Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERIKU 120 KG
ISTERIKU 120 KG
SITI NUR DHUHA
29/12/2014 20:46:49
28,424
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
BAB 2

TANGANsebelah kiri memegang dua cucuk sosej bakar. Begitu juga tangan sebelah kanan. Dengan mulut yang penuh dan bersememeh dengan sos, Aini mengetawakan sahabat karibnya.

“Itulah kau. Aku sudah beritahu awal-awal. Shahaikal tak mungkin akan menerima kau sebagai pekerja.” Kunyahannya itu ditelan. Sosej bakar digigit lagi.

“Tapi kenapa?” Nelydia membentak. “Aku cantik, badan aku langsing, kulit aku mulus…” tangan naik menyentuh pipi. “Aku bijak, dan aku juga seorang yang berkarisma.” Nelydia berkata dengan bersungguh-sungguh. Seakan-akan apa yang dicakapkannya itu menepati ciri-ciri yang ada pada dirinya.

Terus terlepas makanan yang ada di tangan Aini. Ternganga dalam keadaan sosej penuh di dalam mulut.

“Eh, kenapa dengan kau ni?” Nelydia kehairanan. Aini kelihatan begitu terkejut dengan statement yang dikeluarkannya itu. Mata Aini terbeliak luas bagaikan ingin terkeluar dari soketnya pada bila-bila masa sahaja. Hampir semiint juga Aini tidak berkelip. Tubuhnya keras kejung. Sehingga akhirnya Aini tersedak dengan kuat.

“Macam mana kau boleh begitu yakin dengan apa yang kau cakapkan tu?!” Aini bertanya dengan hairan. Selama ini Nelydia tidak begitu. Nelydia seorang yang sangat sedar akan kekurangan diri. Namun tidak kali ini, entah setan apa yang telah merasuk minda Nelydia.

“Kenapa? Salah ke apa yang aku cakap ni? Kenapa kau macam terkejut je?” Hujung tudungnya yang lusuh itu dipintal-pintal. Eh, mengapa pula aku pintal hujung tudung aku macam perempuan pemalu pula ni? Hujung tudung dilepaskan. Lalu pertanyaan yang sama diulang dengan nada yang agak serius.

“Kenapa? Salah ke apa yang aku cakap ni? Kenapa kau macam terkejut je?” Atau kau cemburu? Sela Nelydia di dalam hati.

“Memang aku terkejut. Sebab, apa yang kau cakapkan tu salah. Siapa yang dah meracuni fikiran kau ni Neli? Cuba kau cakap pada aku.” Aini mengesat mulutnya yang bersememeh dengan sos itu menggunakan tudung. Tangan Nelydia dipegang. Dibawa gadis itu menuju ke tandas awam. Selepas membayar harga 50 sen setiap seorang, mereka berkira-kira untuk masuk. Kedua-duanya mengerling pada dinding tandas. Minggu lepas harga penggunaan tandas hanya 30 sen sahaja. Semenjak barang naik harga, cas penggunaan tandas awam juga dinaikkan. Kencing 50 sen, berak 70 sen. Terpampang ditulis pada dinding tandas bahagian luar. Puih! Aini yang brutal itu meludah. Benci dengan kenaikan taraf hidup yang semakin membebankan rakyat.

“Cik,” bahu Aini ditepuk dari belakang. Segera dia menoleh. Di sebelahnya berdiri seorang mak cik berusia 50 tahun. Gemuk gedempol macam aku jugak mak cik ni. Kutuk Aini.

“Cik kena tambah 50 sen lagi.” Mak cik itu menghulurkan tangan ke arah Aini. Jari-jemarinya digerakkan. Meminta duit.

“Kenapa pulak? Bukan ke saya sudah bayar tadi.” Aini mendakap kemas handbagnya. Mahu menjaga sekeping syiling 50 sen yang kebetulan memang ada di dalam handbagnya. . Eii, senang-senang je mintak tambah.

“Tu.” Jari telunjuk mak cik itu menuding pada kesan ludahan Aini pada dinding tandas.

Aini dan Nelydia ikut menoleh. Kesan ludah itu tepat berada di atas tulisan harga pada dinding.

“Kamu tahu tak berapa banyak kos yang mak cik terpaksa tanggung untuk bersihkan ludah kamu tu. Kos sabun, kos air, dan kos berus. Sekarang ni semua perkara kena ambil kira. Kos sara hidup sudah naik. Barang mahal.” Jelas mak cik itu.

“Bayarlah, apa tunggu lagi.” Jerkah makcik itu.
Dengan muka masam mencuka, Aini membayar 50 sen kepada mak cik itu. Sudahlah aku tengah sesak tak ada duit sekarang ni. Adoi. Kerja pun susah nak dapat. Sesudah itu Aini dan Nelydia melangkah masuk ke dalam tandas. Nelydia ketawa mengekeh dengan nasib yang menimpa sahabatnya itu. Itulah kau, brutal tak kena tempat.

“Tujuan aku membazirkan duit aku bawa masuk kau ke dalam tandas ni, bukan nak suruh kau tengok mangkuk jamban tu,” Aini menampar kasar bahu Nelydia apabila gadis itu dilihat sedang memandang ke arah mangkuk tandas. Seperti ada yang menarik di situ. “Aku bawa kau masuk ke sini sebab aku nak sedarkan kau. Aku nak fahamkan kau, bahawa apa yang kau cakapkan tadi tu tak betul.” Aini memegang kedua-dua belah bahu sahabatnya itu.

“Maksud kau?” kening Nelydia terjungkit.

Terus Aini memusingkan tubuh Nelydia menghadap cermin.

“Kau nampak tak apa yang terpantul dari cermin besar tu?” tanya Aini. Belum sempat Nelydia menjawab, Aini terlebih dahulu memberikan jawapan. “Itu adalah dua orang bluehippo.” Aini tanpa segan silu turut mengakui dirinya adalah bluehippo.

“Cuba kau tengok diri kau betul-betul dalam cermin tu.”

Nelydia akur.

“Kau rasa kau cantik?” Tanya Aini.

Nelydia meneliti seluruh tubuhnya. Nelydia tiba-tiba berasa sangat sedih.

“Tak.”

“Langsing atau gemuk tubuh kau tu?”

Bibir Nelydia menggigil. Sukar sekali untuk berkata-kata.

“Gemuk.”

“Kulit kau mulus atau berkerutu macam katak puru?”

Tangan Nelydia naik menyentuh pipinya. Terasa sedikit sakit lantaran tersentuh jerawat yang hebat bernanah. Ditahan kesakitan itu.

“Berkerutu macam katak puru.”

“Kau bijak atau kau paling bodoh di dalam kelas kita dulu.”

Isu bijak bodoh ni sudah melampau. Aku tumbuh karang. Nelydia menjeling sahabat karibnya itu. Lembam biji mata tu nanti. Kocik besor kocik besor dah cek menengok pompuan ni!

“Ya, aku bodoh. Tapi kau jangan lupa. Dalam kelas dulu, kita berdua memang selalu bertukar tempat duduk pencapaian paling teruk. Ada masanya aku dapat tempat kedua terbodoh jugak tau. Kau ambil tempat pertama.” Nelydia mengingatkan sabahatnya itu.

“Ok, aku faham. Sekurang-kurangnya aku tak pernah mengaku aku cerdik.” Aini menaikkan kedua-dua tangannya dengan lembut pada bahu sambil matanya dijulingkan ke atas siling.

“Sambung semula. Kau rasa kau berkarisma?” Aini bertanya lagi.

Nelydia menggelengkan kepalanya. Sifat dan penampilan yang ada pada dirinya jauh dari karisma. Entah kenapa Nelydia berasa sungguh sebak tidak terhingga. Berjujuran air matanya jatuh membasahi pipi. Nelydia teringatkan kata-katanya pada Wan Muhammad Shahaikal pagi tadi. Bagaimana Nelydia sanggup mengeluarkan penyataan seperti itu sedangkan dirinya jauh daripada yang diperkatakan. Ya ALLAH. Malunya aku! Nelydia menekup muka.

Aini memegang kedua-dua tangan Nelydia. Dilarikan pada wajah gadis itu. Kepala Nelydia ditarik pada bahunya. Aini juga tidak cantik seperti Nelydia. Gemuk dan berjerawat. Cuma Aini sekurang-kurangnya tidaklah jongang seperti Nelydia.

“Cuba kau beritahu aku, siapa yang suntik keyakinan yang begitu hebat dalam diri kau ni. Sehingga kau sanggup menemui Shahaikal. Sedangkan selama ini kau hanya mampu memandang dia dari kejauhan saja.” Aini mengosok-gosok belakang badan Nelydia. Cuba memujuk sahabat yang kini sedang dihurung kesedihan. Anak mata Nelydia sedikit bergenang. Aini faham perasaan Nelydia.

“Syikin.” Beritahu Nelydia.

“Hah? Syikin? Kau biar betul.” Aini menolak Nelydia daripada bahunya. Dengan kuat. Sehingga tersandar tubuh Nelydia pada dinding tandas. “Tak guna punya Syikin, sanggup kau perdajal sahabat karib kau sendiri. Si kurus keding tu memang nak kena.” Tangannya digenggam membentuk penumbuk. Diangkat. Bersedih untuk menumbuk cermin tandas awam itu.

Bahu Aini ditepuk dua kali dari belakang. Tindakannya terhenti. Seinci sahaja lagi penumbuknya ingin mengenai cermin. Aini menoleh dengan berang. Siapalah yang berani menepuk bahunya dikala kemarahan sedang menggunung tinggi. Ibarat lahar gunung berapi yang sudah bersedia menghamburkan muntahnya pada bila-bila masa sahaja.

“Cik sudah bersedia nak bayar harga cermin ni pulak ke? Mak cik tak kisah kalau cik nak pecahkan sekali pun. Kat tangan mak cik ni sudah ada kalkulator untuk kira kos-kos yang terpaksa cik bayar.” Mak cik tersebut menayang-nayangkan kalkulator di hadapan mata Aini.

“Hah?” Aini terlopong. Otaknya ligat membuat kira-kira. Harga cermin mungkin RM 30 hingga RM100. Atau mungkin lebih mahal. Kos penyapu yang bakal digunakan untuk menyapu deraian cermin mungkin RM5. Dan siapa tahu mak cik itu menambah kos-kos lain pula. “Eh, mana ada saya nak pecahkan cermin ni. Saya nak lap cermin ni.” Dengan menggunakan hujung tudungnya cermin itu dilap dengan bersungguh-sungguh. Mak cik penjaga tandas terus keluar dengan mimik muka curiga.

Nelydia dihampiri.

“Selama ini aku tak pernah halang kau dari menyukai Shahaikal. Tapi untuk kali ini aku nak kau hapuskan angan-angan kau untuk hidup bersama dia. Hidup kau dan dia jauh perbezaan. Dia tak mungkin membalas cinta kau. Kini ni orang miskin Neli. Tiada rupa pula. Shahaikal tu sudahlah punyai rupa, pemilik harta kekayaan keluarga dia pulak. Anak tunggul katakan.” Anak tunggal disebut anak tunggul oleh Aini tanpa disedari. “Aku tahu perkara ni klise. Hero seorang yang kaya. Heroin pula miskin papa kedana. Dalam drama mahupun novel, hero kaya dan heroin miskin akan bersama. Bahagia selamanya. Tapi itu drama dan novel. Ini kehidupan realiti Neli. Tak mungkin jadi macam tu.”

“Tapi…” betapa hatinya sangat berdukacita detik itu. “Tapi…” bibirnya menggigil. Senang bagi Aini menasihati. Sedang hatinya tidak pernah mampu melupakan lelaki yang sangat istimewa itu. “Tapi aku sungguh-sungguh mencintai dia Aini. Aku betul-betul sayangkan dia. Aku rela begini sampai bila-bila.”

“Ya, ya, aku tahu. Sudah satu juta lima ratus satu kali kau cakap pada aku perkara yang sama. Sikit-sikit cinta. Tapi kau jangan ingat aku tak tahu, kau juga minat pada rupa paras dia yang kacak, kekayaan dia, dan gaya hidup dia yang hebat. Kalau dia tu hodoh macam kau, miskin macam kau, gaya hidup tunggang terbalik macam kau, sumpah kau tak nak kan?”

Nelydia mengangguk.

“Yang tu kau betul. Antara faktor aku mencintai dia kerana dia kacak, kaya dan gaya hidupnya sungguh hebat. Entahlah, aku tak tahu nak cakap apa lagi. Yang pasti, aku memang sukakan Shahaikal.” Nelydia menundukkan wajah memandang selipar jepunnya. Pada ketika itu barulah Nelydia tersedar, dia telah mengenakan selipar jepun yang berbeza warna.

“Entah-entah, Shahaikal tak ingat pun yang kau ni pernah sekelas dengan dia masa kau jumpa dia tadi?”

“Memang dia tak ingat langsung Aini.” Ujar Nelydia dengan lemah.

“Nampak sangat yang kau ni, tak pernah sekalipun ada di dalam minda dia selama ini. Sudahlah, baik kita gerak keluar. Tapi sebelum tu kita kena guna dulu tandas ni. Supaya duit yang kita bayar tak hangus macam tu je.” Aini masuk ke dalam tandas dan menghempas pintu dengan kuatnya.

Nelydia melepaskan nafas dengan kuat. Melangkah masuk ke dalam tandas. Buat rugi je jika buang air kecil sahaja. Baik buang air besar terus. Mak cik tu bukannya tahu pun. Sekurang-kurangnya jimat 70 sen. Duhai mak cik, manalah orang yang nak buang air besar sanggup mengaku bahawa dia nak buang air besar dan bayar 70 sen pada mak cik. Huhuhu…

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SITI NUR DHUHA