Amili memisat-misat matanya. Terasa kantuk masih bersisa. Belakang
tangannya dibawa ke bibir. Sudah tiga kali dia menguap. Tetapi matanya enggan
celik. Terasa lesu badannya. Dengan mata yang masih terpejam, Amili mengeliat
malas.
“Sayang… bangunlah. Lamanya tidur…”
Serta merta mata yang masih pejam tadi terbuka luas. Amili mencari-cari
arah suara yang cukup dikenalinya.
“Abang kat mana?”
“Sinilah.”
Kening Amili bertaut. Hairan! Langsung tidak kelihatan figura suaminya. “Sini
tu kat mana? Tak nampak pun?” sekilas, Amili memandang jam di dinding. 9.30
malam! ‘Lamanya aku tidur!’ desis hatinya. Mata sepet itu kembali ditebarkan ke
sekeliling biliknya sehinggalah dia nampak ‘sesuatu yang bergerak-gerak di
sebalik langsir balkoni kecil bilik tidur mereka.
“Kenapa tak menyorok dalam dalam tandas aje? Best sikit boleh kuak
lentang dalam bathtub?” perli Amili, sengaja! Selimut tebal yang membaluti
tubuhnya ditolak hingga mendedahkan perutnya yang sudah memboyot.
“Ala… dia tu… asal kita dekat aje, uweek. Asal dekat aje uweek. Rindu
tau! Abang tengok dari balik langsir ni pun, jadilah…”balas Fahim dalam nada
rajuk. Jauh di sudut hatinya tetap rasa sayu. Tapi setiap kali rasa itu
menyapa, cepat-cepat dia campak jauh-jauh perasaan itu. Pengorbanan san susah
payah Amili mengandungkan zuriatnya sudah cukup besar. Apalah sangat jika nak
dibandingkan dengannya yang terpaksa tidur berasingan.
Amili menekup mulutnya. Terasa lucu mendengar omelan Fahim. “Abang…
sinilah…”
“Tak nak. Nanti abang yang kecewa.”
“Sinilah sayang…” panggil Amili lagi dengan nada menggoda.
“Err… Mili jangan macam-macam… janganlah goda abang macam tu… nanti
abang jugak yang kecewa, Mili…” lirih nada suara Fahim yang masih setia di
balik langsir.
Amili mula tarik muncung sedepa. “Abang ni… masa Mili panggil tak nak
datang pulak! Masa tak panggil asyik nak menempek aje…”
Belum sempat bait-bait ayat merajuk Amili habis, Fahim terlebih dahulu
meluru keluar dari balik langsir dan melompat naik ke atas katil mereka. “Abang
datang, sayang!”
Lama Amili merenung wajah berharap suaminya. Tanpa kata, pandangan
mereka bertaut. Amili mengusap wajah
suaminya.
“Abang dah makan?”
Fahim menggeleng perlahan. Tangan isterinya yang melekap di pipi
dipegang lembut sebelum dikucup. “Abang tunggu Mili bangun. Sedap tau mak masak…
Sup ayam special untuk Mili. Kesian isteri abang ni… teruk bebenar alahannya.”
Amili terharu. Sikap Fahim yang satu inilah yang menjadi penguat kasih
antara mereka. Fahim benar-benar berubah 360 darjah. Dia bagaikan melihat Fahim
yang baru.
“Err… sayang diam aje ni… nak muntak lagi ke sebab abang duduk dekat
sangat dengan sayang ni?” Wajah Fahim berubah cuak bila Amili hanya mendiamkan
diri.
“ALLAH… Mili tengah feeling romantik ni ! Abang ni kacau daunlah. Karang
Mili muntah betul-betul atas abang baru tau!” usik Amili. Tubuhnya diginjak hampir
ke tubuh suaminya. Perlahan-lahan dia merebahkan kepala di atas riba Fahim.
Tangan kanan suaminya dibawa ke perut yang memboyot. Manakala sebelah lagi
dilekapkan ke kepalanya. Ingin dibelai…
Fahim tersenyum senang. Lama dia menanti detik ini! ‘Terima kasih mak!
Petua mak memang mujarab!’ desis hati kecilnya. Teringatkan petua Mak Diah,
Fahim tersenyum lagi. Makin lama, makin lebar. Bibirnya diketap pula bila dia
rasa ingin ketawa mengenangkan peel alahan Amili.
“Mak dulu kan, masa mengandungkan Im, mak pun tak boleh bau badan ayah.
Tak tahulah kenapa. Ayah Im dah sampai mati akal. Mak lagilah sedih. Masa
mengandunglah kita nak perhatian suami, tapi masa tu tak boleh. Situasi mak
sama macam Mili sekarang ni. Agaknya, anak kamu ni betul-betul ikut perangai
kamu kot Im?”
Fahim mengerutkan dahinya. “Habis? Ayah buat macam man? Jenuhlah mak…
empat bulan lagi Mili nak beranak tu haa… takkan Im nak kena tidur luar lagi? Cukup-cukuplah
yang dok ada ni. Apa kes main-main mata dari jauh aje?”
“Eleh… baru alah macam tu dah merungut. Isteri yang mengandung tu lagi
teruk tahu tak? Tengok Mili tu, lembik dah mak tengok. Nasib ler jugak dia
makan suplemen yang dia jual tu. Kalau zaman mak dulu… Alahai…”
“Yelah-yelah… cepatlah mak! Bagilah petua ayah tu…” rengek Fahim. Hatinya
sudah tidak sabar. Rindunya untuk memeluk isteri tercinta makin membuak-buak.
Mak Diah geleng kepala. “Hish! Tak
menyempat-nyempat!”
“Mestilah! Siapa tak sayang bini, mak…”
Mak Diah menggeleng sambil ketawa kecil. Tubuh tua itu seraya bagun dan
ingin menuju ke bilik.
“Lah… mak ni, tadi cakap nak bagi petu… ni mak nak pi mana pulak?”
“Alahai… anak bertuah oii… Mak nak pi ambik untuk Im lah ni!”
“Im tak sakit! Im tak nak pergi klinik. Im nak tahu petua yang arwah
ayah buat tu… please, mak! Please…..” rayu Fahim lagi.
“ALLAHUAKBAR… Anak oii… Hah! Kalau tak menyempat sangat mai sini ikut
mak.” Mak Diah terus berlalu. Hilang kata dengan kerenah Fahim yang pertama
kali dilihat sepanjang dia membesarkan Fahim.
“Mak cari apa?” soal Fahim tidak sabar.
Mak Diah diam. Tangannya laju menyelongkar isi beg pakaiannya.
“Mak… mak nak cari apa ni? Lambat lagi ke?”
“Hah! Jumpa pun!”
Mata Fahim bulat merenung botol bedak berwarna merah yang dihulurkan
oleh Mak Diah.
“Nak buat apa dengan bedak ni, mak?”
“Haa… bedak ni bagus! Bau badan hilang kalau pakai bedak Agnesia ni. Tak
payah pakai deodorant lagi.” Jelas Mak Diah.
“Arwah ayah pakai bedak ni ke mak?” Fahim ragu-ragu. Perlahan-lahan
dicium pula bau bedak itu.
“Tak payah nak cium-cium… bedak tu tak ada bau macam bedak-bedak atau
pewangi yang kamu suka pakai tu. Tapi bedak nilah bagus kalau nak sembunyikan
bau badan. Tak adalah Mili asyik muntah
aje bau badan kamu nanti.”
Riak muka Fahim berubah. Terus dicium bawah lengannya. “Im baru tukar
aje perfume ni, mak! Bau segar aje. Kalau BVLGari dulu kotlah, baunya kuat.
Tapi yang BodyShop ni baunya segar. Mana ada busuk. Im pun bukannya jenis cepat
berpeluh macam adik tu…”
Mak Diah terus ketawa besar. “Mak tak cakap ketiak kamu busuk! Tapi
tindak balas kimia perfume kamu dengan bau badan asli mungkin menyebabkan
baunya lain di hidung Mili. Tak selesa, mual. Baik pakai yang tak ada bau. Apa
daa… mak yang belajar tak tinggi pun boleh fikir.”
“Macam tu eh?”
“Yelah… tapi mak punya ni dah nak habis. Lama dah mak tak pakai sebab
bini kamu belikan mak tiga set minyak wangi siap ada bedak-bedak lagi.” Terang Mak
Diah panjang lebar.
“Ooo… macam tu…”
“ABANG!”
Fahim tersentak. Pandangannya dihalakan ke bawah. Tepat ke wajah muncung
Amili. “Err… apa sayang? Panjang pulak flashback abang tadi. Jangan marah ye?”
“Abang menungkan apa? Teringatkan siapa? Oh! Bini depan mata pun
teringatkan orang lain ke?” rajuk Amili. Tangan Fahim yang membelai rambutnya
ditepis. Dia ingin segera bangun tetapi bahunya ditekan dan dia kembali baring
atas paha suaminya.
“Mana ada ingat orang lain. Mestilah abang ingat bini abang ni. Rindu
tau…” Fahim mula mengayat.
Amili mencebik. “Yelah tu…”
“Sumpah! Abang rindu… agak-agak peel Mili dah kembali normal ke belum?”
Amili menjongketkan bahunya. “Entahlah… mana Mili tau. Bukannya Mili
minta jadi macam ni.Bukan Mili buat-buat nak muntah bila abang dekat. Dah betul…
Mili pun nak jugak…” Kata-kata Amili terhenti bila anak matanya direnung
dalam-dalam oleh suaminya. Lama! Hingga dia menjadi malu.
“Nak apa?” soal Fahim dengan nada menggoda. Senyumannya meleret bila
tiba-tiba wajah putih bersih isterinya bertukar kemerah-merahan.
“Tak ada apalah…”
“Cakap dulu!”
“Mili laparlah… tak kesian kat anak ke? Jom kita makan ya sayang?”
rengek Amili perlahan. Nada suaranya pula makin manja hingga Fahim kalah.
“Okey! Abang surrender! Cepat bagun!”