4,419
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab Dua Belas
  

                                            BAB 12

“Jadi, kau tak nak buat report polis ke Dija?”

Wajah Dija suram tanpa suara menjawab pertanyaan itu. Marina menggeleng.

“Takkan kau nak biarkan saja perkara macam ni?” soal Marina lagi.

“Yalah Dija. Baik Dija buat report polis. Boleh juga pihak berkuasa membantu Dija. Takpun menyiasat perkara tersebut.” Kak Sal menyampuk.

“Kata penyangak tu, kalau Dija buat report polis, dia lagi cepat nak buat jahat dengan Dija, kak...” kendur suara Dija.

“Dia ugut kau sampai macam tu sekali?” Marina kegeraman.

Dija mengangguk. “Aku ni perempuan. Kalau dia buat betul-betul perkara tu, macamana? Tak ke kesian dengan mak ayah aku kat kampung sana?”

“Apa yang dia nak buat, Dija?” soal Kak Sal.

“Dia nak perkosa dan nak bunuh Dija, Kak Sal...” balas Marina, pantas sebelum Dija sempat membuka mulut.

“Masya Allah...!” melopong Kak Sal bila mendengarkan ungkapan itu. Sedikitpun dia tidak pernah menduganya. “Nak rogol dan nak bunuh?”

Dija mengangguk lesu.

“Tulah pasal, Kak Sal. Dija teragak-agak jugak nak buat laporan polis. Nanti, dia bertindak betul-betul terhadap Dija, macamana kak?” soal Dija kecelaruan jelas terbayang di wajahnya. “Tak ke sedih mak ayah Dija nanti.”

“Setan betul!”

“Ya Allah, selamatkanlah adikku ini daripada segala bencara dunia dan akhirat. Peliharakanlah dia daripada kejahatan manusia dan syaitan.” Kak Sal cepat-cepat menadah doa.

“Amin...!” Marina dan Dija mengaminkan serentak.

“Sekarang ni, aku nak tempat kerjapun susah, Rina.”

“Kau jangan risau. Aku boleh datang jemput dan hantar kau untuk ke tempat kerja.” Balas Marina sambil matanya melekat ke wajah Dija.

“Betul tu, Dija. Biar Rina datang jemput dan hantarkan Dija pulang. Kak Sal boleh pergi sendiri.” Sokong Kak Sal.

“Tapi, aku memang tak nak susahkan kau Rina.” Ujar Dija, kendur.

“Hisyh, tak ada dalam kamus hidup aku, sahabat menyusahkan sahabat sendiri. Kau tak usah nak risau sangat pasal tu. Aku akan datang jemput dan hantar kau nanti.”

Dija diam seketika. Seperti memikirkan sesuatu.

“Dija, apa kata, kalau kita semua tinggal bersama?” tiba-tiba Kak Sal mengeluarkan pendapat yang dirasakannya amat bernas.

Melopong mulut Dija. “Tinggal bersama?”

“Eh, ya tak ya, Dija. Kan bagus idea Kak Sal tu. Kenapa dari duu kita tak fikirkan tentang ni? Kau tinggal aje dengan kami bersama-sama. Ha, tentu kau selamat nanti. Taklah risaukan mamat penyangak tu !” pantas pula Marina menyokong sebelum Dija sempat memberikan jawapannnya.

Dija buat muka. Dahinya berkerut-kerut.

“Ha, dah kenapa dengan kau ni Dija? Berkerut-kerut macam nenek kedut seribu? Tak nak ke tinggal dengan kita orang?” soal Marina bila dilihat wajah Dija seperti tidak bersetuju.

“Aku....”

“Ha, cakap, kenapa?” desak Marina.

“Bukan Dija tak setuju, kak. Tapi...”

“Tapi, kenapa ni Dija?” soal Kak Sal tenang. Dia tidak mahu mendesak Dija dengan cadangannya itu.

“Bab kena tinggal bersama dengan Kak Sal dan Rina tu, Dija kena fikir masak-masak. Dija...Dija...” tergagap-gagap Dija mencari alasan.

“Eh, kenapa dengan kau ni Dija? Kenapa kau tak sanggup nak tinggal dengan kami berdua?” soal Marina agak kurang puas hati.

“Sebenarnya, Dija memang tak boleh nak tinggal dengan Kak Sal dan Rina buat masa sekarang ni.” ujar Dija.

“Eh, kenapa Dija? Apa masalah kau kalau tinggal dengan kami berdua?”

“Kak Sal, Dija nak mintak maaf pasal tu. Dija memang tak boleh nak tinggal bersama-sama dengan Kak Sal berdua.”

“Tapi kenapa, Dija? Kau cakaplah kenapa?”

“Aku...aku...” Dija teragak-agak untuk bersuara.

Marina pula buat muka. Hairan dengan penolakan Dija.

“Aku tak boleh nak ceritakan apa sebabnya. Tapi, memang tak boleh tinggal bersama kau.”

Kak Sal mengeluh. “Tak apalah, kalau Dija tak sanggup nak tinggal dengan kami.”

“Dija bukan tak sanggup kak. Tapi...” kendur suara Dija. Dia merenung kedua tangannya yang bersarung itu.

“Kenapa Dija?” suara Marina sedikit kendur.

Dija masih jua merenung kedua tangannya itu.

“Dija...” Kak Sal menepuk bahu Dija. “Ceritalah dengan kami kalau Dija percayakan kami. Kak Sal dan Rina ni dah boleh dianggap seperti saudara sendiri.”

“Sebenarnya, Dija ni ada penyakit, kak...” kendur lagi suara Dija. Matanya mulai beralih ke wajah Kak Sal.

“Penyakit?” Marina dan Kak Sal bersuara serentak.

Dija mengangguk. “Tulah pasal, Dija kena pakai sarung tangan dan sarung kaki ni kalau keluar rumah. Dija tak nak ada orang yang berjangkit dengan penyakit Dija ni, kak.”

Marina dan Kak Sal saling berpandangan. Wajah kehairanan.

“Penyakit apa, Dija?” soal Marina, ingin tahu.

Dija menggeleng. “Aku sendiripun tak tahu. Doktorpun tak tau nak cakap tentang penyakit aku ni. Setakat ni, dia orang mintak aku pakai sarung tangan dan sarung kaki sebaik sahaja aku keluar dari rumah. Kalau tak, bukan setakat aku yang bahay, malah boleh membahayakan orang lain jugak.” Terang Dija. “Kalau dah pakai sarung-sarung ni, semua orang boleh selamat. Aku selamat, teman-teman selamat malah sesiapa saja akan selamat.”

Marina dan Kak Sal sekali lagi saling berpandangan.

“Tulah sebabnya Dija kena tinggal sorang. Dija tak nak ada orang lain yang susah kerana Dija. Dija tak nak orang lain dapat penyakit macam ni, kak.”

“Penyakit apa sebenarnya Dija?” soal Kak Sal sekali lagi. Inginkan kepastian.

“Penyakit misteri, kak.”

“Penyakit misteri?”

Dija mengangguk.

“Sebab doktor sendiripun tak boleh nak kesan apa penyakitnya. Sekarang ni Dija masih dalam rawatan. Tulah pasal Dija nak jugak kerja kat Kuala Lumpur ni. Senang nak dapatkan rawatan daripada doktor. Kat sini, ramai pakarnya. Kalau Dija tinggal kat kampung nak kena datang jugak ke mari.” Balas Dija.

Kak Sal dan Marina nampak lebih bersimpati terhadap Dija.

“Kata doktor, kalau Dija pakai sarung tangan dan sarung kaki macam ni, memang penyakit tu takkan berjangkit. Sebab tulah Dija selalu pakai benda Allah ni , kak.” Ujar Dija.

Keduanya saling mengangguk.

“Bukan setakat kat tangan dan kaki, kak. Seluruh badan Dija kena tutup. Kalau tak memang bahaya.” Terang Dija lagi.

“Tak boleh sembuh ke Dija?” soal Marina.

“Nilah aku tengah dapatkan rawatan daripada pakar kat KL ni, Rina. Kata doktr tu, akan sembuh jugak. Tunggu waktu dan ketikanya.” Jawab Dija.

“Ohhh, patutlah kau selalu macam ni.” Marina mengangguk-angguk beberapa kali.

Dija mengangguk.

“Dulu, aku tak berani nak cakap pada kau dan Kak Sal. Takut-takut kalau kau orang berdua tak nak kawan dengan aku lagi. Aku tak nak kehilangan kawan.” Sedih suara Dija.

“Dija...” Kak Sal meletakkan tangan di atas bahu Dija. “Janganlah Dija risaukan hal tu. Kak Sal tak kisah walau apapun sakit Dija, Kak Sal tetap akan teruskan ikatan persahabatan ni sampai bila-bila. Malah, Kak Sal nak anggap Dija ni macam adik Kak Sal sendiri. Tak nak sebagai orang lain.”

“Akupun sama, Dija. Walaupun sekejap kenal dengan kau, tapi aku dah rasa sayang sangat dengan kau. Lebih daripada kawan dah kau ni bagi aku. Mungkin jugak macam Kak Sal cakap. Macam adik beradik.’

Dija mengangkat wajah. Ada setitis dua air jernih tergenang di birai mata.

“Terima kasih Kak Sal. Terima kasih Rina. Akupun dah lama rasakan perkara ni. Kak Sal macam kakak sendiri. Kau macam adik beradik sendiri.”

Kak Sal dan Marina mengangguk.

“Tapi, Dija minta sangat-sangat agar penyakit ini dirahsiakan daripada semua teman sekerja dan juga orang lain, Kak Sal. Dija malu. Dija takut jugak kalau kena buang kerja.”

“Kami janji takkan pecahkan rahsia ni, Dija.” Janji Kak Sal.

“Aku janji jugak, Dija. Takkan bagitau sesiapapun.”

“Kata doktor, aku masih boleh bergaul dengan semua orang. Syaratnya, mesti bersarung tangan dan bersarung kaki. Lagipun, doktor sedang bagi rawatan intensif. Lama-lama nanti, penyakit ni boleh baik. Cuma tengok waktu dan keadaan. Kalau dah baik nanti, aku nak tinggal dengan kau orang, boleh tak?”

“Ohhhh, mestilah boleh dik...” jawab Kak Sal sambil tersenyum.

“Boleh...memang boleh...” Marina pula bersuara senang.

“Terima kasih.”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh