Home Novel Cinta KATA TAK RINDU
KATA TAK RINDU
SITI NUR DHUHA
23/1/2013 00:47:40
50,410
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
KATA TAK RINDU (BAB 5)

LAJU langkah kaki Aezwan menuruni tangga menuju ke arah bilik Nick. Tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu Aezwan terus melangkah masuk. Pintu ditolak dengan kuat sehingga menghasilkan bunyi yang sangat bingit. Aezwan mengerutkan dahi apabila mendapati Nick tidak ada di bilik itu. Ke mana sahabat karibnya itu menghilang di saat kemarahannya sedang memuncak terhadap Nick. Sahabat yang dirasakan telah menikamnya dari belakang.

Anak telinga Aezwan bergerak-gerak apabila terdengar suara orang bercakap-cakap di dapur. Langkah diatur ke situ.

“Mak Cik Kiah, tolonglah Nick. Macam mana Nick nak hadapi kemarahan Ezz. Takutlah Mak Cik Kiah.” Kebimbangan yang bermaharajalela hanya Tuhan yang mengerti.

“Mak Cik Kiah pun takut jugak ni. Mak Cik Kiah yang mencadangkannya.” Orang tua itu juga turut gusar.

Aezwan kini sudah tiba di dapur. Bercekak pinggang. Matanya merah menyala bagaikan biji saga. Apa yang dibuat oleh Nick adalah satu perkara yang tak boleh dimaafkan.

“Tergamak kau Nick!” Aezwan menerkam dan mencekak leher baju Nick yang kurus itu. Mak Cik Kiah segera menerpa cuba merungkaikan tangan Aezwan.

“Mak Cik Kiah jangan campur. Ini antara saya dan Nick.” Bentak Aezwan.

“Maafkan Mak Cik Kiah nak, Mak Cik Kiah turut bersalah. Mak Cik Kiah yang cadangkan semua ni. Mak Cik Kiah dan Nick nak tolong Ezz. Kami nak tengok Ezz bahagia. Kami nak Ezz lupakan Fasya dan hidup berkeluarga macam orang lain.” Rayu Mak Cik Kiah.

Aezwan melepaskan leher Nick yang sudah tercungap-cungap. Belum pernah Aezwan berkasar seperti itu dengannya.

“Tapi bukan dengan cara macam ni Mak Cik Kiah. Kenapa daftarkan saya di agensi mencari jodoh? Kenapa Mak Cik Kiah dan Nick nak tentukan siapa pasangan hidup Ezz? Ezz boleh cari sendiri!” Baru sebentar tadi Aezwan menerima panggilan daripada syarikat Agensi Jodoh & Kahwin. Aezwan disuruh datang ke Hotel Istana untuk berkenalan dengan pasangan hidupnya. Pada awalnya Aezwan sangat terkejut. Namun apabila Encik Safuan menyebut nama Nordin, hatinya terus membahang.

“Pasangan yang sangat sepadan dengan encik telah kami temui. Tahniah kami ucapkan. Semoga encik berbahagia. Borang perjanjian yang telah encik tandatangani akan kami berikan seberapa segera.”

Ya ALLAH, bila masa aku tandatangan perjanjian untuk berkahwin ni?

Perbualan dengan Encik Safuan berlalu.

“Macam mana kau boleh dapat tandatangan aku Nick?” kalau ikutkan hati mahu sahaja dilayangkan sebiji penumbuk ke wajah Nick.

Nick mengetap bibir.

“Ingat tak hari tu aku ada minta tolong kau jadi penjamin kereta yang aku nak beli. Kau tanpa fikir panjang terus tandatangan. Kau tak baca pun. Kau tak perasan pun yang aku...”

“Dah Nick. Cukup! Apa motif kau? Kenapa kau nak permainkan hidup aku? Kenapa kau nak musnahkan hidup aku?” Sergah Aezwan.

Nick hampir terkucil. Aezwan ni sudahlah tinggi lampai. Kalau dia betul-betul hempuk aku. Memang niaya.

“Aku buat semua ni sebab kau kawan baik aku. Aku kecewa tengok Fasya permainkan kau. Aku kasihan tengok kau banyak menderita dalam hidup kau. Tiada keluarga. Dikhianati orang yang dicintai. Sebab tulah aku sanggup keluarkan duit simpanan aku untuk mendaftarkan kau di agensi cari jodoh tu. Aku nak kau mulakan hidup baru. Kau dah berumur 30 tahun Ezz, dah tiba masanya kau berkeluarga.” Panjang lebar Nick berbicara.

Aezwan mendengus kuat.

“Walau apapun alasan yang kau beri, aku tak boleh terima semua ni.”

Aezwan mula ingin berlalu dari situ. Namun Mak Cik Kiah yang telah pun dianggap bagaikan ibunya sendiri menghalang.

“Nak, Mak Cik Kiah merayu sangat-sangat. Tolonglah pergi ke Hotel Istana besok. Kalau Ezz nak Mak Cik Kiah melutut pun Mak Cik Kiah sanggup.” Mak Cik Kiah berkata dengan sedih dan bersedia untuk melutut.

Segera Aezwan memegang lengan Mak Cik Kiah.

“Lepaskan Mak Cik Kiah, biarkan Mak Cik merayu demi kebahagiaan Ezz yang Mak Cik Kiah anggap seperti anak sendiri. Biarkan Mak Cik Kiah melutut. Mak Cik Kiah nak Ezz pergi ke Hotel Istana besok. Ini harapan Mak Cik Kiah.”

Aezwan tiba-tiba merasa sebak dengan perlakuan Mak Cik Kiah itu. Lantas Aezwan memeluk Mak Cik Kiah.

“Baik Mak Cik Kiah, besok Ezz pergi. Ezz pergi demi Mak Cik Kiah.”

Mak Cik Kiah mula mengeluarkan suara tangisan sambil mengangkat ibu jari ke arah Nick. Nick turut mengangkat ibu jarinya. Aezwan telah terperangkap dengan sandiwara mereka.

DERINGAN telefon yang membingit memaksa Zafia bangun daripada tidurnya. Jam menunjukkan pukul 3.00 petang. Entah kenapa, bagi Zafia kini tidur di waktu siang itu lebih enak berbanding tidur pada waktu malam.

“Assalamualaikum, saya Encik Safuan daripada Agensi Jodoh & Kahwin.” Pemanggil memperkenalkan dirinya.

“Huarg!” Zafia menguap tanpa dapat ditahan-tahan. “Ops, sorry. Siapa tadi? Tak jelaslah.”

“Encik Safuan,” ujar lelaki itu. Anak dara apa tidur waktu petang begini. Herdik Safuan di dalam hatinya.

“Hah?!” Zafia terus bangun bersila. Tidak sangka lelaki itu adalah Encik Safuan. “Err... waalaikumussalam Encik Safuan.” Zafia baru teringat untuk menjawab salam yang diberikan oleh lelaki itu.

“Kenapa ya Encik Safuan? Dah jumpa ke calon suami saya? Bila boleh jumpa? Bila boleh kahwin? Kalau disegerakan perkahwinan pun lagi bagus Encik Safuan.” Zafia berkata dengan gelojoh. Ya, aku sudah tidak tahan lagi menanggung derita dendam ini. Shahril harus menerima balasan yang setimpal.

Encik Safuan membetulkan cermin matanya.

“Saya hubungi Cik Zafia pun disebabkan tulah. Besok pukul 9.00 malam Cik Zafia dijemput datang ke Hotel Istana untuk berkenalan dengan bakal suami Cik Zafia. Pakai cantik-cantik tau.”

Mata Zafia bersinar. Tanpa berminat untuk bercakap lebih lama, Zafia terus menekan butang hijau. Talian terputus. Safuan yang berada dihujung talian terpinga-pinga. Namun selepas itu dia menggelengkan kepalanya. Memang gadis ini seorang yang sangat mencuit hati.

“Aku kena cari baju yang cantik mulai sekarang. Tema pakaian aku adalah polkadots.” Zafia terbayang figure dirinya yang mengenakan baju bercorak bulat-bulat, tudung pula jenis corak yang sama, dan begitu juga kasut yang dikenakan. Tentu cantik. Zafia tersipu sendirian.

“Tak sangka Agensi Jodoh & Kahwin ni sangat profesional. Apa sahaja ciri-ciri lelaki idaman mampu dicarikan. Yang paling penting kaya dan glamour. Biar masuk paper. Hahaha...” Zafia tergedik-gedik sendirian.

Zafia menjeling telefonnya yang berada di atas katil. Ingatan terhadap Shahril mendera perasaan. Lantas Zafia menghubungi lelaki itu. Tiba-tiba rindu datang tanpa dapat ditahan-tahan. Shahril, katakanlah sesuatu agar dendamku terhapus dan aku dapat memilikimu kembali. Rintihan hati Zafia penuh kepiluan.

“Helo, siapa ni?” kedengaran suara perempuan di hujung talian.

Dada Zafia berdegup dengan kencang. Suara itu adalah suara Sofiah.

“Siapa ni?” Sofiah bertanya lagi.

“Zafia.” Terus Zafia memperkenalkan dirinya. “Mana Aril, aku nak bercakap dengan dia.” Ah, ada aku kesah kau isterinya ataupun tidak. Aku terlebih dahulu mengenali Shahril berbanding kau. Shahril milik aku. Tapi kau yang merampasnya.

“Oh, you rupanya. Maaf, abang Aril tengah mandi dalam bilik air. Ada apa ya? Youboleh beritahu I je.”

Ewah-ewah, berlagaknya kau perempuan. Guna I dan you bila bercakap dengan aku. Tak padan merampas kekasih orang.

“Eh, aku tak ada masa nak bercakap dengan kau. Dasar perempuan gatal, dah tak laku sangat agaknya sampai kekasih aku pun kau kebas.” Zafia menghamburkan kemarahannya.

“Hei betina, jaga sikit mulut kau tu. Jangan kau cuba-cuba hubungi abang Aril lagi. Jangan nanti aku dah mengandung baru kau nak sedar yang aku ni dah jadi bini dia yang sah.” Segaja Sofiah ingin menyakiti hati Zafia.

Zafia menggigil. Seluruh tubuhnya berasa sangat sejuk. Dingin mencengkam ke tulang hitam. Mengandung? Tidak, perempuan ini tidak layak mengandungkan zuriat Shahril. Abang, kenapa ini yang menimpa hubungan kita. Rintih hati Zafia dengan sebak.

“Fia... sepatutnya dari dulu lagi kau tak menyakitkan hati aku. Kerana sikap kau inilah, aku berkahwin dengan kekasih kau. Hahaha... biar padan muka kau. Kau ingat aku nak sangat dengan Abang Aril tu. Aku kahwin dengan dia semata-mata untuk membuatkan kau merana, faham?” kedengaran ketawa halus lahir dari bibir munggil Sofiah.

Zafia terus mematikan talian. Tangannya menekup muka.

Ya ALLAH. Ya ALLAH. Ya ALLAH. Hapuskan rasa derita ini. Hapuskan. Sakitnya perasaanku. Deritanya Tuhan. Tidak sanggup aku menanggungnya. Ya ALLAH, ujian apakah ini, sengsaranya menusuk ke dasar kalbu. Aku sangat derita Tuhan-ku. Kasihani aku...

Entah kenapa air mata mengalir dengan deras menuruni lengkuk pipi Zafia. Air mata tanpa tangisan. Air mata tanpa esakan. Hanya sekadar air mata. Laju dan laju. Menuruni pipi bagaikan empangan yang pecah. Yang pasti, suara tangisan dan esakkannya merintih di dalam hati. Cukup hanya didengari oleh dirinya sendiri.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SITI NUR DHUHA