Home Novel Thriller/Aksi KARMA
KARMA
Resmanshah
24/5/2016 11:35:56
11,481
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Beli Sekarang
Senarai Bab
Bab 11

SUDAH beberapa kali aku meyakinkan diriku untuk tidak berasa takut lagi. Aku wajib biasakan diri dengan semua ini. Selepas saja berjumpa dengan Julianshah, aku akan mengelak dari ambil perhatian kepada orang yang kelihatan pelik. Tapi setakat ini belum ada lagi makhluk ngeri yang aku jumpai.

Dalam perjalanan pulang, aku minta pemandu van pekerja menurunkan aku di depan Jasman Bistro. Macam biasa, aku hendak beli lauk di situ. Malas hendak masak. Lagipun aku belum membeli barang dapur, sejak aku boleh nampak makhluk ngeri itu semua.

Van berhenti di depan perhentian bas yang menghadap Jasman Bistro. Dengan gerak dan langkah yang sedikit teragak-agak, aku turun dari van. Masih aku cuba yakinkan diriku untuk tidak takut. Jangan ambil perhatian kepada orang-orang yang pelik ulah dan riak mukanya.

Ketika aku turun dari van, ada seorang lelaki tua sedang duduk menunggu bas. Di sebelahnya ada satu bungkusan makanan. Tengok dari plastiknya, aku agak dia beli dari Jasman Bistro. Lelaki tua itu termenung dan tidak lama kemudian mengeluh. Dia lantas bangun dan berjalan pergi.

“Pak cik, tunggu…!” Aku panggil dia. Kerana dia sudah tertinggal bungkusan makanan dia di perhentian bas.

Langkahan lelaki tua berambut putih itu terhenti. Dia berdiri membelakangi aku. Perlahan-lahan dia berpusing dan menatap mataku. Aku tergamam. Anak mata lelaki tua itu seperti kucing. Bolanya matanya pula merah! Dia tersenyum sinis kepadaku.

“Penyeru mentah,” kata dia kepadaku.

Ketika dia menghayun langkah pertama ke arahku, tanpa berfikir dua kali aku terus melarikan diri. Tiada gunanya aku menjerit minta tolong. Aku seorang saja yang nampak makhluk itu. Dari apa yang Julianshah beritahu aku, itu adalah jin kafir. Tapi apa dia buat di sini? Bukan Julianshah kata jin tu tak ada di kawasan bandar ke?

Dalam kekeliruan, aku terus berlari. Menuju ke lorong belakang barisan kedai yang ada di situ. Kerana lorong itu menghubungkan jalan pintas ke kawasan perumahanku. Ketika aku berlari masuk, kelihatan tiga lelaki sedang berkumpul. Mereka terkejut melihat aku di situ.

“Siapa pulak tu?” tanya salah seorang daripada mereka.

“Tangkap dia!” Seorang lagi bersuara.

Lantas mereka bertiga berlari ke arahku. Aku pandang belakang, lelaki tua itu berdiri memandang aku tajam. Aku terperangkap di tengah!

“Jangan bagi dia lepas! Awek cun tu,” ujar lelaki yang ketiga kepada dua orang lagi rakannya.

Aku sudah tidak tahu hendak berbuat apa. Kalau hendak dilawan semua mereka ini mereka mustahil. Lagipun aku mana ada belajar seni mempertahankan diri.

Mengejut kepalaku terasa pusing. Lututku terasa lemah. Aku melihat ke arah lelaki tua jelmaan jin kafir itu. Riak wajah berubah takut. Perlahan-lahan dia berundur, sebelum akhirnya dia berlari pergi. Aku menoleh pula ke arah tiga lelaki yang sudah semakin hampir.

“Dalam kegelapan… aku membuka pintu buatmu. Keluarlah kau… patuhi perintahku. Bunuh mereka bertiga… dan nyawa mereka sebagai habuanmu!” Dalam separuh sedar, aku menuturkan kata itu. Sepertinya bibirku bergerak sendiri.

Kepalaku semakin pening. Sampai aku terduduk di lantai. Aku cuba bangun, tapi tidak boleh. Tiba-tiba telingaku terdengar bunyi suara seperti perempuan ketawa.

“Apa tu!!!” Salah seorang daripada tiga lelaki itu menjerit nyaring. Aku melihat ke arah mereka. Tapi pandanganku sudah semakin kabur. Hanya bentuk tubuh mereka saja yang kelihatan.

Di sebalik pandangan mataku yang sudah semakin kabur, aku melihat satu susuk tubuh yang kurus dan tinggi. Dia memakai jubah yang labuh berwarna hitam. Rambutnya panjang hingga ke punggung. Tiga lelaki yang cuba menangkapku tadi hanya berdiri kaku memandang susuk tinggi itu. Tidak lama kemudian satu per satu kepala tiga lelaki itu dipusing hingga putus!

Pandanganku jadi gelap gelita.

DETEKTIF RAMLEE baru selesai bersiap. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Nama Doktor Razak tertera pada skrin. Dia pantas menjawab panggil itu.

“Ya doktor,” sahut Detektif Ramlee.

“Kau kena datang bilik bedah cepat. Ada benda penting aku nak tunjuk kat kau,” ujar Doktor Razak.

“Pastikan aku boleh masuk bilik tu bila aku sampai nanti,” ujar Detektif Ramlee.

“Jangan risau, dah lama aku tunggu. Tapi Tuan Hassan tak datang. Mangsa ni tak menarik perhatian dia. Tapi ada sesuatu yang menarik tentang semua mangsa ni,” beritahu Doktor Razak.

“Semua mangsa?” tingkah Detektif Ramlee.

“Tiga orang. Baru sampai pagi tadi. Kau datang cepat,” jawab Doktor Razak.

“Aku dah nak keluar rumah,” jawab Detektif Ramlee lantas mematikan talian. Dia bergegas ke keretanya.

DETEKTIF RAMLEE memarkirkan keretanya dengan tergopoh-gapah. Dia kemudian berlari anak menuju ke bangunan ibu pejabat. Dia tidak mahu disambut oleh dua pegawai yang mengawal pintu bilik bedah lagi kali ini.

Dia menghembus nafas lega bila melihat tiada sesiapa yang berjaga di pintu bilik bedah. Segera dia menghayun langkah menuju ke pintu dan melangkah masuk. Di dalam Razak sedang berdiri memerhatikan tiga mayat yang terpisah kepalanya.

“Tiga lelaki ni ditemui mati di lorong belakang barisan kedai. Lokasi di Jalan Pinggiran USJ 2/1, Subang Jaya. Motif pembunuhan dikatakan perebutan kawasan. Sebab salah seorang daripada tiga lelaki itu membawa satu beg yang penuh dengan dadah jenis syabu,” ulas Doktor Razak.

Doktor Razak memperkenalkan tiga mayat tersebut kepada Detektif Ramlee.

“Jadi apa yang pentingnya?” soal Detektif Ramlee.

Detektif Ramlee memerhatikan tiga mayat itu.

“Aku tak rasa tiga mayat ni dibunuh oleh geng lain. Kalau ikut teori aku, motif pembunuhan tiga pengedar dadah ni masih tidak pasti,” jawab Doktor Razak.

Nada suara Doktor Razak kedengaran yakin.

“Kenapa?” balas Detektif Ramlee pendek.

“Cuba tengok ni,” beritahu Doktor Razak kepada Detektif Ramlee.

Doktor Razak menunjukkan kepala salah seorang daripada mangsa. Detektif Ramlee datang mendekatinya dan memerhati apa yang ditunjuk.

“Nampak sepuluh lubang tu? Setiap kepala mangsa ada lubang tu dan apa yang peliknya lagi, apa punca kematian kesemua mereka ni. Yang mana mereka mati akibat kepala mereka dipulas sampai putus. Tiada kesan senjata atau benda keras di sekeliling kepala mereka kecuali sepuluh lubang tu,” Doktor Razak senyum bangga. Dia yakin teorinya kali ini betul dan bakal buat Detektif Ramlee kagum.

Detektif Ramlee tampak terkejut. Dia tidak sangka dengan apa yang sudah dia lihat dan dengar.

“Lubang kuku tajam!” jawab Detektif Ramlee.

“Tepat sekali! Sama macam yang ada di jantung Nazry. Tapi ini dari dua tangan,” celah Doktor Razak.

Detektif Ramlee terdiam. Menagih sedikit masa untuk akalnya menghadam semua itu.

“Apa pun yang bunuh tiga lelaki ni, ia bukan manusia Detektif Ramlee. Tiada manusia sekuat ini,” beritahu Doktor Razak lagi.

Detektif Ramlee masih terdiam. Matanya terpaku pada salah satu kepala mangsa. Fikirannya sedang menjana sesuatu.

“Terima kasih Razak. Kau layak jadi detektif,” ucap Detektif Ramlee.

Lantas, Detektif Ramlee bergerak ke pintu keluar.

“Kau nak ke mana?” tanya Doktor Razak.

Doktor Razak cuba bersuara di belakangnya.

“Aku nak pergi ke tempat kejadian,” jawab Detektif Ramlee tanpa menoleh. Dia terus pergi dari situ.

Sambil berjalan ke keretanya, dia keluarkan telefon bimbit dan mendail satu siri nombor. Selepas empat kali berdering, panggilannya dijawab.

“Ada apa lagi detektif?” jawab Wak Sujih.

Suara Wak Sujih bergema di talian.

“Boleh kita berjumpa?” tanya Detektif Ramlee.

Serius nada suara Detektif Ramlee.

“Untuk apa lagi detektif? Pertukaran kita sudah tamat,” tingkah Wak Sujih dengan nada tenang.

“Saya bukan mahu buat pertukaran,” balas Detektif Ramlee.

“Habis apa?” soal Wak Sujih.

Detektif Ramlee mengeluh. Dia berhenti melangkah. Berdiri di depan keretanya.

“Lelaki yang kau kata nak selesaikan tu dah bunuh tiga orang serentak. Tiga kepala dipulas sampai putus!” beritahu Detektif Ramlee.

Wak Sujih terdiam. Terkejut mendengar berita yang disampaikan oleh Detektif Ramlee itu.

“Mungkin bagi kau pertukaran kita sudah berakhir. Tapi tidak bagi aku. Kau dah tahu siapa yang kau cari. Tapi aku belum!” ujar Detektif Ramlee lagi.

Detektif Ramlee menekan suaranya. Dia cuba untuk bertahan dari meninggikan suara.

“Bukankah saya sudah beri jaminan. Kematian isteri kamu akan saya bela. Kamu hanya perlu tunggu berita tentang kematian dalang itu,” balas Wak Sujih.

“Kau dengar sini! Sebagai seorang detektif, pulang ke rumah melihat anak dan isteri adalah masa yang cukup membahagiakan. Buat aku rasa seperti manusia biasa kembali. Sepanjang hidup aku jadi detektif, aku sudah berdepan dengan banyak kematian. Aku menggadai nyawa untuk mencari keadilan buat si mati. Aku membahayakan nyawa anak dan isteriku hanya untuk keadilan orang lain. Jadi tolong, bagi aku peluang untuk mencari keadilan buat isteriku,” ujar Detektif Ramlee.

Ada nada sebak di hujung kata Detektif Ramlee.

“Tiada undang-undang dan keadilan yang mampu menyentuh orang yang kamu cari itu detektif,” Wak Sujih bersuara.

“Siapa kata aku mahu libatkan undang-undang?” tingkah Detektif Ramlee.

Wak Sujih terdiam.

“Kau tidak akan mampu melakukannya detektif.” Wak Sujih berkata.

“Jadi hanya kau yang mampu?” tanya Detektif Ramlee.

“Ya.” balas Wak Sujih.

“Jadi tolong. Aku merayu pada kau. Tolong ajarkan aku caranya. Demi isteriku. Aku bukan lagi detektif. Aku hanyalah seorang suami yang mahu membalas dendam kematian isterinya,” kata Detektif Ramlee.

“Maaf detektif. Saya tidak bisa.”

Wak Sujih mematikan talian.

SINARAN matahari waktu pagi membuatkan aku terjaga. Dalam kekaburan, aku melihat sekeliling. Mencari tahu aku sedang berada di mana. Perlahan-lahan, pandanganku menjadi jelas. Ternyata aku sedang duduk di atas katilku, memakai baju tidur. Seragam kerjaku tergantung rapi di almari.

Aku cuba mengutip dan menyusun memori sebelum ini. Satu per satu aku cuba mainkan kembali di layar ingatan. Hingga akhirnya aku berjaya melihat kembali jalur masa yang hampir hilang dari ingatan.

Pulang dari kerja, aku terjumpa seorang lelaki tua yang rupanya jelmaan jin kafir. Selepas itu, aku larikan diri dari jin itu. Aku masuk di satu lorong dan kemudiannya terjumpa dengan tiga orang lelaki. Mereka cuba menangkap aku. Di belakangku, jin itu sedang berdiri melihat aku sambil tersenyum.

Tiba-tiba aku rasa pening yang amat sangat. Aku cuba mengucapkan sesuatu. Tapi aku tidak ingat. Tidak lama lepas itu, aku nampak jin tadi lari dalam ketakutan. Tiga lelaki itu pula berdiri kaku dan satu susuk manusia yang tinggi memulas kepala tiga lelaki itu sampai putus!

Aku lihat baju seragam kerjaku yang tergantung di almari. Kemudian, aku sempat tengok baju tidur yang aku sedang pakai. Sudahnya aku mengeluh sambil tersenyum.

“Mimpi ngeri lagi. Jangan takut Zara. Itu semua hanya mimpi!” Dengan agak bersemangat, aku turun dari katil dan mencapai telefon bimbitku di atas meja solek. Waktu sudah pukul 8.02 pagi.

Sekarang masa untuk bersiap!

Usai mandi dan bersiap, aku melangkah keluar rumah. Aku mengunci pintu dan pintu grill. Dengan langkah tenang, aku berjalan ke lif. Di situ kelihatan dua orang mak cik kerja kilang berdiri dengan riak terpaksa. Dari muka mereka jelas tergambar betapanya mereka letih dengan semua kerja dan kekurangan hidup.

Selang beberapa saat kemudian, pintu lif terbuka. Ada enam orang di dalam. Tapi masih ada ruang untuk kami semua di luar. Aku jadi orang yang terakhir melangkah masuk. Keadaan di dalam menjadi padat.

“Betul ke ada orang mati di lorong belakang rumah kedai tu?”

Bersuara salah seorang di dalam lif itu.

“Dah keluar berita pagi tadi tu, betul la,” balas perempuan yang kedua.

“Dengar cerita kepala tiga lelaki tu putus. Ngeri betul!”

“Tak pernah-pernah ada kes pembunuhan di situ. Sekali jadi, sampai tiga orang putus kepala!”

Sesi memberi pandangan tentang kejadian saling sabung menyambung di dalam lif itu.

Pintu lif terbuka. Sebagai orang terakhir yang masuk, aku harus jadi orang pertama untuk keluar. Dengan jantung yang berdebar dan hati yang terkejut, aku menuju masuk ke arah kawasan perumahan. Di situ, ada dua palang yang menghalang jalan masuk dan keluar. Sebuah pondok jaga dibina di situ.

Siri perbualan di dalam lif tadi bermain kembali di ruang ingatanku. Berita yang mereka bualkan tadi begitu sama dengan mimpiku. Buat aku jadi takut dan keliru. Apa yang terjadi sebenarnya? Aku tidak tahu.

Kalau semua tu bukan mimpi, macam mana kau boleh ada atas katil dengan baju tidur. Bukan ke dalam mimpi kau tu, kau pengsan? Satu sudut hatiku berbicara.

Ya… tapi kenapa semua yang mereka cakapkan tu mirip betul dengan mimpi kau? Balas dari satu sudut yang lain pula.

Sejak bila kau tak percaya pada kebetulan? Tingkah sudut yang pertama tadi.

Kebetulan… atau kebenaran? Tetapi satu sudut lagi tidak mahu mengalah.

Aku berjalan sambil berperang dengan diri sendiri. Akalku cuba untuk menidakkan semua kata hati. Seharusnya aku lebih percaya kepada akal berbanding kata hati. Kerana hati biasanya mendorong kita bertindak mengikut rasa emosi. Sebaliknya akal tidak berfungsi begitu. Ini boleh membuatkan kita bertindak atas dasar ilmu dan pengetahuan serta pengalaman.

Van pekerja sampai tatkala aku sudah pun tiba di pondok pengawal keselamatan. Kali ini tiga orang penjaga keselamatan lelaki yang ada di dalamnya tidak memberikan sepenuh tumpuan kepada aku. Kerana ramai lagi gadis kilang lain untuk mereka kacau. Aku merasakan pagi itu sungguh aman.

RAHMAH dan Suzie cuba mendapatkan aku. Van pekerja baru saja memecut pergi. Aku pandang dua rakan sekerjaku itu dengan riak pelik. Sepertinya mereka tidak sabar hendak berjumpa denganku.

“Zara. Kau ada nampak ke tiga mayat tu?” tanya Rahmah dengan penuh minat.

“Tiga mayat apa?” tanya aku kembali.

“Jangan cakap kau tak tahu. Tiga orang mati putus kepala dekat kawasan perumahan kau kut!” celah Suzie.

“Aku tak tengok berita pun semalam. Aku tidur awal sebab penat sangat,” beritahu aku.

Mereka pandang aku kehairanan. Macam mereka tidak boleh terima yang aku tidak tahu tentang berita yang dimaksudkan. Tapi memang aku tidak tahu. Apa lagi yang harus aku katakan.

Rasa ingin tahu tiba-tiba menyerang hatiku. Meminta untuk dipuaskan. Mendorong aku melangkah ke kedai MyNews yang ada di ruang legar. Sebuah kedai yang menjual surat khabar, majalah dan komik. Di situ juga ada gula-gula dan rokok.

“Selamat pagi kak,” sapa seorang perempuan yang muda dariku.

Fiza, budak baru habis SPM menegur aku. Dia bertugas sebagai juruwang di situ.

“Selamat pagi. Akak nak baca satu berita boleh?” jawabku pendek.

“Boleh je kalau akak,” jawab Fiza.

Fiza tersengih. Kemudian, dia menyusun stok rokok yang baru sampai.

Aku capai Metro. Terus mencari berita yang dari tadi diperkatakan oleh orang sekeliling aku. Kecuali Fiza. Ternyata memang benar. Tiga lelaki telah dijumpai mati di lorong belakang barisan kedai. Kepala mereka putus dan …

Dunia terasa terhenti berputar. Jantungku berdegup kencang. Sungguh aku terkejut saat melihat gambar tiga lelaki yang mati itu. Wajah mereka bertiga sangat mirip dengan tiga lelaki yang ada dalam mimpi aku.

Apa dah jadi sebenarnya ni Zara!? jerit aku di dalam hati.

Cepat-cepat aku keluarkan telefon bimbit dan berjalan ke satu sudut yang jauh dari semua orang yang ada di sekeliling. Di situ aku menghubungi Julianshah. Aku harap dia boleh bantu aku.

“Helo,” sapa Julianshah menjawab panggilan.

“Helo. Awak sibuk ke tengah hari nanti?” tanyaku dengan tergesa-gesa.

“Tak kut. Kenapa?” balas Julianshah.

“Jangan la kut pula. Cakaplah betul-betul. Saya ada hal penting nak bincang dengan awak ni,” desak diriku.

“Awak tak apa-apa ke Zara? Macam ada masalah aje?” soal Julianshah.

“Entahlah. Saya bingung sekarang ni. Awak tak baca berita ke?” balasku dengan mengeluh.

Julianshah diam seketika.

“Kita jumpa tengah hari nanti. Awak jangan risau sangat,” pintanya lagi.

Dari nada suaranya, aku pasti Julianshah tahu berita apa yang aku maksudkan.

“Macam mana saya tak risau? Kalau…” jawabku dengan tergantung.

Kataku terhenti di situ.

“Kalau apa?” tingkah Julianshah.

“Saya dah tak tahu nak percaya apa sekarang ni,” luahku lagi.

Aku mengeluh lagi.

“Zara… awak jangan risau sangat okey? Kita jumpa tengah hari nanti. Atau awak nak jumpa sekarang?” pujuk Julianshah.

Julianshah kedengaran risau tentang aku.

“Tak apalah. Kita jumpa tengah hari nanti aje,” ujarku.

“Okey. Awak jangan risau sangat ya. Jangan fikir sangat tentang berita tu,” ujar Julianshah .

Julianshah cuba menenangkan aku.

“Okey. Jumpa nanti,” balasku bersahaja.

Aku mematikan talian.

Tiba-tiba aku tersedar satu hal! Kenapa Julianshah macam tahu aku risau tentang berita itu? Sedangkan aku tidak cerita apa-apa lagi kepadanya.

DETEKTIF RAMLEE berdiri di depan tempat kejadian. Dia mencari apa saja yang boleh dijadikan petunjuk. Namun, usahanya menemui kegagalan. Tiada apa jawapan yang mampu diberikan kepada mana-mana soalan yang berlegar di kotak fikirannya.

Detektif Ramlee berdiri di situ sambil mengeluh berat. Ada rasa kecewa dan marah. Namun, tidak ditujukan kepada siapa rasa amarah itu. Sudahnya, dia memendam saja kesemua rasa itu. Tiada apa lagi yang boleh dia lakukan di situ. Selain berdepan dengan satu lagi kegagalan.

Dia berpusing dan mula berjalan pergi dari situ. Namun, langkahnya terhenti sebaik melihat seorang lelaki tua. Berdiri teguh di depannya. Ada senyuman di bibir lelaki tua yang dia kenali itu.

“Pembunuh yang kau cari itu bukan manusia detektif,” ujar Wak Sujih.

Wak Sujih berjalan mendekati Detektif Ramlee yang kaku berdiri.

“Habis apa?” tingkah Detektif Ramlee pendek.

Wak Sujih tersenyum sinis. Dia kemudian mengeluh halus. Seperti ada sedikit penyesalan dia ke situ. Tapi dia sudah nekad dan tidak akan mengubah fikirannya.

“Makhluk dari alam gelap?” ujar Detektif Ramlee lagi.

“Alam gelap hanyalah metafora. Sejujurnya dari mana asal makhluk tersebut, masih tidak diketahui. Ada yang kata dari alam jin, dan ada yang kata dari neraka,” kata Wak Sujih masih tersenyum.

Detektif Ramlee tertunduk sambil mengetap giginya. Dia geram. Kerana dia masih belum boleh mempercayai semua itu, sepenuhnya. Akal warasnya tetap tidak mahu menghadam semua itu.

“Apa lagi yang kamu perlukan untuk percaya semua itu detektif?” ujar Wak Sujih lagi.

Tapi tiada jawapan dari Detektif Ramlee. Detektif itu tidak tahu hendak percaya dengan apa lagi.

“Kalau bukti yang kamu mahukan, saya fikir kamu sudah temui. Apa lagi yang bisa buat kamu percaya?” kata Wak Sujih lagi.

“Aku mahu sampai makhluk tu berdiri di depan aku!” balas Detektif Ramlee dengan nada menahan geram.

Wak Sujih tersenyum sinis sambil menggelengkan kepalanya. Dia kemudian mengeluh halus.

“Itu tidak akan terjadi detektif,” beritahu Wak Sujih.

“Tengok! Kau beritahu aku, macam mana aku mahu percaya kepada benda yang tidak akan wujud di depan mata aku!?” Suara Detektif Ramlee mula meninggi.

“Dia wujud detektif. Cuma dia hanya akan berdiri di depan manusia yang bakal menjadi mangsanya. Apalah gunanya kamu berjumpa dengannya, lalu percaya beberapa saat sebelum kamu akhirnya mati?” balas Wak Sujih.

Detektif Ramlee terdiam. Benaknya gagal mencatu ayat balas.

“Saya tidak paksa kamu untuk percaya. Selamat berjaya detektif. Saya harap akal logik kamu tidak mengecewakan kamu,” ujar Wak Sujih sambil mula mengorak langkah pergi.

Pantas Detektif Ramlee mengeluarkan pistolnya. Lantas dihalakan muncung pistol itu ke arah Wak Sujih.

“Berhenti atau aku tembak!” laung Detektif Ramlee.

Langkah Wak Sujih terhenti. Dia perlahan-lahan berpusing menoleh ke arah Detektif Ramlee. Detektif itu nekad menghalakan muncung pistol ke arahnya. Namun, tiada sedikit pun riak gentar di wajah Wak Sujih.

“Tolong. Aku sudah bersumpah untuk melindungi isteriku. Tapi si bangsat itu sudah meragut nyawanya. Malah aku tak sempat ucap selamat tinggal kepadanya. Tolonglah. Bawa aku kepada orang yang membunuh dia. Aku hanya suami yang mahu membalas dendam,” laung Detektif Ramlee menampakkan wajahnya dalam keadaan yang serius, lalu menitiskan air mata.

Wak Sujih memandang mata Detektif Ramlee yang menangis itu, dalam-dalam. Dia kemudian mengeluh halus.

“Ikut saya detektif,” kata Wak Sujih ringakas. Dia kemudian, berpusing dan meneruskan langkahnya ke depan.

Detektif Ramlee cepat-cepat menyimpan pistolnya dan mengejar Wak Sujih dari belakang. Ketika dia sudah ada di sebelah Wak Sujih, dia pantas bertanya.

“Kita nak ke mana?” soal Detektif Ramlee.

“Sebelum memburu binatang buas, kamu harus mengenalinya dahulu detektif,” balas Wak Sujih.

Selepas itu, Detektif Ramlee diam tanpa bicara. Hanya mengikut langkah Wak Sujih menuju ke sebuah kereta Jaguar yang di dalamnya kelihatan dua lelaki berwajah bengis dan berbadan sasa. Salah seorang daripada lelaki itu pantas keluar dan membukakan pintu buat Wak Sujih dan Detektif Ramlee.

Lelaki yang membuka pintu itu tampak terkejut melihat Ramlee ikut bersama. Begitu juga dengan lelaki yang memandu. Detektif Ramlee duduk di sebelah Wak Sujih, di tempat duduk belakang.

“Kita pulang ke rumah Herdam,” ucap Wak Sujih

Wak Sujih memberitahu pemandu.

“Baik Gusti Agung,” balas pemandu itu.

Walaupun masih terkejut dan hairan, lelaki yang memandu itu tetap patuh dengan arahan.

Lalu kereta memecut pergi dari situ. Membawa Detektif Ramlee ke destinasi yang tidak dia ketahui.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Resmanshah