BAB 18
“YA datuk...”
Dija yang masih diam di atas kerusi di depan Datuk Nik
Rasyid hanya menjawab sepatah dua kata bila ditanya oleh majikannya itu. Di
atas meja itu, kelihatan kunci motosikal yang diletakkan oleh Dija seketika
tadi. Dija meriba tangannya sambil merenung fail bertimbun di atas meja datuk.
Dia sengaja tidak mahu berbalas pandang dengan majikannya itu.
“Habis, siapa yang nak gunakan motor tu nanti?” soal
Datuk Nik Rasyid. Matanya terus melekat ke wajah Dija.
Gadis yang diburu serba salah itu kehilangan jawapan. Dia
tahu, dia tidak perlu menjawab soalan datuk itu. Dia hanya tahu, dia mesti
serahkan kembali motor tersebut kepada datuk sebab dia sudah tidak mahu bekerja
di syarikat itu lagi.
“Dija ingat kat rumah saya sana ada sesiapa yang akan gunakan
motor ni?”
Dija cuba tersengih bila mendengarkan persoalan datuk
itu. Serupa dengan kata-kata Faheem tempoh hari. Yalah, siapa yang nak gunakan
motor dalam rumah besar mewah itu? Masing-masing ahli keluarga tersebut
sudahpun memiliki kenderaan masing-masing. Takkan mereka suka naik motor yang
murah macam itu.
“Tapi, saya dah tak ada kerja datuk. Jadi, macamana saya
nak bayar setiap bulan motor ni? Sebab
tulah saya nak pulangkan semula kepada datuk.”
“Haa, itu satu hal. Kenapa Dija nak berhenti? Kan kerja
kat syarikat ni dah kira ok? Apa yang tak kena lagi Dija? Gaji? Atau apa ni?”
soal datuk mencungkil rahsia Dija.
“Bagi orang macam saya, gaji tu dah dikira ok sangat,
datuk.”
“Habis, kenapa nak berhenti ni, Dija?”
“Dija tak layak nak bekerja di syarikat datuk. Nanti...”
Dija berhenti di situ. Dia merenung wajah Datuk Nik Rasyid. Dia rasa tidak
patut teruskan sebarang ucapan. Diam itu sebenarnya lebih baik. Bersuara lebih
banyak bererti dia akan lebih banyak membuka rahsia.
Ah, tidak...
Dija mesti rahsiakan segala rahsianya selama ini. Mana
boleh ceritakan dengan datuk.Nanti
kecoh jadinya.
“Dija, cuba awak berterus terang.” Desak datuk. “Kenapa
awak nak berhenti kerja? Awak dah dapat kerja lain ke? Gaji lebih lumayan ke?
Atau awak tak puas hati dengan layanan kat syrikat ni?”
Dija hampir mengucapkan perkataan ‘yes’ sambil melompat
riang di hadapan datuk. Biar dia tahu, memang itulah alasannya. Layanan yang
memang tidak patut dia terima setiap kali bertembung dengan Mamat Bertaring
itu. Biar datuk tahu, hatinya memang terguris bila kenangkan sikap dan layanan
Faheem.
Tapi...?
Ah, jangan mengada-ngada wahai Dija. Jangan!
Siapalah kamu untuk tunjuk pandai. Jangan mengadu kepada
datuk, nanti kamu juga yang akan susah. Faheem adalah anak kesayangan datuk. Walau
apapun alasannya, datuk takkan membuang anaknya dengan mudah. Faheem tetap di
hati datuk. Marah bagaimana hebat sekalipun, Dija tetap mengerti, itu semua
kerana kasih sayang seorang ayah. Takkan datuk sanggup menghukum anak sendiri
demi orang lain. Orang yang sekadar menumpang mencari sesuap rezeki untuk
kelangsungan hidupnya.
Dija cepat-cepat membujuk hati. Jangan mudah terjebak
dengan pujukan datuk itu. Mungkin itu sekadar untuk memancing tutur bicara
Dija. Mungkin juga datuk mahu melihat, sejauh mana cerita Dija. Atau
barangkali, datuk mahu tahu bagaimana hebatnya Dija bila mengumpatkan Faheem.
Dija cepat-cepat menutup bicara tentang Faheem sebelum
ianya terluah.
“Mungkin Dija tak selesa dengan Faheem?”
Melopong mulut Dija bila datuk menyoalnya demikian. Dija
tahu, Datuk Nik Rasyid memang sentiasa ikuti perkembangan konfrantsi antara dia
dan Faheem.Takkan datuk tak tahu tentang kecundang rasa yang sedang Dija alami
sejak mula Dija melangkah masuk sebagai pekerja disyarikat itu.
Dija tahu datuk tahu apa yang sudah sering terjadi antara
dia dan Faheem. Datuk memang sudah amat maklum perkara itu. Jadi, untuk apa
lagi Dija bercerita? Biarlah datuk terus faham dan mengerti kerana selama ini
sudah banyak kelukaan yang Faheem berikan kepadanya. Bagaimanapun Dija tetap
bersabar jua.
Apa ada pada sabar?
Dia tetap jua diperlakukan sesuka hati oleh Faheem.
Malah, penghinaan tetap jua menjadi mainan bibir jejaka anak bosnya itu.
“Dija memang tak mampu dah nak bayarkan motor ni datuk.”
“Dah kalau tak mampu, kenapa Dija nak berhenti? Terus je
kerja kat sini. Pedulikan Faheem tu.” Ujar Datuk Nik Rasyid.
Dija tersengih bila datuk bersuara begitu. Memang datuk
dapat menduga bahawa hasrat Dija untuk berhenti kerja adalah kerana Faheem
sebab utamanya. Tapi, Dija tetap tidak mengulas apa-apa.
“Selagi saya ada kat syarikat ni, Faheem tak boleh nak
buat apa-apa dengan Dija.”
Dija mengangguk lagi. Itu kata datuk. Kat depan papanya,
Faheem memanglah tak akan buat apa-apa terhadap Dija sebab dia takutkan
papanya. Kalau di belakang, mahu ditelannya Dija macam udang goreng kering.
Faheem memang sangat bencikan Diija. Padahal bukanlah besar sangat kesalahan
Dija.
Dija benar-benar berasa pelik dengan tingkah Faheem.
Namun, macam datuk cakap tadi, biarkanlah Faheem. Pedulikan dia. Usah diambil
sangat buah bicaranya. Lama-lama nanti, bertaubat juga dia kelak.
Tapi Dija yakin, Faheem hanya akan berhenti memberikan
dia sindiran ataupun kemarahan bilamana dia tidak lagi berada di depan mata
lelaki itu. Tidak lagi berada di syarikat itu. Jika tidak, Faheem tetap akan
menyindir dan membencinya. Itu memang Dija amat maklum. Apatah lagi kalau dia
bersama Rita. Semakin banyak buah sindirian yang bakal ditelannya. Faheem akan
lebih puas kalau melihat wajah kelat Dija. Mungkin lebih menyenangkan kalau ada
airmata Dija yang tumpah.
Kenapalah dengan Mamat Bertaring itu? Hatinya dibuat
daripada apa agaknya? Soal Dija berkali-kali. Wajah Faheem yang sedang
mencerlang ke arahnya muncul dengan tiba-tiba. Garangnya dia!
RITA menarik nafas. Kemudian dilepaskan kuat. Aura geram
terpahat di wajah dan matanya. Masam mencuka wajah yang selama ini cantik
jelita itu. Di depannya Datin Wan Fuzia sedang terlantar di atas katil.
“Pekak ke kamu ni?” tiba-tiba jerkahan Datin Wan
Fuzia menerpa pada gegendang telinga
Rita. Terentak Rita bila mendengarkan jerkahan yang kuat begitu.
“Dah berapa aku cakap, aku nak kau tolak aku. Keluar dari
bilik sempit ni. Aku nak ambil angin kat luar sana!” suara Datin Wan Fuzia
terus menjerit kuat.
“Err...” Rita jadi teragak-agak. “Tapi, datin baru aje
masuk ke dalam bilik ni. Kan datin cakap nak masuk bilik? Ni, Rita bawa datin ke dalam bilik ni...”
“Siapa cakap aku nak masuk ke dalam bilik? Aku nak keluar
dari bilik ni...!” marah mencerlang datin. Tersentak lagi Rita.
Dulu, datin lebih banyak diam di awal Rita bertugas di
situ. Mungkin waktu tu, dia masih belum boleh bercakap dengan sempurna. Selepas
diberikan rawatan lebih intensif, datin mulai boleh bercakap semula. Walaupun
agak telo tapi, suara kuat dan jelas. Dia akan menghamburkan kemarahannya
kepada siapa saja jika dia rasa ingin
marah. Itu merupakan sebahagian
daripada sisa-sisa penyakit yang dialaminya.
Rita rasa geram bila dijerkah dan dimarah begitu. Di
rumah sendiri, dia tidak pernah dimarahi apatah lagi dijerkah kuat begitu.
Semua ahli keluarganya sangat memanja dan
menatang Rita dengan penuh kasih
sayang. Tiba-tiba mendapat layanan yang begitu daripada datin, tersentak habis
Rita. Hatinya mulai membara.
“Tadi datin cakap tak nak duduk kat luar? Sekarang, tak
nak duduk kat dalam bilik pula? Rita tak faham kalau macam ni...” sungut Rita.
Tapi dia cuba mengawal ucapannya agar tidak sampai menyentuh perasaan orang tua
itu.
“Hey, kamu ni tahu menjawab je. Aku cakap aku nak keluar!
Hah, bawa ajelah aku keluar! Aku mana nak duduk dalam bilik sempit macam gua
hantu ni?” marah datin semakin meledak. Geram hatinya bila Rita cuba membela
diri. Datin, semenjak sakitnya hanya tahu meluahkan kemarahan. Bukannya
mendengar ucapan orang lain.
Kata doktor, itu sebahagian daripada fenomenanya. Mungkin
ianya akan pulih atau mungkin ianya takkan pulih. Bergantung atas nasib dan
ketentuan Allah. Bagaimanapun, semua ahli keluarga mestilah bersabar dengan
kerenah datin. Ianya telah membezakan antara datin sebelum sakit dan selepas
sakit. Melawan kata-kata datin akan lebih membuatkan dia stress dan
kesembuhannya agak menyukarkan. Jadi, doktor sangat mengharapkan kerjsama
daripada setiap ahli keluarga. Mudah-mudahan ianya akan membantu kesembuhan
datin dengan sepenuhnya. Ataupun, mungkin akan lebih baik daripada masa
sekarang.
“Mahu juga aku terbalikkan kerusi roda orang tua ni...”
sungut Rita di dalam hati. Wajahnya sudah mulai keruh dan terbayang kemarahan
memuncak. Dadanya mendidih.
“Hey, cepatlah...!” jerkah Datin Wan Fuzia lagi. Dia
mulai menggoncang-goncang kerusi roda dengan badannya yang agak membulat itu.
Marah wajahnya semakin terserlah.
“Baik, datin...” patuhnya bunyi suara Rita menahan
perasaan. Namun dalam hatinya seolah sedang menahan bara yang sedang menyala.
Terasa geram dan marah itu bergaul menjadi suatu berontakan yang bakal
mengganas.
Ditolaknya kerusi roda datin. Berhati-hati, bimbang
kalau-kalau terlanggar dinding, datin akan hamburkan maki seranahnya lagi.
Akhirnya sampai ke ruang tamu.
“Eh, nak ke mana
pula, Cik Rita?” tiba-tiba Mak Siah terjonggol. Berlapis dahinya melihatkan
Rita yang sedang menolak kerusi roda datin. Baru sebentar kerusi roda itu
ditolak dari ruang tamu ke dalam bilik datin. Bilik rehat yang dikhaskan untuk
datin. Bukannya bilik tidur mereka dulu.
“Entahlah Mak Siah. Datin tak jadi kut nak masuk dalam
bilik. Dia nak keluar balik.” Rita berjaya mengawal suaranya agar tidak
disedari oleh Mak Siah. Rita tidak mahu ada orang tahu bahawa dia tengah geram
dan marah di saat itu. Bimbang kalau-kalau diketahui oleh datuk dan Faheem,buah
hatinya.
Mak Siah adalah tukang
masak di rumah itu. Dia tidak mampu untuk menjaga Datin Wan Fuzia dalam
keadaan sakitnya sekarang. Itulah sebabnya datuk mencarikan pembantu yang lain
semata-mata ditugaskan untuk menjaga datin. Mak Siah sudah tua. Mana mungkin
dia mampu untuk menjaga datin yang sedang sakit begitu. Nak Siah sendiri sudah
mengakui, dia memang tidak mampu. Namun, untuk sesekali, dia akan menjaga
datin.
Itulah orang gaji khas didatangkan untuk datin. Rita, gadis
cantik kesayangan Faheem, tugasnya kini sekadar menjaga datin. Dia tidak perlu
buat kerja-kerja lain. Hanya bersama datin sepanjang siang hari. Kecuali pada
waktu malam, Rita tidak lagi membantu datin. Mungkin datuk. mungkin Faheem yang
menjaganya. Rita perlukan rehat kerana datuk tahu, pastinya amat letih melayani
kerenah hebat datin.
Hari minggu juga, datuk memberikan cuti rehat untuk Rita.
Dia tidak dibebankan dengan tugas menjaga datin pada hari minggu. Datuk akan
menjaganya kalau tidak ke luar negara. Faheem juga. Dia akan menjaga datin jika
datuk tidak ada di rumah. Paling tidak, Mak Siahlah yang kena teruskan tugas
pada hari minggu. Rita pulang ke rumahnya pada setiap hari minggu. Ataupun
keluar bersama Faheem setiap hari minggu.