Bunyi
bising yang datang dari luar perkarangan Kedai Buku Popular di dalam Wangsa
Walk terus mengejutkan Farhani dari lenanya. Seketika, gadis itu bangkit sambil
menggosok kedua-dua biji matanya. Dilihatnya obor api yang sebelum ini sedang
bertenggek di dinding ruangan kedai itu sudahpun padam. Keadaan di luar pula
tidak lagi segelap semalam, sebaliknya cahaya matahari kelihatan mula menerobos
masuk melalui tingkap-tingkap yang dibiarkan terbuka. Menyedari hari sudah mula
siang, pandangan Farhani terus bertukar pada adik perempuannya, Zurialis yang
masih sedang lena tidur di sebelahnya.
“Hiji dengan Ain dah balik!”
Kedengaran suara yang menjerit teruja di luar kedai yang merupakan tempat
tinggal Nurul Ain. Mendengarkan hal itu, terus tenaga baru mengalir dalam saraf
Farhani. Sambil menyelak selimut yang membaluti separuh tubuhnya ke tepi, dia
bangkit dari tilam yang lusuh itu, lalu berlari ke koridor yang terbentang di
hadapan kedai buku itu.
Kelihatan Hazrul Hiji sedang
memapah Saiful Hawiz yang terhincut-hincut berjalan. Tapak kaki Saiful Hawiz
kelihatan berbalut manakala senyuman terukir di wajah itu ketika melihat wajah
Farhani menyambut paginya. Apa lagi, terus Farhani berlari ke arah Saiful Hawiz
lalu memeluk erat tubuh sasa itu. Kepalanya disembamkan di atas bahu Saiful
Hawiz manakala Saiful Hawiz sekadar mengulas lembut rambut anak perempuannya
itu.
“Ayah... Farhani mintak maaf
ayah sebab kurang ajar dengan ayah hari tu...” ucap Farhani sambil menangis
tereska-esak.
“Hisyy. Ayah okey ajelah. No hard feelingpun. Tak malu ke nangis
depan orang ramai? Depan bakal suami pulak tu?” usik Saiful Hawiz membuatkan
Farhani yang belum meleraikan pelukannya itu tergelak kecil. Hazrul Hiji pula
sekadar tersenyum mendengarkan dirinya dijadikan bahan gurauan oleh Saiful
Hawiz.
“Saya anggap apa yang pakcik
cakap tu sebagai lampu hijau saya dengan anak perempuan pakcik,” gumam Hazrul
Hiji tiba-tiba membuatkan Nurul Ain yang sedang berdiri di sebelahnya terus
memulas lengan anak muda itu. Tidak kena tempat langsung untuk menuturkan
perkataan tu!
“Zurialis mana?” soal Saiful
Hawiz selepas menyedari bahawa hanya Farhani sahaja yang berada di situ
manakala anak bongsunya langsung tidak kelihatan.
“Dia tidur kat dalam kedai buku
popular sana,” bilang Farhani sambil meleraikan pelukannya.
“Okey, Hiji bawakan aku pada
anak perempuan aku,” kata Saiful Hawiz sambil menyuruh Hiji kembali memapah
dirinya. Farhani berundur beberapa tapak ke belakang, memberi ruang kepada
Hazrul Hiji. Terhicnut-hincut Saiful Hawiz melangkah ke arah kedai buku Popular
yang terletak di ruang paling hujung tingkat satu Wangsa Walk.
Sebaik sahaja Saiful Hawiz
sampai di situ, dia melihat Zurialis masih lena tidur. Selimut masih
menyelimuti tubuhnya membuatkan Saiful Hawiz memberikan isyarat kepada Hazrul
Hiji untuk meninggalkan dia dan Zurialis untuk beberapa ketika.
“Zu... bangun Zu...” bisik
Saiful Hawiz sambil menggerakkan tubuh itu. Namun, Zurialis masih tidak
bergerak dalam lenanya membuatkan riak Saiful Hawiz terus dirundung gelisah.
Dia meninggikan sedikit suaranya sambil memanggil Zurialis. Namun, masih belum
ada respon daripada Zurialis. Terus, tapak tangan Saiful Hawiz menyentuh dahi
Zurialis dan... panas. Pantas pandangan Saiful Hawiz berkalih pada Farhani
dengan riak wajah penuh gelisah.
“Panggil akak Ain kau!” arah
Saiful Hawiz membuatkan Farhani yang sedari tadi berdiri di muka pintu kedai
itu terus berlari mendapatkan Nurul Ain.
Perasaan yang sudah dilupakan
sejak 15 tahun lepas, mula kembali menjalar di dalam diri Saiful Hawiz. Apa
yang sedang terpapar di hadapan matanya itu saling tak tumpah seperti apa yang
berlaku suatu masa dahulu pada seorang wanita yang sangat dicintai oleh Saiful
Hawiz. Demam panas yang kemudian akhirnya, mengubah wanita itu menjadi makhluk
yang paling dibenci oleh Saiful Hawiz. Ya ALLAH... janganlah kau ulang halaman
yang sama dalam hidup aku, dosa Saiful Hawiz di dalam hatinya.
“Abang Saiful! Kenapa abang
panggil saya?” panggil Nurul Ain yang muncul di muka pintu kedai buku itu.
“Anak aku Ain. Badan dia
panas...” ucap Saiful Hawiz ketika dia sedang meriba tubuh Saiful Hawiz.
Kelihatan Nurul Ain sedang membawa sesuatu di dalam peti pertolongan cemas di
tangannya. Sebuah steskoskop sedang tergantung di lehernya. Terus dia
menghampiri tubuh Zurialis, lalu memeriksa nadi gadis itu. Seketika, dia
berkerut dahinya sebelum matanya tertangkap sesuatu pada jari telunjuk gadis
itu.
“Abang Saiful... saya rasa anak abang
kena gigit!” Berderau darah Saiful Hawiz mendengarnya. Dunia di sekelilingnya
terasa seperti berhenti berputar sejenak. Farhani yang sedang setia berdiri
pula tersandar pada dinding yang berhampiran, tidak percaya mendengarnya.
Serentak itu juga, Zurialis membuka matanya, sebelum dia tersenyum memandang
wajah Saiful Hawiz.
“Alhamdulilah. Tuhan selamatkan
ayah lagi,” ucap Zurialis lemah sebelum mata itu tertutup kembali.
“Ain! Buat sesuatu Ain. Anak
aku! Aku tak nak dia mati!” Namun, rayuan daripada Saiful Hawiz itu sekadar
disambut dengan wajah yang penuh kecewa. Seketika, Saiful Hawiz dan Nurul Ain
saling memandang sebelum Nurul Ain menggelengkan kepalanya. Tangan Nurul Ain
pantas menyentuh bahu Saiful Hawiz membuatkan air mata Saiful Hawiz menitik
jatuh. Buat pertama kalinya dalam seumur hidup Farhani, dia melihat ayahnya
mengalirkan air mata.
“Ayah... jangan menangis. Zu
okey,” ucap Zu tiba-tiba membuatkan perhatian Saiful Hawiz teralih pada anak
perempuannya itu. Perlahan-lahan, Zurialis mengangkat tangannya lalu mengesat
air mata ayahnya.
Tidak mampu menahan sebak
menyaksikan pemandangan, Farhani terus berlari meninggalkan kedai buku itu,
sambil mengesat limpahan air mata yang sedang membasahi wajahnya. Dia tidak
mahu terlihat menangis di situ. Namun memikirkan bahawa adiknya ada beberapa
hari sahaja, malahan beberapa jam untuk bersamanya, membuatkan Farhani tidak
mampu menahan sebak.
Selepas puas berlari, dia
akhirnya terduduk kepenatan di perkarangan di luar Wangsa Walk sambil berpeluk
tubuh. Kelihatan Hazrul Hiji sedang melangkah lalu melabuhkan punggungnya di
sebelah Farhani.
“Menangislah. Tiada apa yang
patut dimalukan bila awak menangis,” ucap Hazrul Hiji sambil menepuk-nepuk
belakang Farhani.
“Boleh saya tumpang bahu awak
sekejap?” pinta Farhani. Hazrul Hiji sekadar mengangguk. Tangisan Farhani
semakin kuat tatkala wajahnya berada di bahu Hazrul Hiji. Jejaka itu sekadar
menepuk lembut belakang Farhani. Lama juga Farhani menumpang bahu Hazrul Hiji
sebelum Farhani tiba-tiba bersuara.
“Saya menyesal dilahirkan pada
zaman ni,” ucap Farhani namun pantas Hazrul Hiji menggelengkan kepalanya.
“Baik jaga ayat awak. Akidah
boleh rosak tau kalau awak cakap macam tu,” kata Hazrul Hiji, menegur.
“Awak tak rasa apa yang saya
rasa. Saya kehilangan mak saya masa umur saya 4 tahun. Sekarang, adik saya
bakal pergi jugak? Kenapa tuhan tak cabut nyawa...”
“Shhyy...” pintas Hazrul Hiji
sambil menggelengkan kepalanya.
“Jangan minta maut menghampiri
awak bila awak belum bersedia lagi. Ada sebab kenapa masa awak belum tiba dan
ada sebab kenapa giliran adik awak mungkin datang awal dari awak. Semua
perancangan tuhan itu ada hikmahnya Farhani. Kita sebagai hambanya kena patuh,
dan menjalani segala takdir yang telah diaturkan untuk kita. Kita tak ada hak
untuk pertikaikan apa yang dah dirancang di Luth Mahfuz sana,” jelas Hazrul
Hiji panjang lebar membuatkan Farhani terdiam.
“Lagipun awak lahir pada zaman
yang cukup indah,” tambah Hazrul Hiji lagi membuatkan kening Farhani terangkat
di udara.
“Saya sedang hidup di zaman yang
sangat teruk sekali!” bidas Farhani.
“Tak. Farhani, cuba awak lihat
sekeliling awak, apa yang awak nampak?” soal Hazrul Hiji.
“Salji...” gumam Farhani
tatkala matanya memerhatikan keadan di perkarangan Wangsa Walk. Selain daripada
tembok batu yang mengelilingi kawasan Wangsa Walk, terdapat beberapa buah rumah
panas yang memanjang. Kelihatan beberapa orang keluar masuk dari rumah panas
itu sambil membawa hasil tanaman mereka. Terdapat juga beberapa buah bangsal
kuda, ayam dan lembu yang berdiri. Kelihatan beberapa ekor kuda yang sedang
dibersihkan oleh pemiliknya. Namun, pemandangan itu bukanlah sesuatu yang indah
pada pandangan Farhani sebaliknya ianya adalah keperluan untuk manusia hidup di
saat dunia sedang menerima pengakhirannya. Ianya sebahagian daripada survival of the fittest, sesuatu yang
dipelajari oleh Farhani sepanjang bergelar insan yang hidup pada zaman ais.
“Jangan lihat dengan mata awak
yang itu tapi lihat dengan mata hati awak Farhani. Tuhan sedang datangkan
kepada kita sebuah mesej, kepada umat manusia. Saat kita saling berebutkan
kuasa, merebutkan isi dunia, melaungkan sistem-sistem dan idelaogi yang merajai
manusia yang semuanya mengundang perpecahan, saat kehancuran sedang merayapi
setiap tamadun manusia, maka tuhan datangkan kepada kita sebuah pesanan. Cukup
wahai manusia! Cukup kalian hancurkan bumi ciptaan aku! Aku ciptakan kalian untuk
menjadi khalifah pada muka bumi ini, tetapi kalian menjadi penghancur kepada
sebuah keindahan! Belasan tahun yang lepas, semuanya menjadi mangsa kerakusan
kita. Alam, haiwan, bahkan sesama manusia. Namun, sejak tuhan datangkan kepada
kita salji ini. Segala-galanya berubah meski masih wujud manusia tamak haloba. Di
sekeliling kita, keindahan yang kita tidak pernah langsung bayangkan. Perkara
yang kita rindukan, salji turun di Kuala Lumpur... pokok-pokok yang boleh
bertukar warna daun berdasarkan suhu di sekeliling kita. Seekor beruang kutub, harimau
siberia, singa gunung... semuanya terpapar di hadapan mata kita. Bukankah itu
sebuah keindahan yang kita tidak akan mampu lihat kalau kita hidup di zaman
kegilaan menguasasi manusia?” Panjang Hazrul Hiji berfasalafah membuatkan
Farhani terdiam.
Seketika,
dia terlupa akan keadaan adiknya ketika mendengarkan kata-kata daripada lelaki
itu. Ya, mungkin Hazrul Hiji ialah seorang lelaki yang pelik, tetapi mungkin
dia bersifat seperti itu kerana dia melihat dunia di sekelilingnya berdasarkan
kaca mata dan perspektif yang berbeza, tetapi jejaka itu mempunyai isi yang
mendalam dalam dirinya. Dia memerhati sahaja Hazrul Hiji yang sedang
mencatatkan sesuatu di dalam buku nota kecil, yang merupakan sahabat sejati
Hazrul Hiji walau ke mana dia membawa langkah kakinya.
“Ingat..
hikmah ALLAH itu luas Farhani. Terpulang pada kita untuk mencarinya,” gumam
Hazrul Hiji lagi
“Awak...
macam mana awak boleh nampak semua ni?” soal Farhani tiba-tiba.
“Saya
lihat dengan mata hati, bukannya mata ini,” balas Hazrul Hiji sambil menunjukkan
matanya dengan jari telunjuknya.
“Hiji!
Aku perlukan bantuan kau!” Kedengaran suara Saiful Hawiz memanggil Hazrul Hiji
dari belakang. Pantas mereka berdua menoleh ke arah Saiful Hawiz yang sedang dipapah
oleh Nurul Ain itu.
“Aku
boleh jalan sendiri Ain. Kaki aku tak teruk mana pun. Terima kasih,” ucap
Saiful Hawiz.
“Aku
perlukan kereta ayah kau!” sambung Saiful Hawiz.