DALANG
“Sari Berita Utama. Seorang wanita ditemui mati dalam
keadaan yang aneh. Seluruh tubuh badannya keras seperti patung. Pada mulanya
dia ditemui oleh pekerja DBKL di kawasan longgokan sampah di pinggir ibu kota
pada jam 7 pagi tadi dan menganggap ia adalah patung rosak dari kedai
berdekatan. Namun apabila diperiksa, nyata ia adalah mayat seorang wanita.
Mayat wanita itu kini berada di hospital untuk proses bedah siasat dan
pengecaman. Kepada sesiapa yang kehilangan ahli keluarga. Diminta segera menghubungi
nombor yang tertera di kaca televisyen anda.”
Dahlia yang sedang menonton berita tersebut terkejut.
Kini dia pasti, bukan dia seorang saja mempunyai kebolehan paranormal itu. Ada
lagi manusia lain yang mempunyai kuasa deria keenam sepertinya. Dahlia tahu
kuasanya cuma terhad terhadap sentuhan. Pernah Dahlia cuba menyiasat tetapi dia
takut kuasa yang dimilikinya itu terbongkar. Paling aneh bila Dahlia mendapati
hampir semua kes itu sebenarnya tidak menemukan pembunuh sebenar. Mereka yang
ditangkap itu hanya kambing hitam sahaja. Dahlia juga masih musykil dengan
kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian ayahnya dua minggu lalu. Ada
sesuatu tentang kemalangan itu yang meragukan. Dahlia masih cuba menyiasat
walaupun kes itu sudah diserahkan kepada pihak polis.
Dahlia menghubungi Adam untuk mengetahui samada mereka
sudah menerima hasil bedah siasat ayahnya. Inu adalah peguam syarikat ayahnya dan juga lelaki
pujaan hatinya.
“Hai
sayang. Sayang dah terima hasil bedah siasat ayah Dahlia?” tanya Dahlia dengan
suara yang lembut.
“Dahlia.
Berapa kali abang nak cakap ni. Jangan panggil abang sayang. Abang kan dah
bertunang dengan Kirana.” Adam menjawab seakan tidak senang.
“Sampai
bila-bila pun Dahlia akan panggil abang sebagai sayang. Sudah! Dahlia cuma
mahukan jawapan pada pertanyaan Dahlia tadi.” Dahlia bertegas meskipun sudah
beratus kali Adam menegahnya.
“Abang belum terima lagi. Mungkin dalam
minggu ini juga, jangan risau. Abang akan uruskan semuanya.” Adam memberi
pengharapan.
“Terima
Kasih sayang.” Dahlia bersuara manja, lega hatinya mendengar suara Adam yang
kini sudah bertunang dengan kakak tirinya Kirana.
“Assalamualaikum.”
Adam cuba memutuskan perbualan.
“Waalaikumsalam.
Selamat malam.” Dahlia menjawab salam itu dan meletakkan telefon.
Ting
tong! Ting Tong!
Kedengaran
loceng pintu berbunyi. Dahlia segera ke hadapan untuk melihat siapa yang
datang. Segera dibukanya pintu.
“Assalamualaikum
Dahlia.”
“Waalaikumsalam
kakak. Ada apa datang malam-malam buta ni?” tanya Dahlia kurang selesa dengan
kedatangan Kirana ke apartmentnya.
“Kalau
ya pun jemputlah kakak masuk dulu. Kakak ada benda nak cerita dengan Dahlia
ni.” Kirana memandang Dahlia.
“Apalah
kakak ni. Telefon kan boleh. Kenapa susah-susah datang malam-malam buta ni.”
Dahlia mengherotkan mulutnya dan membuka pintu pagar lalu menjemput kakak
tirinya itu masuk.
“Terima
Kasih Dahlia.” Kirana mengukir senyuman.
Kirana
masuk ke dalam dan duduk di sofa. Dahlia pula berjalan ke beranda sengaja tidak
mahu mempedulikan kakak tirinya itu. Hatinya sakit bilamana kakak tirinya itu
pula yang mendapat abang Adam yang sepatutnya menjadi miliknya. Dahlia geram
segeramnya.
“Kakak
kata ada benda nak cerita. Ceritalah cepat.” Dahlia bersuara.
Plash!
Pap!
Tiba-tiba
barang-barang dalam rumah Dahlia dipecahkan. Segera Dahlia masuk ke dalam.
“Apa
yang kakak buat ni hah? Kenapa rosakkan barang dalam rumah Dahlia? Jangan
kerana Dahlia yang dapat uruskan syarikat tu. Kakak marahkan Dahlia pula.
Dahlia hanya ikut wasiat arwah ayah dan kakak pun tahu Dahlia boleh buat.” Dahlia
bersuara keras kerana dia masih merasakan Kirana marah padanya berkaitan dengan
wasiat ayahnya dan sedikit pelik kerana hanya dalam sesaat banyak barang yang
dipecahkan.
“Tolol!
Aku bukan Kirana. Aku datang cuma mahu beri amaran agar kau jangan masuk campur
urusan aku. Kalau tidak, kau juga akan menjadi mangsa macam ayah kau! Ingat
tu!” Orang yang menjelmakan diri menjadi Kirana itu memandang Dahlia dengan
tajam.
“Apa kau
dah buat dengan ayah aku ha? Siapa kau sebenarnya?! Kurang hajar!” Dahlia
bertanya dalam keadaan marah lalu melontar pasu bunga kepada orang yang
menjelma sebagai Kirana itu.
Namun
Dahlia tiba-tiba diangkat dengan kuasa orang itu. Dia meronta-ronta.
“Lepaskan
aku! Lepaskan aku!”
Prak!
Dahlia dihumban ke tepi.
“Urgh!” Dahlia
kesakitan dan muntah darah.
“Itu
baru sedikit. Aku cuma bagi amaran! Jangan cuba masuk campur urusan aku! Sama
macam ayah kau, suka menyibuk hal orang!” Orang itu berlalu keluar dan
merosakkan lagi barangan lain.
“Ayah..”
itu saja yang terpacul dari mulut Dahlia ketika itu, mulutnya berdarah. Kini
dia yakin. Kemalangan itu bukan meragut nyawa ayahnya, ayahnya mati sebelum
kemalangan itu. Dalam dunia paranormal, tiada sebarang tanda dapat ditinggalkan
apabila membunuh seperti senjata dan sebagainya. Tahap-tahap kuasa paranormal
seperti menghentak, menjerut dan sebagainya itu berlaku dengan kuasa deria
keenam yang tidak mungkin dikesan manusia pelakunya.
Dahlia sedaya upaya bangun dan cuba menghubungi abang
Adam, tapi dia tidak mahu menyusahkan Adam dalam hal ini. Dahlia mengelap semua
luka dan kemudiannya berehat. Esok dia perlu ke pejabat. Dia juga perlu
berpindah ke rumah ibunya kerana rumah itu sudah tidak selamat untuk diduduki.
Tudung
berwarna ungu yang dikenakan seperti fesyen terkini Hana Tajima itu cukup
sesuai di wajah Dahlia. Sedikit bedak dikenakan untuk menutup beberapa kesan
lebam. Pewarna bibir dan celak dikenakan seadanya. Barang-barang yang pecah di
bahagian ruang tamu dibiarkan. Meskipun begitu, hal semalam masih tidak luput
dalam ingatan Dahlia, kebenaran tentang kematian ayahnya itu mempunyai pelbagai
kaitan dengan pembunuhan yang berlaku kini.
Dahlia
sampai ke pejabat sekitar jam 10 pagi. Dari jauh, Dahlia terlihat Leo
menunggunya di depan bangunan pejabat.
“Selamat Pagi Dahlia. Nampak manis pagi ini. Jom sarapan
sama.” Leo cepat saja memasukkan jarum ke dalam benang.
“Selamat Pagi Leo. Maaf. Pagi ni saya ada
kerja sikit. Selamat bersarapan ya.” Dahlia menolak dengan mulutnya diherotkan.
Dahlia
sudah tidak kuasa untuk berbahas dengan lelaki itu. Bukannya Dahlia tidak
sukakan Leo itu, tapi sebenarnya hati Dahlia masih pada abang Adam.
“Dahlia.
Hujung minggu ni Leo hantar rombongan ke rumah Dahlia ya. Leo dah beritahu mak
dan ayah Leo.” Leo memberitahu hasratnya.
Dahlia
terkejut. Hal itu tidak boleh dibiarkan. Mungkin juga hal itu akan menjadi
kenyataan apatah lagi keluarga Leo dan keluarganya saling mengenali. Dahlia
terpaksa memikirkan sesuatu untuk menghalang.
“Leo.
Hari ni saya temankan awak sarapanlah ya.”Dahlia membuat alasan.
“Betul?
Gembiranya saya.” Leo kelihatan amat gembira.
Sampai saja di kafeteria. Dahlia dan Leo duduk di satu
sudut selepas membeli makanan dan minuman.
“Leo. Bagilah saya sedikit masa lagi. Awak pun tahu apa
yang baru berlaku dalam keluarga saya kan? Harap awak faham.” Dahlia meminta
jasa baik Leo dalam hal itu.
“Saya
faham. Saja nak hiburkan hati awak tu. Awak tu kurang senyum kebelakangan ni.
Kalau ada masalah ceritalah dengan saya. Saya sudi membantu, tapak tangan awak
tadahkan, satu padang bola saya bagi.” Leo cuba berlawak.
“Saya
ada kerja ni. Saya sekejap saja ke pejabat hari ni. Ada hal dekat luar. Saya
minta diri dulu. Assalamualaikum.” Dahlia meminta diri tiba-tiba.
“Waalaikumsalam.
Kalau ada apa-apa hubungi saya. Lagi satu, hati-hati.” Leo menjawab salam dan
sempat menyuruh Dahlia berhati-hati.
Dahlia
pelik dengan arahan Leo itu dan kemudian berlalu naik ke pejabat. Sudah tidak
kuasa dia melayan sikap Leo yang aneh-aneh sejak kebelakangan itu. Tapi
sebenarnya dia ke pejabat pagi itu untuk mengambil dokumen sahaja. Dia mahu
terus ke rumah Kirana untuk menemuinya. Ada hal yang mahu dia bincangkan sangat
dengan kakaknya itu. Bukan saja pasal perihal abang Adam, malah juga pasal hal
yang menjadi rahsianya selama ini. Mereka berjanji untuk bertemu di rumah ibu
Kirana.
Semasa
sedang melalui selekoh. Tiba-tiba Dahlia teringat pesan Leo. Dia kemudian
mengubah laluannya. Apabila sampai ke laluan yang dia hendak masuk tadi,
kelihatan tiga buah kereta bertembung dengan lori trailer dan mengakibatkan
kemalangan ngeri. Nasib baiklah dia tidak lalu di kawasan itu tadi, kalau tidak
Dahlia pasti menjadi salah satu mangsa kemalangan ngeri itu.
“Assalamualaikum.”
Dahlia sampai ke rumah Kirana setengah jam selepas memandu dari pejabat.
“Waalaikumsalam
Dahlia. Masuklah,” salam Dahlia disambut Kirana.
Kirana
membawa Dahlia ke taman yang terletak di tepi rumahnya. Dua gadis bertudung itu
saling pandang memandang.
“Sebenarnya
apa tujuan Dahlia datang nak jumpa kakak ni?” tanya Kirana padanya.
“Kakak.
Semalam Dahlia kena serang. Hal itu ada kaitan dengan keluarga kita dan dia
kata ayah mati sebab masuk campur urusan dia.” Dahlia memberitahu hal sebenar,
walaupun dia kurang suka kakak tirinya itu, namun dialah antara orang yang
paling dia percaya di atas muka bumi ini, bak kata pepatah, orang yang paling
anda benci itulah yang sepatutnya anda paling percaya.
“Kena
serang? Adik tak apa-apa?” Kirana risau dan kemudian menyentuh tangan adiknya
itu lama.
Seketika
kemudian Dahlia mendapati luka-luka di pergelangan tangannya sembuh. Kini
tahulah dia bahawa kakaknya Kirana juga mempunyai kuasa keenam itu.
“Terima
Kasih. Jadi, selama ni kakak memang tahu yang adik pun punya kuasa keenam ni juga?”
tanya Dahlia.
Kirana
cuma mengangguk.
“Ayah?”
tanya Dahlia.
“Ayah
juga,” ringkas jawapan Kirana.
Selepas
kejadian malam tadi barulah dia tahu rahsia keluarganya yang mempunyai kuasa
keenam itu.
“Dahlia.
Kakak minta maaf. Ayah yang nak kakak simpan rahsia ni sebab hal-hal macam yang
berlaku pada adik semalam. Kakak tahu ada hal yang mencurigakan dengan kematian
ayah. Kita biarkan abang Adam siasat dengan pihak polis.” Kirana memberitahu.
“Jadi.
Kita kena berdiam diri saja dan biarkan ayah mati tak terbela?” marah Dahlia
tiba-tiba, sikap Dahlia yang suka memberontak itu memang sebati dengan dirinya
sejak kecil lagi.
“Laporan
bedah siasat dah keluar pagi tadi, ayah ditikam dengan senjata yang tak
diketahui sebelum ayah kemalangan dan keretanya menjunam ke gaung. Bersabarlah
dik. Lambat laun kebenaran akan muncul jua.” Kirana memberitahu.
“Kakak.
Ini soal ayah dan pembunuh yang masih berlegar bebas. Kakak kata boleh
bersabar! Dia serang Dahlia, kalau dia serang mak kita macamana? Kita dalam
bahaya kakak!” Dahlia naik angin.
“Adik.
Kalau mahu menarik tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.”
“Kakak
nak berkias lagi dalam hal macam ni. Itu ayah kak, ayah kita!” Dahlia berlalu
pergi dengan perasaan tidak puas hati.
“Dahlia!
Bahaya!” panggil Kirana apabila melihat Dahlia berlalu dengan marah.
Dahlia
berlalu pergi dan hari ini dia tekad. Dia mahu ke hospital dan menyiasat
melalui mayat wanita yang ditukar menjadi patung semalam.
Sampai
di hospital. Dahlia terus menuju ke sebuah bilik mayat. Dahlia pasti masih
belum ada sesiapa yang menuntut mayat perempuan tersebut.
“Mana
satu pula mayat perempuan tu. Takkan nak tarik semua ni keluar.” Dahlia
bercakap sendiri sambil memandang tempat mayat ditempatkan. Suhu bilik itu saja
menerjah ke tulang sum sum Dahlia. Tapi tekadnya melebihi segala-galanya.
Mahu
tidak mahu, Dahlia terpaksa juga menarik satu persatu mayat dan menyelak wajah
setiap mayat itu. Hampir termuntah Dahlia apabila melihat beberapa mayat yang
dijahit dan putus sana sini serta ada yang wajahnya hancur. Nasib baiklah mayat
perempuan itu dijumpainya juga. Dahlia pasti itulah mayat wanita yang ditukar
menjadi patung itu kerana dia melihat dengan jelas wajah perempuan yang ditukar
menjadi patung itu secara jelas di kaca televisyen.
Perlahan-lahan
Dahlia menyentuh dahi wanita itu. Semuanya berputar pantas sehingga Dahlia
dapat masuk ke dalam satu dimensi dan berada di hadapan pembunuh itu dan juga
seorang wanita.
“Aku nak
kau tutup mulut dan jangan bersuara dengan sesiapa mengenai pembunuhan Tuan
Sofian. Tapi kau tetap ingkar kan.” Orang itu bersuara dalam topeng yang
samar-samar, suaranya mirip seseorang.
“Bukan.
Aku tak buat begitu. Kirana cuma datang bertanya soalan dan saya jawab saja.
Tapi saya tak sentuh apa-apa mengenai pembunuhan Tuan Sofian, betul. Sumpah!”
wanita itu bersumpah.
“Sumpah
perempuan ular macam kau sudah tidak berguna lagi Zita. Jangan ingat aku tak
nampak apa yang kau sembunyikan. Kau memang tak cakap tapi kau bagi kertas
dekat dia bukan?” tanya orang bersuara dalam topeng itu.
Zita
menggigil ketakutan. Dahlia cuma memerhati.
“Saya
cuma. Saya cuma teringatkan kebaikan Tuan Sofian pada saya. Tuan Sofian
orangnya baik. Dia tak patut mati tragis macam tu.” Zita menunduk dan tahu
seolah ajalnya bakal tiba.
“Baiklah.
Itu yang kau pilih. Kau sudah tak layak hidup lagi!”
Orang
bertopeng itu menghalakan tangannya ke arah Zita dan menukarnya menjadi patung
dari bahagian kaki. Teriakan Zita tidak dipedulikan sehinggalah seluruh
tubuhnya bertukar menjadi patung.
Kemudiannya
Dahlia membuka mata. Kini dia tahu wanita itu adalah Zita. Setiausaha syarikat
ayahnya dulu.
“Masih
mahu masuk campur? Bagus! Ini kali terakhir kau hidup. Ada apa-apa yang kau nak
cakapkan?” sinis orang itu bersuara di belakang Dahlia.
“Aku tak
ada apa-apa untuk diperkatakan. Aku redha kalau aku mati hari ini. Tapi aku
takkan mengalah macam Zita!” bentak Dahlia sedikit kuat dan berundur ke depan.
“Baik,
aku nak tengok apa kau boleh buat!” Orang bertopeng itu tertawa kuat.
Dahlia
sedar, dia cuma mempunyai kuasa paranormal melalui sentuhan. Tapi dia sedang
mempraktikkan satu kuasa mengangkat barang berat dengan sentuhan tangannya itu.
Dahlia kemudiannya tekad dan yakin. Dia cuba mengangkat beberapa barang di
dalam bilik mayat itu. Kesemuanya bergetar kuat. Orang bertopeng itu
memandangnya. Dahlia kemudian menghumbam barang-barang ke arah orang bertopeng
itu.
Bap!
Bap! Bap!
Kesemua
barang itu tepat menuju ke arah orang bertopeng itu. Hati Dahlia puas. Dia
berdiri dan melihat ke arah orang bertopeng itu berdiri. Hilang!
“Dasar
pengecut!” marah Dahlia dan mengetap bibirnya geram.
Dahlia
keluar dari kawasan hospital dan masuk ke dalam keretanya dan pulang dengan
kecewa. Namun di dalam perjalanan, Kirana menghubunginya.
“Tolong
kakak Dahlia! Dahlia!!..” suara Kirana merintih kedengaran.
“Kakak!
Kakak! Jawab kakak! Jawab!” Dahlia dilanda kerisauan, selepas itu pula talian
terputus. Berkali-kali Dahlia cuba menghubungi Kirana tetapi tidak berhasil.
Dahlia
semakin risau. Dia akhirnya menghubungi abang Adam untuk meminta bantuan.
“Abang
Adam. Ini serius. Baru sebentar tadi kakak Kirana hubungi Dahlia, suaranya
dalam kesusahan. Tolong abang Adam cari dia.” Dahlia bersuara cemas.
“Ha?!”
Abang Adam nyata terkejut dengan makluman dari Dahlia.
“Cepat
abang Adam. Cepat! Saya takut kakak ada apa-apa!” Dahlia bersuara keras.
Dahlia
juga cuba melajukan pemanduan kereta honda miliknya itu menuju ke rumah Kirana.
Sampai saja di sana dia menemui ibu Kalsom yang tidak mengetahui di mana
Kirana. Hati Dahlia semakin risau. Sampai akhirnya dia bertemu dengan abang Adam
di situ juga.
“Apa
sebenarnya yang Kirana cakap pada kamu Dahlia?” Adam seakan hilang sabar
apabila tunangannya itu hilang.
“Dia minta
tolong dan sebut nama Dahlia. Itu saja. Dahlia takut apa-apa terjadi pada kakak.”
Dahlia semakin risau dan kerisauan itu tidak diberitahunya pada Ibu Kirana yang
berada di dalam.
Kring!
Kring!
Telefon
bimbit Inu berbunyi. Tiada kata-kata yang muncul dari mulut Adam. Dia memandang
Dahlia. Dahlia dilanda persoalan, dahinya berkerut. Kemudian Adam membawa
Dahlia masuk ke dalam keretanya.
“Apa
sebenarnya yang berlaku ni abang?” tanya Dahlia ingin tahu.
Adam
hanya diam dan terus memandu. Tidak ternampak riak wajahnya.
Sampai
saja ke satu tempat. Adam dan Dahlia berlari masuk ke dalam.
“Macamana
keadaannya doktor?” tanya Adam sebaik sampai ke wad kecemasan.
“Kami
cuba sedaya upaya untuk selamatkan dia. Kami sedang hentikan darah yang
mengalir dari luka tikaman itu.” Doktor itu memberitahu.
“Ada
orang nak bunuh kakak?” terkejut Dahlia.
“Ya
Dahlia. Bersabarlah. Kita doakan kakak kamu baik-baik saja.” Adam memberitahu.
Dahlia terduduk. Dahlia mahu menyiasat melalui sentuhan. Dia tahu, ini sajalah
cara untuk mengesan pembunuh itu.
“Dahlia tak
nak balik?” tanya Dahlia kepadanya.
“Dahlia
nak tunggu di sini sampai Dahlia boleh melawat. Ibu Kalsom dan Ibu Ratna tidak tahu
mengenai perkara ini. Dahlia wajib tunggu di sini sebagai ahli keluarga
terdekat kakak Kirana.” Dahlia menjawab.
3 jam kemudian pelawat dibenarkan masuk tapi cuma
seorang demi seorang. Dahlia adalah orang pertama yang masuk. Dia melihat
Kirana terlantar di katil hospital itu. Seketika, Dahlia menyentuh dahi Kirana.
Dia melihat kejadian yang berlaku pada Kirana sehinggalah sampai kepada Kirana
ditikam. Dahlia memerhati senjata yang digunakan dan dia seakan tidak percaya.
Ia adalah senjata yang dipandang biasa saja dan bagi Dahlia orang yang menikam
Kirana itu memang sangat hebat. Dahlia terfikir, mungkin itu senjata sama yang
digunakan untuk membunuh ayahnya dulu.
Setelah Dahlia keluar, Inu kemudian masuk.
Inu dan Dahlia balik bersama-sama. Dahlia lebih banyak berdiam.
“Abang.
Saya dapat tahu sesuatu.” Dahlia membuka bicara.
"Apa dia?"
bersambung...