Pintu rumah itu dibuka kasar. Cepat-cepat Farhana menutup
pintu itu. Seluruh tubuhnya basah bermandi peluh. Dia menggigil ketakutan.
“Farhana…,” terdengar suara wanita memanggilnya lembut.
“Mana kau? Jomlah kita main bersama. Kau tak nak main dengan aku ke?”
Spontan Farhana menutup mulut. Nafasnya cuba ditahan agar
tidak didengari oleh orang yang memanggilnya tadi. dia takut. Benar-benar
takut. Air matanya mengalir laju.
“Farhana…!”
Gedegang!
“Argh!” Farhana terpelanting jauh ke belakang. Dia gagal mengawal
imbangannya apabila pintu ditendang kuat sehingga terbuka. Terduduk dia saat
melihat satu lembaga tiba-tiba muncul di muka pintu. Di luar, kilat sabung
menyabung. Menambahkan rasa gerun di hati Farhana.
“Nadia…,” suara Farhana bergetar hebat. Lembaga itu terus
menghampirinya. Sekilas, wajah lembaga itu kelihatan menerusi pantulan cahaya.
“Jangan bunuh aku, Nadia….”
“Siapa kata aku nak bunuh kau?” tanya Nadia cepat. “Aku cuma
nak main dengan kau je. Kenapa kau takut sangat?”
Senyuman Nadia sangat menakutkan Farhana. “Tolonglah, Nadia.
Janganlah apa-apakan aku. Anak-anak aku, Nadia….”
Nadia hanya diam membisu.
“Aku… aku akan ikut cakap kau. Aku janji. Tapi lepaskanlah
aku. Jangan apa-apakan aku…,” rayu Farhana lagi dalam tangisan.
“Kau nak ikut cakap aku?” bersinar-sinar mata Nadia. “Betul
ke ni? Kau tak bohong? Tak tipu aku?”
Farhana mengangguk lemah, kemudian menggeleng. Tindakannya
itu membuatkan Nadia berasa tertipu. Lantas tudung Farhana ditarik kuat
membuatkan dia menjerit kesakitan.
“Kau nak tipu aku?” Nadia bersuara keras. Pantas Farhan
menggeleng. “Aku ikut cakap kau. Tolonglah… lepaskan aku,” rintihnya dalam
kesakitan.
“Ha, macam tu la,” Nadia senyum. Sangat menakutkan Farhana.
Perlahan cengkaman dilepaskan. Kemudian Nadia mengusap pipi Farhana lembut.
“Kenapa nangis ni? Sakit kat mana?”
Farhana hanya diam sambil menahan esak tangis. Tidak mampu
dia untuk menjawab soalan Nadia itu.
“Kau tahu?” Nadia membetulkan duduknya. Bersila di atas
lantai, di sebelah Farhana. “Aku suka dengan kau. Kau baik. Tak macam
kawan-kawan kau yang lain. Kejam, busuk hati. Pentingkan diri sendiri!” bentak
Nadia. Farhana masih diam membisu.
“Diorang ingat dunia ni diorang yang punya!”
“Kau… kau yang bunuh diorang?” tanya Farhana,
sepatah-sepatah. Takut-takut. Mendengarkan itu, Nadia pandang wajah Farhana
tanpa perasaan.
*****
“Comelnya anak kau ni, Ana,” Razita tidak dapat
menyembunyikan perasaan terujanya apabila melihat bayi-bayi kecil itu
dibaringkan di atas tilam. “Aku nak dukung, boleh?”
“Dukunglah. Tapi larat ke kau nak angkat dua-dua?”tanya
Farhana separuh mengusik. Nyata usikan itu mengundang tawa besar Razita. Segera
Farhana membuntangkan matanya. Melihatkan itu, cepat-cepat Razita menutup
mulutnya, menahan tawa.
“Sorry.”
“Kau ni, Zita. Tak pernah berubah. Dari zaman sekolah dulu
sampai sekarang masih lagi suka gelak besar. Cuba la cover sikit gelak tu. Tak
laku karang, baru tahu,” Farhana senget bibir. Razita ketawa lagi namun tidak
sekuat tadi.
“Kau ni, Ana… cakap macam tu pulak. Kata-kata tu satu doa
tau. Tak kahwin la aku hingga mati nanti aku,” nada suara Razita seakan
merajuk. Tiba-tiba anak dalam dukungan ketawa kecil. Menarik perhatian mereka
berdua.
“Kau tengok tu. Budak kecil pun tahu betapa buruknya muka
kau kalau merajuk,” Farhana jelir lidah. Razita mendengus kecil.
“Ye la, ye la. Kau menang,” Razita akhirnya mengalah. “Tapi
tak sangka, kan? Dalam kita lima orang, kau yang kahwin dulu. Yang beranak
dulu. Zaman sekolah dulu, kau la yang paling tak laku. Tak ada orang nakkan kau
jadi makwe dia.”
Farhana gelak kecil. “Tu la, kau tak tahu. Masa sekolah tu,
aku simpan kuku. Aku pun tak tahu Abang Azad tu syok kat aku. Habis je diploma,
dia terus hantar rombongan meminang. Dan tara…..,” dia tunjuk anak dalam
dukungannya. “Sekali dua anak aku dapat.”
“Untungnya kau, Ana. Apapun, aku tumpeng bahagia untuk kau,”
Razita mengukir senyuman. “Lepas ni giliran siapa pula? Diana? Mahirah? Aku?
Watie?”
“Tak payah tunggu Watie. Dia dah cakap awal-awal lagi yang
dia tak nak ada komitmen dua tiga tahun ni. karier baru nak naik, kan.”
“Tak payah tunggu dia la macam tu,” Razita cium lembut anak
Farhana dalam dukungannya. Kemudian diletakkan di atas tilam dengan lembut.
“Eh, Watie bukan ada kat Dubai ke?”
“Dia dah balik dah minggu lepas. Tapi kejap je. Kalau tak
silap aku, esok atau lusa dia akan ke Beijing.”
“Beijing pula?” bulat mata Razita mendengarnya. “Untunglah
muka cantik. Dapat kerja pramugari.”
“Dah memang itu cita-cita dia. Dari zaman sekolah lagi dia
selalu cakap macam tu,” Farhana senyum. “Cita-cita kau? Macam mana pula?”
“Cita-cita aku…,” kata-kata Razita terhenti apabila
mendengar sesuatu dari televisyen. Gelagatnya disedari Farhana. “Kenapa?”
“Kejap. Kau tengok tu…,” jari Razita dituding ke arah peti
televisyen. Farhana terus memusatkan pandangannya pada siaran berita yang
dipaparkan.
“Seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak dua hari yang
lalu ditemui dengan kesan tikaman di dada. Mayat Nur Zawati Ramlan ditemui di
tempat pembuangan sampah Pangsapuri Sri Nilam…,” Farhana dan Razita saling
berpandangan.
“Watie!”
*****
“Terima kasih yea sudi datang ke majlis tahlil ni, Farhana.
Walaupun belum habis pantang, tapi masih gigih datang majlis ni. terima kasih
ya,” berulangkali ibu Watie mengucapkan terima kasih. Farhana hanya tersenyum
nipis mendengarnya.
“Taka pa, makcik. Saya dah lepas tempoh berpantang 44 hari
sebenarnya. Itu yang mak dan mak mertua saya izinkan. Cuma diorang tak bagi
bawa anak-anak keluar malam,” balas Farhana lembut. “Eh, lupa pula. Diorang kirim
salam.”
Perlahan ibu Watie menjawab salam tersebut. “Makcik nak
masuk dalam kejap. Nanti kalau kamu nak balik, bagitahu makcik ya,” ujarnya
sambil bangun dari duduknya. Farhana hanya menghantar langkah wanita itu dengan
pandangan matanya.
“Kau bila nak balik, Ana?” tanya Diana yang muncul tiba-tiba
membuatkan Farhana terkejut. Spontan dia mengurut dadanya. “Kau ni… aku ni baru
habis pantang. Anak-anak aku kecil lagi. Karang…!”
“Tak payah sambung ayat tu,” laju jari telunjuk Diana
terbang ke bibir Farhana. “Aku rasa aku dah boleh agak ayat kau seterusnya. Ye
la, kau kan ratu puisi. Dari zaman sekolah lagi.”
“Ingat lagi kau ek,” ujar Farhana sambil tersenyum. Diana
tersengih. “Kau tak jawab lagi soalan aku.”
“Yang mana?” Farhana garu kepala.
“Muda-muda lagi dah nyanyuk,” Diana mendengus. “Aku tanya,
bila kau nak balik? Dah malam ni. Kau tu baru je habis pantang.”
“Nantilah dulu. Tu…,” Farhana menjuihkan mulutnya ke arah
Mahirah yang sedang bercakap di telefon. “Dengan pakwe mana pulak kali ni?”
“Entahlah,” Diana membetulkan duduknya. “Tapi aku tak rasa
dia tengah cakap dengan pakwe dia. Serius semacam je.”
“Tak boleh jangka juga, Diana. Sebab pakwe dia sebelum ni,
polis,” sampuk Razita yang baru muncul dari dalam rumah. “Ingat tak pakwe lama
dia, Kamal yang psiko tu? Kacau dia sampai dia buat laporan polis? Si Mahirah
tu pergi bercinta dengan polis yang uruskan dia tu la.”
“Biar betul!” ternganga Diana dan Farhana mendengar
kata-kata itu. Razita angkat kening, mengesahkan ceritanya tadi. farhana gelak
kecil. “Sempat lagi!”
“Mahirah ni bilalah nak berubah,” keluh Diana. “Dari zaman
sekolah lagi dia buat perangai macam tu. Tukar pakwe macam tukar baju.”
“Nanti-nanti dia berubah la tu,” balas Farhana. Pandangannya
masih ditumpukan kepada Mahirah yang berdiri tidak jauh daripada mereka. “Bila
dia jumpa ‘soulmate’ dia.”
“Harap-harap secepat mungkin la,” Diana senget bibir. “Aku
risau sebenarnya bila dia rajin tambah koleksi pakwe ni. kalau dapat yang okey,
tak apa. Kalau dapat macam Kamal tu, macam mana? Nanti kau cuba nasihatkan dia,
Zita.”
“Okey,” jawab Razita acuh tidak acuh. Masing-masing
membetulkan duduknya apabila Mahirah berjalan menghampiri mereka.
“Beb, we got an issue,” kata Mahirah sebelum sempat mereka
membuka mulut.
“What?” tanya Razita, tidak faham.
“Fauzi telefon tadi. dia suruh kita pergi balai esok,” jawab
Mahirah.
“Tapi kenapa?” tanya Farhana pelik. Mahirah angkat bahu.
Masing-masing berpandangan sesama sendiri.
*****
“Mayat Nur Zawati ditemui dengan
kesan tikaman di dada,” Inspektor Fauzi menayangkan slaid gambar mayat Watie di
tempat pembuangan sampah. Gambar-gambar itu yang tidak diedit membuatkan tekak
mereka merasa loya. Razita tidak dapat menahan rasa menyebabkan dia berlari ke
tandas.
“Itu kami tahu. Maklumat ni semua
dah keluar pun dalam berita,” Diana tongkat dagu. “Tapi apa kena mengena dengan
kami?”
Inspektor Fauzi tidak menjawab
soalan Diana itu. Sebaliknya dia meneruskan tayangan slaid. “Selain itu,
terdapat beberapa barang yang ditemui di badan mangsa. Dan ini…,” Inspektor
Fauzi menghalakan penunjuk lasernya ke arah skrin. “Mengaitkan kes ini dengan
kalian.”
Diana terkedu. Farhana tergamam.
Mata Mahirah membulat. Masing-masing tidak percaya dengan apa yang dilihat.
“Maaf,” Razita masuk kembali
sambil menyapu mulutnya. “Did I miss something?” tanyanya sebelum matanya
tertancap pada skrin. “Eh, ini….!”
“Gambar kita masa sekolah dulu,”
sambung Mahirah. “Tapi ini tak membawa maksud apa-apa, kan? I mean, kami bukan
yang disyaki, kan?”
Inspektor Fauzi senyum. “Bukan.
Tapi ini…,” petunjuk laser dihalakan ke wajah Watie yang sudah diconteng.
“Mungkin membawa maksud yang berbeza.”
“Maksud tuan?” tanya Farhana.
“Saya risau… kalian sedang
diperhatikan. Salah seorang dari kalian… mungkin mangsa seterusnya.”
“Mengarut!” bentak Mahirah lalu
dia bengkit. “Takkan kami ni pula yang nak dibunuh? You jangan macam-macam,
Fauzi. Jangan sebab I tinggalkan you dulu, you nak buat cerita bukan-bukan!”
“I’m professional, Mahirah,”
suara Inspektor Fauzi masih serius seperti tadi. “I tak pernah campur adukkan
kerja dengan peribadi. Dan I tak main-main. Lebih-lebih lagi melibatkan nyawa.”
Mahirah menggeleng. “You ni lebih
sesuai jadi penulis skrip. Bukannya polis,” ujarnya lalu keluar dari bilik itu.
Panggilan dari Diana dan Farhana tidak dipedulikan.
“Inspektor, betul ke semua ni?”
tanya Diana, matanya tepat memandang lelaki itu. “Apa bukti you yang menyokong
teori ni?”
“Setakat ni, hanya gambar ni.
Tapi I akan siasat,” jawab Inspektor Fauzi. “Sebab tu I panggil kalian ke sini.
I nak tanya, kalian ada bermusuh dengan sesiapa sebelum ni?”
“Tak ada,” jawab Diana, yakin.
Razita sudah tidak mampu berkata apa-apa lagi. Farhana diam, memikirkan
sesuatu.
“Atau ada sesiapa yang berdendam
dengan kalian?” tanya Inspektor Fauzi lagi. Diana diam. Dahinya berkerut.
“Mana la kami tahu,” Diana angkat
bahu.
“Dee,” panggil Farhana. “Kalau
nak cerita pasal dendam, ramai je yang boleh berdendam dengan kita.”
“Maksud kau?”
“Kau dah lupa macam mana perangai
kita zaman sekolah dulu?” soalan Diana dijawab dengan soalan oleh Farhana.
“Maksud kau, orang yang bunuh
Watie adalah orang yang berdendam dengan kita dari zaman sekolah? Gitu?”
akhirnya Razita bersuara. “Tapi siapa?”
“Tuan!” seorang anggota polis
meluru masuk sebelum sempat Diana bersuara. “Cik Mahirah, dia kena langgar lari
di luar balai ini, Tuan!”
“Apa??” semua yang ada di bilik
mesyuarat itu terkejut besar.
*****
“Cik Mahirah keluar dalam keadaan marah-marah tadi, Tuan.
Saya dan anggota lain tidak sempat bertanya apa-apa. Dia terus keluar macam tu
je,” ujar anggota polis itu memberi penjelasan. “Tak lama lepas dia keluar,
kami terdengar bunyi dentuman kuat. Bila kami keluar, Cik Mahirah dah
menggelupur di atas jalan.”
Inspektor Fauzi mengangguk perlahan. “Awak tahu kenderaan apa
yang langgar dia?”
“Ada saksi nampak dia dilanggar sebuah kereta. Ia dipandu
sangat laju sampaikan Cik Mahirah melambung tinggi apabila dilanggar,” jelas
anggota polis itu lagi. “Model kereta dan nombor plat kereta itu dah dicatat
dalam fail ni, tuan. Saya dah semak, nombor plat tu palsu.”
“Ada saksi yang nampak siapa yang pandu kereta tu?” tanya
Inspektor Fauzi sambil membelek fail yang diberikan. Anggota polis itu
menggeleng.
“Baik,” Inspektor Fauzi menyerahkan semula fail kepada
anggota polis itu. “Awak teruskan siasatan dan laporkan pada saya.”
“Baik, tuan!” anggota polis itu tabik hormat lalu meminta
diri. Inspektor Fauzi hanya menghantar langkah anak buahnya itu sehingga dia
hilang dari pandangan. Seketika kemudian, dia mengeluh kecil. Kemudian dia
mengatur langkah ke wad yang menempatkan Mahirah. Farhana, Diana dan Razita
turut berada di situ. Masing-masing diam seribu bahasa.
“Ehem,” suara Inspektor Fauzi memecah kesunyian, membuatkan
semua mata tertumpu ke arahnya. Nafas ditarik perlahan. “Kita perlu
berbincang.”
Mendengarkan itu, masing-masing keluar dari bilik wad itu
tanpa sepatah kata. Sebaik semuanya berada agak jauh dari bilik Mahirah,
barulah Inspektor Fauzi bersuara. “Saya rasa apa yang berlaku sekarang ni
menguatkan teori yang saya katakan siang tadi.”
“Siapa yang berdendam dengan kita sampai nak bunuh?” tanya
Diana kepada dirinya sendiri. “Siapa yang rasa terancam sangat dengan kita
sampai nak lenyapkan kita semua?”
“Dee, kau dah lupa ke kita macam mana masa sekolah dulu?”
tanya Farhana perlahan. “Muka-muka kita ni yang jadi favourite cikgu-cikgu.
Bukan sebab kita ni pandai, tapi sebab selalu sangat buli orang!”
Kata-kata Farhana itu membuatkan Diana berfikir sendiri.
“Tapi itukan zaman sekolah. Zaman kita masih mentah dan tak tahu apa-apa. Zaman
huha huha!”
“Pada kita, mungkin iya. Tapi ada yang berdendam dengan kita
sampai sekarang, mana kita tahu? Lagipun masa tu, kita buli diorang dengan cara
yang tak disangka! Cikgu pun terkejut bila diorang dapat tahu!”
“Tapi Ana, dah 10 tahun kot semua ni berlalu. Takkan…!”
“Nanti dulu,” potong Inspektor Fauzi sebelum sempat Diana
berkata-kata. “Apa korang kata tadi? Korang kaki buli?”
Dalam keterpaksaan, Farhana mengangguk. Razita sudah pandang
tempat lain. Diana sudah tunduk, malu ingin memandang wajah lelaki itu.
“Buli…,” Inspektor Fauzi menggosok dagunya yang bersih.
“Boleh menyebabkan seseorang itu berdendam. Mangsa buli boleh berdendam dan
membalas dendam dengan cara tersendiri tanpa diketahui oleh si pembuli. Dendam
ini boleh saja tersimpan selama 10, 20 atau mungkin 30 tahun dan terbalas
apabila mangsa buli itu benar-benar bersedia untuk melakukannya.”
“Jadi, kami ni mangsa kepada dendam mangsa buli kami
sendiri?” Razita telan liur. “Tu la… aku dah cakap, jangan buli orang teruk
sangat. Nanti kita yang susah. Tapi korang tak percaya.”
“Eleh, kau pun sama juga kuat buli. Kata orang….”
“Sudahlah,” sampuk Farhana. “Dalam keadaan sekarang ni kita
kena berusaha untuk cari jalan penyelesaian. Bukan salahkan sesama sendiri.”
Diana dan Razita diam mendengar kata-kata Farhana. Wanita
itu berjalan perlahan menghampiri tingkap. “Tak ramai yang kita buli dulu.
Mesti orang ni salah seorang daripada mereka.”
“Sebut pasal tu…,” Inspektor Fauzi kembali bersuara. “Ada
siapa-siapa yang kalian syak? Mungkin kita boleh soal siasat dia.”
Farhana, Diana dan Razita memandang sesama sendiri. Kemudian
mereka memandang Inspektor Fauzi serentak. Seakan mereka telah menemui jawapan
soalan tadi.
“Nadia!”
*****
“Nah, makan ni. Makan!” Watie tanpa belas kasihan menyumbat
stokin itu ke mulut pelajar perempuan itu. Mahirah dan Razita bertindak
memegang tangannya apabila dia meronta-ronta ingin melepaskan diri. Diana hanya
diam, memerhatikan mereka tanpa niat untuk membantu sedikitpun.
“Ini balasannya sebab kau tak dengar cakap aku!”
“Korang buat apa ni?” suara Farhana yang muncul tiba-tiba,
membuatkan semua yang berada di situ terkejut. Semakin kuat rontaan pelajar
perempuan itu membuat Watie berang. “Kau ni, Ana!”
“Aku tanya je,” suara Farhana mulai merendah apabila dia
dapat membaca tindakan rakan-rakannya itu. Dia menggeleng perlahan. “Bukan dia
sorang yang bagitahu cikgu pasal kita.”
Mati tindakan Watie. Bingkas dia bangkit, menghampiri
Farhana. “Ada lagi? Siapa? Kau tahu siapa dia?”
Farhana angguk. “Tu…,” ujarnya sambil menunjukkan ke lorong
pejalan kaki. Ada seorang pelajar perempuan sedang berjalan menghampiri mereka.
Watie pandang semula Farhana, meminta penjelasan.
“Aku yang minta dia datang ke mari. Aku cakap ada benda yang
aku nak bincang. Selebihnya terpulang pada kau,” ujar Farhana, mengundang
senyum di bibir Watie. “Good girl! Mahirah! Gunting!”
“Beres!” jawab Mahirah dengan senyuman yang tersungging di
bibir. Ditarik rambut pelajar tadi sehingga dia menjerit kesakitan. “Kau jangan
ingat kau dah lepas!”
“Panggil dia, Ana,” arah Watie. Farhana angguk. “Nadia!”
“Iya!” sahut pelajar itu dengan senyuman manis di bibir.
Namun senyumannya mati apabila melihat kelibat Watie dan rakan-rakannya di
belakang Farhana. Dia berpusing, ingin berpatah balik namun…
“Nak pergi mana?” tanya Diana yang tiba-tiba muncul di
belakang Nadia. Gadis itu terkejut, dia sudah terkepung. Diana pantas merampas
buku-buku yang berada dalam pegangan Nadia.
“Janganlah apa-apakan aku…,” rayu Nadia. Suaranya mendayu-dayu,
namun sedikitpun tidak memberikan kesan pada mereka.
“Kenapa kau takut sangat ni? Kau ada buat salah dengan aku
ke? Dengan kitorang ni?” tanya Diana, sedikit sinis. Nadia makin kecut perut.
Dia terus diheret ke satu tempat yang jauh dari pandangan orang ramai.
“Maafkan aku…. Maafkan aku…,” berulangkali Nadia memohon
maaf. Namun masing-masing memekakkan telinga. Matanya mencari mata Farhana
namun tidak dipedulikan.
“Kau minta maaf?” barulah Razita mendengar kata-kata Nadia
tadi. “Kenapa? Kau ada buat salah ke? Cuba kau cerita sikit, apa salah kau
dengan kitorang sampai kau beria-ia nak minta maaf dengan kitorang ni.”
Nadia diam, tidak menjawab pertanyaan Razita tadi. Hanya
esakj tangis yang kedengaran. Basah wajahnya dek kerana air mata.
“Kesiannya dia…. Tak ada kain nak lap air mata dia,” Watie
mula menunjukkan taringnya. “”Ana, kau ada tisu tak?”
“Tak ada,” jawab Farhana perlahan. Namun cepat Diana
mencelah, “Kita ni mana la simpan tisu, Watie oi. Stokin nak?”
“Cadangan yang bagus!” Watie senyum lebar. “Stokin siapa
yang nak disedekahkan ni?” Diana tanpa banyak bicara, terus menanggalkan kasut
dan stokinnya. Melihatkan itu, tangisan Nadia bertambah kuat.
“Tolonglah aku, Watie. Tolonglah… aku janji aku tak buat
lagi!”
“Kau buat apa?” jerkah Watie. Dagu Nadia dicekak kuat. “Kau
cakap dengan aku, kau buat apa?” stoking milik Diana ditenyeh ke muka Nadia.
Menggelupur gadis itu cuba untuk melepaskan diri. Razita, Diana dan Mahirah
hanya ketawa melihat situasi itu.
“Lain kali, jangan cari pasal dengan kitorang! Gunting!”
Mahirah segera menghulurkan gunting di tangannya. Tanpa kata, Watie terus
menggunting tudung yang dipakai Nadia. Bertambah kuat tangisan dan rayuan
Nadia, meminta Watie menghentikan tindakannya.
“Lain kali, kalau kau terasa nak cari pasal dengan aku, kau
akan ingat ni!” Watie kemudiannya menggenggam rambut Nadia dan menyembamkannya
ke atas jalan.
*****
“Nadia…,” Farhana sebut nama itu sambil memandang Diana.
“Mungkin dia yang berdendam dengan kita. Teruk juga kita buli dia dulu. Sampai
dia pindah sekolah sebab tak tahan dengan kita.”
“Pindah sekolah?” tanya Farhana. “Apa yang aku dengar, lain
pula ceritanya. Bukan pindah sekolah, tapi jauh lebih teruk daripada itu.”
“Apa dia?”
“Dia masuk hospital gila!”
“Takkanlah?” Razita terkejut besar. “Bukan berat sangat pun
kita buli dia. Takkan sampai tahap tu?”
“Bukan berat sangat?” tanya Farhana kembali. Nada suaranya
sedikit tinggi. “Apa je yang kita tak buat dengan dia? Gunting kain sekolah
dia, simbah dia dengan air longkang, paksa dia cium stokin kita yang busuk tu….
dan kau anggap semua tu tak berat sangat?”
Razita diam. Nyata dia tidak mampu mematahkan kata-kata
Farhana ketika ini. Dia memandang Diana namun pandangan mata Diana tertuju ke
luar tingkap. Entah apa yang difikirkannya ketika ini.
“So sekarang ni kita nak buat apa? Takkan kita nak mengaku
kat Inspektor Fauzi yang dulu kita ni kaki buli?” tanya Razita, buntu. Dia
menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Kita dah pun mengaku tadi, Zita,” Farhana mengeluh
perlahan. “Sekarang ni, kita perlu berhati-hati. Mangsa seterusnya adalah
antara kita bertiga.”
“Eee, takutnya,” Razita peluk tubuh. “Dia ni dah tak ada
kerja lain ke yang nak dibuat selain buru kita?”
“Dah kita yang buat dia dulu, dia balas la balik,” jawab
Farhana selamba. “Lagipun, seseorang itu sanggup lakukan apa sahaja demi
melunaskan dendamnya.”
“Bukankah maaf-memaafkan itu satu perkara yang mulia?”
“Bukan semua orang berfikiran macam tu, Zita,” Farhana sedar
Diana tidak bersuara sedari tadi. “Kau okey tak ni, Dee?”
Diana bangun. Wajah Farhana dan Razita dipandang silih
berganti. “Aku rasa, sekarang ni, lebih baik kita jaga diri masing-masing.
Terutamanya kau, Ana. Kau masih ada anak kecil yang perlukan kau.”
“Kau nak pergi mana ni?” tanya Razita apabila Diana mula
melangkah pergi. “Habis tu, aku ni macam mana pula?”
“Kan aku cakap tadi, jaga diri masing-masing,” Diana
mendengus. “Aku pergi dulu.”
“Dee! Nantilah dulu! Dee!” panggilan Razita langsung tidak
dipedulikan oleh Diana. Dia terus melangkah keluar dari hospital. Langkahnya
terhenti apabila tiba di perhentian bas. Di sana, dia tidak mampu bertahan
lagi. Airmatanya menitis tanpa henti. Terhentjut-henjut bahunya menahan tangis.
“Cik, awak tak apa-apa?” terdengar satu suara wanita di
belakang Diana lantas dia menoleh. Sekelip mata, sebilah pisau tertanam dalam
perutnya. Diana tidak sempat berbuat apa-apa. Buntang matanya memandang wajah
penyerangnya. “Kau…!”
Wanita itu memandangnya sinis. “Tak sangka, kan?”
Perlahan Diana tumbang di hadapan wanita itu. Nafasnya turun
naik, kesakitan yang dialami semakin kuat dirasakan. Wanita itu menyindir dalam
senyuman.
“Sampaikan salam aku untuk Watie dan Mahirah,” ucapnya.
Diana tidak mampu bersuara lagi. Matanya mulai kuyu dan akhirnya tertutup
rapat.
*****
“Dee!” Razita menerpa ke arah jenazah Diana yang terbujur
kaku di ruang tamu. Jenazah yang ditutupi dengan kain batik lepas itu dibuka
perlahan. Razita mengesat matanya perlahan apabila melihat wajah Diana yang
bersih itu. Farhana yang baru tiba dengan mengendong anak-anak kembarnya tidak
dipedulikan.
Tanpa kata, Farhana mengambil surah Yassin yang terletak di
dalam bakul dan menyertai jemaah membacanya. Anak-anak kembarnya bagai
mengerti, hanya diam sepanjang ibunya membacakan ayat-ayat suci itu.
Selepas bacaan Yassin berakhir, jenazah Diana dibawa ke
ruang belakang untuk dimandikan. Razita meminta izin untuk sama-sama memandikan
dan mengkafankannya. Sesudah itu, Razita mengiringi jenazah Diana ke tanah
perkuburan. Inspektor Fauzi sampai bebrapa minit setelah jenazah Diana sudah
bergerak ke tanah perkuburan.
“Farhana, awak okey?” tanya Inspektor Fauzi setelah
bersalaman dengan orang ramai yang masih ada di rumah Diana, termasuklah suami
Farhana.
Wanita itu mengangguk perlahan. “Seorang demi seorang….
Kawan saya mati dalam keadaan yang sangat menyayat hati. Watie, Mahirah, dan
sekarang Diana…. Lepas ni siapa?”
Inspektor Fauzi berdehem seketika. “Farhana, saya dah semak
dengan pihak hospital. Dan saya dapati, Nadia sudah discaj dari hospital sakit
jiwa,” lambat-lambat Inspektor Fauzi menjelaskan. Farhana terkejut. “Betul ke?”
Inspektor Fauzi angguk. “Dalam situasi sekarang ni, saya tak
ada pilihan lain. Saya terpaksa meletakkan awak dan Razita dalam perlindungan
polis. Saya khuatir dengan keselamatan kamu berdua."
“Buatlah apa yang tuan rasa itu yang sepatutnya. Saya dah
tak boleh fikir dah,” Farhana mengesat matanya untuk kesekian kalinya.
Anak-anak kembarnya dikendong lembut. “Saya cuma risaukan anak-anak saya je.”
“Insya Allah, kami akan lakukan yang terbaik,” janji
Inspektor Fauzi. Seketika kemudian rombongan mengiringi jenazah Diana kembali.
Namun mereka agak tergesa-gesa. Mengundang kehairanan di hati mereka yang
berada di rumah.
“Hah, polis ada kat sini. Baguslah!”
“Kenapa ni?”
“Kawan Diana…. Razita. Dia hilang!”
“Apa?” inspektor Fauzi terkejut. Hampir terlepas pegangan
anak-anak dari pegangan Farhana.
*****
Nadia menunggu di ruang legar itu dengan penuh kesabaran.
Sejak disahkan sihat daripada masalah kesihatan mental sejak seminggu lalu,
keluarganya berkeras ingin menghantarnya ke luar negara. Dia diberikan beberapa
pilihan, sama ada untuk menyambung pelajaran atau bekerja di sana. Dan Nadia
memilih untuk berehat seketika sebelum menyambung pelajaran.
Apabila keseorangan, fikirannya mulai menerawang memikirkan
kehidupannya 10 tahun yang lalu, ketika dia masih bergelar pelajar sekolah. Dia
tiada kawan ketika zaman remajanya. Yang ada hanyalah kenangan pahit yang
menghantuinya sehingga kini.
Kenangan… wajah-wajah lima sekawan itu menerjah minda.
Senyuman yang menipis, mulai mati. Memori hitam yang terpahat bersama mereka
makin mengganggu fikirannya.
“Aku takkan lupakan korang. Sebab korang, aku jadi macam ni.
Sebab korang, aku dianggap gila oleh semua orang. Aku takkan lupakan korang.
Sampai bila-bila!”
Sejurus, Nadia menghembus nafas halus. Cuba mengukir
senyuman. Kata-kata Wahida, jururawat yang sentiasa bersamanya ketika di
hospital sakit jiwa kembali terdengar di telinga.
"Saya percaya... esok sudah tidak boleh mengubah apa yang
berlaku hari ini, tetapi hari ini masih boleh mengubah apa yang akan terjadi
pada hari esok."
"Meminta maaf tidak menjadikan kita hina. Memberi maaf
tidak menjadikan kita bangga. Tapi ia akan menjadikan hidup kita lebih tenang
dan bahagia."
"Kebencian hanya merugikan diri sendiri, tersenyumlah
ketika disakiti. Hati tanpa benci membentuk jiwa yang tegar dan damai."
Senyuman Nadia semakin melebar. Apa agaknya khabar Kak
Wahida yea? Mesti dia sedang berbahagia bersama suami tercinta. Maklumlah,
pengantin baru.
Pengumuman tentang penerbangan seterusnya menyedarkan Nadia
dari lamunan. Dengan cermat dia menarik bagasinya, apabila langkahnya dihalang
oleh beberapa orang anggota polis.
“Cik Nurul Nadia?”
“Ya, saya. Ada apa?”
“Kami dari Bukit Aman. Cik dikehendaki ikut kami ke balai
untuk membantu kes pembunuhan Watie, Mahirah dan Diana.”
Terlepas bagasi dari pegangan tangan Nadia mendengar
kata-kata anggota polis itu.
*****
“Nadia sudah diberkas pagi tadi, ketika dia sedang menunggu
penerbangan ke Sydney. Dia sedang disoal siasat oleh pihak polis,” beritahu
Inspektor Fauzi di hujung talian. “Ada apa-apa berita tentang Razita?”
“Tak ada, tuan,” jawab Farhana, lemah. “Saya risau. Takut
sangat nasib Razita akan jadi macam yang lain. Saya takut dia…!”
“Puan Farhana,” panggil Inspektor Fauzi, sekaligus memotong
kata-kata wanita itu. “Dalam apa jua situasi, kita harus bersikap optimis,
terutamanya dalam keadaan sekarang ni.”
“Saya dah cuba, tapi tak boleh,” nada suara Farhana mula
berubah. “Kalau Razita mati, bermakna saya mangsa terakhir. Anak-anak saya
masih kecil, tuan. Baru nak lihat dunia. Kalau terjadi sesuatu kat saya, apa
nasib diorang?”
“Farhana…,” Inspektor Fauzi cuba menggunakan pendekatan
lain. “Apa kata awak pergi bercuti? Bawa keluarga awak. Tenangkan fikiran awak
yang serabut tu. awak jangan risau tentang hal di sini. Saya akan uruskan
semuanya. Apa-apa hal, saya akan hubungi awak.”
“Macam mana saya nak tenang kalau Razita masih hilang?” nada
suara Farhana berubah lagi. Menarik perhatian Azad yang baru masuk ke bilik.
Tanpa kata, dia menghampiri isterinya itu dan mengurut bahunya perlahan.
Terpujuk sedikit hati Farhana dengan urutan itu.
“Baiklah, tuan. Saya akan ikut cakap tuan,” Farhana akhirnya
mengalah. Inspektor Fauzi menghela nafas lega.
“Nanti bagitahu ke mana lokasi percutian awak ya? Senang
untuk kami hubungi kalau ada apa-apa,” nasihat Fauzi. Kemudian setelah berbual
basa-basi, Farhana mematikan talian. Wajah Azad dipandang lembut.
“Abang…,” panggilnya
lemah. “Saya dah tak tahu nak buat apa.”
Azad senyum. Bahu isterinya diusap perlahan. “Berdoalah.”
*****
Farhana memandu keretanya dengan cermat apabila keluar dari
kawasan lebuhraya. Waktu petang begini, ramai orang yang berpusu-pusu pulang
dari tempat kerja. Jalan raya pun akan menjadi sesak dengan kenderaan yang
pelbagai saiz dan gaya.
Farhana tidak peduli itu semua. Dia hanya mahu pulang ke
rumah. Kalau dulu di zaman bujang, pasti panjang langkah kakinya merayau entah
ke mana selepas waktu kerja. Kebiasaan itu ditinggalkan terus setelah bergelar
ibu. Tambah-tambah pula dengan situasi tegang sekarang ini.
Sudah tiga minggu, Razita masih belum ditemui. Farhana makin
resah, khuatir peluang untuknya bertemu dengan Razita dalam keadaan dia masih
hidup, tipis. Nadia pula, dibebaskan tanpa syarat setelah siasatan mendapati
dia mempunyai alibi dalam ketiga-tiga kes pembunuhan rakan-rakan Farhana.
Mengenangkan itu, Farhana mengeluh halus. Fikirannya
berputar ligat. Kalau bukan Nadia yang bunuh diorang semua, siapa? Fikirnya.
Sretttttt!!!!!!!!
“Argh!!!” nyaring jeritannya apabila keretanya dipintas
sebuah pacuan empat roda. Mati terus lamunannya. Tangannya yang memegang
stereng menggeletar hebat. Apatah lagi apabila melihat kelibat seorang wanita
keluar dari pacuan empat roda itu. Farhana kecut perut. Dia kenal wanita itu.
“Nadia!”
“Kau keluar! Sekarang juga!” Nadia bersuara kasar. Laju
Farhana geleng kepala. Tindakan itu buat Nadia tambah berang.
“Keluar! Kalau kau nak selamat, keluar sekarang!” bentak
Nadia lagi. Kali ini lebih keras. Terkocoh-kocoh Farhana cuba keluar dari
kereta. Sebaik keluar, Nadia segera menangkap lengan wanita itu. Dia pantas
berbisik di telinga, “Jangan cuba jerit kalau nak selamat.”
Farhana angguk. Dia hanya membiarkan Nadia menutup matanya.
Dia pasrah dengan segala tindak tanduknya. Namun sempat dia mengaktifkan
sesuatu di telefon pintarnya. Segera disorok dalam kocek seluar.
*****
“Kau… kau yang bunuh diorang?” tanya Farhana,
sepatah-sepatah. Takut-takut. Mendengarkan itu, Nadia pandang wajah Farhana
tanpa perasaan.
“Betul ke?” Farhana bertanya lagi. Nadia ketawa kecil.
Menambahkan rasa gerun di hati Farhana.
“Kau rasa aku yang bunuh diorang ke?” tanya Nadia sebaik
tawanya reda. Dia geleng kepala perlahan lalu membetulkan duduknya.
“Er… kau ada motif.”
“Memang,” jawab Nadia, nada suaranya mula berubah serius.
“Tapi aku tak sekejam itu. Berada dalam hospital gila tu, bukan hanya mental
aku yang dirawat, tapi juga hati.”
Farhana kerut dahi. “Maksud kau? Aku tak faham.”
“Kat sana, aku jumpa sorang jururawat ni. Namanya Wahida.
Dia yang banyak beri aku semangat untuk terus hidup tanpa dendam. Mulanya
memang sukar, tapi dia tak putus asa. Akhirnya, inilah aku. Hidup tanpa dendam,
kan lebih indah?”
“Tapi, diorang semua mati…!”
“Bukan sebab aku,” pantas Nadia memotong ayat Farhana.
“Watie dan Mahirah mati, masa tu aku belum pun keluar dari hospital. Tapi aku
nampak siapa yang bunuh Diana.”
“Siapa?” tanya Farhana laju. Tidak sabar ingin mengetahui
siapa yang telah membuatkan hidup mereka huru hara ini.
“Kau takkan percaya, Farhana. Percayalah cakap aku,” suara
Nadia merendah. Seakan ragu ingin menyatakan perkara sebenarnya.
“Cakaplah Nadia, siapa dia. Ini boleh bersihkan nama kau,”
pujuk Farhana lembut. Di luar hujan masih menggila.
“Dia…!”
Gedegang!
Tiba-tiba pintu ditendang kuat. Farhana dan Nadia terkejut.
Laju degupan jantung masing-masing apabila melihat satu lembaga hitam berdiri
di muka pintu. Namun sebentar kemudian Nadia tiba-tiba menjadi berani.
“Kau nak bunuh kami pula?” Nadia bersuara lantang.
“Patutnya kau tak dibebaskan polis haritu! Kau hanya
menyusahkan orang!” lembaga hitam itu bersuara keras. Farhana terkejut. Suara
itu…
“Aku takkan biarkan kau bunuh Farhana!”
“Kau ingat kau boleh halang aku? Dalam mimpi pun, jangan
harap!”
“Razita?” suara Farhana mengalih perhatian mereka berdua.
Lembaga itu mendengus kuat, lalu menapak beberapa langkah ke hadapan. Sejurus,
wajahnya terlihat menerusi pantulan cahaya.
“Kau!”
“Apa khabar, Farhana?” Razita bersuara sinis. “Terkejut?”
“Tapi kenapa?” tanya Farhana lirih. Air matanya mengalir
laju. “Diorang tu semua kawan kau, kot! Kita kawan dah lama. Kenapa?”
“Kau ingat aku nak kawan dengan diorang tu kenapa? Kau ingat
aku ikut je cakap diorang tu untuk apa? Untuk aku kesan semua kelemahan
diorang! Kalau tak, dendam aku takkan terbalas!” suara Razita bergema di dalam
rumah tinggal itu.
“Dan kau…,” Razita merapati Farhana yang ketakutan. “Kau
ingat kau boleh lepas dengan semua tindakan kau? Kau pancing semua mangsa untuk
dibuli oleh diorang semua. Kau lupa?”
Razita senyum. Sangat menakutkan Farhana.
“Dan kau rampas Azad dari aku!”
Farhana terkejut. Razita ada hati dengan suaminya? “Kau
cintakan Abang Azad?”
“Selama ni aku cuba dapatkan perhatian dia, cuba nak
bagitahu yang aku cintakan dia. Tapi akhirnya dia pilih kau. Kurang ajar!”
Razita genggam erat pisau di tangannya lalu diangkat tinggi. Terjerit Farhana
melihat tindakan Razita itu.
“Kau memang patut mati!”
“Argh!!!!!” Farhana menjerit nyaring. Spontan Nadia bangkit
dan cuba merampas pisau itu dari tangan Razita. Berjaya! Nadia segera membaling
pisau itu jauh-jauh.
Razita senyum sinis. “Kau ingat aku tak ada back-up?”
sebilah pisau dikeluarkan dari poket dan terus dibenamkan ke tubuh Nadia.
“Ergh!”
“Nadia!!!”
*****
Bacaan Yassin telah lama tamat. Orang ramai telah mula
pulang ke rumah masing-masing. Farhana masih setia di kuburan itu. Air matanya
menitis perlahan.
Siapa sangka… Nadia yang disangka berdendam dengan mereka
sanggup bergadai nyawa menyelamatkannya. Dan siapa duga, Razita yang baik
dengannya, rupanya menyimpan dendam terhadap rakan-rakannya sendiri.
“Sayang…,” terasa bahunya disentuh lembut. Perlahan Farhana
menoleh dan membalas senyuman Azad.
“Abang, Ana minta maaf…,” suara Farhana kedengaran hiba.
Azad menggosok lembut bahu isterinya itu.
“Sayang tak salah apapun dengan Abang,” Azad bersuara
lembut. “Jom. Inspektor Fauzi dah tunggu tu.”
Perlahan dia bangun dari duduknya. Dia hanya melihat Azad
menggulung tikar yang menjadi alas duduknya. Kemudian mereka beriringan ke tepi
jalan, di mana Inspektor Fauzi berdiri sambil memandang mereka.
“Saya minta maaf, Farhana.”
“Tuan tak salah pun,” jawab Farhana, lembut. “Teori Tuan
betul. Cuma orangnya…”
Suasana hening seketika.
“Oh, lupa saya nak cakap. Nadia…. Alhamdulilah, keadaannya
semakin stabil,” beritahu Inspektor Fauzi. Farhana senyum nipis, lalu memandang
wajah Azad.
Bagaikan memahami isyarat isterinya itu, Azad angguk. “Nanti
kita pergi jenguk dia ya, sayang.” Farhana senyum, lalu memeluk erat Azad
sebagai tanda terima kasih.
“Biar saya bawa kamu ke sana. Lagipun, saya pun nak jumpa
juga Nadia tu,” ujar Inspektor Fauzi. Azad hanya angguk tanda setuju. Mereka
baru ingin masuk ke dalam kereta apabila telefon pintar Inspektor Fauzi berdering.
“Saya bercakap. Apa?” nada suara lelaki itu yang sedikit
tinggi menarik perhatian mereka suami isteri. Masing-masing sabar menunggu
sehingga Inspektor Fauzi menamatkan panggilannya.
“Ada apa?”
“Razita… dia bunuh diri dalam lokap,” beritahu Inspektor
Fauzi, lambat-lambat. Azad beristighfar panjang. Sebentar kemudian dia
merasakan tubuh isterinya semakin berat.
“Farhana!”
TAMAT