Bab 19

PAGI ini merupakan pagi pertama di bumi Malaysia. Isya bangun awal pagi dengan rambut yang kusut masai. Dia menyiput rambut yang separas pinggang itu. Kalau boleh, nak saja dia bermalas-malasan di rumah.

Akan tetapi, dia ada urusan mustahak.

Kaki letai sahaja berjalan ke bilik air. Lang 30 minit, dia berlalu keluar bersama badan yang bersih dan harum. Dia berhias di hadapan cermin. Berhias untuk apa pula?

Untuk temu duga pertama kali.

‘Gemuruh pula rasanya.’ Suara hatinya kedengaran berbisik. Suara degupan berterusan mencengkam jantung.

Ia merecikkan minyak raksi pada bajunya bagi menambah keharuman badan. Kewangian menyebar sehingga menusuk deria bau. Harum bak kesturi.

Sebelum berangkat, dia melihat bayang-bayang penampilan dirinya dari luar cermin. Dengan langkah terburu-buru Isya menapak turun ke bawah.

“Selamat pagi,” sapa seseorang sejurus dia berpijak di atas lantai yang rata.

Kemab. Memulaukan teguran si bapa. Seraya menyengkelangkan tangan, biji matanya berkisar.

“Isya ... ayah sapa tu,” omel Che Puan Medina tatkala anaknya mula bersifat tidak pernah diajar adab.

Tengku Aariz tekun membaca tabloid. Dia enga, anakandanya itu masih jaki darihal kelmarin.

It's okay, bonda. Isya kena cepat nak pergi interview.” Alasan diberikan demi mengelak bertentang mata dengan ayahanda.

“Isya ... duduk ...,” arah Che Puan Medina berserta kerlingan mata.

Kaki berasa enggan untuk menggerakkan langkah ke sana, manakala hati berasa berbelah bahagi. Takut jikalau dirinya dilaknat sebagai anak derhaka. Anak yang telah melukakan hati kedua-dua orang tuanya.

Setiap orang tua memiliki hati senipis kulit bawang, mereka mudah terbelingut bagai pisau belik. Kaki kerusi bergeser ke belakang. Isya menghenyakkan punggung di atas seliri.

Nasi uduk sambal sotong? Isya mengecup air ludah. Boleh gemuk gedempol badannya kalau setiap hari makan masakan Che Puan Medina. Air tangan Che Puan Medina tidak pernah, tak membangkitkan syarah makannya.

Doa sebelum makan dibaca sebelum dia merasa hidangan yang menyelerakan itu. Tepat sahaja makanan melepasi anak tekak, makanan terasa enak sekali! Gigi tak berhenti mengunyah butiran nasi dan sotong di dalam ruang mulut.

“Ayah tak berniat nak tinggikan suara dengan kamu,” ungkit Tengku Aariz berhubungan dengan hal semalam.

Isya diam setagal, membiarkan Tengku Aariz menghabiskan bicara.

“Maafkan ayah.” Tengku Aariz menurunkan sedikit surat khabar di genggaman. Sepasang biji mata itu merenung Isya.

“Ayah tak patut minta maaf dengan Isya. Ayah patut minta maaf dengan Zaf,” ujar Isya sambil membalas renungan Tengku Aariz. Hanya rambut, mata dan kening lelaki itu yang kelihatan, yang lain semuanya tersembunyi di balik tabloid.

“Tengoklah macam mana. Nanti ayah fikirkan,” kata Tengku Aariz dengan riak selamba. Tiada rasa kesal yang terlahir pada air mukanya.

Surat khabar mengenai berita semasa luar negara itu dia letakkan ke sisi meja. Tengku Aariz meminta isterinya menyendukkan nasi dan lauk ke piringnya.

Isya menyepikan diri. Bapanya itu memang tekak. Tidak tentu fasal, Zafran yang menjadi mangsa. Yang sudah berlalu itu, usahlah dikenang. Dendam kesumat masih berbekas di relung hati lelaki yang telah dimamah usia itu.

‘Apalah yang nak didendamkan sangat? Aku yang putus tunang dengan Zafran, bukannya ayah.’ Isya mengulum kata-kata.

Selesai makan, terus dia membawa pinggan dan cawan miliknya ke singki. Berkali-kali Che Puan Medina menyeru supaya dia letakkan sahaja di situ, tapi Isya tidak akan membiarkan pinggan dan cawan berlonggok di sink.

“Bonda, Isya pergi dulu?” Isya minta permisi sebelum mengayun langkah. Sebelum mengambil kunci kereta, dia menguncup tangan Tengku Aariz dan Che Puan Medina.

Pintu garaj ternganga luas secara automatik. Terdapat 3 buah kereta yang dimuatkan di dalamnya. Mercedes-Benz kepunyaannya itu didekati. 5 tahun sudah tidak bersua, harap-harap kereta ini masih bernyawa.

Dalam keadaan bersepatu jinggering, Isya melangkah masuk ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan dengan lafazan basmalah.

Mati.

Dicuba sekali lagi.

Mati dan mati, “Masa inilah kau nak rosak ...,” gerutu Isya dan terus mencuba menghidupkan enjin kereta.

“Isya.”

Dia kaget dengan kehadiran seseorang. Kempang-kempis dadanya. Liang pernafasan terasa sempit, ditambah pula keadaan yang hangat.

“Far?”

Farhad tersenyum manis bak syakar. Isya menelan air liur lantaran senyuman yang terlalu manis itu. Kasut tumit tinggi itu kembali melangkah keluar.

Farhad ke tepi, memberi ruang kepada wanita itu.

“Macam-macamlah. Masa macam nilah dia nak rosak.” Ulas delima itu rancak membebel. “Kenapa tak rosak dari semalam je?”

“Kereta ni ... memang dah rosak sebelum ni.”

Mencerun tajam mata Isya menjenaki Farhad.

Farhad terkerising.

“Ayah awak ... dah servis kereta ni minggu lepas. Tapi ... entahlah, tiba-tiba aje rosak balik.” Tergaguk-gaguk Farhad mengeluarkan suara. Gaya renungan tunangnya itu seolah-olah ingin menelannya.

“Huh ... takpelah. Nak buat macam mana kan, benda dah jadi. Saya kena pergi interview sekarang. Saya pergi naik grab,” ujar Isya memandangkan masa kian singkat.

“Eh, biar saya hantar.” Farhad gesit melarang. Masakan dia berani membiarkan bakal isterinya naik kenderaan dengan orang yang tidak dikenali.

“Far, saya dah besar.”

“Memanglah awak dah besar, tapi awak tu perempuan. Bila orang perempuan keluar seorang diri, macam-macam hal boleh berlaku.”

Isya menyilangkan tangan sambil memicingkan mata. Jengkel rasanya bilamana dirinya diperlakukan seperti budak-budak. Dirinya diajak menuju ke arah kereta yang satu lagi.

Bukan kereta di dalam garaj, sebaliknya di luar. Kereta Honda City terletak tidak jauh di mata. Farhad membukakan pintu kereta salun itu untuk khas untuk 'tuan puteri'.

Thank you.” Lagak Isya saling tidak tumpah seperti puteri di dalam cerita dongeng.

Farhad lantas berjalan menuju ke pintu bahagian pemandu. Pada mulanya, dia berkehendak untuk ketemu Tengku Aariz dan Che Puan Medina sebelum pergi. Disebabkan Isya kesuntukan masa, niatnya harus dibatalkan.

Tali keledar dipasang pada pinggang. Di kesempatan yang ada, Farhad terus membuka cerita tentang masjlis pernikahan mereka.

Bila tarikh yang ingin ditetapkan? Mahu adakan majlis di mana? Berapa ramai orang yang perlu dijemput? Nak buat waktu malam ada siang?

Isya melepaskan keluhan halus, “Awak kenapa? Tak sabar-sabar sangat nampaknya nak kahwin?”

Kedengaran kasar bunyi soalan yang ditujukan kepada Farhad.

Farhad terdiam, ‘Aku nampak macam gelojoh sangat ke nak kahwin?’ Malu menerjah kalbu. Pipi merona merah.

“Saya ... saya bukannya apa .... Dah lima tahun saya tunggu awak,” terang Farhad fasal kesetiaannya. Dia kecut hati kalau-kalau Isya membelot di belakangnya pada hari kelak.

Isya melukis senyum di bibir. Dia bersuara lunak, “Percaya pada takdir. 5 tahun kita berhubungan jarak jauh, semuanya baik-baik sahaja. Sekarang ni, saya dah ada depan mata awak pun. Sekarang ... awak bagi saya masa untuk bekerja dulu. Boleh?”

Isya buat mimik muka sedih. Cuba meraih belas kasihan daripada perjaka itu. Permulaan kariernya baru saja bermula, kalau dia bernikah sekarang? Bukankah boleh merudum cita-citanya?

Tiada tindak balas. Ekspreksi wajah si jejaka tidak menggambarkan apa-apa makna. Sukar untuk menyelami apa yang terkandung di dalam hati Farhad.

Kereta meluncur menuju arah ke Putrajaya. Dia akan ditemu duga di ibu pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Debar jantung terasa sungguh laju. Menyirap darahnya tetekkala semakin menghampiri destinasi temu duga.


USAI temu duga, Isya menanti di foyer bangunan. 30 minit dia menunggu, orang yang ditunggu tak kunjung tiba. Farhad kata 5 minit sahaja lagi untuk siapkan kerjanya.

Sekarang?

Isya mengorak sila, dia beredar keluar dari ruang legar. Dia berdiri beberapa meter di depan pintu masuk. Terus menunggu tunangnya yang bekerja sebagai peguam itu.

Selepas menghantar dia ke sini, Farhad bergegas ke tempat kerjanya. Kata Farhad lokasi pejabatnya tidak jauh dari situ, dia akan datang ke mari secepat yang mungkin. Tapi mengapa memakan masa hampir satu jam?

Naik resah Isya menanti. Tangan meraba isi tas tangan. Panas kian terik dan kian membakar kulit wajah. Ke mana Farhad ni? Isya mendesah sambil menelefon Farhad.

“Helo, awak kat mana? Penat saya tunggu.” Kasar suaranya. Tiada nada kelembutan langsung.

“Lima minit lagi. Saya janji,” jawab Farhad di hujung talian.

Mencicil mata Isya. Lima minit lagi? Alasan yang sama! Punat merah ditekan tanpa ragu-ragu. Kedengaran desas-desus 'helo' sebelum panggilan diputuskan.

Beg tangannya dibetulkan kasar ke bahu. Terpaksalah dia menaiki kenderaan awam. Tak kisahlah sama ada teksi atau bas sekalipun, yang penting dia balik ke rumah.

Lenguh sudah kakinya!

Kaki berlangkah untuk melintasi jalan. Dalam pada masa yang sama, sebuah kereta berhenti di hadapan bangunan. Tunggu, langkah Isya menegun.

Rasanya, seperti dia pernah melihat kereta itu. Tapi di mana ya?

“Isya? Isya dah temu duga ke?”

Peria bercermin mata hitam keluar dari perut kereta dan berjalan ke arahnya.

“Zaf? What are you doing here?” Terkesiap dengan kemunculan bekas tunangnya. Tunangnya tidak muncul, tetapi sebaliknya bekas tunang.

Hairan.

“Memang nak jemput Isya. Semalam Isya kata ... Isya ada interview kan? Jadi tak lain, tak bukan ... mesti kat sini,” bahas Zafran seraya menyengihkan gigi.

“Ha ... berani eh spy tunang orang,” seloroh Isya di samping menggoyangkan satu jari.

Kornea mata Zafran fokus memandang jari telunjuk itu.

Usah dijemput, dengan sendirinya Isya berlalu masuk ke dalam kereta sport itu. Tergeleng-geleng kepala Zafran. Semakin dewasa, semakin lucu apabila melihat teromasa Isya.

Zafran orang terakhir yang masuk ke dalam perut kereta. Bumbung kereta ditutup. Muhal dia sanggup biarkan Isya berpanas-panasan apalagi terkena panas.

“Macam mana interview? Is everything alright?” tanya Zafran sembari menyetir.

“Ya ... alhamdulillah. Everything berjalan dengan lancar. Sekarang cuma perlu tunggu surat tawaran dari SPA.”

Hembusan nafas halus terbit dari ulas delima wanita bernama ‘Tengku’ itu. Nafas lega dihela. Kini dia sudah kembali bernafas dengan tenang.

“Mana tunang Isya? Kenapa dia tak ambil Isya?” soal Zafran bertalu-talu. “Siapa nama tunang Isya tu eh? Zaf dah lupa.”

Baru nak kembali tenang, fikirannya deras dihantui nama Farhad. Perlukah bertanya soalan tersebut pada waktu begini? Tidak sesuai.

“Oh, Farhad? Busy dengan kerja katanya.” Acuh tak acuh saja respons Isya.

Busy? Oh ... dia kerja apa?”

Keluhan, “Huh ... lawyer. Kalau bukan lawyer, loyar buruk agaknya.”

Menggelembur dahi Zafran. Apa yang tidak kena? Dia memerhati ke arah Isya yang sedang menongkat dagu. Cemberut habis raut mukanya.

Timbul persoalan di hati Zafran. Mungkin akan adakah peluang untuk dia masuk jarum?


“ENCIK MOHD FARHAD.”

Diam.

“Encik Mohd Farhad bin Haji Ramli.”

Tersentak. Pantas telefon bimbit disimpan pada kantung serual. Pemunya nama penuh tersebut membingkas dari kerusi. Dia berjalan ke kaunter nombor 3.

Dek kerosakan sistem nombor giliran, dia terpaksa menunggu lama untuk mengambil ubat.

Bukan dia seorang, tetapi semua pesakit. Ramai warga emas yang duduk menunggu giliran di atas kerusi roda.

“Waktu makan ubat ni ... 3 kali sehari,” terang wanita yang memakai topeng muka berwarna biru itu belan-belan anak matanya membaca petikan di luar ubat. Lalu ubat-ubatan itu dimasukkan ke dalam plastik.

“Kalau saya ... tak makan ubat-ubat tu boleh?”

“Kau jangan nak mengada,” gusar satu suara garuk.

Farhad memusingkan muka ke kiri. Macam tahu-tahu pula kaedah Farhad untuk mengelat daripada makan ubat.

“Ala ... sporting lah sikit,” balas Farhad. Bibir mencebik.

“Banyaklah kau punya sporting. Kalau kau sakit, hati kakak kau juga yang susah. Aku juga yang susah,” sembur Doktor Uzair selamba terhadap adik iparnya.

Adik iparnya itu memang degil setiap kali perlu menelan ubat. Si otak batu itu kerap melangkau waktu makan ubat. Bagaimana nak sembuh?

Kadangkala Doktor Uzair pun keliru, siapa yang pesakit? Siapa yang doktor?

“Tapi ... tekak aku ni dah pahitlah. Setiap hari aku makan ubat,” protes Farhad berani.

“Habis? Orang lain yang dekat sini, tak makan ubat? Makan gula-gula?” bahas Doktor Uzair berlipat-lipat ganda lebih berani. Lebih pedas tentunya.

Cetusan kata-kata abang iparnya itu, berhasil membuatkan dia terdiam seribu bahasa. Matanya mengitari ke arah orang sekeliling yang tengah menunggu giliran masing-masing.

“Berhenti merungut, kalau betul kau tak nak aku sumbat kau ke dalam wad.” Amaran keras diberikan. Jari telunjuk dituding tajam.

Lekas Farhad mengangguk. Dia masuk wad? Jangan, dia tidak mahu Isya tahu tentang penyakitnya.

Kalau boleh, tidak tahu sampai bila-bila.

“Jomlah. Kau kata ... nak belanja aku makan,” kata Doktor Uzair mengingatkan semula janji Farhad pada dua jam yang lepas. Terkelik perutnya ketika ingin menuntut janji.

Farhad mencapai plastik ubat. Dia mengangguk. Dua lelaki itu menungkai tapak seiring dari farmasi pesakit luar.

Langkah Farhad modar, menyebabkan langkah Doktor Uzair terlangsung ke hadapan.

“Baru aku teringat. Aku kena pergi sekarang. Aku kena pergi Putrajaya!” Farhad menepuk dahinya. Bagaimana dia boleh terlupa tentang Isya? Dia membuka langkah seribu.

Doktor Uzair tercengang di lobi. Dia ditinggalkan tanpa sebab yang kukuh. Abang ipar kepada Farhad itu melaung, “Kau nak pergi Putrajaya buat apa?”

“Jemput Isya!”

Jelas kedengaran suara mereka berdua membalas laungan. Sedikit mengganggu orang-orang di sekitar mereka.

Farhad telah sirna dari pandangan mata. Manakala Doktor Uzair ditinggalkan dalam keadaan lapar, ‘Kurang adab punya adik ipar.’ Hatinya berdetik kesal.




Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh