Home Novel Cinta Janji Boa
Janji Boa
Nazfea Solehah -
3/5/2020 15:23:54
2,181
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
BAB 1

Angin sepoi-sepoi bahasa itu menyejukkan matanya. Seringkali kelihatan dia mengeluh kesal. Kesal kerana dia tidak mampu membantu neneknya kini yang kurang sihat. Masih dia menunggu tawaran belajar keluar negara itu dengan penuh pengharapan. Gadis itu adalah Mia. Mia, seorang gadis bermata coklat, tinggi lampai dan mempunyai raut wajah yang cantik. Perwatakannya yang sopan membuatkan ramai tertarik untuk menjadikannya sebagai teman hidup mereka.

            Bukan senang untukMia melanjutkan pengajiaannya itu. Selepas sahaja keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu keluar, terus dia memohon biasiswa atau apa sahaja universiti yang berkenan di hati. Setidak-tidaknya,dia dapat membantu neneknya dari segi kewangan bila dia bekerja kelak. Setiap hari dia tidak lupa untuk memeriksa peti masuk emelnya. Namun, hampa. Tidak ada satu pun universiti yang mahukan pengambilan baru setakat ini. Mungkin kos yang diminta tidak bersesuaian atau sudah termaktub tiada rezekinya. Sedang dia asyik melepaskan keluhan berat, kelihatan Ahmad berlari-lari anak sambil memegang sepucuk surat.

            “Surat apa ni Ahmad?” tanya Mia. Ahmad tercungap-cungap kepenatan. Macam berlari sepuluh kilometer tak berhenti. Ahmad menjawab,

            “Bacalah.” Mia membuka isi surat itu dengan cepat. Hampir sahaja isinya terkoyak. Mia tak peduli. Adakah penantiannya kini akan berakhir?Dia betul-betul mahukan untuk menyambung pengajiannya di luar negara. Apa-apapun keputusannya, dia akan berbincang dengan nenek dahulu. Kalau nenek tak setuju, dia akan cuba mencari pekerjaan lain.

Mia membacakan isi surat itu. Kaget dibuatnya. Perasaan sedih bercampur gembira. Alhamdulillah.

Perhatian kepada saudari Mia Aleesa binti Mohd,

Sukacita dimaklumkan bahawa saudari telah berjaya mendapat tawaran untuk kemasukan pelajar di Universiti Dublin dalam bidang perubatan. Saudari dikehendaki untuk menyediakan segala dokumen berikut untuk tindakan selanjutnya.

            “Ahmad, kak Mia dapat tawaran tu!” Mia melompat kegembiraan. Ahmad yang berada di sebelahnya dipeluk. Akhirnya, impiannya untuk sambung belajar telah berjaya. Sudah lama dia menantikan hari bahagia ini. Ahmad menepuk-nepuk tangan.

            “Ahmad gembira dengan akak. Tahniah tau!” Ahmad melemparkan senyuman. Nampaknya, kampung ini akan mengadakan kenduri kesyukuran tak lama lagi.

***

            “Nek, Mia ada dapat surat tawaran belajar ke luar negara. Adakah nenek akan benarkan Mia pergi?” Mia meluahkan perasaannya pada malam itu sambil tangannya mencedok nasi ke dalam pinggan. Lauk-lauk yang dimasak agak membuka selera. Sambal telur dan kicap. Makan yang ini sahaja boleh menambah berpinggan-pinggan. Hatinya risau jika nenek tidak membenarkan dia pergi. Bagaimana untuk dia memberikan neneknya sebuah kediaman yang selesa nanti? Dia tidak mahu mereka hidup susah. Cukuplah ibu Haikal mengejek neneknya. Cukup! Dia sudah bosan dengan perempuan itu.Ada-ada sahaja fitnah yang dilemparkan pada orang orang kampung soal nenek. Katanya,nenek membela cucu yang merupakan anak luar nikah, tak lain tak bukan adalah dirinya.

            Sudah lama keluarganya dicemuh dan dihina. Apa lagilah rancangan ibu Haikal itu ya? Entah bilalah mahu bertaubat. Nek Esah diam. Dia sebenarnya tidak sampai hati  untuk melepaskan cucunya itu pergi. Apakan daya, jika Mia tidak pergi, nasibnya sekeluarga tidak akan berubah. Setakat menjual nasi lemak di tepi jalan apalah sangat. Bukannya dia tidak bersyukur. Tapi, dia mahu Mia menjadi orang yang berpendidikan tinggi. Nek Esah menjawab, 

            “Nenek tak halang Mia pergi. Asalkan Mia pandai menjaga diri. Nenek cuba menyiapkan apa yang patut.” Jauh di sudut hati, dia berasa pilu mengungkapkan kata-kata tersebut.Akhirnya, cucunya itu akan pergi meninggalkan dirinya jua. Walaupun tidak lama,tapi mesti dia akan merindui keletah cucunya itu.

Mia menyedari air muka neneknya berubah. Dia lantas memujuk,

            “Nek, janganlah sedih. Sebenarnya Mia nak bawak nenek pergi sana. Mia tak nak nenek kena ejek lagi. Mia nak buktikan pada ibu Haikal tu yang Mia mampu berjaya.”

            Nek Esah diam. IbuHaikal, Puan Nora merupakan seorang yang berpendidikan tinggi. Padanlah Haikal pun belajar tinggi juga. Universiti apa entah. Sudah lupa. Masih dia ingat,waktu Haikal mendapat tawaran belajar di luar negara, Puan Nora mengadakan majlis kesyukuran. Namun, apa yang menyedihkan Puan Nora menghina dirinya dan Mia. Mereka berdua dihalau daripada menghadiri majlis tersebut. Kata Puan Nora, Nek Esah dan Mia tak layak untuk makan bersama-sama mereka atas alasan dia tak mampu untuk membiayai pengajian Mia. Yuran sekolah pun ada guru-guru yang bermurah hati untuk membiayainya tanpa perlu dia membayar semula. Nek Esah berdoa semoga hati Puan Nora akan terbuka dan insaf atas perbuatannya itu.

            Sejak dari kejadian itu, Mia seringkali berduka. Gara-gara dia tidak dapat tawaran untuk menyambung pelajaran, neneknya dicaci. Bermula daripada hari itulah, dia menyimpan hasrat untuk menyambung pelajarannya. Keputusan SPM nya tidak menghampakan. Ini menjadi penyuntik semangat supaya dia mengubah kehidupannya.

            “Mia boleh ke duduk di sana sampai enam tahun? Lama tu..nenek sebenarnya berat hati nak izinkan Mia pergi. Walapun sebenarnya nenek nak Mia belajar tinggi-tinggi macam Haikal.” Akhirnya kata-kata itu keluar juga dari mulutnya.

            Serta merta, Mia turut sedih dengan soalan itu. Dia hanya menunduk. Nasi dibiarkan begitu sahaja, sikit pun tidak dijamah. Diam lagi. Apa perlu aku jawab ni, bisiknya perlahan. Hati bagaikan mahu hancur, berkecai. Namun dia perlu beritahu nenekjuga. Ini adalah hasratnya. Hasrat untuk memberikan kebahagiaan kepada nenek dan hasrat untuk mengubah dirinya.

            “Nek, sebenarnya ini hasrat Mia. Masa mak ayah masih ada, mereka cakap mereka nak sangat Mia sambung belajar. Keluarga kita ni bukanlah kaya sangat macam Puan Nora tu. Mia janji, nanti Mia dah kerja, Mia nak bagi duit pada nenek banyak-banyak. Bolehlah ya, nenek,” Mia memujuk.

            Nek Esah mengangguk. Dia perlu berkorban untuk kebahagiaan cucunya. Tak mungkin dia mahu menghalang. Kasihan pula pada cucunya itu. Amanah orang tua Mia, tak akan diasia-siakan. Tidak mengapalah, enam tahun bukannya lama. Pejam celik dah habis.Dia berharap Mia akan selalu menghubungi dirinya di sini. Nek Esah mengangguk tanda setuju.

            “Nek, betulkah nenek benarkan Mia pergi?” Mia seakan tidak percaya. Nenek bukanlah mudah untuk dipujuk.

            “Ye. Nenek benarkan Mia pergi. Tapi, Mia kena janji. Mia tak boleh tinggalkan solat,jangan lupa nenek di sini. Lagi satu, Mia kena sabar apa pun dugaan yang datang. Jangan lemah sangat. Kena kuat. Kita hidup ni, tak lengkap kalau tiada ujian. Setiap ujian pasti akan ada jalan keluar.” Nek Esah memberi nasihat sebelum menghabiskan waktu makan pada malam itu.

            Mia meraup tangannya ke muka. Akhirnya, cita-citanya bakal tercapai untuk menjadi doktor.Dia nak rawat nenek. Nenek selalu sakit. Dan dia mahu buktikan bahawa dia mampu berjaya melanjutkan pelajaran. Kesusahan bukan penghalang untuk berjaya. Dengan pantas Mia menambah lauk dan nasi. Tiba-tiba rasa berselera pula.

            “Nek, kita buat kenduri kesyukuran boleh ya? Kita jemput orang kampung di sekitar sini. Kita jemput Puan Nora sekali ya, nek. Biarlah dia mengutuk keluarga kita, asalkan nanti dia tak kecil hati kalau kita tak jemput dia.” Mia memberi cadangan. Lama juga Nek Esah memikirkan hal itu.

            Nek Esah bangkit dari kerusi. Dia menuju ke singki untuk membasuh pinggan mangkuk. Mia pula mengemas meja makan. Sisa-sisa makanan dibuangnya ke dalam tong sampah. Mia bertanya lagi, “Nek, boleh ya. Mia nak jugak orang kampung bertandang ke rumah kita. Sunyi je rumah ni lepas mak ayah meninggal.”

            Nek Esah mengeluh. Mia sangat baik. Tak pernah dia lihat Mia menengking sesiapa termasuk Puan Nora. Dari kecil lagi, Mia sudah terbiasa dibanding-bandingkan dengan Haikal.Mia hanya mampu tersenyum walaupun jauh di sudut hati, Nek Esah tahu Mia sedih.Nek Esah membalas,

            “Ye lah. Nanti nenek jemput semua. Kita buat majlis kecil-kecilan saja ya. Nenek jemput Imam Ali sekali. Nenek rasa, dia boleh ketuai bacaan Yasin nanti.” Mia mengangguk.Selepas semuanya selesai, Mia masuk ke bilik tidur. Lelah sungguh rasa. Badan macam sotong sudah. Dalam merenung jam di dinding bilik tidurnya, Mia tertidur.

***

            “Jangan dekat! Tolong, biarkan aku hidup,” rayu Mia.Makhluk bermata kuning itu diam. Lidahnya menjulur keluar. Terserlah gigi taringnya yang membuat Mia gerun. Dia sudah menangis memohon maaf.

            “Siapa kau?!!Kenapa kau berani ke mari? Ke kau nak aku bunuh kau?” Makhluk itu bersuara. Garau dan menakutkan. Mia duduk dan memohon agar makhluk itu melepaskan dia pergi. Balas Mia,

            “Aku Mia. Mia Aleesa. Maafkan aku. Tolong biarkan aku hidup.” Mia memejam matanya. Dia redha sekiranya apa-apa yang buruk terjadi. Dia cuma berharap dapat pulang berjumpa neneknya.

“Tidak!!”

***

            “Mia, bangun! Dah subuh ni. Mia mimpi ke? Dah subuh ni. Mia bangun, solat dahulu.” Nek Esah risau melihat cucunya itu. Jeritan Mia membuatkan Nek Esah bergegas ke bilik itu.Mesti tidur tak baca doa. Sebab tu lah boleh mimpi yang bukan-bukan.

            Mia yang terjaga dari tidur itu terus memeluk neneknya. Air matanya bercucuran. Sesungguhnya,mimpi itu sangat menakutkan. Makhluk aneh itu membuatkan Mia rasa takut untuk bangun. Dia tidak nampak dengan jelas wajah makhluk itu. Cuma apa yang dia ingat, taring, bermata kuning dan suara yang nyaring. Dia hampir dibunuh oleh makhluk tersebut.

            “Nek, Mia mimpi nek… Mia takut.” Nek Esah membulatkan matanya. Sah! Dia cuba mengganggu cucu aku. Nek Esah melepaskan pelukan Mia. Dia cuba berlagak tenang. Dalam hati dia risau adakah peristiwa lima puluh tahun dahulu akan berulang kembali? Nek Esah cuba mengusap kepala Mia sambil berkata,

            “Tak mengapa Mia.Nenek ada. Dia tak akan berani datang dekat. Tu mimpi saja. Kalau Mia baca ayat Kursi, nanti dia larilah.” Mia sudah tenang. Selepas mandi dan solat Subuh, Mia menghadap ke cermin. Mukanya lesu.

            Semakin hari semakin teruk wajahnya. Macam mayat. Tarikh ke Dublin semakin dekat. Bagaimana kalau dia tak dapat melanjutkan pelajarannya disebabkan perkara ini? Apa kata nenek? Dan yang paling teruk sekali, Puan Nora akan mengejek nenek lagi. Mimpi itu kerap kali bertandang setiap malam. Mimpi Puan Nora memukul neneknya serta makhluk itu. Apa kaitan makhluk itu dengan Puan Nora? Mengapa dirinya yang menjadi mangsa? Ah! Dia tak habis fikir. Rimasnya dengan semua ini.

***

            “Nek, Mia ada satu benda nak cakap ni.” Kebetulan, semua tetamu ada di situ. Hari itu merupakan hari kenduri kesyukuran. Ada Imam Ali, Pak Cik Faizal dengan Mak Cik Timah. Mia merasakan itulah masa yang paling sesuai untuk menyuarakan pendapatnya.Tambahan pula, merekalah orang yang paling rapat dengan nenek. Mungkin mereka ada penyelesaian untuk masalah yang dihadapi oleh Mia ini.

“Mia, tak apa. Cakap je. Mak cik dengan pak cik semua akan setia mendengar. Mesti Mia takut kan nak tinggalkan kampung ni,” kata Mak Cik Timah.Mia semakin resah. Dia serba salah. Belum sempat pun Mia berkata apa-apa, Puan Nora dan Puan Joyah datang. Ada Haikal sekali. Mesti nak memburuk-burukkan nenek. Mia cuba senyum walaupun hanya senyuman plastik.

            “Mia, kau tak payah belajar tinggi-tinggi. Dah lah susah, nak habiskan duit nenek kau pulak. Kau duduk saja di rumah, jaga nenek kau. Nenek kau tu bukannya betul sangat pun.Banyak sangat terpengaruh dengan mitos yang pelik-pelik.” Puan Nora ketawa.Haikal tersenyum sinis.

            Air mata Mia mahu tumpah.Sampai hati Puan Nora berkata begitu. Mia sedar siapa dirinya. Apa salahnya dia belajar tinggi-tinggi? Untuk nenek juga. Dan dia bukan berjoli sana sini. Serta merta dia membuat keputusan untuk tidak membatalkan hasratnya untuk ke Dublin. Dan lagi satu, dia pakai duit biasiswa. Dia tak sentuh langsung duit hasil jualan nasi lemak nenek. Mia membalas,

            “Mak cik, Mia minta maaf. Tapi, Mia tak pernah nak terdetik mahu habiskan duit nenek. Mia pakai duit biasiswa. Mia nak sambung belajar. Nenek pun sudah beri keizinan.Dan Mia tak pernah pun dengar nenek cerita mitos yang pelik-pelik. Mak cik kalau boleh jagalah Haikal. Dari kecil lagi suka menyusahkan. Haikal sekarang dah pandai berjudi, itupun kalau dia dah minum arak tak tahu lah kan? Mia hanya cerita berdasarkan apa yang Mia nampak. Tak guna kalau belajar tinggi-tinggi tapi akhlak tak tinggi.” Mia cuba menjelaskan apa yang terjadi. Haikal  nampaknya resah, mungkin risau rahsianya akan terbongkar.

            Puan Nora mendengus marah. Tak guna betul cucu kau Esah! Berani kau menghina anak aku.Puan Nora akhirnya menampar pipi Mia. Baru puas hatinya. Mia sedikit pun tidak melawan kerana dia tahu dia berada di pihak yang benar. Pipinya rasa panas,serta merta air matanya mengalir. Tapi dia cuba untuk menahan daripada menangis di khalayak ramai. Tak pasal-pasal nanti neneknya yang mendapat malu. Hari itu sepatutnya bergembira bukannya marah-marah macam ini.

             Mak Cik Timah dan Nek Esah cuba menghalang Puan Nora daripada memukul Mia dengan lebih teruk lagi. Imam Ali meminta supaya Puan Nora beredar dari situ supaya keadaan kembali terkawal. Sebelum pergi,Puan Nora memberi kata terakhir,

            “Hei Mia! Kau tak payah lah nak ajar aku. Aku tahulah macam mana nak didik dia. Haikal tu budak baik, tak macam kau. Kau dengan keturunan kau pun sama saja. Dasar pengamal ilmu hitam! Joyah, jom pergi. Menyampah aku tengok muka budak hingusan ni!”

            Puan Nora menarik tangan Joyah dan berlalu dari situ. Imam Ali menggeleng. Puan Nora dari dulu sampai sekarang tak pernah berubah. Ada saja yang dia tak puas hati. Mak CikTimah cuba menyabarkan Nek Esah. Luruh hati Nek Esah dihina sebegitu rupa. Ap ayang boleh dia lakukan adalah dengan melupakan kejadian pahit sebentar tadi.

            “Esah, kau sabar sajalah ya. Nora memang macam tu. Aku pun dah banyak kali nasihatkan dia supaya jangan sombong sangat. Dia tak nak dengar.” Timah bersuara. Mia dah masuk ke dalam bilik. Sedih dengan apa yang berlaku. Dia hanya mampu bersabar. Nenek masih di luar. Melayan tetamu. Nasib pinggan mangkuk sudah habis dicuci. Jika tidak, dirasakan habis semua pinggan mangkuk itu akan dibalingnya ke muka Puan Nora.

            Nek Esah membalas,“Tak mengapa. Dia dari dulu lagi tak puas hati dengan keluarga kami. Aku dah pun redha dengan apa yang jadi.”

            Mak Cik Timah menggeleng. Apalah nak jadi dengan Puan Nora ini. Dengki saja pada orang lain.Padahal dia kaya. Semua kemahuan dituruti. Tapi kasihan, dia tak pernah mengenal erti kebahagiaan yang sebenarnya. Anak-anaknya ada yang tinggal di luar negara. Tinggal Haikal seorang sahaja yang masih belum berumahtangga.Mungkin sebab itulah, Haikal sangat liar.

            Mia memandang ke ruang tamu. Nampaknya semua tetamu dah balik. Nek Esah tertidur di sana. Mia mengeluh. Esok, dia akan berangkat ke Dublin. Dia harap neneknya akan baik-baik sahaja di rumah Mak Cik Timah kelak. Mujurlah ada juga yang mahu tengok-tengokkan nenek.

***

Pagi itu sebelum menaiki kapal terbang..

            “Nenek, jangan lupa Mia tau. Mia janji akan selalu telefon nenek.” Mia sudah mahu menangis.Tempoh enam tahun bukanlah tempoh yang pendek. Macam-macam boleh jadi. Nenek selalu sakit, jadi Mia sempat menitipkan pesan kepada Mak Cik Timah dan Pak CikFaizal.

            “Pak cik, mak cik.Mia nak mintak tolong untuk jaga nenek ya. Mia lama lagi nak datang sini.Doakan Mia menjadi doktor yang berjaya.” Mia mencium tangan Nek Esah dan Mak Cik Timah dan melambai ke arah mereka.

            “Insyallah Mia,jaga diri kamu tu baik-baik. Apa-apa hal, telefon saja,” Mak Cik Timah membalas. Mia melangkah masuk di pintu pelepasan dengan hati yang berat. Harap neneknya itu baik-baik sahaja.

***

            Enam tahun berlalu.Mia Aleesa sah bergelar doktor. Mia mahu menitiskan air mata dikala namanya disebut sebagai salah seorang penerima ijazah di universiti tersebut. Segala titik peluhnya membuahkan hasil. Sudah lama dia tidak menghubungi nenek. Kali terakhir dia menghubungi nenek adalah pada hari Ahad minggu lepas.

            Dia mahu meluahkan segala-galanya kepada nenek. Tak lupa juga pada Pak Cik Faizal dan Mak Cik Timah. Tanpa mereka, mungkin tiada sesiapa yang mampu menjaga nenek. Mia mendail nombor telefon di telefon pintarnya. Dia hampa. Talian sibuk katanya. Dia sangat berharap nenek boleh datang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) nanti. Itupun jika nenek ikut sekalilah.

            “Aku akan kembali ke kampung itu. Ya! Aku akan buka klinik sendiri selepas ini, penduduk kampung yang sakit tidak perlu ke bandar untuk mendapatkan rawatan. Dan yang paling penting, semua tak akan mencaci nenek lagi,” bisik Mia perlahan. Tiket kapal terbang itu digenggamnya erat. Dia tidak sabar untuk berjumpa dengan mereka.

            “Last call for passenger Mia Aleesa travelling to Kuala Lumpur, Malaysia please proceed immediately to Gate number 2.” Mia tersentak sebentar. Dia masih memegang kuat boarding pass di tangan. Mia bergegas memasuki balai pelepasan sambil memeriksa dokumen yang penting untuk ditunjukkan kepada pramugari yang bertugas.

            “Can I see your passport and boarding pass, please?”  Pramugari Qatar Airways memeriksa setiap dokumen para penumpang yang memasuki pesawat tersebut. Mia menunjukkan pasport dan boarding pass sebelum dia dibenarkan masuk ke dalam pesawat.

            Mia menarik beg bagasinya dengan berhati-hati agar tidak melanggar penumpang yang lain. Pramugari dan pramugara melayani setiap penumpang dengan baik. Mia sempat melemparkan senyuman kepada mereka. Perjalanan yang memakan masa dua puluh tiga jam itu membuatkannya tidak sabar untuk bertemu nenek, Mak Cik Timah dan Pak Cik Faizal. Dia sangat berharap nenek dapat bergambar dengan pakaian konvokesyen.Biarlah kali ini nenek merasa perasaannya menggenggam ijazah. Dirasakan cacian dan hinaan yang dilemparkan kepadanya semakin hilang.

            Mia tertidur semasa melihat pemandangan indah di atas awan sepanjang pesawat berlepas. Rasa letihnya belum hilang. Manakan tidak, semalaman dia tidak tidur kerana sibuk mengemas barang untuk pulang ke Malaysia. Perasaan teruja itu memang tidak dapat dibendung. Semasa Mia nyenyak tidur, dia terkejut kerana dia merasakan bahunya disapa oleh seseorang. Nasib tidak terkena serangan jantung kerana bangun mengejut.  

            “Err..cik, cik hampir ke kerusi saya. Maaf ya sebab bangunkan cik.” Mia membuka matanya. Rasa berat sekali mahu membukanya. Mia melihat siapa yang menyapanya sebentar tadi.Mia hampir menjerit kerana di sebelahnya merupakan seorang lelaki. Malunya! Matanya sudah membulat, mulutnya hampir terlopong.

            “Maaf..cik. Saya tak sengaja…” Hanya itulah ungkapan yang keluar dari mulut Mia. Dah terlambat.Nyenyak betul tidur sampai tidak sedar dia sudah hampir ke kerusi pemuda di sebelahnya. Lelaki tersebut faham dan dia tidak menyalahkan Mia seratus peratus. Mungkin dia lihat raut wajah Mia yang keletihan itu.

            “Oh, tidak mengapa. Saya faham.Mungkin cik letih. Hmmm..boleh saya tahu nama cik? Saya Hafiz. Mana tahu jika cik perlukan bantuan, cik boleh saja telefon saya.” Mia terkesima, bayangkan pemuda yang baru dia kenali sebagai Hafiz ini mahu tahu siapa dirinya. Tidakkah ini terlalu cepat? Mia pada mulanya enggan untuk mendedahkan siapa dia sebenarnya kerana dia takut perkara buruk berkemungkinan akan berlaku. Hafiz pula tidaklah memaksa. Dia sabar menantikan jawapan daripada Mia. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nazfea Solehah -