Home Novel Seram/Misteri Potret Dua Wajah
BAB 5 [memori arwah Dania]



Apabila membuka mata, Aisyah melihat Jijah, Iman dan Wawa serta rakan-rakannya yang bertiga itu sedang mengelilinginya. Dia berasa hairan sewaktu mendapati dirinya telah pun berada di Dorm Tanjung yang terletak di tingkat satu yang mana merupakan satu aras dengan Dorm Kantan yang menempatkan para perwakilan MPP.

Anis muncul di depannya membawa secawan Milo panas.

“Minum ni.” perintah Anis dan duduk di atas katil mengadap Aisyah. “Kalau hati kau tu kecil, lain kali jalan dalam kumpulan. Ni dahlah lambat pergi prep, jalan seorang diri pulak. Ada ilmu kebal ke?” Anis mendengus. Berkerut-kerut mukanya menatap wajah Aisyah.

Aisyah menghirup minuman panas yang diberikan oleh Anis. Dia beroleh sedikit kekuatan dan tubuhnya terasa semakin segar.

“Terima kasih, kak!” hargai Aisyah.

Anis tersenyum menatap wajahnya. Mengangguk-angguk.

“Pukul berapa sekarang?” Aisyah menanti jawapan daripada Anis.

“Pukul 12.00 tengah malam. Tahu tak siapa yang jumpa kau terbaring kat koridor tu tadi?” Jijah bertanya sambil curi-curi mencuit pinggang Iman di sebelahnya. Iman tersengih.

Aisyah terpinga-pinga merenung Jijah dan rakan-rakannya. Manalah dia tahu siapa yang menjumpai dia. Dia membiarkan tanpa menjawab soalan Jijah tersebut.

“Nazuan dan kawan-kawannya. Kain kau terselak sampai ke betis semasa kau jatuh tu,“ sampuk Iman. Berisyarat mata dengan Jijah. Muka Aisyah merah padam kerana malu.

“Sekolah ni memang sekolah sekular, tapi semua penghuninya termasuk guru dan para warden telah menukar imejnya menjadi Islamik. Tahu apa pelajar sekolah lain cakap tentang sekolah kita ni? Mereka labelkan sekolah kita ni sebagai sekolah agama. Kami memang mementingkan hal-hal yang bersangkutan dengan agama di sini. Jadi keadaan kau terbaring seksi macam tu, adoyai... gerenti bakal menimbulkan gosip tak lama lagi!”

Aisyah menggigit bibirnya. Berdoa dalam hati agar gossip yang dikatakan itu tidak menjadi ‘viral’. Malu dia nanti! Dia memulangkan mug itu kepada Anis dan mengadap Iman. Ada sesuatu yang ingin diberitahunya kepada gadis itu.

“Semasa pengsan, saya melihat wajah seorang gadis cantik sedang melakar sesuatu di kanvas. Kemudian, tiba-tiba saja seluruh lukisannya disimbahi darah. Saya lihat ada seorang lelaki dewasa muncul di belakangnya kemudian mencekik lehernya,” kata Aisyah memeranjatkan semua.

Para pelajar yang mengelilinginya habis ternganga. Falora, Bella dan Syamira menjerit sambil berhimpit-himpit di atas katil. Jijah mentertawakan mereka bertiga.

“Rupanya? Macam mana rupa dia?” Iman serius bertanya. Dadanya berdebar-debar.

“Tak nampak sangat, tapi rambutnya kerinting hingga ke bawah paras bahu. Dia memakai cermin mata berbingkai halus.”

Iman menarik nafas berat. Wajah arwah Dania menerpa diingatan. Dia merenung Anis dan Wawa. Kemudian, beredar dari katil itu. Tapi menghempaskan punggungnya di atas katil bersebelahan.

Aisyah bangun dan dalam keadaan terbata-bata mendekati Iman. Tetapi dengan pantas pula Iman menutup mukanya dengan bantal. Dia tidak mahu diganggu. Aisyah perasan pelupuk mata Iman digenangi air mata sebelum bantal itu sempat ditekup ke mukanya.

“Jomlah kita balik ke dorm kita!” Aisyah mengajak dengan suara perlahan sambil mengorak langkah untuk keluar dari dorm tersebut.

Mereka yang lain turut mengiringinya. Jijah yang baru hendak melangkah, berpatah semula apabila melihat Iman masih berada di katil itu sambil menekup wajahnya ke bantal. ‘Tidak tidurlah nampaknya Ann, katilnya dah dihuni!’ gerutu hati Jijah.

Iman pula menggumam esakannya di sebalik bantal. Dia bencikan kenangan itu kerana ia akan menghantar rindu yang tidak mungkin ada penawarnya! Kenangan lama bermain-main di ingatan. Iman melihat wajah Dania di pentas memorinya...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh