Home Novel Fantasi Chimera: Naga Terakhir
Chimera: Naga Terakhir
Hasif Rayyan
2/7/2018 15:48:14
16,401
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 6

Sang alien duduk atas paha Zaqwan. Ia mendongak, merenung Zaqwan yang berkerut wajahnya, sedang fikirkan sesuatu. 


“Jadi, sekarang macam mana?” Saiful menyoal.


“Hmmmm...” Zaqwan menggaru kepala. “Memang tak ada cara lain, kita kena jaga dia.”


“Kau biar betul?” 


“Takkanlah aku nak biarkan dia begitu saja? Kalau dia mati, macam mana?” 


“Kalau ‘kau’ yang mati, macam mana?” 


Zaqwan tidak menjawab. 


Saiful melepaskan keluhan berat. Jawapan yang diberi adalah seperti yang dia jangka. Faham dengan sikap Zaqwan yang pantang melihat haiwan yang cedera. 


“Tapi Zaqwan, dia alien, bukan haiwan biasa.”


“Kau tahu apa yang akan berlaku kalau aku biarkan dia, kan?” 


“Apa?” 


“Mungkin akan ada orang cuba tangkap dia.” 


Biasalah. Kewujudannya akan menarik perhatian para saintis. Usai ditangkap, ia diperiksa untuk tujuan uji kaji. Pasti prosesnya menyeksa alien itu sendiri.


“Atau, masuk surat khabar.” 


Itu pasti akan jadi berita tergempar. Alien ditemui berdekatan pantai Kelantan? Tetapi, Saiful mula khuatir sekiranya ada pihak media akan ketahui mereka yang menemuinya.


“Ataupun, ada orang kampung dibunuh olehnya.”


Ketika ini, darah Saiful berderau. Kalau sampai diketahui orang kampung, mesti mereka akan dituduh yang menjadi punca kejadian sedemikian! 


Melihat keadaan Saiful, Zaqwan menyoal, “Takkanlah kau tak terfikir semua itu?” 

 

Saiful tekup muka, mengurutnya sehingga hilang tegang. 


Zaqwan sekadar diam, mengusap kepala sang anak naga. Selesa diperlakukan begitu, alien itu geselkan kepala pada tangan Zaqwan, sambil mendengung bagai kucing manja.


“Kita kena jaga dia juga walau macam mana sekalipun.”


‘Kenapalah aku terlibat sekali dalam hal ini?’ 


Soalan itu berlegar dalam kepala Saiful. 


“Oh ya, alang-alang aku dah buat keputusan nak pelihara kau, mestilah kena letak nama, kan…?” Zaqwan bercakap kepada sang alien, kemudian berfikir sejenak. 


Seketika kemudian, Zaqwan mendapat idea nama. “Aku dah buat keputusan. Nama dia Long.”


“Long?” Saiful pelik. “Long apa? Abang Long?”


“Bukanlah.” 


“Panjang dalam Bahasa Inggeris?” 


“Ke situ pula kau! ‘Naga’ dalam Bahasa Cina!”


Bola mata Saiful naik ke atas, tanda jengkel. Faham sangat bahawa pilihan Zaqwan adalah kerana dia amat meminati filem aksi Cina. Entah-entah sebab baru lepas tonton filem Dragon Fight arahan Stephen Chow di TV3 malam tadi. 


“Okey! Mulai sekarang, nama kau ‘Long’! Tahu?” 


Sang naga menyahut dengan bunyi dengung yang kuat. 


“Jadi, memang kau akan jaga dialah, ya?” tanya Saiful.


“Iyalah, kalau kau tak nak tolong,” sindir Zaqwan.


Saiful ketap gigi, kawal marah. “Nanti kau tinggalkan dia di sinikah?”


“Gila kau?! Nanti aku bawa balik rumahlah!” 


“Kau yang gila! Kau hilang akalkah nak bawa alien balik rumah? Kalau mak kau tahu, macam mana?”


“Alah. Mak aku bukannya kenal alien itu apa. Nanti aku cakaplah kepada dia yang Long ini haiwan eksotik yang aku jumpa di hutan.” 


“Aku ingatkan mak kau tak suka haiwan?” tanya Saiful, bingung.


Zaqwan terlopong.


“Alamak!!” 


Dia benar-benar terlupa hal itu.


* * * * *


Zaqwan mengintai kawasan ruang tamu dari jendela. “Okey, selamat.” 


Dia menyelinap masuk ke dalam rumah sambil memikul beg sandang yang dipinjam dari Saiful. 


“Kau diam-diam, ya?” Zaqwan bercakap sendirian. Atau lebih tepat kepada sesuatu yang sedang bersembunyi di dalam beg itu. 


Zaqwan cuba pasang telinga. Kedengaran bunyi minyak mendidih dan sudip bergeser dengan muka kuali. Turut terbau aroma ikan sardin goreng. 


Sah Mama sedang masak!


Yakin, Zaqwan menjongket tanpa bunyi menuju ke bilik tidur. Tombol dipulas waspada, membuka pintu perlahan. Usai masuk ke dalam bilik, Zaqwan mengunci tombol. Dia mendekati katil, dan letakkan beg sandang besar padanya.


“Okey, aku buka sekarang,” Zaqwan berbisik lagi sambil membuka zip beg.


Long muncul keluar. Mulut dibuka seluasnya, mengambil udara. Sesudah itu, ia melilau memerhati persekitaran bilik Zaqwan. 


“Ini bilik aku. Nanti kau tidur di sini dengan aku,” kata Zaqwan kepadanya. 


Long bergerak menghampiri sudut kanan katil. Ia memerhati barisan figura aksi pada rak dinding. Agak lama dia berbuat begitu. Tak sedap hati, Zaqwan segera mengutip setiap figura aksi, menyimpan kesemuanya dalam almari baju.  


“Fuh, nasib baik. Kalau tak, rosak barang aku.” 


Tetapi Zaqwan dikejutkan pula oleh bunyi sesuatu jatuh pada lantai. Dia segera menoleh, mendapati Long sedang memegang buku penulisan Bahasa Melayu. Zaqwan pantas menyambar kerja sekolahnya, dan diletakkan pada tempat yang tinggi. 


Long didukung semula ke katil. Anak naga itu buat muka bingung kepada Zaqwan. 


“Kau tak boleh sepahkan bilik aku! Nanti Mama marah!” Zaqwan menegurnya. 


 Macam mana sekarang? Bagaimana dia mahu disiplinkannya? 


Zaqwan bingung, tetapi dia harus lakukan sesuatu. Kewujudan Long tidak boleh diketahui ibunya, atau sesiapa sahaja. 


Kala dia sedang memikirkan cara, Long sedang melompat keriangan pada katil. 


“Aip!” Zaqwan segera tinggikan suara. 


Long berhenti melompat, memandang Zaqwan dengan terpinga-pinga.


Jari telunjuk Zaqwan menunjuk ke bawah. “Turun!” 


Seketika kemudian, tanpa dia jangka, Long perlahan menuruni katil, sambil matanya kekal tertancap pada Zaqwan. 


Zaqwan tergamam. 


Tadi, Long fahamkah dengan arahannya?


Zaqwan menepuk permukaan katil, pada sebelah kirinya. Dia berkata lembut, “Mari duduk sini.” 


Long menurut, melompat semula naik ke katil, kemudian duduk di sebelah Zaqwan.

 

Mulut Zaqwan menganga luas. Seriuslah?! 


* * * * * *


30 minit kemudian…


“Duduk!” 


Long duduk bersila.


“Lompat!” 


Long meloncat tinggi sehingga hampir menyentuh permukaan siling.


“Dari kanan, cepat jalan!” 


Long berjalan seperti ahli Kadet Remaja Sekolah yang sedang berkawad, menurut pergerakan Zaqwan.


“Patung!” 


Long tiba-tiba rebah, terbaring longlai pada lantai. Walaupun ketika Zaqwan mendukungnya, Long masih berkeadaan sebegitu. Bibirnya tidak lupa mengukir senyuman statik. Tidak ubah seperti patung tipikal. Walaupun ini mungkin kali pertama Zaqwan melihat ‘patung’ yang keras bersisik lagi ‘realistik’.  


“Okey, sudah.” 


Long berhenti berlakon, menghembus nafas lega, sambil membaringkan tubuhnya pada katil. 


Zaqwan hampir ketawa pecah. Siapa sangka? Personaliti Long ini ibarat gabungan beberapa haiwan. Garang macam binatang karnivor, manja bagai kucing, dan mendengar serta memahami arahan seperti anjing. Walaupun dia tidak pasti bagaimana Long boleh memahami setiap katanya. 


“Alien boleh faham semua bahasa agaknya?” 


Perut Long berkeroncong kuat.


Long jelirkan lidah, tanda sedang kelaparan. Matanya membulat seperti watak kucing Puss in Boots dari animasi Shrek, berharap Zaqwan akan memberinya makanan. 


Zaqwan hampir terlupa hal itu. 


“Tadi kau boleh saja makan bihun goreng, kan? Kalau macam tu...” 


Zaqwan bergerak ke almari bajunya. Timbunan pakaian berlipat diangkat. Ada kunci terselit di situ. Kunci itu seterusnya digunakan untuk membuka laci. 


Sesudah menarik laci, terdapat beberapa pek besar Twisties perisa ayam. Stok makanan rahsia. Pantang kalau ibunya dapat tahu Zaqwan makan dalam bilik. 


Belum sempat dia mahu hulurkannya kepada Long, Zaqwan terdengar bunyi tombol pintu bilik dipulas seseorang. 


Kemudian bunyi ketukan pintu tiga kali. 


Panik, Zaqwan segera mengunci semula laci. Kemudian dia memandang Long. Kala itu, wajahnya berpeluh dingin.  


“Zaqwan, Zaqwan dah balikkah?” Suara ibunya kedengaran. 


Long mula dalam posisi berjaga-jaga. Zaqwan makin resah. 


Dia segera mendapatkan makhluk itu. “Long, relaks! Jangan takut.” Dia cuba memujuk.  


“Zaqwan! Kenapa kunci pintu ni? Buka pintu cepat!” Suara ibunya mula meninggi. 


Long buat tidak peduli. Kali ini, Zaqwan dapat mendengar Long sedang mendesis.


Zaqwan mengacu jari telunjuknya ke bawah kanan katil. “Turun...” Zaqwan perlahankan suaranya. 


Secara automatik, Long menurut. 


“Patung.” 


Long terbaring terkulai pada lantai. 


“Zaqwan!” 


Usai memastikan Long berjaya disembunyikan, Zaqwan segera menjawab, “Ya! Ya!” Dia berlari ke pintu, kemudian memulasnya. Kelihatan Puan Suzana sedang berdiri sambil mencekak pinggang dengan muka tahan marah.


“Assalamualaikum,” Puan Suzana menyapa dingin. 


“Wa… Waalaikumussalam,” Zaqwan membalas, tergagap-gagap. 


“Pandai kunci bilik, ya?”


“Tengah tukar seluar.” 


Puan Suzana sekadar mengangguk. “Bila kamu balik?”


“Tadi.” 


“Kenapa tak bagi salam?”


“Lupa.” 


Puan Suzana buat muka sangsi. “Ingatkan tak nak makan tengah hari.” 


“Ala, Zaqwan cuma ralit berbual dengan Saiful dekat pondok tadi.” 


“Macam itu, ya?” Sambil itu, Puan Suzana menjenguk ke sekitar bilik Zaqwan. Wajahnya berkerut, sebaik terlihat sesuatu yang terkeluar dari bawah katil anaknya.

 

“Kamu bawa balik haiwankah?” Puan Suzana meluru masuk. 


Zaqwan menelan air liur. Habislah! 


Tapi Zaqwan berpura-pura tenang, mendekati ibunya.


“Apa ni?” 


Puan Suzana menuding jarinya kepada Long yang sedang terbaring kaku. 


Zaqwan mahu tarik nafas lega, namun termati kala melihat ekor Long yang perlahan menaik mahu menjerut kaki Puan Suzana.


“Patung!” 

 

Ekor itu segera diturunkan semula. 


Puan Suzana menoleh, buat muka bingung. 


“Kalaupun patung, kenapa suara perlu kuat sangat?” 


“Mestilah! Sebab Zaqwan seronok! Saiful yang hadiahkan patung ini kepada Zaqwan! Dia kata, ayahnya beli semasa lawatan kerja di Jepun!” kata Zaqwan, dengan nada bersungguh-sungguh.


“Peliknya. Kenapa beli patung hodoh macam ini? Sudahlah macam biawak, nampak hidup juga.” 


Badan Zaqwan tegang kala mendengar perkataan ‘hidup’ itu dituturkan ibunya. 


“Ayah Saiful cakap patung ini karakter kartun paling popular di sana!”


“Pelik-peliklah orang Jepun ini. Rupa macam ini pun boleh jadi popular. Kalau patung Hello Kitty, fahamlah juga. 


Zaqwan sekadar ketawa janggal. 


“Kamu dah solat Zohor?” tanya Puan Suzana.


"Errr... belum.” 


“Pergi solat cepat. Nanti turun makan. Mama dah siap masak tu,” kata Puan Suzana. Setelah itu, dia berjalan keluar dari bilik. 


“Okey,” Zaqwan sekadar mengangguk. 


Apabila pintu telah ditutup rapat, Zaqwan segera menarik nafas lega. Diiringi bunyi yang sama dari Long.


Zaqwan mengambil semula sepeket Twisties perisa ayam, kemudian dikoyak sehingga habis sebelum dihulurkan kepada Long. “Nah, makanan kau.”


Long makan dengan lahap.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasif Rayyan