Home Novel Cinta Cukup Sampai Di Sini... (PROLOG)
Cukup Sampai Di Sini... (PROLOG)
Viviana Rose
25/6/2016 06:37:42
5,684
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
PROLOG

DIA duduk di atas kerusi yang disediakan sambil menunggu giliran untuk dipanggil masuk ke bilik rawatan. Sesekali matanya memandang poster- poster yang ditampal di dinding klinik. Terasa agak bosan bila terpaksa menunggu lama untuk berjumpa doktor walau hanya untuk membuat pemeriksaan rutin kandungan.

“Dah berapa bulan?” tanya seorang wanita yang duduk selang satu kerusi darinya sambil tersenyum ramah. Mata wanita itu turut memandang perutnya yang membusung.

“Nak masuk tujuh bulan,” jawabnya ramah lalu membalas senyuman wanita itu.

“Tujuh bulan? Tapi akak nampak perut adik macam besar sangat. Kembar ke?” soal wanita itu pula dengan dahi yang berkerut. Mungkin hairan dengan perutnya yang sedikit besar dari kebiasaan.

Dia hanya tersenyum sambil mengangguk mengiakan.

“Datang seorang aje ke? Dari tadi akak tak nampak suami adik,” ujar wanita itu yang masih mahu memanjangkan perbualan.

Serta- merta wajahnya berubah. Senyuman yang tadinya terukir di bibir mati tiba-tiba. Pertanyaan wanita itu terasa seperti api yang membakar kulitnya saat ini. Merah pipinya menahan rasa yang berkecamuk di dalam dada. Nafas ditarik panjang sebelum dihembus laju.

“Seorang aje,” jawabnya ringkas lalu kembali memandang poster- poster di dinding tanda tidak mahu meneruskan perbualan. Wanita tadi juga berhenti bertanya seolah- olah memahami keadaan.

Dia harus kuat melalui jalan hidupnya walau tidak ada seorang pun yang menemaninya saat ini. Dia harus bangkit melawan keperitan yang merantai dirinya demi jasad yang sedang bernyawa di dalam rahimnya. Ini adalah jalan yang dipilihnya. Dia tidak akan kembali rebah dan mengalah pada takdir yang tertulis untuknya. Dia sudah penat menanggung luka dan sengsara. Jadi, biarlah kali ini dia hidup tenang sendiri, mencipta bahagia untuk diri dan anak- anak yang bakal dilahirkan tidak lama lagi. Aku harus kuat! Aku tak boleh mengalah!

Perlahan-lahan tangannya mengusap lembut perutnya yang sedang membesar. Terasa di jarinya gerakan-gerakan halus yang menendang-nendang dinding perutnya. Dia tersenyum kecil.

“Anak-anak mama kena kuat, ya. Kita akan bina hidup kita sama- sama. Mama akan jaga anak-anak mama baik- baik dan tak akan benarkan orang lain menyakiti kalian. Kalian adalah kekuatan mama. Hanya anak- anak mama ni yang mama ada,” bisiknya perlahan. Sesaat kemudian, sekali lagi jasad-jasad kecil di dalam rahimnya menendang-nendang dinding perutnya seolah- olah membalas kata- kata ibu mereka.

Ya, aku harus kuat dan tenang. Harus!


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.