Tuhan, kalau kau mampu mendengar
doa ini, maka dengarlah dengan begitu bersungguh-sungguh. Sesungguhnya hambamu
ini, tidak pernah meminta apa-apa pun sepanjang hayatnya sehinggalah detik ini.
Selamatkanlah belahan jiwaku, Nurul Amiratul Lyana binti Syazwan. Selamatkanlah
insan yang telah mengajarkan aku erti kehidupan dan menghalau rasa sunyi yang
dahulunya bersahabat dengan aku. Ya TUHAN, aku tahu aku bukanlah hambamu yang
setia sepertimana Faezal dan Semantani. Aku tahu aku adalah hamba yang derhaka.
Namun, untuk hari ini, hambamu yang derhaka ini akhirnya sujud meminta pada
kau. Ego aku runtuh! Angkuh aku melayang! Aku sedar bahawa aku bukanlah sesiapa
dalam duniamu TUHAN…
Kalau
mampu isi hati Ben Mazalan yang sedang berdoa ketika itu didengari oleh seluruh
isi bas yang sudah mampu kembali bergerak itulah, ianya saling tak tumpah
seperti apa yang diungkapkan tadi. Cumanya, hanya Ben Mazalan sahaja yang
mengetahui apa yang didoakan. Oh ya sudah tentu, ALLAH yang Maha Mendengar yang
menjadi tempat kebergantungan Ben Mazalan.
Rasa
menyesal mula kembali menyelinap jauh ke dalam jiwanya. Kalaulah dia menegah
Amira daripada menyertai misi bunuh diri yang diketuai oleh Faris, pastinya
sekarang Amira sedang tersenyum disebelahnya. Ahh senyuman itu… senyuman yang
telah mencuri hatinya belasan tahun yang lepas ketika diperkenalkan dengan
Amira. Gadis itu, atau ketika imbasan memori Ben Mazalan, Amira masih lagi
bergelar seorang budak, enam tahun usianya. Amira ialah orang pertama yang
tersenyum ke arahnya. Dan sejak itu, Ben Mazalan akan menjadi rindu pada
senyuman itu. Semoga nanti, dia punya kekuatan untuk mengembalikan senyuman itu
pada wajah Amira kalau mereka berkesempatan untuk berjumpa lagi.
“Kau
punya pasal yang kita semua kena buat kerja bodoh ni!” Kedengaran suara Aidi
bertempik dalam bas sekolah itu sambil memegang koler baju Zul. Ben Mazalan
terus menoleh ke arah mereka berdua.
“Korang
dua lagi….” Ben Mazalan jadi malas dengan gelagat Aidi dan Zul.
“Bukan
aku! Siapa yang menjerit nampak lipas tu sampai buat diaorang tangkap kita?”
soal Zul pula bengang.
“Kau
yang nak berlagak hero selamatkan Bait! Celaka aku pula jadi mangsa!” Aidi membalas
bengang.
“Sekurang-kurangnya
aku berlagak wira! Bukan berlagak pondan! Dengan lipas sampai pun menjerit!”
Bam!
Tubuh Zul terlentang diatas kerusi empuk bas sekolah yang baru sahaja selesai
pembaikiannya selepas RAD berjaya diselamatkan. Aidi terus melompat ke atas
tubuh Zul sebelum mereka berdua bergelut. Ketika Shakila berkira-kira mahu
meleraikan dua orang sahabat yang saling tak tumpah seperti anjing dan kucing
itu, Ben Mazalan tiba-tiba bangkit sambil menghampiri Zul dan Aidi sebelum dua
orang itu menjadi mangsa hadiah tumbukan daripada Ben Mazalan.
“Amira
tengah terperangkap dengan Alpha dan pada waktu yang macam ni, benda yang paling
penting ialah kita semua kena saling bekerjasama untuk teroka Pusat Sains
Negara… yang hanya ALLAH jer yang tahu sedang menanti kita kat dalam tu, korang
dua boleh bergaduh pulak tentang siapa antara korang yang salah? Nak tahu siapa
yang salah dalam hal ni? Aku! Aku! Faris amanahkan aku untuk jaga second squad kat belakang sementara dia
pergi berurusan dengan bangsat-bangsat Shafrizal tu semua, tapi aku gagal! Aku
gagal! Berhenti salahkan diri korang!” tempik Ben Mazalan sekuat hatinya
sebelum menumbuk kuat tempat pemegang bas sekolah itu sehingga luka tangannya.
Zul dan Aidi yang sedang bergaduh itu tergamam dengan ledakan emosi yang sedang
dipamerkan oleh Ben Mazalan.
“Ben…”
Zul hilang kata-kata manakala Aidi terus menjauhi diri daripada Zul.
“Salah
aku… bukan korang…” gumam Ben Mazalan sebelum menjauhi diri daripada Aidi dan
Zul sebelum menyendiri di satu sudut di belakang bas sekolah itu. Dia kembali
melontarkan renungan kosong ke arah luar bas sekolah yang sedang dipandu oleh
Faris itu.
“Salah
aku… aku ketua korang. Aku bahayakan nyawa korang!” gumam Ben Mazalan lagi.
***
Imbas Kembali…
Faris
berpaling ke arah Ben Mazalan yang sedang mengapitnya dari kiri sementara
Shakila yang sedang memegang erat dua bilah sundang yang tersarung ditepi seluar
jeansnya mengapit Faris dari arah kanan. Di tangan lelaki itu, kelihatan sebuah
binocular. Untuk seketika, dia menggunakan binocular itu mengintai kawasan
diatas tembok batu yang mengitari sebelum berpaling pada Ben Mazalan lagi
sekali.
“Kau
ambil ni, dan tengok atas tu Ben,” arah Faris. Ben Mazalan mengganguk sambil
mencapai binocular itu, sambil mengarahkan mata binocular itu ke arah tembok
batu yang memagari sebuah kem lama yang dahulu milik Tentera Udara Diraja
Malaysia.
“Ada
orang atas tu. Ada sniper… dengan… beberapa orang bersenjatakan AK-47,” balas Ben
Mazalan.
“Aku
akan bawa Shakila, Helmi, Faezal dengan Semantani untuk masuk ke dalam sana.
Aku akan datang dengan cara baik, cuba curi masa diaorang sementara kau Ben,
akan lead second squad untuk pecah masuk
melalui pembentungan yang terus bersambung ke bawah jalan raya dalam kem tu
macam yang dijelaskan oleh Semantani semalam yang bawah Kuala Lumpur ni ada The
Great Sewer,” terang Faris.
“Aku
lead second squad? Kau biar betul!” Ben tidak percaya.
“Selain
Shakila, kau orang kedua paling aku percaya kat sini Ben. Tolong ya?” pinta
Faris sebelum Ben Mazalan terpaksa mengangguk dengan hati yang berat.
“Zul…
Aidi… Amira, kau orang dengan aku,” ucap Ben dengan penuh keberatan.
“Kita
nak masuk kat pembentungan? Euw. Gelinya…” ucap Amira namun Ben Mazalan
langsung tidak mengendahkannya. Selepas bersalaman dengan Faris yang sedang
menuju ke arah tembok batu, Ben Mazalan terus berpaling ke arah ahli
kumpulannya.
“Cik
Mira,” panggil Ben Mazalan.
“Ya
awak?”
“Saya
nak awak tinggal kat sini. Berlindung kat balik kereta ni sampai saya datang.
Bawah pembentungan tu bahaya. Tunggu sampai saya datang balik bawak RAD!” ucap
Ben Mazalan. Reaksi bersahaja Amira tadi terus berubah terkejut.
“Habis
kalau awak tak balik langsung?” tanya Amira.
“Balik
ke Bukit Bintang. Jumpa ayah awak dan minta maaf kat dia. Lupakan saya dengan
yang lain!” balas Ben Mazalan.
“Ingat
tak kata-kata saya masa ambil keputusan untuk ikut awak? Sampai ke neraka pun
saya sanggup! Apalah sangat pembentungan tu!” balas Amira lalu terus bangkit,
tetapi tidak terlalu tegak, dalam posisi yang bongoknya, bergerak perlahan
meninggalkan Ben Mazalan dan ahli kumpulannya yang lain.
“Ikut
Amira. Korang ingatkan laluan pembentungan yang Semantani cakapkan tu?” soal
Ben Mazalan pada Zul dan Aidi. Dua sahabatnya itu sekadar mengangguk sebelum
bergerak menuju ke arah Amira yang sudah jauh menjauhi mereka.
“Panggil
ketua korang. Kami datang secara aman! Kami nak buat negotiation untuk korang
lepaskan RAD!” Kedengaran Suara Faris melaung dari jauh membuatkan Ben Mazalan
menoleh untuk seketika. Dia tersenyum melihat bagaimana Faris mengangkat
senjata apinya diudara. Begitu juga dengan Shakila yang kelihatan agak
terganggu apabila terpaksa meletakkan busur dan anak panahnya di atas tanah.
Cuma, anak matanya tidak mampu menangkap bagaimana reaksi Semantani dan Faezal.
“Cepat
sikit!” Kedengaran suara Amira memanggil dari jauh.
“Sekejap….
sekejap!” balas Faris sepatah.
***
Penutup besi bulat yang berwarna hitam yang terletak ditengah jalan raya itu dicabut dari kedudukan asalnya. Kedudukannya
memang agak terpencil dan dikelilingi oleh banyak kereta buruk. Tetapi peta
lama Kuala Lumpur yang berada pada tangan Semantani memaparkan setiap jalan masuk
dan jalan keluar ke dalam Kem Tentera Udara Sungai Besi yang terlindung dibalik
tembok batu itu.
“Pelik…”
gumam Aidi ketika memegang penutup pintu itu.
“Sepatutnya
ada orang jaga kat bawah ni, dan sekitar sini. Kenapa senyap jer?” tambah Zul
pula.
Dahi
Ben Mazalan berkerut tatkala mendengarkan luahan rasa tidak sedap hati
rakannya.
“Nak
masuk atau tak nak?”
“TO…LONG….”
Kedengaran
satu lolongan suara yang bergema dibawah pembentungan itu. Untuk seketika,
mereka semua saling berpandangan sebelum tiba-tiba Zul melompat terus ke dasar
pembentungan itu tanpa langsung menggunakan tangga yang tersedia. IM Uzi yang
menjadi senjata asasi lelaki itu terpegang erat ditangannya.
“Ikut
dia!” arah Ben Mazalan sambil turut melompat sementara Aidi dan Amira
menggunakan tangga yang mengarah ke dasar pembentungan itu. Sampai sahaja Amira
dibawah, dia terus menutup hidungnya cuba menghalang bau busuk dan hancing
pembentungan menyapa deria baunya.
“TO…LONG…”
Suara
jeritan meminta tolong itu bergema lagi di bawah pembentungan itu. Zul terus
menoleh ke arah Ben Mazalan, sebelum dia terus membuka langkah kakinya,
bergerak sederas mungkin tanpa menghasilkan sebarang bunyi bising. Air yang
setakat paras pergelangan kaki itu agak berkocak, seiring dengan langkah kaki
Zul.
“Zul!
Perlahan sikit!” panggil Ben Mazalan.
Namun,
Zul seperti tenggelam mencari punca laungan menjerit meminta tolong itu. Dia
seperti orang yang mencari seseorang yang hilang kekasihnya. Pencariannya di
bawah pembentungan yang berselirat itu tidak bertahan lama apabila dari
kejauhan, kelihatan seorang wanita dalam pakaian baju kurung yang berlumuran
darah sedang menangis teresak-esak. Rambut hitam basahnya sedang menutupi
wajahnya. Namun, mulutnya tidak habis-habis meratip meminta tolong meski ketika
itu Zul sudah muncul dalam keadaan yang termengah-mengah.
“Cik…
cik tak apa-apa ke?” soal Zul jauh dari belakang. Kelihatan juga
sekurang-kurangnya, lima buah tubuh yang berbalut kain merah dilengannya sedang
terbentang. Air yang memenuhi lantai pembentungan itu kini sedang bertukar
merah. Mungkin perempuan yang sedang meminta tolong itu kenalan kepada
tubuh-tubuh yang bergelimpangan itu, yang kalau tidak salah Zul melalui
pengamatannya, adalah mungkin orang-orang kepercayaan Shafrizal Azmi sendiri
berdasarkan kain merah yang berlambangkan penumbuk berserta gari yang putus
itu.
“TO…LONG!”
ucap lagi wanita itu membuatkan Zul menjadi semakin serba-salah. Apakah dia
sedang dalam keadaan trauma? Tetapi boleh jadi. Melihatkan lima orang lelaki
mati dalam keadaan yang paling menyedihkan bukanlah sebuah pemandangan biasa.
Bahkan tidak untuk seorang lelaki. Pemerhatian Zul mendapati bahawa tubuh
wanita itu turut lencun dengan air dibawahnya. Simpati yang sedang menjalar
dalam setiap saraf tubuhnya semakin menebal, lalu memandunya menanggalkan baju
sejuk berbulu yang dipakaikan seperti jaket membaluti baju-T hitam lengan
pendeknya.
“Saya
tahu cik tengah kesejukan…” ucap Zul menghampiri wanita itu, cuba menyelimuti
tubuhnya dengan baju sejuk itu. Namun, ketika Zul hanya beberapa inci sahaja
dari tubuhnya, wanita tadi terus mendongak dengan mulut yang ternganga luas. Patutlah
rambut hitam basahnya tadi menutupi wajahnya tadi. Rupa-rupanya dia ialah
seekor zombie. Wajahnya yang berkudis dan kusam itu pastinya membuatkan manusia
biasa meremang bulu roma. Lagi-lagi dengan sisa-sisa tali perut masih bergayut
dicelahan giginya yang jarang-jarang itu. Tangannya yang panjang itu terus
dihulurkan ke arah leher Zul yang dalam posisi menunduk itu. Apa lagi, tubuh
Zul terus terlentang dan wanita tadi terus berada di atas tubuhnya lalu cuba
membenamkan giginya di leher Zul. Tali perut yang putus tadi terus jatuh
menyembah wajah Zul.
“Bangsat
kau! TOLONG!” Kali ini, jeritan meminta tolong bukanlah ajukan lagi tetapi
benar-benar datang daripada seseorang yang memerlukan.
Serentak
itu juga, Ben Mazalan muncul bersama Amira dan Aidi. Reaksi mereka turut
berubah sebaik sahaja melihat apa yang terjadi pada Zul. Ketika Ben Mazalan
berkira-kira mahu melepaskan tembakan ke arah zombie yang sedang bergelut
dengan Zul, Aidi tiba-tiba menghalang sambil tersenyum sinis.
“Biar
aku yang selamatkan dia. Nanti kuranglah sikit perangai bahan dia. Biar dia
rasa terhutang budi dengan aku,” ucap Aidi sebelum melepaskan tembakan tepat
didahi wanita tadi. Seorang penembak tepat seperti Aidi, hanya memerlukan satu
peluru untuk membuatkan otak zombie perempuan tadi terkeluar dari tempurung
yang baru sahaja pecah sebelum jatuh tepat di atas wajah Zul.
“Padan
muka kau!” ucap Aidi yang ketawa terbahak-bahak melihat Zul menolak tubuh
wanita tadi. Sempat dia menolak otak yang sedang membusuk yang jatuh ke atas
wajahnya.
Namun,
ketawa Aidi mati apabila entah dari mana, kedengaran bunyi seperti penggera
sedang memenuhi kawasan pembentungan itu. Untuk seketika, masing-masing terus
mengacukan senjata mereka ke arah yang berlainan. Serentak itu juga, kedengaran
suara seseorang menyahut dari kejauhan sambil diiringi bunyi derapan tapak
kaki.
“Aku
rasa diaorang ada pasang penggera yang mampu detect bunyi tembakan,” kata Zul membuat kesimpulannya tersendiri.
“Ada
ke penggera macam tu?” soal Aidi dengan riak wajah keliru.
“Diaorang
dah dekat!” ucap Amira pula penuh keresahan.
“Sini…
sana kosong. Bunyi derapan datang dari lorong belakang kita!”
Lalu
mereka berempat pun berlari sepantas mungkin, meneroka setiap koridor yang
berselirat dibawah pembentungan. Masing-masing berlari dipandukan oleh naluri
sendiri. Selepas lama berjalan, mereka terjumpa sebuah bilik yang agak terpencil.
“Sini!”
panggil Ben Mazalan.
Dia
terus membuka pintu itu, lalu selepas memastikan setiap rakannya berada di
dalam bilik itu, barulah dia masuk sebelum menutup pintu itu. Namun,
sepertinya, apa yang sedang menanti mereka di dalam bilik itu pastinya akan membuatkan
mereka didalam itu dalam dilemma untuk menyerahkan diri pada orang-orang
Shafrizal yang sedang mencari mereka.
Ya,
kalau sekali imbas, mereka sedang berada dalam sebuah bilik yang terdapat
sesuatu yang kelihatan seperti paip sebesar tubuh mereka yang berselirat
bersambung dengan sebuah mesin yang kelihatan seperti penjana. Namun, yang
turut mendiami bilik itu ialah kelihatan ribuan lipas yang sedang berkampung di
siling bilik tersebut. Serentak itu juga, lengan Ben Mazalan terus dicapai oleh
Amira yang kelihatan jijik.
“Aidi…
kau okey ke?” soal Zul tatkala melihat wajah Aidi sedang pucat lesi.
“Aku…
aku takut lipas!” luah Aidi jujur.
Serentak
itu juga, seekor lipas jatuh dari siling lalu mendarat di atas kepala Aidi. Apa
lagi, jeritan lelaki itu berkumandang sebelum dia berlari keluar dari bilik itu
cuba menghalau lipas yang bersarang di atas kepalanya.
“Jangan
bergerak atau kami akan tembak kau!” teriak satu suara dari luar membuatkan Ben
Mazalan di dalam bilik sekadar menggeleng.
“Bang…
atas kepala saya ada lipas.” Kedengaran suara Aidi membalas. Ada getar dalam nada suaranya.
“Melutut!
Lipas atau tidak, kau dah ceroboh tempat yang tak sepatutnya!”
"Habislah..." ucap Ben Mazalan sambil meraup wajahnya.
***
"Kita dah sampai dah ni bro!" ucap Helmi sambil menepuk belakang tubuh Ben Mazalan. Lamunannya terus dibawa angin. Kelihatan hampir seluruh isi bas sekolah itu sudah keluar meninggalkan dirinya yang masih termenung.
"Sorry, aku mengelamun tadi," balas Ben Mazalan.
"Dengar sini bro. Aku akan tolong kau untuk dapatkan Mira, meski dengan nyawa aku sendiri!"