Home Novelet Seram/Misteri PROJEK SERAM ISTANA : Purbakala
PROJEK SERAM ISTANA : Purbakala
Helmi Effendy
17/3/2016 21:36:07
11,206
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Prolog

LELAKI yang berbadan tegap itu termengah-mengah berlari sambil dikejar oleh kumpulan manusia yang memegang obor api. Untuk sesekali, dia menoleh ke belakang sambil berkerut dahinya.

Ketopong, sejenis hiasan kepala milik raja-raja Melayu zaman Kedah Tua, yang disarungkan di kepalanya entah jatuh ke mana. Tubuhnya yang berbalut kain sarung keemasan itu bermandi peluh. Kain sarung yang dipakainya pula kelihatan koyak-koyak, mungkin tercarik dek tersangkut akar kayu yang melata dalam hutan itu ketika dia berlari. Sesekali, lelaki itu menoleh ke belakang, melihatkan si pengejarnya yang seperti tidak mahu menyerah langsung.

Dermaga, panglima perang kesayangannya itu sendiri mengetuai askar-askar yang berpaling tadah. Entah bagaimana sebuah kota yang dibinanya sendiri jauh dari ibu kota itu berjaya dipecah masuk oleh Dermaga. Sedangkan selepas berpindah dari kota asalnya, dia sudah memasang ilmu hitam yang bertindak sebagai pelindung agar tiada musuhnya yang berjaya menjejakkan kaki ke situ.

“Kejar si penghisap darah itu! Kita akan pastikan dia berkubur di kota itu bersama dengan pengikutnya! Kejar dia! Kejar si bangsat tu!” pekik seorang lelaki yang kelihatan seperti seorang ketua dalam kalangan para pengejar itu.

“Aku tak akan mati! Kalian tak akan mampu menewaskan aku dengan apa-apa cara sekalipun. Aku Raja Inderawangsa, pemerintah Dinasti Ketomala dan Kedah yang agung. Aku kekal abadi untuk selama-lamanya!” teriak lelaki yang sedang dikejar itu sambil sempat melompat ke atas akar kayu yang merayapi lantai hutan itu pada waktu malam.

Dia tidak memerlukan obor untuk melangkah kerana tabiatnya meminum darah manusia memberikannya kekuatan dan kelebihan yang tidak dimiliki oleh manusia biasa.

“Berhenti Dermaga! Berhenti! Aku sudah tidak mampu nak berlari lagi!” teriak seorang lelaki dari belakang membuatkan Dermaga menoleh tidak percaya.

Kerutan di dahi Dermaga menandakan dia tidak menyangka langsung bahawa luahan itu akan lahir dari anak buahnya.

“Benar itu Dermaga! Aku tak tahu ilmu dia pakai, tetapi langkahnya seperti kuda. Matanya persis seekor burung hantu dalam kegelapan hutan seperti ini. Aku tak faham macam mana dia boleh melihat dalam keadaan yang segelap ini!” teriak yang lain pula.

Dermaga meludah geram. Kerana kelemahan ahli kumpulannya, dia kini sedang kehilangan jejak Raja Bersiong, Ternyata, Raja Bersiong jauh lebih bertenaga daripada ahli kumpulan yang terdiri daripada para askar elit Kedah Tua yang dikumpulkannya untuk memastikan bahawa Raja Bersiong ditamatkan usianya. Pemberontakan yang julung kalinya berlaku dalam sejarah Kedah Tua seperti bakal menemui kegagalan.

“Jangan khuatir anak muda… jangan khuatir,” gumam satu suara yang tuba-tiba muncul dari belakang.

Kelihatan seorang lelaki tua yang dalam berpakaian jubah dan serban serba putih sedang berdiri sambil tersenyum puas melihat kumpulan pengejarnya itu. Janggutnya putih sampai ke paras dada manakala dia sedang erat memegang sebuah tongkat. Daripada gaya langkahan lelaki itu, ternyata usianya benar-benar sedang memakan kudratnya. Melangkah pun terhincut-hincut. Kalau tiada tongkat itu, Dermaga dapat rasa lelaki itu pasti hanya mampu mengesot sahaja. Tetapi yang lebih aneh, bagaimana dia boleh mengejar langkah kaki mereka semua? Selepas apa yang menimpa Kedah Tua, tiada lagi perkara yang mustahil.

“Bagaimana kau boleh sampai ke sini?” soal Dermaga.

“Soalan itu tidak perlu berjawab Dermaga. Bukan semua persoalan di dunia harus dijawab. Cukup sampai di sini saja. Aku akan mengambil alih tugas kalian dari sini! Aku akan tewaskan ilmu hitam mereka. Aku akan datang kembali. Dermaga, aku juga akan amanahkan pada kau tentang cara-cara untuk memastikan ilmu hitam si lelaki itu tidak lagi hidup!”

Dermaga terkesima dengan penjelasan lelaki itu. Ketika lelaki tua itu berkira-kira mahu meninggalkannya, Dermaga memanggil lagi.

“Siapakah kau gerangan kau wahai orang tua?” soal Dermaga.

Lelaki tua itu menoleh sambil tersenyum.

“Panggil aku Sang Persata Nala. Itulah nama orang-orang di tanah aku memanggil aku!”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.