” Hm.. kenapa
senyap saja anak mak ni? Selalunya ada saja cerita kat sekolah, Ain beritahu
pada mak?” mendengar soalan itu aku terus tersentak dari lamunan. Yalah,
sejak aku dapat tahu bahawa aku ni kawan istimewa buat Alif, aku rasa tak tentu
arah. Aku tak pasti sama ada Alif anggap aku sebagai sahabat baik dia ataupun
kekasih dia.
Huh, aku sendiri
tak pasti tentang perasaan aku terhadap dia hari ini. Sahabat,
kekasih...Sahabat, atau kekasih?
” Eh, tak ada
apa-apa mak... Cuma Ain fikirkan pasal
pertandingan pantun yang akan tiba tak lama lagi ni. Ada tiga tema iaitu Alam Sekitar, Semangat Patriotik, dan
Kasih Sayang. Kalau dua tema tu bolehlah
Ain cuba usahakan tapi yang ketiga tu rasa susah la
mak.”
”La itu saja kah yang buatkan anak mak ni
termenung, apa susahnya, ha dengar ni pantun mak ni:
Dua tiga kucing
berlari,
Manakan sama si kucing belang;
Dua tiga boleh
kucari,
Manakan sama cik adikku seorang.
Hehehe..” ibuku
berpantun sambil menyiku lenganku. Aku hanya tertawa melihat telatahnya
” Mak ni, setakat
pantun macam tu, budak darjah lima pun
boleh buatlah mak... ni pantun tentang kasih sayang, Tentu ada kaitan dengan
percintaan. Ain tak pernah bercinta mak. Macam mana nak buat pantun jenis macam
tu? Soalku sambil mengangkat kedua-dua bahuku.
” Alah,
mak gurau jelah. Saja nak tengok anak mak ni tersenyum sikit. Barulah nampak
ceria. Macam ni, apa kata kalau Ain
pergi ke rumah Razali tu. Dia kan Pemantun Terbaik masa tingkatan lima dulu,
kata Makcik Rosnah lah. Cubalah Ain bertanyakan kepadanya, manakan tahu, dia
boleh tolong,” nasihat yang bernas diberikan oleh ibuku.
Baru aku teringat,
sewaktu kami mula berpindah ke taman perumahan di sini, aku selalu mendengar
Makcik Rosnah menyanyi lagu Gurindam Jiwa dengan anaknya Razali semasa mereka
sibuk menyapu sampah di halaman rumah. Bila aku baru masuk sekolah pula, pada
waktu perhimpunan, Razali dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik peringkat negeri
.
Tetapi sejak menjadi Pengerusi Persatuan Silat Olahraga di sekolah, dia
kurang terlibat dengan pertandingan pantun lagi. Hm... petang nanti aku akan
hubungi Siti Humairah untuk bermalam di rumah aku dan akan ke rumah Razali
untuk menyiapkan tugasan pantun ini.
” Tok! Tok! Tok!
Assalamualaikum.. ” ketukan di pintu rumah Razali diselangi dengan ucapan salam. Nasib
baik Siti Humairah ikut bersama dengan aku kalau tak tentu aku segan nak ke rumahnya. Aku masih teringat lagi
dengan pergaduhan antara aku dan Razali. Walaupun dia sudah meminta maaf dengan
aku, tetapi aku takut kalau-kalau dia masih menyimpan dendam di dalam hati.
”
Waalaikumussalam, Eh, Ain.. Humairah. Hah, ada apa datang ni?” Jawab Makcik
Rosnah sambil membuka pintu rumah lalu mempelawa kami masuk. Aku rasa lega
kerana makcik Rosnah tidak lagi berkata kasar dengan diriku lagi.
Aku dan Siti
Humairah bersalaman dengan Makcik Rosnah sambil dipelawa masuk olehnya.
” Kami ni datang nak jumpa dengan Razali,
makcik. Nak minta tolong ajarkan tulis pantun. Minggu depan kena bertanding
dalam kelas,” Aku menjawab persoalan Makcik Rosnah tadi. Makcik Rosnah hanya
menganggukkan kepalanya
” Oh, begitu. Si
Razali tengah tidur di biliknya. Tunggu sekejap ya, makcik pergi kejutkan dia.”
Eh, kalau dia
tidur tak perlulah makcik. Malam nanti pukul 8.30, kami akan datang lagi.”
Kasihan pula aku bila mendengar Razali tidur.
” Hmm.. kalau
begitu baiklah. Nanti makcik akan beritahu kepadanya yang kamu berdua akan
datang lagi pada malam nanti.”
” Ni apa yang
bising-bising ni, mak... Huarghh..!” Tiba-tiba Razali keluar daripada
biliknya. Aku dan Siti Humairah terkejut dengan penampilan Razali yang hanya
berkain pelikat sambil menggeliatkan badannya. Tiba-tiba kainnya terlucut lalu
kami berdua terus menjerit sambil menutup mata.
” Ya ALLAH, budak
ni ... kenapa tak pakai seluar panjang? Nampak ’boxer’ saja malulah sikit ni
ada anak dara dalam rumah ni!” Makcik Rosnah memarahi Razali. Razali
terpinga-pinga. Setelah dia melihat kami, terus dia menyarung kain pelikatnya
semula dengan segera.
” Ya Allah, Ain..
Siti.. Alamak malunya aku!” kata Razali terus masuk ke biliknya semula. Setelah
dia masuk ke biliknya, Makcik Rosnah pun menyuruh kami membuka mata. Kami
saling berpandangan antara satu sama lain dan akhirnya kami ketawa besar
mengenangkan kejadian yang baru saja berlaku tadi. Makcik Rosnah ketawa sampai
mengalir air mata kerana tidak tahan dengan gelagat anakknya tadi.
Kemudian, Razali
keluar dengan berpakaian lengkap. Kini tiada lagi ketawa kerana aku tidak mahu
Razali tersinggung dengan kami berdua. Tetapi ibunya sendiri tidak mahu berhenti ketawakan anakknya.
” Amboi mak...
Sampai hati gelakkan Razali ya. Cukup-cukuplah tu. Malulah Razali, mak”
” He! He! He!...Ha
iyalah. Mak dah tak ketawakan kamu lagi. Lain kali jangan buat perangai macam
tu lagi..tengok dah merah muka anak mak ni,” jawab Makcik Rosnah sambil
mengusik Razali. Razali hanya tersenyum sipu.
” Ain, Siti..
duduk dulu ya. Makcik nak ke dapur sekejap. Sekarang Razali dah bangun boleh tolong kamu buat pantun.
Makcik pergi dulu” kata Makcik Rosnah lalu terus ke dapur. Sampai saja di dapur, kedengaran Makcik
Rosnah ketawa lagi sambil menyatakan yang dia akan memberitahu kepada Pak Halim tentang kejadian tadi. Razali hanya
mengeluh sahaja.
” Jangan mak bagi tau satu kampung sudahlah,
malu Razali dibuatnya,” kata Razali sambil duduk di kerusi berhadapan dengan
aku dan Siti Humairah. Kami hanya
tersenyum sahaja mendengar kata-katanya.
” Ha.. Ain,
Siti.. apa yang boleh aku tolong kau orang? Kata nak buat pantun, betul ke?”
Soalan Razali itu telah membuat kami terdiam. Nampaknya dia tak kisah dengan
kejadian tadi. Baguslah.
” Err.. betul tu,
Razali. Aku dengan Ain ni datang nak minta tolong dengan kau buat pantun.”
Balas Siti Humairah.
” Ada berapa
temanya?”
” Ada tiga .
Patrioritik, Alam Sekitar dan Kasih Sayang.”
” Itu senang je
tu. Kau orang berdua, boleh pinjam aku punya.
Aku masih simpan lagi pantun-pantun itu dalam fail. Kau orang tiru
jelah. Dah tentu dapat nombor satu.”
” Maaflah Razali,
kami tak boleh nak tiru pantun orang lain. Lagipun Cikgu Faizah kan pernah jadi
juri pertandingan. Dah tentu dia tahu pantun itu kau yang punya,” jawab aku
pula. Razali pun terdiam seketika.
” Oklah... malam
nanti kau orang datang kat umah aku. Aku kalau nak berpantun-pantun ni kena
buat waktu malam baru ada jiwa pantun. Lagi pun aku baru balik sekolah tak
mandi-mandi lagi sebab nak kejar katil”
” Kalau macam tu
baiklah. Kita jumpa lagi jam 8.30 malam, ya? ”
” Iyalah. Jam
8.30 malam aku tunggu.” balas Razali.
” Kami balik
dulu. Kirim salam kat mak kau, ya.”
”Insya ALLAH.”
jawab Razali sambil menghantar aku dan Siti Humairah keluar depan pintu
rumahnya.
Seperti yang dijanjikan, pada malam itu aku
dan Siti Humairah berada di rumah Razali. Aku rasa terharu kerana Razali
bersungguh-sungguh mengajar aku cara untuk menulis pantun dengan baik. Setelah
selesai semuanya, aku dan Siti Humairah pun berangkat pulang.
” Terima kasih Razali sebab kau sudi tolong
kami. Kalau tak tentu kami tak dapat menulis pantun dengan baik.” kata Siti
Humairah
” Tak ada apalah. Aku tak kisah pun.
Asalkan untuk Ain, aku sanggup buat apa
saja,” Kata-kata Razali itu membuatkan aku kehairanan.
” Apa maksud kata
kau tu? Aku tak fahamlah,” aku
menyoalnya. Ternyata Razali terkejut dengan soalan aku itu.
” Err.. maksud
aku ialah..sebagai kawan dan jiran, aku sanggup tolong engkau. Itu saja,” Jawab Razali sambil
menggaru-garukan kepalanya.
” Kalau macam tu, lain kali boleh kami
belajar buat pantun lagi ya. Dah 9.30 malam ni, eloklah kami balik dulu,” Kata Siti
Humairah memecahkan kebingungan aku.
” Boleh, apa
salahnya. Hati-hati bila berjalan. Kalau jatuh, bangun sendiri tau! He! he!” Balas Razali pula. Hm, sempat
pula dia buat lawak. Jadi aku dah tak perlu risau lagi sebabnya aku dapat rasakan
yang Razali hanya ingin menjadi kawan dan jiran yang baik terhadap aku.
Setibanya aku dan Siti Humairah berada di
rumah, kami terus ke bilik. Ibu aku pula telah tidur awal kerana ibuku hendak ke pasar awal pagi esok untuk membeli barang
jualan.
Siti Humairah terus merebahkan dirinya ke
atas katil. Aku pula duduk disebelahnya.
” Susah juga buat pantun ni ya, Ain. Hanya
orang yang berbakat saja yang boleh buat pantun ni,” Kata Siti sambil
membelek-belek buku pantun yang telah dibuat bersama dengan Razali tadi.
” Betul kata kau tu. Sebab itulah kita kena
belajar dengan orang yang pakar, ”
jawabku sambil berbaring pula. Mataku mula mengantuk dan akhirnya aku terlelap.
Namun belum sempat aku bermimpi, Siti Humairah mengejutkan aku pula.
” Ain, bangun Ain.. aku ada hal nak bagitau
kau ni. Bangunlah cepat! ”
” Isk kau ni. Aku
nak tidurlah. Esok sajalah kau bagitau kat aku ”
” Alah, kau ni...
Bangunlah buka biji mata kau tu.. Ni ada surat untuk kau,” mendengar kata- kata
Siti Humairah, terus membuatkan aku terbangun.
” Masa aku baca
balik pantun kita dalam buku ni, tiba-tiba
ada surat terselit dalam buku ni. Surat ni ada nama kau. Nah, kau bacalah,”
kata Siti Humairah sambil menyerahkan
surat itu kepadaku. Aku rasa terkejut. Siapa pula yang bagi surat untuk aku?
Aku segera membuka surat itu :
Assalamualaikum, dan selamat malam..
Maaf mengganggu Ain pada malam begini. Sukar
rasanya untuk saya luahkan yang terbuku di dalam hati.. tapi di sini ada dua
rangkap pantun. Harap awak akan terima :
Bagai bulan dipagar bintang,
Indah
sungguh di waktu malam;
Wajah tuan daku terkenang,
Rindu berlabuh cinta tertanam.
Kalau pelita katakan pelita,
Tidaklah hamba mencari lilin;
Kalau cinta katakan cinta,
Tidaklah saya mencari yang lain.
Harap, awak faham akan pantun
saya ni. Saya akan menantikan jawapan
daripada awak. Awak fikirlah semasak-masaknya. Jangan terburu-buru. Saya
sanggup menunggu...
Yang Ikhlas,
Razali
Ya Allah, dugaan apa yang menimpa aku kali
ini? Razali cintakan aku? Pelik.. sejak bila? Aku jarang berjumpa dengan dia
pun. Di sekolah, kami berlainan kelas. Dia kelas Enam Sastera 1, manakala aku
kelas Enam Sastera 2. Fikiran aku berkecamuk. Aduh, pening dibuatnya.. Alif,
tiba-tiba aku teringatkan Alif. Aku pasti akan rasa bersalah jika aku terima
Razali.
” Hah, Siapa yang bagi surat tu, cakaplah
cepat. Dia nak apa?” Soal Siti Humairah. Aku hanya mampu memberikan surat itu
kepadanya. Siti Humairah segera membacanya dan dia pun menunjukkan riak muka
yang kehairanan.
” La, Razali yang bagi surat ni rupanya.
Aku tak sangka, diam-diam dia sukakan engkau, Ain. Tapi macam mana dengan Alif
pula, dia pun sukakan kau juga,” sekali lagi kata-kata Siti Humairah
mengejutkan aku.
” Apa, Mai? Alif pun suka kat aku? Mana kau
tahu ni?” soal aku pula.
” Maafkan aku Ain, Alif tak mahu kau tahu yang
dia sukakan engkau. Dia kata dia dah lama sukakan kau sejak kau bergaduh dengan
dia bila kau datang lambat ke sekolah. Kalau kau nak tahu sebenarnya Alif tu
tak pernah gagal dalam peperiksaan Sains Tulen tapi dia sanggup tukar kelas
untuk berkenalan rapat dengan engkau. Sampai sekarang dia masih teruskan subjek
itu, Cuma dia belajar tuition di
luar, ”
” Kau
pula Mai, kenapa kau tak bagitau awal-awal? Kenapa Alif boleh bagitau kat
engkau tapi tidak pula dengan aku? Kenapa kau sanggup sembunyi semua ni
daripada aku? Aku bukan kawan karib kau ke?” Tiba-tiba aku menjadi marah. Aku
kesal dengan sahabat baikku sendiri. Sampai hati Siti Humairah!
”
Ain Fatanah, kau memang sahabat baik aku. Aku minta maaf. Aku bukannya tak mahu
beritahu hal ni kepada engkau, tapi Alif yang larang aku. Dia minta aku untuk
berjanji supaya tak ceritakan perkara ni. Dia kata, dia akan beritahu sendiri
kepada kau nanti. Kau jangan marah ya, aku tak berniat nak tipu kau. Aku dah
pegang janji. Aku terpaksa, Ain,” Balas Siti Humairah sambil menggenggam
tanganku untuk meminta maaf. Air matanya mula bergenang dan jatuh ke pipi.
Ya ALLAH.. aku dah marahkan sahabat
baik aku sendiri tanpa mengetahui cerita
yang sebenar. Kejujuran pada mata Siti
Humairah telah mengundang air mataku juga. Akhirnya aku berpelukkan dengan Siti
Humairah dan aku menyatakan bahawa aku telah memaafkannya. Kami pun melepaskan pelukan sambil saling
berpandangan dan tersenyum semula.
” Aku nak minta maaf dengan engkau, Mai..
aku sepatutnya bersabar dulu bukannya terus marah-marahkan engkau,” kataku .
” Tidak mengapalah, Ain. Kalau aku di tempat
kau pun, aku akan buat macam kau juga. Sekarang ni macam mana? Kau nak pilih
siapa antara dua orang tu..? Alif ke
Razali ?” Soalan Siti Humairah itu membuat aku rasa keliru seketika.