Home Novel Cinta Cinta Ajaran Sesat
Cinta Ajaran Sesat
awa
13/10/2022 20:47:32
2,980
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10
JIHAN membuat keputusan di luar kewarasannya dengan setuju untuk keluar berjumpa dengan seseorang. Seseorang yang memberi Jihan kejutan demi kejutan dalam masa beberapa hari ini. Sebelum Jihan hanyut, dia perlu sedar diri. Jihan mengambil keputusan untuk menolak dengan cara paling berhemah tanpa menguriskan hati mana-mana pihak.

Cukup banyak bantuan dia terima selama dia di sini. Mengalahkan mangsa bencana alam pula. Pokok pangkalnya, segala jenis bantuan ini perlu dikekang sebelum dirinya menjadi cagaran. Salurkan saja bantuan pada pihak yang lebih memerlukan.

"Peluang tak datang dua kali, Gee."

MasyaAllah. Penolakkan Jihan diabaikan. Tak tahu bagaimana lagi Jihan mahu menolak. Atau perlu dia buka kamus  dewan bahasa supaya sebutan dia lebih jelas dan lebih mudah difahami?

"Terima kasih, jawapan saya masih sama." Buat kali keduanya Jihan menolak. Harap faham.

Zarif berpeluk tubuh. Jarang-jarang dia pulang dengan jawapan yang mengecewakan. Dan terlalu awal untuk dia mengalah. Bahkan, sampai ke hujung waktu sekali pun Zarif tetap akan usahakan supaya tidak gagal. Itu prinsip dia. Prinsip itulah yang menyebabkan dia sentiasa diangkat menjadi orang kanan ayah.

"Banyak cerita saya dengar tentang rumah peninggalan Haji Isnin." Zarif mula buka cerita.

Mengeras sedikit tubuh Jihan. Mata mula meliar sekeliling. Zarif orang kedua yang berkata demikian selepas Najmi. Dan Jihan akui, dia bukanlah manusia yang kuat imannya apabila berdepan dengan makhluk halus.

"Asalnya, tu rumah peninggalan. Dah lama terbiar."

Zarif sedang mengupas sejarah penubuhan rumah Haji Isnin. Baguslah. Sekurang-kurangnya Jihan tahu serba sedikit supaya keselamatan dia lebih terjamin. Supaya Jihan dapat siap siaga.

"Setahu saya, Haji Isnin bukannya kaya sangat. Anak je ramai. Tapi nak harapkan duit anak-anak, berapa sangat. Belanja bulanan pun tak cukup."

Tak tahu kenapa Jihan diperdengarkan tentang kehidupan Haji Isnin. Berjumpa pun tak pernah, apalagi nak bersembang.

"Patutlah tiba-tiba Haji Isnin cari tukang rumah. Nak repair semula rumah tu. Rupanya Haji Isnin dapat durian runtuh. Ada yang baik hati bagi sumbangan supaya baik pulih rumah pusaka tu."

Sepatutnya, Zarif tak perlu merasa dengki. Anggap sajalah itu rezeki tua Haji Isnin.

"Dengar-dengar, sumbangan tu cecah lima angka."

Kenapa ayat Zarif seolah-olah menunding pada Jihan? Dan Jihan dipersalahkan disebalik konspirasi yang melibatkan Haji Isnin.

"Mungkin awak salah faham, Zarif." Jihan tak tahu apa yang ada dalam fikiran Zarif. Yang jelas dia tidak terlibat langsung tentang sumbangan yang disebut-sebutkannya.

"Jadi, saya perlu salahkan Haji Isnin sebab sampaikan cerita tak benar pada saya."

Haji Isnin pun satu. Kenapa pergi cerita semua tu pada Zarif? Jihan yakin sangat, Encik Malik ada kena mengena tentang sumbangan yang diheboh-hebohkan Zarif. Dan Jihan pun tak nak ambil tahu semua itu. Apa yang perlu dia tahu, kerjanya selesai dalam tempoh masa yang ditetapkan.

"Walaupun Haji Isnin tak bagi tahu siapa pemberi sumbangan tu, saya rasa saya dah jumpa orangnya." Anak mata Zarif tajam merenung Jihan.

Perbincangan mereka dah jauh tersasar. Tadi Jihan sedang menerima tawaran. Tup-tup, cerita rumah Haji Isnin pula diheret sekali dalam perbincangan. Sebelum Encik Malik disebut pula, Jihan perlu buat sesuatu. Takut tertangkap dek Zarif yang dah mula tunjuk sisi curiganya.

"Ya...Memang saya orangnya, Zarif."

Mengecil sepasang mata Zarif. Mengerdip pun tidak.

"Payah saya nak dapatkan rumah sewa dekat kawasan kampung. Jadi, terpaksa saya laburkan sedikit duit sebab hanya rumah pusaka Haji Isnin satu-satunya yang ada. Lagipun Haji Isnin setuju." Bohong Jihan. Sengaja dia menekankan hujung ayat. Zarif tiada hak untuk ikut campur.

"Tapi itu rumah pusaka." Tegas Zarif.

"Itu saya tak nak tahu!" Bidas Jihan dengan muka jelas tidak berpuas hati. Sekali lagi Zarif menekan dia, jangan salahkan dia jika Zarif bakal menjadi mangsa amarahnya.

Terdengar Zarif hela nafas panjang. Kemudiannya lelaki itu duduk bersandar pada kerusi. Tumpuan dia masih pada Jihan.

"Makanlah, semalam perut awak kosong."

Apa Zarif sedang bercanda? Baru tadi Zarif menjemput marahnya, sekarang dia disuruh makan? Dalam keadaan marah? Putus selera Jihan!

"Saya minta maaf."

Begitulah sikap Zarif yang Jihan berjaya kesan sejak mengenalinya. Sebelum marahnya meletus, Zarif terlebih dahulu menyimbah air sejuk di hatinya dengan permohonan maaf.

"Haji Isnin masih ada adik beradik lain yang masih hidup."

Eloklah. Hari ini Jihan diperkenalkan dengan salasilah Haji Isnin. Esok atau lusa dia akan diperdengarkan pula kaum kerabat seluruh Kampung Besut. Nanti Jihan akan usulkan kepada Encik Malik untuk terbitkan satu majalah khas buat mereka semua. Biar mereka semua famous.

"Jangan sampai hal sumbangan tu sampai ke telinga mereka semua. Takut nanti ada yang datang serang awak dengan parang."

Kelip-kelip Jihan pandang Zarif. Maksud Zarif apa?

"Biasalah, adik-beradik berebut harta pusaka. Rumah tu dibiarkan tanpa penghuni lepas orang tua mereka meninggal." Cerita Zarif lagi.

Oh. Berebut harta perkara biasa. Jihan pun pernah mengalaminya. Demi mengelak bermasam muka, dia lebih rela namanya tiada dalam senarai. Biarlah dia berusaha mencari harta sendiri.

"Hati orang kita tak tahu. Tahu-tahu je nanti, mereka dah muncul. Silap-silap, awak akan diusir keluar dari rumah tu."

Jihan kelu sejenak. Dalam diam, dia mengeyakan cerita Zarif. Dalam waktu yang sama, dia juga tidak mahu terjebak dalam perbalahan orang lain. Dia ke sini bukan mahu bergaduh dengan sesiapa.

"Macam saya cakapkan, sini kampung. Kaya sikit, akan ada suara sumbang berbunyi. Nanti mulalah semua diselidik. Cerita yang tak betul pun boleh betul."

Mati terus selera Jihan. Nak jamah air pun tak lalu. Terasa sukar untuk menempuh kehidupan yang mendatang. Semuanya serba tak kena setelah Zarif melemparkan fakta untuk dia hadam.

"Fikirkan tawaran tu semula."

Mata Jihan mencari Zarif semula apabila hal tawaran diungkit kembali.

"Demi keselamatan awak juga, Gee."

Sepasang iris Jihan tidak beralih dari merenung Zarif. Kali ini dia nekad supaya tidak kalah dengan renungan Zarif.

"Saya akan tinggal dengan Aisyah?" Soal Jihan setelah lama berdiam diri.

"Ya."

"Percuma?" Tebak Jihan lagi.

"Ya."

"Untuk selamanya?" Jihan perlu pengesahan. Jika benar, itu rezeki tidak dijangka yang dia perolehi. Dia perlu ubah persepsi bahawa tak selamanya dia bernasib malang.

"Jawapan itu hanya ada pada ayah."

Mengeluh Jihan. Sedar diri terlalu tinggi menyimpan angan-angan. Zarif itu akan kunci mulut rapat. Bagus ayah kerana memiliki orang suruhan yang cukup setia.

"Saya hanya sampaikan amanah. Ayah bermurah hati nak awak pindah dari sini, duduk sana. Jauh dari segala yang tak baik." Zarif sebut apa yang diberitahu ayah kepadanya.

"Awak yakin orang tak mengata saya? Tempat tinggal baru saya sangat popular. Dengar-dengar, duduk di kerajaan langit macam duduk di syurga. Tak perlu risau lagi tentang hal dunia." Sengaja Jihan ingin menduga reaksi Zarif. Namun dia masih gagal memancing emosi Zarif. Dia hanya diperlihatkan sisi ketenangannya.

"Kalau betul, baguslah. Saya dah terlalu banyak bergelumang dengan dosa. Tak terkira banyaknya. Sampaikan saya tak mampu nak lari bila dikejar dosa-dosa silam saya." Mendatar suara Jihan. Anak mata dia bergerak-gerak, langsung tidak dilarikan dari membalas renungan Zarif.

Bergerak-gerak rahang Zarif. Dia sedang menahan rasa, dan apa jua dia rasai sekarang ini tidak seharusnya menjadi tatapan Jihan. Cukup saja dia yang tahu.

"Dik!" Tahan Zarif ketika seorang anak muda sedang melintasi mereka. Reaksi anak muda itu jelas terkejut. Malah sempat mata Zarif menangkap raut gugupnya.

"Tolong bungkuskan makanan ni." Pinggan di depan Jihan yang masih belum terusik dihulurkan kepada anak muda tersebut.

"Tambah satu teh o ais. Kurang manis."

Jihan sekadar memerhati Zarif menghulurkan semua pinggan di atas meja. Setiap pergerakkan dipandang tanpa dilarikan sedikit pun matanya. Dia mengekori langkah anak muda itu hilang sehingga susuk tubuhnya hilang di dapur. Apa yang dia perasan, Zarif sengaja mengabaikan dia. Malah, Zarif sedang mengelak bertembung mata dengannya.

"Kuat juga pengaruh awak, Zarif."

Tegak kepala Zarif mencari raut wajah Jihan.

"Saya perasan, semua orang kampung takutkan awak. Termasuk budak tadi." Jihan kerling dapur sebelum dia berbalas renungan dengan Zarif.

"Najmi pun tak terkecuali." Sebut Jihan lagi.

"Saya manusia biasa juga."

"Manusia baik atau jahat?" Soal Jihan. Dia belum berniat nak alihkan pandangannya. Biarlah dia kelihatan gugup sekali pun, asalkan dia tahu Zarif tergolong dalam golongan yang mana satu.

"Jahat saya di mata mereka semua, maka jahatlah saya." Mendatar suara Zarif. Tiada jiwa.

Mendongak sedikit Jihan apabila Zarif bangkit mendadak. Belum sempat Zarif pusingkan badan, ada beberapa bungkus plastik diletakkan atas meja. Sempat dia mengira bekas polisterin. Ada tiga bungkus. Sepatutnya dua saja.

"Lebih tu untuk ustaz." Beritahu anak muda itu yang masih belum hilang rasa takut-takutnya.

"Terima kasih."

Kalau Jihan di tempat budak itu pun, dia akan merasa takut. Dingin sangat layanan Zarif. Sebut terima kasih pun tak mesra. Macam terpaksa.

"Saya balik dulu." Kesemua bungkusan tersebut diberikan kepada Jihan. Perut dia masih kenyang.

"Eh, nanti!" Mana mungkin Jihan mampu habiskan kesemuanya?

Kelam-kabut Jihan mahu mengejar langkah besar Zarif, namun dia terlambat. Kereta proton wira berwarna kelabu telah pun berlalu pergi. Meninggalkan Jihan yang termagu sendiri.

Kereta milik Zarif kian menjauh di pandang. Kemudian tangan kanan yang menjinjit beg plastik diangkat tinggi. Panjang keluhan Jihan. Perhatian Jihan beralih pada tangan kiri saat telefonnya berbunyi. Auto kerut dahi licin Jihan menerima pesanan whatsapp dari Najmi. Belum habis dibaca ayat kiriman lelaki itu, gambar dia dengan Zarif pula menyusul.

+ Ada yang sampaikan pada saya, awak dengan ustaz tengah date.

"Mengarut!" Getus Jihan.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.