Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia
Bidadari Encik Mafia
nurshaza
1/9/2021 19:49:39
4,006
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
MP 26

Dua tahun kemudian...

TUBUHNYA tegak berdiri di hadapan singki. Merenung wajah sendiri pada cermin yang tergantung pada dinding. Hampir dia tidak kenal dengan dirinya sendiri yang sudah berjambang. Rambut serabai. Mudah kata, dirinya bagaikan tidak terurus.

Kedua-dua belah tangan digenggam erat sehingga urat hijau menimbul. Bibirnya diketap sehingga merah. Sudah dua tahun dia memendam seribu satu perasaan. Selalu menyendiri. Langsung tidak hirau orang di sekelilingnya. Airiel yang paling risau akan keadaannya ketika ini. Tapi, dia hanya buat tidak endah saja. Seolah-olah dia boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Namun sebenarnya tidak. Hidupnya menderita. Sakit.

"Arghhhhh!"

Prechhhh!

Tangannya dijatuhkan ke sisi semula setelah melepaskan tumbukan pada cermin sehingga retak seribu. Darah yang menitis dari kekura tangannya langsung tidak peduli. Bahkan tidak rasa sakit sama sekali. Yang sakit ketika ini adalah hatinya sendiri. Dua tahun dia menanggung perasaan sakit ini sendiri.

"Aku tak akan lepaskan kau. Kau mungkir janji. Kau tinggalkan aku tanpa sebarang khabar berita. Kau memang penipu! Dasar perempuan tak guna!" jerit Qarizh dengan nada suaranya yang cukup lantang. Mampu dengar sehingga ke luar kamar mandi.

"Qar... Qarizh..."

Kedengaran bunyi ketukan bertalu-talu dari luar kamar mandinya. Dia menoleh sedikit. Matanya menjeling tidak puas hati. Bibirnya terherot ke tepi. Dengusan kasar dilepaskan.

Pam!

"Jangan kacau akulah!" tengking Qarizh sambil menampar dedaun pintu kamar mandinya sehingga bergema suasana ruangan kamar mandi itu.

Airiel tersentak dek ditengking oleh Qarizh. Dia cuma risaukan keadaan sepupunya yang satu itu. Selama dua tahun, dialah menjadi saksi penderitaan Qarizh. Hidup yang sepertinya tidak tentu arah. Tiada hala tuju. Melepaskan amukan dan amarah pada semua orang yang tidak bersalah mahupun yang bersalah.

"Qar... aku tak nak kau seksa diri kau sampai macam ni sekali. Jangan ikutkan kata hati kau tu. Boleh bawa maut, Qar. Aku sayangkan kau. Kau satu-satunya keluarga yang aku ada. Sudah-sudahlah tu." Airiel tidak pernah jemu memujuk Qarizh selama dua tahun berturut-turut ini.

Qarizh menundukkan wajahnya. Sedikit sebanyak termakan dengan pujukan Airiel. Tetapi, ia tidak kekal lama. Malah kemarahan di dalam hatinya semakin meruap. Tombol pintu dipulas kasar lalu ditarik pintu kamar mandi sehingga terbuka luas.

"Kau nak apa sebenarnya, Riel? Aku dah cakapkan jangan kacau aku! Apa yang kau tak faham bahasa?" Kolar baju Airiel direntap kasar sehingga tubuh lelaki itu terdorong ke hadapannya.

Airiel cuba menepis tangan Qarizh. Akan tetapi, tangan sepupunya itu masih lagi mengenggam erat kolar bajunya. Gaya Qarizh seperti mahu mencari gaduh dengannya saja.

"Qar, sudahlah. Aku tak nak gaduh dengan kau. Bengkak kat bibir aku pun tak hilang lagi."

Qarizh tersenyum sinis. Kepala digeleng sekali. Sepertinya jiwanya sudah dikawal sepenuhnya oleh bara api kemarahan. Dia sudah termakan dengan hasutan syaitan kerana terlalu mengikutkan kata hatinya.

"Kau tak rasa apa yang aku rasa, Riel. Sakit yang aku tanggung, tiada siapa yang akan faham. Mama dengan papa tinggalkan aku. Qasrina tinggalkan aku. Dan perempuan sial tu tinggalkan aku disebabkan percayakan cerita yang tergantung tu daripada nak dengar cerita dari mulut aku!" amuk Qarizh. Dia menolak kasar tubuh Airiel sehingga lelaki itu terbaring di atas katilnya.

"Kau jangan nak salahkan dia sepenuhnya. Indira pun ada masalah dia juga. Ada sebab dia menghilang. Aku yakin yang dia akan kembali. Janganlah macam ni, Qar. Bawa mengucaplah."

"Kau jangan nak tunjuk baik dengan akulah, Riel. Aku susah dah nak percaya dengan semua orang. Orang sekeliling aku. Semua disebabkan dua ekor sial tu." Tegang wajah Qarizh ketika ini. Sehingga timbul segala urat hijau di wajahnya.

Airiel hanya membisu. Tidak tahu lagi apa yang harus dia katakan lagi. Sudah puas dia memujuk Qarizh. Tetapi, sedikit pun lelaki itu tidak mendengar kata nasihatnya. Bagaikan masuk telinga kanan kemudian keluar mengikut telinga kiri. Tiada yang berjaya melekat di dalam kepala otak Qarizh.

Qarizh menjeling tajam Airiel sebelum dia melangkah keluar dari bilik. Luka pada kekura tangannya sudah mengering. Langsung tidak diubati. Dibiarkan saja sehingga bertukar menjadi parut. Wajahnya juga penuh dengan parut-parut halus dek kerana dirinya yang menyakiti diri sendiri. Tengku Qarizh Nadim kini semakin parah. Dia sama sekali tidak dapat menerima Indira Callista meninggalkan dirinya tanpa mendengar sebarang penjelasan.

"Saif!" jerit Qarizh sebaik saja memasuki ruangan untuk dia melepaskan amarah dendamnya.

"Ya, bos." Terkocoh-kocoh Saif berlari masuk ke ruangan itu bersama rakan-rakannya yang lain. Dengar saja jeritan Qarizh macam pelesit mereka berlari. Gara-gara tidak mahu dikerjakan oleh ketuanya itu.

"Mana dua setan tu? Aku nak jumpa. Hidup lagi ke dah mati?"

"Hilmi sakit, bos. Dia demam panas. Adiyan pun lemah saja."

Qarizh tersenyum. Jelas senyuman itu penuh makna. Suka dia mendengar jawapan yang diberikan oleh Saif. Tapi itu tidak bermakna, hatinya sudah puas. Dia tak akan puas hati selagi mereka berdua tidak mati. Begitu keras dan hitam hati Qarizh sekarang ini.

"Bawa dia orang ke sini. Aku nak ajak main-main."

Saif akur. Kalau dibantah pun, agak-agaknya tubuhnya ini akan dilempar keluar. Segera dia mengajak Zane dan Irham untuk membantunya. Manakala Thakif menyediakan dua buah kerusi di tengah-tengah ruangan itu. Qarizh mengheret sebuah kerusi berwarna hitam lalu diletakkan berhadapan dengan dua buah kerusi yang diletakkan oleh Thakif sebentar tadi.

Tak sampai beberapa minit, muncullah Saif bersama dengan yang lain. Begitu lemah sekali tubuh Hilmi dan Adiyan tatkala didudukkan di atas kerusi bertentangan dengan Qarizh. Airiel menyandarkan sisi tubuhnya pada tetulang pintu sambil tangannya naik bersilang ke dada. Sebenarnya dia jatuh simpati dengan Adiyan dan Hilmi yang dikurung dan diseksa beberapa kali. Dalam diam, tanpa pengetahuan Qarizh. Dia ada memberikan makanan, minuman serta ubat kepada mereka. Tetapi, tidak kerap. Sekiranya ada peluang saja dia dapat membantu.

"Sakit, Hilmi? Kau nak aku tayang wajah simpati dekat kau ke?" soal Qarizh sebaik saja menarik kerusinya mendekat dengan Adiyan dan Hilmi.

Mata Hilmi yang merah dan sedikit sepet merenung lemah ke arah Qarizh. Sisa air matanya pun sudah kering. Menangis kerana menanggung kesakitan yang semakin menjalar pada tubuhnya. Sepanjang dua tahun, dia dikurung oleh Qarizh. Dan sepanjang dua tahun itulah, dirinya dibelenggu dengan perasaan serba-salah yang amat. Tak henti-henti mulutnya meminta maaf dan mengungkapkan kata rindu pada arwah Qasrina.

"Aku tak ada senjata hari ini. Sebab aku rasa macam nak renggangkan otot aku. Sengal-sengal rasanya. Kau dah ready nak jadi punching bag aku? Dah dua tahun aku tak sentuh punching bag aku dekat bilik aku tu. Berhabuk dah agaknya." Qarizh melepaskan tawanya sehingga kepala tergeleng-geleng.

"Tak... nak..." Perlahan tapi cukup jelas di pendengaran Qarizh. Hilmi merayu agar dirinya tidak diapa-apakan lagi. Tidak sanggup rasanya mahu menahan sakitnya ini. Kadangkala terasa dirinya sudah berputus asa untuk meneruskan kehidupannya.

"Apa yang kau tak nak, Hilmi? Dah sakit sangat ke? Dua tahun pada aku tak cukup nak seksa kau tau. Hati aku ni tak puas lagi. Selagi nampak muka kau ni, selagi tulah hati aku ni tak puas hati. Tangan dengan kaki aku ni rasa gatal sangat nak angkat."

Adiyan di sebelah hanya mendiamkan diri. Mulutnya dikunci. Tak berani mahu mengeluarkan sebutir huruf sekalipun. Walaupun dia jarang dibelasah oleh Qarizh, dia tetap gerun dengan bekas ketuanya itu. Bekas sahabatnya juga.

"Sa... saya minta maaf..." Air mata Hilmi mengalir kembali. Kepalanya semakin memberat. Kelopak matanya terasa sangat panas menyebabkan dia gagal untuk mencelikkan mata dengan luas.

"Maaf. Maaf. Itu ajelah kau. Macamlah maaf kau tu boleh hidupkan adik aku balik. Macamlah maaf kau tu boleh putar balik masa dulu. Macamlah maaf kau tu boleh betulkan balik apa yang dah terjadi. Semudah itu kau nak minta maaf, Hilmi. Hati aku ni sakit tau. Aku percayakan kau. Aku jadikan kau sahabat aku. Aku jadikan kau orang kanan aku. Ini kau balas, kan?"

Hilmi memejamkan matanya. Semakin lebat air matanya mendengar luahan dari mulut Qarizh. Sungguh dia begitu kesal dengan apa yang dilakukannya, kini memakan dirinya sendiri.

"Sakit yang kau tanggung sekarang ni, tak sesakit hati aku. Tak sesakit kepala otak aku, Hilmi Nazran. Aku sayang kau macam adik-beradik aku sendiri. Kau dengan Adiyan orang yang paling aku percaya. Kalau kena dekat batang hidung korang, agak-agak korang buat apa? Ataupun korang ni terlalu mulia hati? Maaf dan lepaskan macam tu saja? Hmm..."

Dua-dua dari mereka hanya mendiamkan diri. Tidak berkutik. Soalan Qarizh dibiarkan sepi bagaikan ditiup angin.

"Senyap dah? Dah tak tahu nak bagi jawapan apa ke?" Tangan naik bersilang ke dada. Sebelah tangannya mengusap dagu.

"Betul ni? Tak ada jawapan ke?" soal Qarizh sekali lagi.

Teragak-agak Adiyan mahu menggelengkan kepalanya. Hilmi sudah tidak larat mahu memberikan sebarang respons. Melihatkan keadaan Hilmi seperti itu membuatkan hati Qarizh dipalu dengan pelbagai perasaan. Separuh hatinya tidak sampai hati melihat orang yang pernah dia sayang. Pernah dianggap keluarga. Pernah dipercayai sepenuh hatinya dalam keadaan seperti ini. Sakit.

Srettttt! Qarizh bangun sekali gus mengheret kerusinya kasar ke tempat asal semula. Tindakannya mengejutkan Adiyan dan Hilmi.

"Aku tak ada mood nak tatap muka buruk korang ni. Saif, kau call Doktor Mustika. Suruh dia rawat dua ekor ni. Lepas tu, jaga dia orang. Pindahkan dia orang ke bilik yang kosong hujung bilik aku tu. Jangan sampai dia orang terlepas."

Saif menganggukkan kepalanya. Terkejut juga dengan arahan yang diberikan oleh Qarizh. Tak pernah-pernah lagi ketuanya itu mengarahkan arahan seperti itu.

"Kau nak pergi mana, Qar?" soal Airiel sebaik saja Qarizh melalui di hadapannya untuk keluar dari ruangan itu.

"Bukan urusan kau," jawab Qarizh dengan nada malas. Dia mengorak langkahnya sehingga keluar dari rumah. Tubuh ditolak masuk ke dalam keretanya. Sekelip mata saja, keretanya sudah meluncur ke jalan raya.

Airiel segera menghidupkan enjin motorsikalnya. Helmet disarung pada kepala. Hendal minyak dipulas. Memecut laju mengekori Qarizh dari belakang secara senyap. Dia begitu risau jikalau Qarizh membuat sesuatu perkara yang tidak elok.

KAKINYA pantas berlari untuk menyaingi langkah Aditya dan Dimas, iaitu sepupu Aditya. Seperti biasa, pada waktu petang begini. Indira akan mengajak dua orang lelaki itu berjoging di taman berdekatan dengan rumah keluarga Aditya. Dimas dan Aditya hanya mengikut saja permintaan gadis itu.

"Ayuh, Dira. Laju lagi dong!" sorak Dimas. Dia melepaskan tawanya. Baginya lucu melihat Indira dan Aditya yang saling berlari laju. Dua-dua tidak mahu mengalah.

"Aduh! Capek aih!" Aditya terduduk di atas jalan taman sambil melunjurkan kedua-dua belah kakinya. Keringat yang menjejeh pada dahinya dikesat menggunakan lengannya. Nafas yang tercungap-cungap cuba dikawal.

"Yes! I am the winner! Dua-dua kalah. Malu je!" ejek Indira yang berdiri di hadapan Aditya.

Aditya dan Dimas serentak mencebikkan bibir.

"Haa... lawa sangatlah cebik macam tu." Indira melepaskan tawa seraya kepalanya digeleng.

"Kau lapar tak?" soal Aditya.

"Soalan kau tu. Terlalu KBAT sangat."

"Sini tak ada KBAT. Dekat Malaysia je."

Indira mengekek ketawa. Suka dia mengusik Aditya. Lelaki ini memang selalu menghiburkan hatinya. Dimas di sebelah hanya menayangkan wajah blur. Dia dan Cempaka sama saja. Dua kali lima. Tidak begitu fasih dalam Bahasa Melayu seperti Aditya.

"Jomlah. Kita pekena nasi ayam penyet dekat warung sana tu."

"Kau belanja eh!" Indira melompat dengan penuh keterujaan.

"Yalah. Memang muka aku ni kena selalu belanja kau."

"Bang, kau mau makan nasi ambeng. Bisa enggak?" soal Dimas sambil menguis-nguis bahu abang sepupunya itu.

"Ya. Bisa, bisa," jawab Aditya lalu mengangkat punggungnya untuk berdiri. Pakaiannya ditepis-tepis sedikit sebelum berjalan beriringan dengan Indira.

"Kamu lihat Si Didit itu. Mesra banget sama si perempuan yang asal dari Malaysia itu," bisik Anggun yang merupakan bekas kekasih Aditya. Entah kenapa, setiap kali dia ternampak bekas kekasihnya itu bersama dengan Indira. Seluruh hatinya menjadi panas. Sedangkan dia dan Aditya sudah tidak mempunyai apa-apa hubungan. Dia sendiri juga sudah mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya.

Indira menoleh tatkala mendengar omongan panas daripada Anggun itu. Bibirnya terherot sebuah senyuman sinis. Sengaja dia merapatkan dirinya dengan Aditya. Kemudian, dia memeluk lengan Aditya sehingga menyebabkan lelaki itu hampir saja menghentikan langkahnya. Namun, Indira pantas menarik lengan Aditya ke arah meja yang hendak didudukinya. Dimas pula sudah terpinga-pinga. Kepala yang tidak gatal digaru sambil memerhatikan Indira dan Anggun bersilih ganti.

"Kau dah kenapa, Dira?" bisik Aditya. Sesekali dia mengerling ke arah sekeliling warung itu. Barulah dia perasan akan kewujudan Anggun di situ. Patutlah bukan main Indira ajak dia bersinetron. Ada udang di sebalik batu rupanya.

"Ala, saja aje. Cepatlah oder. Lapar ni." Indira mencebikkan bibirnya. Tangan naik ke atas permukaan meja lalu dia menopang dagu sambil tersenyum-senyum simpul. Bila difikirkan semula, mahu saja dia meluku kepalanya sendiri. Dah tak ada kerja agaknya nak memanaskan hati orang.

"Pak, mahu nasi ayam penyet dua sama nasi ambeng satu, ya. Minumnya bagi kopi tiga cawan aja," pesan Aditya kepada Pak Joko, pemilik warung itu.

Pak Joko hanya menganggukkan kepalanya tanda dia menerima pesanan daripada Aditya.

"Aku dengar semalam kau ada minta izin dengan Izz nak balik Malaysia semula. Betul ke?" soal Aditya.

Indira menganggukkan kepalanya sekali. "Dalam masa terdekat ni, aku nak balik sana. Dah dua tahun aku dekat sini. Angah aku tu macam tak ada tanda-tanda nak balik sana aje. Mungkin dia tengah sibuk uruskan kerja dia dekat sini. Lagipun, dia ada beritahu aku yang syarikat sini masih nak pakai dia lagi. Alana pun baru aje bersekolah dekat sini. Jadinya, banyak sikit proses dan makan masa lama."

Terangguk-angguk kepala Aditya mendengar jawapan Indira. Entah kenapa, dia rasa berat mahu melepaskan Indira untuk pulang ke Malaysia. "Kalau aku ikut, kau okey tak?"

"Hmmm... aku tak kisah. Tapi apa kata ibu dengan ayah kau. Ibu kau pun baru aje nak sihat tu."

"Nanti aku minta tolong Izz lah. Tak ada masalah, kan? Kiranya bertukar macam tu."

Indira ketawa. "Kau nak kerja dekat sana ke?"

"Mungkin. Dah lama aku tak ke sana. Rasa rindulah pulak. Nak jumpa kawan-kawan dekat sana. Sambil-sambil tu boleh teman kau. Izz mesti larang keras kalau kau nak balik sana seorang diri."

"Dia dah bagi kata putus. Dekat sana nanti, ada yang menjaga aku."

"Abang Kizo?"

Indira angguk sekali.

"Kalau macam tu, bolehlah aku ikut sekali. Abang Kizo hari tu datang sekejap aje. Dah lama tak lepak dengan dia."

Indira senyum. Dia menoleh ke sisi. Kelihatan Dimas hanya menongkat kepalanya sambil memerhati dan mendengar mereka yang saling berbual-bual.

"Kau nak ikut, Di?" soal Indira sambil menepuk-nepuk bahu remaja lelaki itu.

"Enggak tau sih. Ibuk sama bapak bagi ijin atau enggak."

Indira mencebikkan bibirnya. "Kau ni, Dimas. Memang anak yang soleh. Umur dah 20 tahun pun. Tak akan tak merasa nak melancong? Malaysia aje pun. Bukannya Europe sana."

Dimas tersengih. "Nantilah. Aku omong sama ibuk dan bapak."

"Nanti biar aku yang omong sama bapak kamu. Kalau betul kamu mau ikut aku sama Dira."

Laju saja Dimas menganggukkan kepalanya. Sukalah tu, ada orang yang tolong cakapkan dengan kedua-dua orang tuanya itu nanti.

Indira hanya tersenyum. Dan-danlah, fikirannya menerewang memikirkan keadaannya di sana nanti. Adakah dia bakal bertemu semula dengan Qarizh setelah dua tahun tidak berjumpa?

Dirinya juga sudah beransur pulih. Dua tahun dia berperang dengan perasaannya sendiri. Dua tahun juga dia melawan sakitnya secara habis-habisan. Tidak mahu penyakit kemurungan itu terus-menerus membengkung dirinya. Dia masih muda dan banyak lagi impian yang belum terlaksana.

Qarizh... apa khabar kau sekarang? Tipulah kalau aku tak rindukan kau. Agak-agak kau marah tak dengan aku? Sebab aku hilang macam tu aje selama dua tahun. Aku bukan sengaja, Qar. Aku sakit. Letih seluruh jiwa aku melawan penyakit aku ni. Nanti sampai sana, ada jodoh. Aku akan dengar penjelasan dari mulut kau sendiri. Aku harap tak terlambat.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.