Home Novel Cinta Jangan Bilang Tidak
Jangan Bilang Tidak
Nur Munirah Zaid
24/2/2017 16:22:30
2,465
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab [Prolog]

Rock menggigil. Hampir basah seluarnya apabila digertak begitu. Dia dapat merasakan muncung pistol yang dihalakan padanya turut bergegar. Tetapi gegaran itu lenyap apabila lembaga di belakangnya memukul bahunya.

"Aaa...tok, nek. Saya mintak ampun! Jangan makan saya, tok, nek. Lemak saya ni manalah sedap sangat. Rasa-rasa pahit gitu. Kalau nak jugak makan manusia, saya hadiahkan dua orang budak ni sebagai tukarannya."

"Amboi kau! Menjawab, menjawab! Kau ingat aku boleh hadap ke nak makan budak kecik yang tak tahu apa-apa ni? Aku ni jembalang, budak-budak kecik ni bukan taste aku!" ujar lembaga itu lagi.

Rock menyedut hingus. Tangannya yang diangkat sedari tadi mulai menunjukkan tanda ingin rebah. Tetapi lembaga yang mengacukan pistol pada bahunya tegas melarang.

"Err apa...apa yang tok dan nek nak saya buat? Saya merayu jangan makan saya lagi. Saya belum bertaubat lagi tok, nek." ujar Rock terketar-ketar.

"Aku nak kau lepaskan budak dua orang ni. Cepat!"

"Tok nak buat apa dengan dua orang budak ni? Saya tak boleh jamin dia orang akan buat tok kenyang. Lagipun dia orang ni akan dihantar kat rumah kebajikan di Thailand nanti."

"Atoknya, pandai pulak si bulat ni cakap tentang amal kebajikan. Yang dia dok culik orang ni mazhab mana pulak dia ikut?" ujar lembaga si nenek.

"Entah la neneknya. Makin besar makin pandai pedajal orang. Kalau saya tembak kepala dia ni, agak-agak ada orang tak yang nak beli?" jawab lembaga si datuk.

Rock terkebil-kebil mendengar perbualan dua lembaga itu. Ada kesempatan matanya melingas ke belakang. Mana la tahu lembaga itu seperti hantu casper manhupun hantu dalam filem Saw. Malangnya usahanya selalu dihalang oleh lembaga si datuk yang menunjal-nunjal kepalanya.

"Tok, nek. Jangan tembak saya. Saya mohon tolong la lepaskan saya. Saya muda lagi ni." rayu Rock bersungguh-sungguh.

"Muda ke tua ke, i don't care! Aku nak kau lepaskan dua orang budak ni! Kau dengar tak bunyi anjing menyalak kat luar tu? Nak aku baling bangkai kau kat anjing tu?" bentak lembaga si nenek.

Rock terdiam. Telinganya dipasang ke suatu arah yang jauh nun hutan sana. Lantas dia menggeleng laju. Lembaga si nenek hanya ketawa jahat.

"Bagus! Kalau macam tu lekas bukak ikatan budak perempuan ni. Lepas tu budak lelaki tu pulak. Kau jangan cuba nak lari. Aku siku karang!" arah lembaga si datuk.

Rock hanya menurut. Perlahan-lahan dia membuka ikatan pada tangan Boboi. Selepas itu dia beralih ke arah Bubu. Peluh yang merenik dibiarkan mengalir. Apa yang penting, nyawanya kini. Tersilap langkah, laju sahaja peluru menembus ke otaknya.

Boboi dan Bubu berjalan ketakutan menghampiri dua lembaga itu. Kepalanya ditunduk ke bawah. Rock pula ingin bangun tetapi seperti biasa dihalang oleh lembaga yang mengacukan pistol. Disuruhnya pula meletakkan kedua tangan di atas kepala sambil mencangkung.

"Kau duduk diam-diam. Hah Boboi, Bubu, mari kat nenek. Nenek bawak cu balik rumah ye?" ujar lembaga si nenek.

Dia mengusap rambut Bubu. Dan bibirnya beralih ke cuping telinga anak kecil itu.

"Hey sister! Remember me?" bisik lembaga si nenek. Dia mengenyitkan matanya.

Bubu meneliti wajah di hadapannya. Seketika kemudian memorinya diputar ke belakang. Lembaga inilah yang ditemuinya di Pantai Bisikan Bayu. Dengan teragak-agak dia tersenyum comel dan seterusnya Bubu menyiku abangnya. Boboi mengangkat keningnya. Ketika pandangan Boboi bertaut dengan lembaga si nenek, seperti Bubu dia turut membuat pengecaman. Automatik Boboi mengangguk kecil dan membuat thumbs up.

Kedua lembaga itu merapati Rock. Lembaga si nenek memandang Rock. Dia mencerlungkan mata. Manakala lembaga si datuk mengeluarkan kain buruk dari seluarnya.

"Woi, woi! Apa ni? Lepaskan aku!" ronta Rock kesakitan. Tangannya dipulas kuat oleh lembaga si datuk seraya tangannya diikat seperti dia mengikat Boboi dan Bubu.

"Diam! Manusia macam kau ni memang patut diajar!" ujar lembaga si nenek. Dia ketawa terkekeh-kekeh.

Rock ingin berkata sesuatu namun belum sempat bunyi tingkap dipecahkan membuatkan mereka tergamam. Lembaga si datuk memandang pasangannya. Kemudian pintu bilik pula ditolak kasar dari luar. Empat lima orang beruniform polis menghalakan senjata ke arah mereka. Masing-masing kaku di tempat mereka.

***

"Terima kasih banyak-banyak la ye. Kalau kamu tak ada, saya tak tahu la apa yang terjadi pada anak-anak saya ni. (Kel)" ujar Sarjan Mat Top. Dia menggengam erat tangan Wafiy.

Wafiy membalas genggaman tangan anggota polis itu. Dia tersenyum seraya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Ayushita juga menghadiahkan senyuman. Kini kebimbangan terhadap Bubu dan abangnya diserahkan sahaja pada Sarjan Mat Top, orang yang layak menjaga mereka berdua.

Mereka berjalan keluar dari villa tersebut. Ayushita mendukung Bubu sambil tangan sebelahnya memimpin Boboi. Sementara Rock dan Maria dipaksa berjalan cepat. Dia mendengus tatkala pandangannya bertembung dengan Wafiy dan isterinya.

"Apa pandang-pandang? Aku cucuk mata kau tak ke naya nanti?!" jawab Ayushita. Dia menunjukkan penumbuknya.

"Tui! Ada ubi ada batas, ada hari aku..."

Belum sempat Rock menghabiskan ayatnya, dia disergah oleh anggota polis yang menggarinya.

"Hoi diam! Jangan banyak cakap pulak. Letak bom dalam mulut tu baru tahu!"

Serta merta Rock bertukar menjadi pita kaset yang telah dihentikan. Dia mendecit. Ayushita melambai mesra ke arah mereka. 'Bye! Ada hari jumpa lagi ye. Huhuhu.'

Sarjan Mat Top menggelengkan kepala. Lelaki berkepala botak itu selalu menyusahkan dia. Kali ini tidak terbilang dengan jari sudah berapa kali dia keluar masuk jel. Apa yang utama, cubaan untuk menjual anak-anaknya ke Thailand tumpas di tangan pasangan suami isteri di hadapannya. Dia mengajak Wafiy dan Ayushita untuk pergi ke Balai Polis Wakaf Baru.

Secawan kopi panas diletakkan di atas meja. Sekali lagi Sarjan Mat Top tersenyum bangga. Ayushita memeluk tubuhnya. Suhu penghawa dingin di bilik Sarjan Mat Top dapat dirasakan sehingga ke tulang kurusnya. Mujurlah Wafiy menyuruhnya menyarung sweater kepunyaannya semasa di dalam kereta tadi.

"Encik Wafiy dan Puan Ayushita, sebelum kita pergi ke tajuk utama boleh saya tanya anda berdua?" pinta Sarjan Mat Top. Dia menyilangkan tangannya.

"Ya, tuan. Kami sedia menjawab." balas Wafiy tenang. Ayushita hanya menjadi pemerhati.

"Boleh ceritakan apa yang terjadi sepanjang anak-anak saya diculik?" Sarjan Mat Top menopang tangannya. Dia melurut janggutnya.

Wafiy dan isterinya saling berpandangan. Ayushita tersenyum kecil dan serentak itu Wafiy mengangguk kecil.

"Begini, tuan..."

                                                                                                                   BERSAMBUNG...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nur Munirah Zaid