Home Cerpen Thriller/Aksi REMBANG SENJA
REMBANG SENJA
SRI WAHYUNI
14/5/2016 21:29:51
1,578
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi

Diilhamkan oleh : Sri Wahyuni


Denyutan nadi Safwan bagaikan terhenti. Dia cuba berlari sejauh yang mungkin. Mencari bekalan air untuk diminum. Sejak dari tadi dia kehausan dan bekalan air yang dibawa juga telah habis. Entah apalah malang nasibnya kali ini. Dia jauh ditinggalkan oleh rakan-rakannya. Pasti mereka semua sedang mencari dia ketika ini. Lagipun hari sudah menginjak senja. Silapnya cuma dia ralit mendengar lagu yang dialunkan tadi. Entah apa rentaknya dia sudah lupa pula. Tapi melodinya tetap diingatan.

"Wan!." Laungan namanya bergema. Wajah Hazry cemas memerhati sekeliling. Mencari Safwan entah di mana.

“Ry... Bagi aku air," Safwan dengan tercungap-cungap menepuk bahu Hazry dari belakang. Terkejut bukan kepalang Hazry bila disergah sebegitu. Terasa jantung mahu melompat keluar.

"Engkau ni Wan. Mujur aku tak terbang," dia sudah mengurut dada sambil mencapai bekas minuman yang masih berisi separuh lagi lalu dihulur pada Safwan. Bekas air dicapai laju lantas air diteguk pantas.

"Engkau hilang ke mana?." Hanya isyarat tangan ditunjukkan. Menuju ke satu arah. Agak jauh dan tiada apa-apa yang menarik pun tempat yang ditunjukkan. Hanya pokok-pokok yang tumbuh di sana-sini.

"Buat apa lama kat situ?."

Bekas berisi air ditutup. Terasa lega dan puas tekaknya tidak terkata. Soalan dibiarkan tanpa jawapan. Dia sendiri tidak tahu mengapa lagu itu yang selalu didengarinya sejak akhir-akhir ini. Safwan mencakar-cakar tanah dengan hujung kayu yang dipegangnya. Hatinya terasa resah yang tak mampu digambarkan. Sejak semalam lagi.

"Tak ada apalah. Jom!. Diaorang tentu risau kalau tak jumpa aku," ujar Safwan seraya menarik tangan Hazry.

Riuh rendah bas yang membawa mereka pulang. Sekejap sahaja riuhnya. Tidak sampai sejam, suasana menjadi sunyi sepi. Masing-masing kepenatan dengan ekspedisi mendaki Gunung Tiong yang baru berakhir tadi. Safwan tidak mampu melelapkan mata meskipun badannya keletihan. Ingatannya menerawang jauh kepada arwah Hazleen, tunangannya. Hampir enam bulan sudah Hazleen tiada. Dia bukanlah seorang yang mempunyai musuh, bahkan arwah merupakan seorang yang baik hati. Hingga ke saat ini pihak polis masih belum dapat mencari pembunuhnya. Tapi alunan lagu yang didengarinya tadi seolah-olah membawa dia kembali kepada Hazleen. Dalam lamunan sendiri akhirnya dia terlelap juga di dalam perut bas yang membawa dia kembali ke ibu kota.


******************


Dalam dakapan senja

Kurenungi sinar matamu

Berat rasa melepaskan

Dikau pergi

Dingin hembusan bayu

Lemah longlai langkah kakimu

Lambaianmu kian jauh

Dari mata


Lagu itu berkumandang lagi. Dia nampak Hazleen berjalan menuju ke satu arah. Tapi tidak tahu ke mana. Bagaikan mahu menunjukkan sesuatu. Safwan berlari dan terus berlari. Mengejar dan terus mengejar Hazleen. Dia merasakan ada yang mengekorinya dari belakang. Langsung tidak diendah. Yang penting dia mahu bertemu Hazleen. Tanpa disedari kakinya tersangkut pada perdu pokok. Terus wajahnya tersembam ke atas tanah. Sakitnya tidak terkata. Bayangan seseorang dengan pisau berkilat di tangan kian menghampiri. Dia semakin tersepit dan meraung kesakitan. Puas dia meronta-ronta. Peluh dingin mula memercik keluar. Safwan semakin takut. Akhirnya….


"Tolong! Tolong! Tolonggg akuuuu!!!."

Jeritan Safwan memeranjatkan seisi rumah.

"Abang! Abang!. Abang kenapa ni?", suara cemas Izura kedengaran. Dia dan emaknya berlari menuju ke bilik Safwan sebaik sahaja mendengar jeritan itu tadi. Kelihatan Safwan resah di atas katilnya. Safwan mengigau!


"Itulah... Mama dah pesan banyak kali dah. Jangan tidur petang-petang macamni. Ini kalau mama bercakap, kamu tutup telinga. Kata mama ni membebel." Leteran si emak terpaksa di dengarnya lagi. Safwan terpisat-pisat setelah dikejutkan oleh adik dan emaknya tadi. Seram sejuk badannya bila mengingatkan mimpi tadi.

"Abang ni, mengigau sampai macamni sekali. Terkejut Zura tau tak. Ingatkan kenapalah tadi," rungut si adik.

"Dah sudah. Wan, pergi mandi. Sekejap lagi Maghrib. Waktu-waktu macamni memang banyak setan keluar. Sebabtu mengigau. Mimpi yang bukan-bukan." Emaknya menyambung lagi sekaligus mengingatkan.

Safwan langsung tidak berkutik. Darahnya terasa kering. Mujur adik dan emaknya cepat menyedarkan dia yang berada di alam mimpi. Mimpi yang menakutkan!. Tiba-tiba sahaja bulu romanya tegak berdiri. Perasaan takut menguasai diri.


**************


Hazry meletakkan suratkhabar di hadapan Safwan. Berita utama yang terpapar 'Misteri Kehilangan Hasnita' menjadi tajuk utama di dada-dada akhbar pagi itu. Safwan meraup wajah sambil melepaskan keluhan berat. Satu lagi kes pembunuhan mirip pembunuhan Hazleen. Lokasinya juga tidak jauh dari tempat Hazleen ditemui.

"Istighfar banyak-banyak Wan. Aku yakin ada hikmah di sebalik semua yang berlaku," ujar Hazry seraya menepuk lembut bahu Safwan. Berita tentang kematian tunang Safwan begitu menyayat hati. Hari ini entah isteri, anak mahupun tunangan siapa pula menjadi mangsa, getus hati Hazry. Jika dialah yang berada di tempat Safwan, belum tentu lagi dia setabah itu.


"Jangan lupa petang ni Ry." Ingatan yang entah keberapa kali disebut. Majlis nikahnya dengan Hazleen sepatutnya berlangsung malam ini. Tapi terpaksa diganti dengan majlis tahlil dan doa selamat.

Kedatangan Safwan dan Hazry disambut baik oleh ahli keluarga Hazleen. Masing-masing berwajah sugul memandang wajah Safwan, menantu tidak jadi mereka. Riuh rendah suasana jelas kedengaran. Sementara menunggu azan maghrib, Safwan duduk di bangku hadapan rumah. Memerhati langit yang kian kelam.


Dalam dakapan senja

Kurenungi sinar matamu

Berat rasa melepaskan

Dikau pergi


Alunan rentak irama dan lagu itu berkumandang lagi. Pantas Safwan menoleh mencari-cari empunya suara. Lagu itu adalah lagu yang sama disiulkan oleh Hazleen sebulan sebelum arwah pergi.

"Kau pandang apa ni Wan?. Gelisah aje aku tengok."

"Lagu tu... Lagu... ."

Hazry mengerutkan dahi. Dia langsung tidak mendengar sesiapa pun yang menyanyi.

"Merepeklah kau ni. Dah nak maghrib macamni mana ada orang menyanyi." Hazry memerhati sekeliling. Yang ada hanyalah sekumpulan anak-anak yang sedang bermain. Riuh bunyinya bila disergah oleh ibu bapa menyuruh mereka pulang. Hazry tersenyum. Teringat kisahnya sewaktu kecil dahulu. Sama seperti itu.

"Eh... Abang. Abang Wan kan." Muncul seorang kanak-kanak perempuan di hadapan Safwan dan Hazry. Tercungap-cungap kepenatan setelah berlari. Wajahnya mengingatkan Safwan kepada arwah Hazleen.

"Q!." Tersenyum budak itu bila Safwan mengingati namanya. Riang bukan main bila bertemu Safwan. Q seusia adiknya, Izura. Berumur 11 tahun.

"Q dari mana ni?."

"Tuuu." Muncungnya panjang menunjukkan taman permainan yang tidak jauh.

Entah apa lagilah celoteh Q. Safwan rasa terhibur bila mendengar Q sudah mula bercakap. Menurut arwah, Q adalah anak Professor Latif. Professor yang bersikap pelik dan ganjil serta tidak bergaul dengan jiran tetangga. Bahkan professor itu dikenali kerana sikapnya yang sebegitu. Mereka baru tinggal di kejiranan itu sekitar dua bulan yang lalu. Pada awalnya, Q tidak mempunyai sebarang teman malahan setiap hari Hazleen yang akan menemaninya. Sesekali Safwan juga turut melayani karenah anak itu. Sebab itulah mereka saling mengenali.


"Q!. Berapa kali ayah pesan. Jangan bercakap dengan orang yang tak kenal!."

"Buat apa lagi kat situ?. Pergi balik!." Melihatkan Q masih belum beredar, lelaki itu terus memberi arahan dengan wajah bengisnya.

Wajah Q bertukar merah. Dia terus berlari menuju ke arah rumahnya tanpa menoleh lagi. Terus meninggalkan Safwan, Hazry dan ayahnya yang menyinga.

"Lepasni aku tak mahu tengok muka kau orang berdua berbual dengan anak aku lagi!."

"Tapi kami cuba berbual aje encik. Lagipun Q tu cuma budak-budak aje," ujar Safwan. Tidak mengerti mengapa lelaki yang membahasakan dirinya 'ayah' kepada Q bersikap bengis sedemikian. Anak sebaya Q sepatutnya mendapat perhatian dan kasih sayang yang baik.

"Tak perlu masuk campur urusan aku. Aku tak mahu tengok muka kauorang lagi. Faham?." Suara garau itu bergema lagi dan terus berlalu. Sedikitpun tidak ada perasaan bersalah.

Malam itu setelah majlis tahlil tamat, Safwan dan Hazry mahu terus pulang. Memandangkan hari sudah lewat dan mereka perlu ke tempat kerja keesokan harinya, mereka perlu pulang dengan kadar segera. Elok sahaja kereta di gerakkan, sekali lagi Safwan mendengar lagu yang sama berkumandang. Ya!. Itu lagu yang sama dinyanyikan oleh Hazleen. Tapi, siapa pula yang menyanyikannya?.

"Hei bro!Apahal kau ni?. Mengelamun jauh nampak," ujar Hazry sambil memandu.

"Kau dengar tak?."

Hazry terdiam. Cuba mengamati sekeliling. Hanya kawasan semak samun di kawasan pembinaan yang terbengkalai sahaja. Bagaimana pula telinga Safwan dapat menangkap suara orang menyanyi?. Bulu roma Hazry sudah meremang. Sudahlah mereka sedang melalui kawasan sunyi.

"Orang tua-tua pesan, kalau dengar apa-apa jangan tegur Wan. Mana ada suara orang menyanyi," suara Hazry terketar-ketar. Kenapalah celupar sangat sahabat di sebelahnya ini.

"Aku tak tegur. Kau yang tegur siap sebut lagi suara apa." Sengaja Safwan mengusik Hazry yang sememangnya penakut. Apa lagi, Hazry memecut kenderaannya sambil mulut terkumat-kamit membaca ayat kursi yang sudah menjadi tunggang-langgang sebutannya. Safwan hanya menggeleng-gelengkan kepala. Gelihati pun ada melihat Hazry yang begitu penakut.

Tiba di satu selekoh, Hazry menekan brek dengan tiba-tiba. Seorang perempuan baru sahaja melintasi jalan raya dalam keadaan gelap pekat malam. Rambutnya kelihatan kusut masai dan keadaannya agak tidak terurus. Dia bagaikan dikejar sesuatu. Wajah Safwan di sebelah kelihatan cemas.

"Hantu Wan! Hantuuu!!!." Hazry menggigil takut.

"Kau tunggu sini. Aku keluar sekejap." Safwan terus meluru keluar. Dia perlu mendapatkan perempuan yang baru sahaja melintasi hadapan mereka. Perempuan itu berlumuran darah dan hanya perkataan "Tolong saya," sahaja yang kedengaran. Pakaiannya comot dan ada kesan kelar pada bahagian badannya. Terus sahaja Safwan mencampung tubuh itu lantas dibawa dibawa masuk ke dalam kereta. Hazry terus pucat lesi. Akhirnya Safwan terpaksa menolak Hazry yang terkaku dan lembik tak bermaya. Hazry memang alahan pada darah. Jadi, dia terkulai pengsan bila melihat perempuan yang diletakkan di tempat duduk belakang. Terpaksalah Safwan yang mengambil alih tempat pemandu.


***********


"Aku kat mana?. Aku kat mana?." Suara Hazry kedengaran. Semua mata tertumpu padanya.

'Kelekuk!' Kepalanya di ketuk perlahan oleh seseorang.

"Hospital lah dowh. Diam sikit boleh tak?. Semua pandang kau tau tak. Malu lah," Safwan bersuara dalam keadaan berbisik. Semalam dia risaukan perempuan yang berlumuran darah yang ditemuinya. Hingga pagi ini dia masih belum dibenarkan untuk berjumpa dengan sesiapa. Hazry pula pengsan tidak sedarkan diri. Sudahlah dia mencampung tubuh kecil gadis yang ditemuinya terus menuju ke bahagian kecemasan. Kemudian terpaksa mengangkat Hazry pula. Mujur ada pembantu hospital yang bertugas di situ yang membantu. Hampir buntu fikirannya. Siapa yang perlu dirisaukannya. Antara sahabat atau gadis yang berlumuran darah?.

Hazry tersengih bagai kerang busuk. "Mana perempuan tu? Selamat ke tidak dia?."

Safwan memandang Hazry. Sudahlah penakut. Ada hati pula nak ambil tahu tentang gadis yang ditemui mereka. Dia berfikir dua kali sebelum mahu membuka cerita pada Hazry. Silap haribulan, Hazry pengsan semula. Sudahlah berbaju melayu warna putih. Nyaris-nyaris semalam jururawat menyangka pengantin berdarah. Gadis yang ditemui berbaju kurung warna krim. Memang tak salahlah kalau jururawat dan doktor berpendapat tentang Hazry dan gadis itu, fikir Safwan.

"Hoi. Apa sengih-sengih ni. Cepat panggilkan doktor. Aku dah ok ni. Dah boleh keluar harini." Safwan tersengih memandang Hazry. Dalam kepalanya sedang ligat memikirkan tentang gadis yang ditemuinya malam tadi.

Akhirnya dia membuat keputusan untuk bertemu juga dengan gadis itu nanti.

Hati Safwan diragut pilu bila melihat keadaan Muza. Gadis itu cuba tersenyum dan ingin bergerak tetapi di tahan oleh Safwan.

"Terima kasih." Lambat-lambat ungkapan itu dituturkan. Safwan hanya tersenyum. Melihat keadaan Muza sedemikian dia seakan terasa kesakitan yang amat berlaku pada gadis itu. Namun tidak pula mulutnya selancar itu untuk bertanya. Cukuplah sekadar melihat gadis itu masih bernyawa ianya amat menggembirakan hati Safwan sebenarnya. Ingatannya kuat pada arwah Hazleen. Kesan kelar di tangan kanan Muza sama dengan kesan kelar yang ditemui pada mayat Hazleen. Itu yang membuatkan Safwan nekad menemui Muza.

"Nasib baik awak lalu kat situ. Kalau tidak, tak tahulah apa jadi pada saya." Gadis itu mula bersuara walaupun terlalu lemah. Sesekali mata dipejam celikkan. Menahan sebak dan kesakitan.

"Siapa kejar awak semalam?."

Muza bungkam. Tidak terjawab soalan Safwan. Cukuplah dia sahaja yang tahu.

"Muza... Kalau tak keberatan, tolong jawab soalan saya. Siapa yang kejar awak semalam?." Gadis itu tetap diam. Air mata bergenang di tubir mata.

"Ehemmm!!!..." Safwan berpaling. Lelaki yang membahasakan dirinya sebagai 'ayah' kepada Q berdiri sambil matanya melirik tajam pada Safwan. Wajah Muza berubah. Seolah-olah mahu menyatakan sesuatu. Safwan merasakan ada yang tidak kena sedang berlaku. Riak wajah Muza berubah bila kehadiran lelaki bengis itu dengan penampilannya cukup menggerunkan.

"Encik... Boleh tolong keluar?. Ada pelawat lain yang akan masuk. Tak dibenarkan lebih dari dua orang pelawat," ujar jururawat yang masuk. Safwan terpaksa beredar walhal hatinya merasakan sesuatu yang tidak enak. Sempat dia menyelitkan nombor telefonnya di bawah bantal Muza tanpa pengetahuan lelaki itu.

"Engkau lagi?. Berapa kali aku cakap. Jangan campur urusan aku," satu bisikan berbaur ugutan menerjah telinga Safwan sewaktu dia berselisih mahu keluar dari bilik itu. Safwan hanya diam dan menoleh wajah Muza seakan memberitahu 'jangan tinggalkan aku’.


*************


Q tersenyum-senyum melihat Safwan datang ke taman petang itu. Safwan sengaja datang berseorangan.

"Q tak main dengan diaorang tu semua?," soal Safwan. Tujuannya bertemu Q adalah untuk bertanyakan soal ayahnya.

"Taknaklah. Diaorang tu semua bukan nak kawan dengan Q," rungutnya.

"Kenapa?."

Q diam. Dia tidak mahu menjawab. Dia lebih gemar duduk dengan sebuah buku agak lusuh di tangan. Entah apa isi pada buku itupun Safwan tidak pasti.

"Abang sayang kak Hazleen?," soalan itu yang terpacul dari mulut Q.

"Tentulah. Tapi Q tau kan, kak Hazleen dah tak ada?."

Q mengangguk tanda mengerti.

"Q datang sini jumpa abang Wan ayah tau tak?." Risau juga dia jika ayah anak ini mengetahui. Pasti dia akan dimarahi. Jika dia sahaja yang dimarahi tidak mengapa tetapi Q akan diherdik okeh ayahnya tidak kira di mana.

"Ayah tak ada. Ayah keluar pergi kedai besi."

"Buat apa?." Pelik pada pendengaran Safwan. Untuk apa lelaki pelik itu ke kedai besi petang-petang sebegini?.

Q jungkit bahu tanda tidak tahu. Bukan urusan dia untuk ambik tahu.

"Abang ada girlfriend lain?."

"Belum ada. Kenapa Q tanya?. Q ada calon untuk abang ke?."

Anak itu diam. "Sama macam arwah mama Q," suara itu antara dengar dengan tidak. Wajah Q bertukar keruh. Kemudian dia berlari semahu hatinya meninggalkan Safwan terpinga-pinga.

Panggilan telefon dari Muza adalah sesuatu yang tidak disangka oleh Safwan. Setelah sekian lama, itulah kali pertama Muza menghubunginya. Suaranya seakan takut-takut. Tersekat-sekat tiap bait perkataan yang diluahkan. Sesuatu yang menggusarkan hati Safwan. Dia mahu berjumpa Safwan secepat mungkin. Meminta bantuan Safwan untuk membawanya lari jauh. Jauh?. Jauh ke mana?. Safwan merasakan ada sesuatu yang buruk sedang berlaku. Dia perlu cepat menemui Muza. Gadis itu perlukan bantuannya sekarang.

Remang senja kian menghampiri. Hampir setengah jam Safwan berpusing-pusing mencari lokasi yang dimaksudkan oleh Muza. Akhirnya dia menemuinya juga. Safwan mendengar nyanyian itu lagi. Lagu itu lagu lama dendangan Uji Rashid. Semakin lama semakin dekat bunyinya. Cuma di penghujung nyanyian itu disulami dengan esak tangis.


Dalam dakapan senja

Kurenungi sinar matamu

Berat rasa melepaskan

Dikau pergi

Dingin hembusan bayu

Lemah longlai langkah kakimu

Lambaianmu kian jauh

Dari mata


Suara tangisan semakin jelas kedengaran. Safwan menghampiri kotai yang ditumbuhi lalang separas pinggang. Apakah yang cuba dilakukan oleh Muza di sini?. Hatinya tertanya-tanya. Beberapa kali dia melihat lokasi GPS yang dihantar. Memang tidak salah. Itulah tempatnya. Perlahan-lahan kaki dihayun menuju pintu kotai lama itu. Mencari dari mana suara tangisan. Dia cuba mengintai melalui celahan dinding papan. Semuanya tidak jelas. Dia berjalan lagi hingga ke muka pintu. Ditolaknya sedikit. Pintu terbuka. Langsung tidak berkunci. Safwan mula menjengah. Melihat sekitar kotai. Tiba-tiba tubuhnya melayang ditendang seseorang dengan kuat dari belakang. Terguling-guling dia terdorong masuk ke dalam kotai.

Belum sempat dia bangun dan melihat siapakah gerangan yang menendang, dia sudahpun jatuh terjelepuk kerana di hambat dengan kayu di tengkuknya.

Q tersenyum puas. Dia mengheret Safwan ke dalam kotai dan mengikat lelaki itu di atas kerusi. Kemudian dia mengira 1... 2... Dan 3. Ada tiga orang yang bodoh di sini, ujar kata hatinya. Dia pergi pada gadis paling hujung yang hanya tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja lagi. Pisau dikeluarkan dari beg sandangnya. Dia menikam gadis itu tanpa belas. Dia terasa puas!

Kemudian dia menghilang entah ke mana.


**************


Professor Latif memasuki ruang yang separuh gelap. Seorang lelaki telah diikat di atas kerusi dengan kepalanya terlentok. Ya, dia pengsan. Tidak jauh di sebelah, di atas kerusi berlainan seorang gadis juga sama diikat. Di kerusi yang ketiga juga ada seorang lagi gadis turut diikat dan sedang mengerang kesakitan. Dia nampak sungguh tidak bermaya dengan kesan torehan di tangan. Tompokan darah di merata tempat. Mata Professor Latif melilau ke sana dan ke mari mencari sesuatu. Di tangannya masih kejap lagi dengan kayu yang ditemui di muka pintu tadi. Terdapat kesan percikan darah pada kayu di tangan.

Dia menghampiri Safwan. Menunjal-nunjal kepala lelaki itu dengan kayu. Tawanya semakin melebar bila melihatkan Safwan yang tidak bermaya.

"Bodoh!," laungnya dengan tawa yang masih bersisa. Terhinjut-hinjut bahu dek kerana tawanya yang kuat. Kemudian terus menuju kepada gadis yang di sebelah Safwan. Kesan kelar di tangan masih jelas. Dia tertawa lagi. Lebih kuat dari tadi.

"Kau curang!", suaranya melengking kuat menggetarkan seluruh kotai. Dagu gadis itu dipegang. Wajah yang pucat itu direnungnya. Hanya seminit dua. Kemudian dia menangis. Menangis semahu-mahunya. Professor Latif terjelepuk di hadapan gadis tersebut.

"Kenapa kau curang? Kenapa???." Melihatkan tiada respon, dia bangun dan menarik rambut gadis tersebut.

"Berapa kali aku dah beri amaran. Jangan dekat dengan dia!. Tapi kau degil!.”

Safwan membuka matanya perlahan. Dia merasa sakit di belakang tengkuknya tetapi tangannya berikat. Suara Professor Latif melengking kuat. Safwan hanya mampu mendengar. Dunia seakan berpusing baginya. Lelaki di hadapannya itu sekejap ketawa dan sekejap menangis. Hinggalah satu saat lagu itu berkumandang lagi. Ya!. Safwan pasti itu adalah pemilik suara yang sama. Halus. Lelaki di hadapannya memerhati sekeliling. Di tangannya kejap dengan kayu. Seakan mengawasi kawasan tersebut.

"Kau siapa sebenarnya?. Apa salah aku sampai kau ikat aku macamni?." Safwan mula berani bertanya. Lelaki itu tidak menjawab tetapi berlari menuju pintu. Cuba menutup pintu yang seakan mahu tercabut itu.

"Heii!!!. Kau siapa?. Aku tanya kau ni." Dia sempat melihat Muza di sebelah yang mengerang kesakitan sejak dari tadi.

Lelaki itu masih dengan kayunya. Lagu itu semakin lama semakin kuat. Bermakna seseorang telah menghampiri kawasan itu. Suara terhenti di hadapan pintu. Sunyi. Professor Latif bersedia dengan kayunya. Peluh jantan keluar membasahi tubuh.

"Jangan aku kata jangan!. Cukuplah!." Dia bersuara lantang. Seakan memberi amaran kepada seseorang di luar.

"Ayah... Q takut," suaranya di ikuti dengan esak tangis di luar. Suara manja Q membuatkan Professor

Latif terus mencampakan kayu dan membuka pintu. Q yang sedang menangis di bawa dalam dakapan. Dipujuknya anak itu seadanya. Safwan terdiam. Dia tidak tahu apa kaitan dirinya yang sedang diikat dengan mereka dua beranak. Mengapa Q ada di situ?. Q yang seusia adiknya, Izura.

"Ayah... Q takut," ulang anak itu. Professor Latif memeluk anaknya yang sedang menangis sekali lagi. Cuba mententeramkan.

"Jangan takut... Ayah ada." Puas anaknya itu di dakap dan berkali-kali dahi dikucup.

Q mengangkat pisau yang ada dalam simpanannya dan terus menikam Professor Latif. Darah memancut keluar. Professor Latif rebah. Buntang mata Safwan melihat kejadian itu.

Q tertawa besar melihat ayahnya.

"Berapa kali Q cakap dengan ayah. Jangan kacau urusan Q. Tapi ayah tak mahu ikut." Dia menyanyi lagi lagu itu.

"Dalam dakapan senja... Kurenungi sinar matamu... ." Sekejap dia menangis dan sekejap dia tertawa. Pisau yang terbenam pada tubuh Professor Latif ditarik tanpa belas. Pisau di bawa ke pergelangan tangan Professor Latif dan dikelar-kelar sesuka hatinya. Semuanya dilihat oleh Safwan di hadapan mata. Dia jadi tergamam. Lidah menjadi kelu. Cuba menipu akalnya bahawa dia sedang bermimpi saat itu. Tapi sayang ianya adalah kenyataan. Ya! Kenyataan!.

"Abang Wan." Q beralih pada Safwan. Pakaian Q sudah terpalit dengan darah. Dia jalan bersahaja menuju Safwan bersama pisau di tangan. Pisau yang telah terbenam pada tubuh Professor Latif. Safwan merasakan tubuhnya lemah tidak bermaya. Q sudah berada di sisi.

"Q... Kenapa Q buat macamni?." Safwan cuba bersuara walaupun suaranya terketar-ketar. Anak kecil sebaya adiknya itu bukan seperti selalu yang dilihatnya. Hilang sudah wajah comel dan mulus. Yang tinggal hanyalah mata yang penuh dengan cahaya kebencian.

"Kau tanya aku kenapa?. Hahaha... ." Q tertawa besar. Dia memainkan hujung pisau di lengan sasa Safwan. Safwan hanya mampu mengucap dan beristighfar ketika pisau itu menari-nari di lengannya.

"Kau kenal perempuan sebelah kau?." Safwan angguk. Dalam angguk dia resah. Apa sahaja boleh berlaku sekarang ini. Dia melihat Q sudah tidak waras lagi.

"Dia ni dah ada tunang. Tapi boleh pulak layan kau!. Perempuan macam dia ni tak layak untuk hidup!." Pisau yang menari-nari di lengan Safwan beralih pada Muza yang sudah terkulai.

"Kau kenal Hazleen?." Safwan angguk. Masakan dia tidak mengenali tunangnya sendiri. Q tertawa lagi. Masih jelas lagi di ingatannya Hazleen bertemu seseorang di hadapan rumah tetapi lelaki itu bukan Safwan. Q sakit hati melihat Hazleen bertemu seseorang.

"Dia curang!. Dia tak layak untuk hidup!." Pisau dibenam pada kaki Muza. Gadis itu terus menjerit menahan sakit.

"Tapi dia sudahpun aku hantar ke neraka." Hilai tawa Q menggila. Dia bagaikan seronok melihat darah yang keluar. Safwan sudah tidak terkata. Mengucap sudah, istighfar pun sudah. Dalam hati memohon dia panjatkan doa agar Allah s.w.t menghantar kepadanya insan untuk membantu.

"Hai Ratna. Seronok kan jadi kau. Jalan sana sini dengan ramai lelaki." Dia menyapa gadis yang berada di hujung sekali. Gadis itu sudah tidak bernyawa lagi.

"Kesiannya. Sakit ke?." Pisau bermain-main pada wajah Ratna yang pucat. Kesan kelar dan tikaman terlalu banyak pada gadis itu. Tubuhnya berlumuran darah.

"Apa salah Abang Wan, Q?." Safwan bersuara sekaligus wajah kecil itu berpaling pada Safwan.

"Kau lelaki tak guna!. Sama macam Professor Latif!. Tak boleh pandang perempuan cantik!. Tunang dah mati pun masih boleh keluar bergembira!." Matanya mencerlung memandang Safwan. Masih jelas lagi setelah kematian Hazleen, Safwan masih sempat mengikut ekspedisi ke Gunung Tiong bersama kawan-kawannya. Bukankah itu sesuatu yang menggembirakan?. Berseronok dengan kawan-kawan. Lengan sasa Safwan di toreh-toreh. Geram melihat wajah Safwan yang tersenyum sewaktu majlis yassin dan tahlil arwah Hazleen. Safwan bagaikan orang yang tidak kisah akan kehilangan. Q tertawa lagi melihat Safwan kesakitan.

'Dalam dakapan senja... Kurenungi sinar matamu...' . Lirik itu dinyanyikan lagi. Tubuh kecil itu melayang memandang Professor Latif yang terbaring. "A... Aaa... Ayah!!!." Pisau dilempar ke tepi. Dia berlari meratapi ayahnya yang terkulai. Tubuh itu dipeluk dan wajah itu diciumnya berkali-kali. Q bagaikan baru tersedar dengan apa yang telah dilakukannya. Di luar terdengar suara polis memberi arahan. Kawasan telah berjaya dikepung dan Q turut sama dibawa ke kenderaan polis.

Hairy muncul di hadapan pintu bersama beberapa orang anggota polis yang ditugaskan mengawal dan mengepung kawasan.

"Wan! Wan! Kau okey tak wan?. Wannn!!! ." Hairy terjelepuk jatuh setelah melihat sekitar kotai yang di penuhi darah. Apatah lagi melihat sahabatnya juga terpalit dengan darah. Safwan geleng kepala.


*************


Safwan terdiam setelah pihak polis menceritakan kisah sedih Nur Qamarina. Sikap ayahnya yang seringkali berpoya-poya dengan perempuan lain membuatkan ibunya makan hati. Hinggakan ibunya membunuh teman wanita ayahnya di rumah sendiri saat rembang senja. Waktu itu lagu dendangan Uji Rashid itulah yang terpasang. Pembunuhan itu berlaku di hadapan mata Q. Tragedi itu menjadikan Q seorang pendendam. Professor Latif sedar kesilapannya dan berjanji akan menjaga anaknya sebaik mungkin. Tetapi peristiwa silam itu membuatkan jiwa Q tertekan dan seringkali melakukan sesuatu di luar jangkaan. Dia mengawal Q dari rapat dengan orang luar untuk mengelakkan perkara buruk yang akan anaknya lakukan. Tapi apakan daya, dendam lama anaknya telah memberi impak besar dalam hidupnya. Kehadiran Professor Latif di kotai itu sebenarnya adalah untuk menyelamatkan mereka. Tapi dia silap percaturan hingga dia juga menjadi mangsa anak kandung sendiri.

Safwan merenung langit. Awan berselerakan. Mentari sudah mahu melabuhkan tirainya. Lengannya masuh berbalut lagi. Dia mengucapkan syukur tidak terhingga kerana Allah s.w.t masih sudi meminjamkan nyawa untuknya. Moga esok dia temui bahagia.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.