Home Cerpen Thriller/Aksi Burai - sebuah karya psiko thriller
Burai - sebuah karya psiko thriller
A. Darwisy
26/3/2013 10:53:46
9,935
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi
Beli Sekarang

Burai

1995

Mereka sudah berjanji untuk berkumpul di tempat yang sama seperti hari-hari sebelum. Empat sekawan yang masing-masing baru berusia 12 tahun tetapi kehidupan kanak-kanak yang dilalui oleh Saleha, Maimun, Badrul dan Talib tidak seperti kanak-kanak seusia mereka yang lain. Mereka seperti dipinggirkan oleh penduduk kampung di situ malahan kewujudan mereka langsung tidak diambil peduli. Sudah nasib mereka berempat dilahirkan dalam keluarga yang bermasalah. Saleha yang mempunyai ayah bergelar bekas banduan selepas meringkuk dalam penjara selama 10 tahun atas kesalahan membunuh. Maimun pula, abangnya penagih dadah dan beberapa kali dipukul orang kampung kerana mencuri.

Sementara Badrul, kakaknya sekarang ini sedang sarat mengandung anak luar nikah akibat terlanjur. Bukan saja kakaknya dicemuh tetapi satu keluarganya dipandang jijik dan hina. Talib saja yang barangkali sedikit bertuah berbanding yang lain. Abang-abang Talib bersekolah agama, dan ini sedikit sebanyak mengundang persepsi yang baik oleh masyarakat sekeliling. Tetapi disebabkan Talib berkawan baik dengan Saleha, Maimun dan Badrul, dia turut dipulaukan. Talib tidak menghiraukan itu semua kerana dia percaya, kawan-kawannya itu tidak sejahat seperti yang orang lain sangka.

“Keluarga aku nak mulakan hidup baru. Kami mahu pindah dari sini...” Saleha yang sedari tadi keruh wajahnya, akhirnya bersuara. Inilah sebab utama empat sekawan ini mengadakan pertemuan pada petang itu. Seboleh-bolehnya, mereka berharap tiada di antara mereka, meninggalkan kampung tersebut. Hilang seorang, sudah pasti lagi sunyi hidup mereka.

“Habis kita orang macam mana?” Maimun bertanya lirih. Barangkali dia seorang perempuan, sudah tentu jiwanya yang lebih beremosi. Badrul dan Talib masih memasang tampang tenang.

“Kalau ikutkan, kau lebih beruntung Mun. Paling tidak, kau masih ada Bad dengan Talib tapi aku... Aku tak tahulah kat tempat baru nanti, aku akan jumpa kawan baru yang best macam kau orang.”

“Bila kau nak pergi?” tanya Badrul dengan riak kosong.

“Pagi esok. Bapak aku dah tak tahan duduk kat kampung ni lagi. Hari-hari kena tempelak...” Saleha mengadu. Maimun sudah mengalirkan airmata lalu memeluk batang tubuh Saleha. Nampaknya, mereka terpaksa juga berpisah.

“Kami faham...” Talib yang lebih banyak diam, akhirnya bersuara. “Hmm... tak payah bersedih. Aku percaya, suatu hari nanti kita berempat mesti bersatu semula.” Talib berhujah penuh yakin memberi semangat. Saleha dan Maimun tersenyum hambar.

“Betul cakap Talib tu. Waktu tu, kita dah besar. Kita tak perlu lagi rasa terseksa macam sekarang. Kita bebas buat apa saja yang kita suka! Ha...ha...ha...” Badrul ketawa berdekah-dekah. Dia juga sebenarnya sudah bosan dengan persekitaran yang menekan ini. Dia mahu lekas dewasa. Dia mahu bebas dari belenggu dunia kanak-kanak yang tidak punya sebarang kuasa.

Saleha, Maimun, Badrul dan Talib bergelak tawa sama-sama. Melompat-lompat mereka gembira, membayangkan kehidupan yang lebih hidup dan bernyawa. Tidak suram seperti sekarang. Mengakhiri petang perpisahan itu, berpakat Badrul dan Talib hendak meraikan Saleha. Seekor ayam di dalam reban milik seorang penduduk kampung, dicuri senyap-senyap oleh mereka berdua.

“Petang ni kita panggang ayam!” Jerit Talib sambil menjulang ayam betina yang sudah diikat kedua-dua belah kakinya ke udara. Saleha, Maimun dan Badrul melonjak-lonjak suka. Sudah lama mereka tidak makan sedap-sedap. Bergegas Saleha dan Maimun mengumpul kayu-kayu kecil dan ranting-ranting kering sebagai bahan bakar. Batang mancis dinyalakan kemudiannya. Api hidup dengan mudah selepas itu. Sementara Badrul sudah membenamkan dua batang kayu ke tanah untuk dijadikan tempat memanggang. Sebatang kayu sedikit panjang yang sudah diruncingkan hujungnya menggunakan pisau lipat, dibaling ke arah Talib.

Talib dengan bersahaja menyambut kayu runcing itu lalu mencucuk hingga tembus belakang ayam itu hingga terkeluar hujung kayu yang tajam itu di batang leher ayam tersebut. Menggelepar ayam itu dalam keadaan kaki terikat dan nyawa masih dikandung badan. Darah merah meleleh-leleh keluar lalu ditampung Maimun dengan sebuah bekas.

Ayam itu dipanggang hidup-hidup. Saleha, Maimun dan Talib tersenyum lebar melihat bulu-bulu ayam itu luruh dan terbakar dimakan api. Keseronokan yang bagi mereka, lebih manis dan indah berbanding mendapat pakaian dan beg sekolah baru. Air liur Badrul sudah menjejeh, perutnya bertambah lapar!


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.