Home Novel Cinta Mika Mikael
Mika Mikael
Keyna Nasir
6/8/2019 01:04:27
4,414
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

Mikael terkejut. Jam yang dikunci tidak berhenti berdering. “Aduhhhh, Mika!” Mikael memarahi dirinya. Jam menunjukkan pukul lapan pagi. Hari kedua kerja sudah lewat, Mikael menggelabah. Dia bergegas ke bilik air untuk bersiap. Tidak biasa lagi gamaknya. Setelah dua tahun bekerja sendiri sebagai pelukis nomad, ini kali pertama dia digajikan. Sebelum ini masa kerjanya bebas, selagi matanya tidak berjaga, tidurlah dia sampai tengahari. Tapi bukan kali ini. 


“Selamat pagi kak!” Mikael menyapa kak Sabariah yang bertugas sebagai receptionist sambil berlari anak menuju ke lif. Dilihatnya pintu lif sudah tersedia buka, ada orang sudah masuk. “Eh, eh kejap.” Dia memberi isyarat untuk menahan pintu lif. 


Hati Mikael tersentak melihat gerangan yang berada di dalam lif. “Good Morning Miss Aisya.” Ujar Mikael, dia menyengih seperti kerang busuk menyedari kesilapannya datang lewat ke pejabat. Aisya hanya senyum sambil mengangguk. Harum semerbak ruangan lif yang kecil dengan minyak wangi Aisya. Tidak berubah. Mengingatkan Mikael dengan kenangannya sewaktu junior year di universiti.


Hanya mereka berdua sahaja di dalam lif. Keadaan sunyi, janggal. Namun Mikael bersahaja. Sedang menunggu lif sampai ke tingkat paling atas, lampu lif terpadam. Bunyi hentakan besi yang kuat membuatkan Aisya terkejut. Dia menjerit. Hanya seketika, ruangan kecil itu kembali terang. Mikael memandang bahu kanannya yang telah dipaut erat oleh Aisya. Kemudian matanya terhenti di wajah Aisya. Wajah cuak Aisya nyata tidak dapat disembunyikan. Mikael tidak bergerak sedikit pun, tidak juga dia menegur Aisya, hanya memandang gadis itu. Aisya segera melepaskan pautan setelah menyedari perbuatannya. 


Muka Aisya merah padam. “Mesti dia ingat aku mengada-ngada. Bodohlah lif ni.” Aisya mengumam di dalam hatinya, tidak pula dia memarahi dirinya yang takut keadaan gelap, disalahkan pula lif itu. Setelah itu Mikael pelik. Sudah tingkat lima tapi pintu lif tidak terbuka. Dia cuba merenggangkan pintu tersebut, tetapi ketat tidak bergerak.


“Hello, tolong kitaorang stuck sini!” Aisya tiba-tiba menjerit. Menggelabah dia meminta pertolongan mengharapkan sesiapa yang lalu di luar mendengar. Mikael menekan punat yang ada di tepi pintu lif. Berkali-kali ditekannya, namun seakan mati. “Aii, rosak jugak ke butang emergency ni. Pening ni. Stuck dalam lif rosak, dengan bos pulak tu. Tapi tak apalah nasib kau wangi. Isk tak ada kena-mengena, sepatutnya aku fikir macam mana nak keluar dari lif ni.” 


“Kenapa awak ni?” Aisya menyapa Mikael kehairanan. Tanpa sedar Aisya memerhati Mikael yang sedari tadi berperangai pelik. Sekejap dipegangnya dahi, kemudian tersengih pula. “Apa yang kelakar?” Aisya menyoal, agak kurang senang melihat Mikael sebegitu rupa. “Orang dah la panik, senyum sesorang pulak. Gila!” kata Aisya sendirian. Mikael tidak menjawab pertanyaan Aisya, dirasakannya tidak perlu. Kadang-kala ada saja perkara yang bukan-bukan terlintas difikirannya yang orang lain tak akan faham pun. 


“Nak buat apa ni?” 


Mikael melabuhkan punggungnya di lantai lif. Dia menghembuskan nafasnya kasar, dia mulai lemas berada di dalam ruangan kecil itu. “Nak buat apa lagi, tunggulah.” “Tunggu? No way, saya ada meeting. Lagipun nak kenalkan awak dengan director nanti. Mia tak beritahu awak ke?” Lagi sekali Mikael buat muka pelik.


“Tak ada.” “Ok, tapi sekarang ni macam mana?” ujar Aisya lagi. Mikael mengerutkan dahi. “Eh dia ni, tadi bukan dah tanya ke.” Kali ni Mikael pula berseloroh sendirian. “Miss Aisya, Miss Aisya boleh duduk dulu? Sekarang ni kita memang tak boleh buat apa-apa, nak call minta pertolongan pun tak boleh. Tak dapat call orang dalam lif ni.” Ujar Mikael panjang sambil mendongak memandang Aisya berdiri. Bukan dia tidak mahu duduk, segan sebenarnya berduaan dengan orang yang baru sehari dia kenal. Tambahan dengan seluar straight cut kelabunya, tidak mungkin dia dapat duduk dengan selesa di hadapan Mikael. 


Seberapa ketika, Aisya melabuhkan jua punggungnya bertentangan dengan kedudukan jejaka itu. Sama seperti Mikael, dia mula naik rimas, kakinya letih berdiri. Ruangan lif bertambah panas. Mata Aisya sejurus melihat wajah Mikael yang juga memandangnya ketika itu. Buat pertama kali dia dapat merakam raut wajah Mikael dari pandangannya. Berkulit cerah, matanya redup sekali, alis terbentuk kemas menampakkan rupa lebih maskulin, ditambah dengan lesung pipit pipi kiri menghiasi senyuman. Senyum? Ya senyum. Aisya sedar pergerakkan perlahan bibir jejaka itu yang melemparkan senyuman ke arahnya. 


“Alamak, tertenung lama pulak muka mamat ni, karang dia perasan handsome pulak, tak pun dia ingat aku syok kat dia. Dah la terpeluk bahu, aduhhh. Memang sah dia fikir macam tu.” Aisya mengomel diri sendiri. 


“Awak suka musim luruh?” Soalan yang entah dari mana keluar dari mulut Mikael. Soalan yang diluar kotak ketika itu. “Kenapa awak tanya?” 


“Saya tak tanya, saya teka.” 


Aisya menjawab tanpa memikirkan yang tersirat disebalik tekaan Mikael. “Suka, mungkin.” 


“I mean, I don’t mind actually. Baru tahun lepas saya travel ke Paris, waktu tu musim panas. Sangat panas dan kering. Tak seperti sini, panas, tapi masih berangin. Tapi Paris sangat cantik! Or winter.. I’m good at skiing. Switzerland, Italy, Austria.. semua tempat ni saya pernah meluncur. Kalau musim luruh, saya suka di Seoul.” 


“Seoul? Korea?” Aisya mengangguk. Mikael mendengar setiap bait kata yang keluar dari bibir manis gadis itu. Dia sebenarnya tidak begitu kisah dengan pengalaman Aisya meneroka dunia, namun tertarik dia kepada Seoul.


Tiba-tiba Aisya menghela nafas panjang. Baru dia perasan kembali suhu lif yang beruap, udara berkurangan. Aisya mengipas-ngipas tangannya tanda rimas ya amat. Sedikit keringat juga terpamer di sekitar dahi Mikael. Dia juga tidak tahan, pantas dia melepaskan butang kemejanya dari atas hingga butang yang ketiga. Menonjolkan sedikit dada jejaka itu.


“Isk selamba je mamat ni.” Aisya cuba melarikan lirikkan matanya. Entah mengapa dia merasa tidak selesa pula melihat Mikael melepaskan butang kemejanya. “Ini kalau lama lagi, mau bogel ni.” Ujar Mikael. “What? No way. Alamak kalau betul macam mana, gelilah aku. Lama lagi ke ni, takkan tak ada orang betulkan lif ni.” Semakin gelisah gadis itu khuatir apa yang dikatakan Mikael jadi nyata, namun tidak salah. Memang panas! 


Bunyi rengangan pintu lif kedengaran dari bahagian luar. Sedikit demi sedikit pintu lif terbuka. Aisya dan Mikael bingkas bangun apabila melihat kelibat seorang security guard dan dua lelaki india merangkap technician di syarikat itu. “Leganya.” Ucap Aisya senang. Setelah 40 minit terperangkap, baru kini terasa nikmat udara segar dari penghawa dingin yang menyelubungi setiap sudut ruangan lif itu. 


“Terima kasih. Safety officer kita sudah tahu masalah lif ni?” Ucap Aisya sambil tidak lupa untuk mengambil berat tentang kerosakan lif yang menjadi kemudahan pekerja di Innoviv selama ini. Sebenarnya lagi satu persoalan ialah dia tidak nampak safety officer ketika itu. 


“Sudah Miss Aisya. Safety officer tengah melapor.” Aisya mengangguk. 


Sementara itu Mikael yang berdiri di sebelah Aisya hanya diam membisu. Aisya menoleh. Kelihatan Mikael sedang merenung jauh, matanya melihat sesuatu. Atau seseorang. Aisya cuba menumpu ke arah yang sama. 


“Eh, Haiqal.” Bisik hati Aisya.


“Apa yang jadi, saya dengar awak stuck dalam lif.” Belum sempat Haiqal menghentikan langkahnya dia sudah pun ajukan soalan itu kepada Aisya. 


“Siapa yang bagitahu?” 


“Receptionist. Kertas kerja awak tertinggal. Saya patah balik ke office.” Jelas Haiqal. Wajahnya jelas menunjukkan kerisauan. 


“Ya Allah, saya lupa langsung!” teriak Aisya. Macam manalah dia boleh lupa kertas kerja penting itu walhal meeting jatuh pukul 9 pagi tadi. Aisya melihat jam di tangan, “dah hampir 10 pagi, mungkin akan ditangguhkan pada waktu petang.” Itulah planning spontan Aisya memandangkan kejadian tidak diingini berlaku pagi itu juga. 


“Jangan risau, saya tak apa-apa, lagipun saya berdua dengan Mikael.” Melihat wajah Haiqal yang risau, Aisya terus bersuara. Pergerakkan tubuhnya memperlihatkan ke arah Mikael. 


Seraya Haiqal memandang Mikael yang dari tadi mendengar bersahaja perbualan pasangan kekasih itu. Haiqal membatu sejenak, belum sempat menyapa Mikael, ekor matanya turun ke arah dada Mikael yang terdedah dek kerana butang baju yang telah dibukanya sewaktu berada di dalam lif.  Dia perhati lagi tubuh Mikael yang masih bersisa keringat. Kemudian berbalik semula kepada Aisya. Menyedari pandangan Haiqal, jari-jemari Mikael lincah membutangkan kemejanya. 



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Keyna Nasir