2,215
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Shasha - Bab 2

"Boleh saya ambil order cik berdua?" Aku menyoal dengan nada yang ceria dan bersemangat.
"Ok. Saya nak set Fusion untuk dua orang." sahut salah seorang dari pelanggan tersebut. Juga ceria dan mesra. Tanpa pen mahupun kertas, aku menanam pesanan tersebut ke dalam benak. Kemudian, aku segera beredar ke kaunter pesanan. Tangan laju menekan ipad dikaunter tersebut. Pesanan yang dihantar akan dipaparkan di ruang dapur dan status pesanan yang sedang dilaksanakan bertukar dari warna hitam ke warna oren. Jika sudah siap ianya akan bertukar hijau dan loceng akan berbunyi menandakan aku perlu menghantar pesanan tersebut kepada pelanggan. Cafe yang baru satu minggu aku berkhidmat ini berbeza sekali dengan cafe yang pernah aku kunjungi sebelum ini. Tidak lebih dari lima puluh orang pelanggan sahaja yang dibenarkan dalam satu-satu masa. Ianya bermaksud pelanggan yang mahu berkunjung ke cafe ini perlu membuat tempahan temujanji untuk menjamu selera. Hari ini aku  ditugaskan di bahagian Privasi. Menggantikan rakan Sarah yang terpaksa bercuti selama dua bulan kerana terlibat di dalam kemalangan. Ah, gadis itu... Minggu lepas dia telah membawa aku ke sini. Menikmati sendiri keenakan menu yang disajikan juga pengalaman menjadi tetamu di cafe yang agak eksklusif ini. Bila aku menyoal gadis itu mengapa memilih aku menggantikan temannya, jawapan gadis itu ringkas.
"Kau ada etika yang tak ada pada orang lain."
Kerana kata-katanya itu mudah sahaja aku termakan. Malah, Mami tidak membantah meski waktu berkerja ini bermula dari jam enam petang hingga sembilan malam. Setiap hari pula aku tiba dirumah jam sepuluh. Kadang-kadang aku masih sendirian apabila tiba dirumah. Boleh jadi kerana sedar akan kesibukannya, Mami membenarkan aku berkerja secara separuh masa ini. Namun, masih lagi bersyarat. Keluar untuk pergi berkerja sahaja. Tidak ke tempat lain. Hmm.. Macamlah Mami tak kenal anak dia ni. Aku bukanlah jenis yang gemar berpeleseran. Walaupun Mami sibuk, kesibukannya itu tidak menjadi alasan untuk aku terjebak dengan aktiviti tidak bermoral yang makin meruncing kebelakangan ini.
"Shasha, tolong ambil order meja belakang. Aku nak ke toilet, lah." bisik Sweta di telingaku. Aku yang baru selesai mengemas meja yang baru ditinggalkan oleh pelanggan mengangguk perlahan lantas membawa pinggan kotor tersebut ke sebuah troli yang disediakan di salah satu sudut. Baby wipes di dalam poket apron yang dikenakan aku tarik sehelai. Aku sedar waktu operasi hampir tamat. Patutlah Sweta mahu ke tandas. Tentu hendak membetulkan mekap sebelum pulang. Pelanggan ni pula macam manalah boleh tiba saat-saat akhir macam ni. Waktu closing akan menjadi lambat gara-gara menunggu mereka selesai menjamu selera. Aku menggeleng. Alahai, bukan kerap pun perkara sebegini berlaku. Jadi, tak perlu diperbesarkan sangat. Usai membersihkan tangan, aku bergegas ke arah meja yang dikatakan. Seorang pelanggan lelaki duduk bersendirian disitu. Tablet yang digunakan untuk memaparkan menu gelap berwarna hitam. Dia tidak membukanya! Aku menarik nafas yang dalam beberapa kali. Apabila berhadapan dengan pelanggan lelaki beginilah reaksiku. Gema halus debaran di dada dapat aku rasakan sebelum mulutku mula berkata-kata.
"Erm.. Selamat petang, encik. Dah bersedia untuk order?" tanyaku sedikit gugup sambil mencuri pandang dengan ekor mata. Wajah yang agak tampan dengan rambut sedikit panjang hingga mencecah paras bahu. Gayanya kasual. Berbaju lengan panjang yang dilipat hingga ke siku dan sepasang jeans berona gelap.
"Err.. Encik?" tanyaku lagi setelah lelaki itu masih membisu. Aku memberanikan diri mengangkat lirikanku tepat ke wajahnya. Matanya yang redup sedang memandang ke luar. Menyaksikan pemandangan malam kota besar yang terletak di selatan Semenanjung. Jauh benar dia mengelamun hinggakan tak sedar aku memanggil. Tangan kiriku sudah gatal untuk berbuat sesuatu. Dengan perasaan teragak-agak satu cuitan aku layangkan dibahunya. Lelaki itu jelas tersentak. Pandangannya dan pandanganku bersatu. Pelik! Mengapa panahan matanya itu terus mengenai tepat ke tangkai jantungku hinggakan debaran yang halus ketika ini bertukar menjadi rancak pula. Cepat-cepat aku menundukkan wajah. Aku menelan air liur.
"Encik nak order apa?" soalku dengan perasaan sebal. Marah dan malu dengan keadaan diriku ketika ini.
"You.. Nama apa?" Aku mengangkat wajah. Namun, mataku enggan bertemu dengan lelaki itu.
"Panggil saya Shasha." ujarku.
"Encik nak order apa?" tambahku lagi.
"Nothing." sahut lelaki itu sekaligus membuatkan mulutku melopong kerana terkejut. Aku menahan rasa jengkel yang tiba-tiba sahaja muncul. Jangan buat hal. Baru satu minggu kau kerja. Dan kau sukakan kerja ni.
"Kalau macam tu, kami terpaksa juga caj encik walaupun encik tak order apa-apa." kataku kembali menundukkan wajah. Bukan kerana bimbang. Tetapi kerana ingin menyembunyikan riak wajahku yang geram akan sikap lelaki ini. Jam dipergelangan sudah lima belas minit melewati sembilan malam. Nampaknya jam sebelas malamlah aku tiba dirumah.
"Shasha.." seru lelaki itu seraya membuatkan aku tersentak. Nadanya tenang memanggilku. Aku masih menunduk. Hanya kelopak mata di angkat. Sekeping kad kredit dihulurkan kearahku.
"Just wave." ujar lelaki itu lagi. Cepat-cepat aku mengambil pemberiannya dan berlalu ke kaunter pembayaran. Disitu, Lilian yang juga bertugas separuh masa sepertiku sedang menanti sambil mencebik.
"Haiya.. Ini orang maa buat kita lambat balik aje.. Eeii, geram aku." omel Lilian. Lantas aku mendapat satu idea. Aku tidak mahu kembali menghadap lelaki itu lagi. Aku serahkan kepada Lilian sahaja. Menggunakan alasan mengemas meja dan troli membuatkan Lilian tidak banyak membantah. Gadis Cina itu lebih senang menguruskan mesin kira-kira dari membuat kerja renyah yang lain. Bagi aku pula, inilah peluang untuk aku melepaskan diri dari bertentang mata dengan lelaki kacak tersebut. Apatah lagi mendengar suara yang menyenangkan halwa telingaku itu. Arghhh! Sejak bila pula suara lelaki tenang pada telinga aku ni? Bukan ke mereka semua kasar? 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh