isterinya, Halimah sedang memakai tudung untuk menutupi rambutnya. Pak Cik Abdul merebahkan punggungnya di atas katil. Dia memandang isterinya yang sedang sibuk memakai tudung berwarna putih bersih.

“Mah, siapa duduk di ruang tamu tu?” soal Pak Cik Abdul kepada isterinya.

Mak Cik Halimah menoleh ke arah suaminya yang tidak lepas dari memandangnya.

“Itu Shahirah,” jawab Mak Cik Halimah ringkas.

“Shahirah?”

“Ya. Sebenarnya dia yang cakap anak kita yang berada di rumah kosong itu,”

“Eh! Macam mana dia tahu anak kita ada kat rumah kosong tersebut? Kenapa dia tak selamatkan anak kita terus?” Pak Cik Abdul semakin pelik dengan kehadiran Shahirah, orang yang tidak dikenali.

“Tunggulah saya habis cakap dahulu,’’

Mak Cik Halimah selesai memakai tudungnya. Dia mendekati suaminya lalu duduk di atas katil. Pak Cik Abdul tidak menyoal lagi, dia menunggu bicara yang akan keluar dari mulut isterinya.

SETELAH selesai daripada Mak Cik Halimah menceritakan secara panjang lebar tentang Shahirah, kedengaran suara memanggil salam dari luar rumah.

“Eh, Pak Imam dah sampai tu,’’ Pak Cik Abdul menyedari kehadiran suara Pak Imam.

“Jom, lekas.” Mak Cik Halimah bingkas bangkit dan keluar bersama dengan suaminya.

“Macam mana dengan Shahirah?” soal Pak Cik Abdul sambil melihat Shahirah terbaring lesu di atas kerusi kayu.

“Biarkan dia berehat. Dia letih tu.” Mak Cik Halimah menjawab dengan nada yang perlahan.

Pak Cik Abdul hanya menganggukkan kepalanya.

“Waalaikumussalam, Pak Imam. Eh, Tok Siak dan Ustaz Amirul pun ada.” Pak Cik Abdul lalu melangkah deras menuruni anak tangga sambil menyarung selipar yang terdapat di tepi pasu bunga.

“Ya. Ustaz Amirul pun sudi membantu kita. Kerana rumah kosong tu tempatnya cukup keras.’’ Jawab Pak Imam sambil memegang janggutnya yang hampir beruban.

“Haha, kalau harapkan saya memang tak larat. Kubur kata mari saja.” Jawab Tok Siak yang berumur hampir 60-an.

“Eh, Tok Siak. Orang muda tak sepertinya tak mati.” Jawab Ustaz Amirul sambil tersenyum manis ke arah Tok Siak.

“Betul cakap Ustaz Amirul tu,” kata Pak Imam.

Kelihatan Mak Cik Halimah yang terdiam kaku di tepi suaminya yang kemas berpakaian baju melayu.

“Eh, kamu pun mahu ikut juga ke Kak Halimah?” tanya Pak Imam kepada Mak Cik Halimah yang sejak tadi hanya mendengar perbualan mereka.

“Iya, Pak Imam. Saya risau dengan keadaan anak saya.” Jawab Mak Cik Halimah dengan wajah yang suram.

“Mak Cik Halimah kalau boleh duduk sahaja di rumah. Biar kami sahaja yang pergi ke rumah kosong tersebut. Sebab kawasan tu keras. Mak Cik Halimah berehat saja di rumah,” Ustaz Amirul menasihati Mak Cik Halimah.

“Tapi...”

Tidak sempat Mak Cik Halimah menghabiskan bicaranya suaminya tiba-tiba bersuara.

“Benar kata Ustaz Amirul tu. Mah duduk sahaja di rumah. Kalau tak boleh tidur, bacalah al-Quran. Berdoalah banyak-banyak semoga anak kita selamat.” Beritahu Pak Cik Abdul sambil memegang bahu isterinya yang dicintai.

Mak Cik Halimah hanya tertunduk sepi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mohd Fazli Fast