Home Novel Cinta Hidup
Hidup
Yaya
26/4/2021 12:12:08
338
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Satu

"Sarapan dulu, Adam." Suara keras ayah memanggil aku untuk bersarapan, seperti biasa memaksa aku untuk makan semeja dengan keluarga kesayangannya.

Ah, sampai mati aku tak ingin duduk semeja dengan mereka.

"Adam."

Rimas, aku capai sekeping roti dan menyumbatnya ke dalam mulut sebelum terus keluar dari rumah dan berjalan ke sekolah.

Kau betul-betul fikir aku nak ke sekolah? Huh, kalaulah bukan kerana di rumah ada ibu dan adik tiri 'kesayangan' aku tu, memang aku malas nak jejakkan kaki ke sana.

Waktu aku berjalan, tiba-tiba aku nampak seorang gadis. Cantiknya dia persis sebuah patung. Spontan aku senyum sinis. Tapi apa yang mengganggu aku, dia nampak sedih, dan keseorangan.

Dan tiba-tiba, matanya bertembung dengan mataku. Aku cuma angkat kening. Refleks. Tak semena-mena, dia toleh ke belakang bagaikan tak percaya, sebelum pandang aku semula. Mulutnya sedikit terlopong. Terkejut, mungkin?

Tapi kenapa?


_____


Aku masuk ke kelas. Seperti biasa, kawan baik aku, Alif mengangkat tangan tanda menyapa. "Oi."

"Oi." Aku tegur semula sebelum duduk di tempat aku. Tak sampai 10 minit aku terlelap, Cikgu Awang dah masuk.

Ergh, malas.

Sepanjang dia mengajar, aku sikit pun tak tumpukan perhatian. Bosan, aku jenguk keluar tingkap. Sekaligus pandangan aku disambut dengan padang yang terbentang luas.

Ketika itu, gadis yang aku nampak di tepi jalan tadi tiba-tiba ada di situ. Aku sedikit tersentak. Dia memang bersekolah di sini ke? Kalau ya, kenapa aku tak pernah nampak sebelum ni?

Saat matanya dan mata aku bertembung, gadis itu nampak teruja. Tangannya terus melambai-lambai ke arahku, seolah-olah inginkan perhatian. Aku berkerut hairan. Kenapa dengan dia ni? Aku cuma angkat kepala tanda bertanya apa yang dia mahukan.

Dan kemudian gadis itu tiba-tiba melonjak keriangan. Bertepuk-tepuk tangan sendiri bagaikan teruja kerana aku melayannya.

Gila ke apa?

"Adam Ilyas!"

Refleks, aku toleh ke hadapan. Cikgu Awang sudah bercekak pinggang memandang aku. Aku cuma angkat kening sebagai respon. "Apa?"

"Ada apa-apa yang menarik ke di padang tu?"

Aku angguk. "Lagi menariklah daripada topik yang cikgu ajar hari ni," aku jawab dan seisi kelas tergelak. Mungkin tidak menyangka aku akan jawab begitu.

"Senyap!" Cikgu Awang tampar meja, dan satu kelas terus senyap. "Awak jangan biadab! Mari ke depan cepat! Jawab soalan ni!"

Aku bangun daripada kerusi dan pandang papan putih. Ergh. Soalan senang begini, apa ada hal? Tapi aku malas nak malukan cikgu ni lagi.

"Saya nak pergi tandaslah, cikgu." Aku terus berjalan ke pintu.

"Adam Ilyas!"

Aku toleh memandang cikgu muda itu. "Kalau saya kencing dalam kelas, cikgu nak basuh ke?" Aku tanya dan dia terus terdiam. Tersenyum sinis, aku ayunkan langkah ke tandas.


_____


"Awak boleh nampak saya?"

"Mak!!"

Aku tahu reputasi aku jatuh sebab menjerit tadi. Tapi.. Kalau kau keluar dari tandas lepas tu seorang perempuan terus sergah kau, kau tak terkejut?!

"Terkejutlah, bodoh." Aku urut dada sambil pandang tajam gadis di sebelah aku.

Perempuan ni nak apa? Mula-mula tepi jalan, lepas tu padang, sekarang ni muncul terus pulak.

"Awak boleh nampak saya?" Dia ulang soalan yang sama. Matanya terkelip-kelip bagaikan mengharap aku menjawab 'ya'. Perempuan ni kenapa, eh? Pelik. Cantik, tapi pucat lesi.

Aku angguk. "Nampaklah. Kau kenapa? Hilang mak?"

"Yeay!" Dia terus peluk aku. Ya ampun, minah ni dah kenapa? Aku kurung dalam tandas baru tahu.

"Eh, lepaslah!" Aku tolak, melepaskan pelukan.

Dia terus sengih. "Sorry. Excited pulak. Hehe."

Aku julingkan mata ke atas. "Hah. Nak apa?"

Dia berdehem sikit acah-acah serius sebelum bersuara, "Saya Eri Sophia. Boleh panggil Eri."

Unik.

"Tak tanya pun."

Gadis yang bernama Eri Sophia ini terus buat muka masam. Aku angkat kening. "Ha, aku Adam Ilyas. Kenapa?"

"First sekali, awak kena percaya dulu yang saya ni roh." Eri tayang muka serius.

Aku balas dengan muka hambar. "K."

"Saya serius ni! Tak percaya? Biar saya tunjukkan." Dia berjalan mendapatkan seorang gadis dan menampar gadis itu. Tetapi tembus.

Mata aku melebar. Apa tadi tu?!

"Percaya tak?" Eri tanya lagi sambil mendekati aku semula. Aku terundur sedikit. "Ta-tapi kau peluk aku tadi. Mac-macam mana?" Aku tanya sambil tergagap sedikit.

Dia sekadar angkat bahu. "Mungkin sebab awak nampak saya."

"Janganlah takut. Saya bukan hantulah. Saya tak akan muncul dengan rupa yang seram pun!" Dia beria-ia meyakinkan bila aku diam tak bersuara.

"Kau nak apa dari aku?" Aku berlagak tenang semula.

"Tolong saya cari di mana mayat saya, dan macam mana saya mati."

Mata aku membuntang semula. "Gila!" Tanpa menoleh lagi, aku mengatur langkah ke kelas.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Yaya