Home Cerpen Seram/Misteri KISAH SERAM MALAM JUMAAT - JIN HITAM
KISAH SERAM MALAM JUMAAT - JIN HITAM
Saidee Nor Azam
14/7/2016 18:43:21
7,502
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

SELEPAS membersihkan badan dan menunaikan solat. Saidee bersama keluarganya menikmati makan malam bersama-sama. Di meja makan, masing-masing menikmati makanan dengan penuh berselera. Sesekali Saidee akan bercerita tentang perihalnya di sekolah. Tahun ini Saidee akan menempuh peperiksaan besar. Sijil Penilaian Menengah.

“Abah, tadi masa dalam kelas pagi tadi, ada sorang pelajar perempuan menjerit histeria. Ngeri plak Dee dengar dia menjerit. Lepas itu, berjangkit pula kawan dia kat sebelah sorang demi sorang.”

Walaupun tangan penuh dengan nasi, Saidee masih rancak bercerita.

“Habis itu, cikgu-cikgu tak buat apa-apa ke?” soal bapa Saidee yang juga merupakan seorang guru.

“Ustaz dan cikgu-cikgu hampir kalah. Siap ada yang kena terajang dan tampar lagi. Makin kuat ustaz membacakan ayat-ayat al-Quran, semakin kuat budak-budak itu menjerit dan mengamuk.” Cerita Saidee lagi.

“Hish, dahlah cerita hantu tu. Makan cepat, nanti sejuk lauk dalam pinggan tu...” pintas ibu Saidee, puan Rabiah dengan kerutan tidak selesa terbentuk di wajahnya.

Saidee tersengih-sengih apabila ditegur oleh ibunya. Adik perempuannya pula diam memandang rezeki di dalam pinggan. Sesekali dia menoleh pandang pada raut wajah bapanya yang hanya tersenyum nipis. Saidee tahu dan kenal sangat dengan perangai ibunya, memang tidak gemar bila bercerita tentang perkara-perkara yang menyeramkan. Hendak-hendak lagi ketika sedang berdepan dengan makanan.

“Abah... abang Asri belum balik lagi?” soal Aisyah, adik bongsu Saidee.

“Entahlah, biasanya selepas Maghrib dia dah ada kat rumah. Ini tidak, Isyak dah masuk dah, batang hidungnya masih tak kelihatan.” Bebel puan Rabiah.

Abah hanya diam tanpa mahu berkata apa. Dia juga merasakan begitu. abang kepada Saidee itu kebiasaannya selepas habis berlatih di pada hoki, pasti akan terus pulang ke rumah. Ini tidak, waktu semakin lewat, Asri masih belum pulang.

“Kejap lagi dia balik la tu,”

Cikgu Ali cuba bersikap tenang.

SEUSAI makan malam, puan Rabiah, Aisyah dan Saidee duduk di hadapan peti televisyen. Waktu-waktu sebegini adalah waktu untuk seisi keluarga berehat. Cikgu Ali pula duduk di sofa di ruang tamu sambil mencatit ayat-ayat dari al-Quran ke dalam buku nota kecilnya. Itulah yang sering dilakukan oleh Cikgu Ali setiap kali malam Jumaat. Terkadang dia akan tidur dahulu sebelum bangkit mengerjakan solat Tahajud dan membaca al-Quran sehingga subuh. Setiap kali malam Jumaat, dia akan memenuhi dirinya dengan amalan. Mencatit setiap bait-bait ayat suci dari kalam ALLAH dan dijadikan sebagai panduannya untuk berzikir.

Selain dari mengajar di sekolah, Cikgu Ali juga merupakan seorang guru agama dan guru seni silat Gayung Bumi di kampung Losong. Namanya terkenal di daerah Kuala Terengganu. Ramai yang datang berguru, tidak kira menuntut ilmu mempertahankan diri mahupun ilmu Tasawuf.

Cuma sejak kebelakangan ini, Cikgu Ali tidak lagi secergas dulu. Dia lebih banyak mengajar ilmu agama dari memberi tunjuk ajar dalam seni mempertahankan diri. Kecergasannya sudah terbatas dengan usianya yang semakin ke daerah senja. Ketika sedang asyik menonton televisyen, puan Rabiah berpaling ke arah pintu rumah. Terdengar bunyi enjin motorsikal tiba sebelum dimatikan betul-betul di perkarangan rumah.

“Hah, itu abang kau dah pulang.” Getus puan Rabiah.

Terkocoh-kocoh Aisyah pergi membuka pintu rumah menyambut Asri yang baharu pulang dari kompleks sukan negeri Terengganu.

“Hah, kenapa lambat balik?” tegur puan Rabiah.

Cikgu Ali pula sekadar diam dan memandang anak lelakinya itu atas dan bawah. Sepertinya pandangan Cikgu Ali bukan melihat kosong.

“Tadi masa kat padang latihan, Bujal mengamuk.” Asri memulakan ceritanya.

“Bujal? Budak yang tinggi dan besar tu? Kenapa dengan dia?” soal Cikgu Ali perlahan.

Selepas menyimpan kasut yang dipakainya ke dalam almari kasut, Asri memulakan cerita dengan riak wajah yang gembira. Mungkin ada sedikit rasa bangga dalam dirinya. kebiasaan di kompleks sukan negeri, Asri akan bergaul dengan ramai ahli sukan yang mempunyai latarbelakang yang berbeza. Bukan seorang dua ahli sukan yang dia rapat, terkadang itu sehingga atlit angkat berat pun Asri rapat.

Bujal juga merupakan seorang atlit angkat berat negeri. Bertubuh besar tegap dan tingginya mencecah enam kaki. Sekali pandang seperti ahli gusti kerana berbadan besar dan gempal. Dengan rancak sekali Asri bercerita riak wajahnya penuh bersemangat.

“Bujal mengamuk sakan tadi, kawan-kawan yang cuba nak tenteramkannya terpelanting rebah. Usahkan nak pegang, nak rapatkan diri pun tak boleh.” Cerita Asri dengan bersungguh-sungguh.

“Habis itu? Apa yang jadi lepas itu?” tanya puan Rabiah.

“Ramai yang datang, termasuk rakan-rakan atlit angkat berat pegang dia. Ada dekat tujuh lapan orang pegang dia. Waktu saya dah rasa semacam. Sebab mata Bujal merah semacam. Memang dia bukan histeria, tapi lebih kepada dirasuk! Mujur saya ada kat situ,”

Cikgu Ali hanya melihat dan mendengar sahaja apa yang disampaikan Asri. Dia yang masih di sofa ruang tamu dengan memegang buku nota, kelihatan ada kerutan di wajahnya. Asri pun memulakan ceritanya.

SEORANG lelaki bertubuh gempal dan besar menolak dan melambung dua tiga orang lelaki dewasa yang cuba untuk memegangnya. Suara Bujal juga kedengaran aneh di kala dia menjerit marah. Mata Bujal merah menyala, mukanya bengis dengan kerutan-kerutan aneh terbentuk di tampangnya.

“Hei Bujal, bawak mengucap!”

Seorang rakan kepada Bujal melaungkan suaranya setelah gagal merapatkan dirinya dengan lelaki bertubuh tegap dan tinggi itu. Bujal terus mengaum garau, dia yang tinggi hampir mencecah enam kaki itu kelihatan luar biasa gagahnya. Habis peralatan senaman diangkat dan humbannya ke setiap arah yang dia mahu.

“Woarghhh...!” jerit Bujal lantang.

Urat merih terbentuk bergerak-gerak di lehernya. Matanya yang merah bak biji saga merncerlung ke setiap seorang rakannya yang mengelilingi dirinya. wajah rakan-rakannya jelas cuak dan tidak yakin akan dapat menenangkan Bujal. Lelaki atlit angkat berat negeri Terengganu itu terus mengganas.

“Pegang dia! Pegang dia!” arah salah seorang jurulatih angkat berat dari arah belakang.

Tiga hingga lima orang atlit negeri Terengganu yang sedang berlatih di kompleks sukan itu tidak menunggu lama, mereka semua terus menyerbu ke arah Bujal dengan serentak. Akhirnya lelaki berketinggian mencecah enam kaki dan bertubuh tegap dan teguh itu berjaya ditawan. Namun kekuatan Bujal amat luar biasa. Beberapa kali lima lelaki yang memegangnya itu hampir melambung diasak oleh Bujal.

“Panggil Asri...! Panggil Asri...!” laung jurulatih muda itu.

Asri yang sudah bersiap-siap hendak pulang, dikejutkan dengan berita Bujal mengamuk seperti dilanda kesurupan. Asri yang juga merupakan salah seorang jurulatih angkat berat di kompleks sukan negeri itu terkocoh-kocoh berlari menuju ke arah perkumpulan manusia yang sedang kecoh itu.

Setibanya Asri di tempat kejadian, Asri melihat atas dan bawah tubuh Bujal. Bujal mencerun tajam ke arah Asri, akan tetapi Asri langsung tidak gerun. Malah mulutnya terkumat-kamit membacakan ayat-ayat suci yang dipelajari dari bapanya, Cikgu Ali.

“Ambilkan air mineral cepat!” arah Asri seperti seorang bomoh terjun di medan latihan angkat berat itu.

“Bila Bujal dah tak dapat nak bergerak, saya pun melangkah ke depan. Saya pun bacalah ayat yang abah ajar itu. Ayat yang menghalau syaitan.”

Cikgu Ali senyap sahaja. Dia mendengar apa yang diceritakan oleh anaknya itu sejak awal tadi sehingga sekarang. Langsung dia tidak mahu menyampuk. Kaca matanya seperti tergelongsor sedikit di atas batang hidung, anak mata Cikgu Ali memandang ke arah Asri dan kemudiannya ke arah muka pintu rumah. Riak wajahnya sukar untuk ditafsirkan.

“Sekali saya sembur dengan air jampi, Bujal terus jadi lembik, tapi dia cuba bingkas bangun melawan. Saya simbah lagi air jampi itu ke muka Bujal. Lepas itu Bujal menjerit kuat sebelum rebah. Fuh...! Abah tau tak? Semua orang tak terkata apa. Yang lucunya siap ada orang nak belajar dengan saya, abah. Menjadi jugaklah ayat yang abah berikan itu.”

Ada aliran bangga menusuk ke dalam diri Asri di sebalik penceritaannya itu.

“Kau dah solat belum?”

Tanpa mahu memuji anaknya, Cikgu Ali terus mengajukan pertanyaan. Wajahnya tiada langsung rasa bangga dengan apa yang disampaikan oleh Asri. Dia meletakkan buku nota dan penanya ke atas meja. Cikgu Ali mengambil tasbih usangnya sebelum perlahan-lahan dia mengira-ngira biji tasbih itu.

“Er... Maghrib dah tadi. Solat kat surau komplek sukan.” Jawab Asri tersengih-sengih.

“Isyak?” soal Cikgu Ali lagi.

“Er... belum lagi abah.” Tersipu-sipu Asri apabila disoal seperti anak-anak kecil.

Saidee dan Aisyah tersenyum sini melihat abang tua mereka disoal oleh bapanya. Kelihatan merah tampang Asri kala disoal sebegitu.

“Pergi basuh tubuh, dan solat Isyak.” Arah Cikgu Ali dengan sedikit menekan suaranya.

“Nanti Asri mandi ya, Asri ingat nak makan dulu. Lapar.”

Asri melabuh duduk di sofa yang berdekatan dengan pintu rumah. Selang beberapa buah sofa berdekatan dengan bapanya, Cikgu Ali.

“Pergi sekarang!” arah Cikgu Ali dengan pandangan matanya yang tajam. Tegang riak wajahnya.

Terkejut Asri dan adik beradiknya. Ini kerana bapanya tidak pernah meninggikan suara walau sedikitpun. Malah wajah Cikgu Ali kelihatan tegang sekali. Namun begitu Cikgu Ali masih tidak berganjak dari tempat duduknya. Mulutnya bergerak-gerak kecil seperti membaca sesuatu.

“Kenapa abah?” soal Asri yang juga mulai merasakan ada yang tidak kena.

“Benda itu ikut kau balik rumah!”

Tekan Cikgu Ali. Asri sudah tidak senang duduk, dia melingas ke kiri dan ke kanan. Seperti mencari sesuatu. Aisyah dan Saidee juga sudah berubah tempat duduk. Aisyah merapatkan dirinya dengan puan Rabiah, manakala Saidee duduk berpaling mengadap bapanya, Cikgu Ali dan abangnya Asri.

“Benda apa abah?” soal Asri dengan takut-takut.

“Benda yang ada dalam tubuh Bujal. Dia ikut kau balik.” Terang Cikgu Ali.

Riak Asri terus berubah. Pucat lesi dan dia sudah serba-salah sekali.

“Ada kat mana benda itu, abah?” soal Saidee dengan berani.

“Hish kamu ni!” marah puan Rabiah yang sebenarnya sudah meremang ketakutan.

“Ada kat luar rumah. Duduk bertinggung atas motorsikal abang kamu sekarang ni.” Jelas Cikgu Ali.

Asri tertelan liur mendengar apa yang bapanya ceritakan. Cikgu Ali memejamkan matanya buat sejenak sebelum dia kembali berkata-kata.

“Dah banyak kali abah pesan. Jangan riak, jangan bangga diri. Benda itu ikut sebab kau yang seru dia.”

“Asri mana ada seru dia.” Jawab Asri.

“Yang kau rancak bercerita tadi itu apa? Walaupun kau tak panggil nama dia atau apa sekalipun, tetapi apabila kau bercerita tentang apa yang berlaku petang tadi, dia turut mendengarnya. Kerana ianya melibatkan dirinya juga. Lagipun benda itu marah kat kau sebab bakar dia dengan air tawar tadi.” Jelas Cikgu Ali.

“Tapi Asri nak sembuhkan Bujal aje. Lagipun benda itu kan dah kalah.” Asri seperti tidak berpuas hati.

“Dia tak tewas sepenuhnya. Sekarang ni dia cuba nak masuk ke dalam rumah.”

“Abah... Aisyah takut,”

Aisyah sudah bergenang air matanya sambil dirangkul ibunya, puan Rabiah. Saidee pula masih seperti tadi, dia kelihatan tidak gentar seperti mana adiknya.

“Abah... benda itu, benda apa abah?” soal Saidee lagi.

“Hantu Raya.” Pendek dari Cikgu Ali.

Terdiam Asri mendengarnya. Tanpa menunggu lama, Asri bergegas menuju ke tandas untuk membasuh tubuh.

“Abah... Aisyah takut.” Esak Aisyah.

“Tak apa, benda tu tak akan dapat masuk.” Tersenyum Cikgu Ali memandang anak bongsunya.

Beberapa ketika suasana di dalam rumah sunyi, hanya kedengaran bunyi peti televisyen sahaja yang melaungkan suara. Asri yang sudah berketayap dan berkain pelikat turun ke ruang tamu. Kelihatan di tangannya sedang mengira biji-biji tasbih. Dia mengambil tempat duduk sedikit jauh dengan Cikgu Ali. Selang beberapa buah sofa. Cikgu Ali masih seperti tadi, mencatat ayat-ayat al-Quran yang terpilih ke dalam buku notanya. Suasana seram sebentar tadi seperti sudah berlalu. Asri diam di atas sofa sambil berzikir. Saidee, Aisyah dan puan Rabiah masih setia di hadapan peti televisyen. Mereka sekeluarga khusyuk menonton cerita di televisyen. Namun semuanya terganggu apabila puan Rabiah mulai bersuara.

“Bau hangit apa ni? Saidee, cuba tengok kat dapur, apa yang hangit?”

“Mak masak apa?” soal Saidee pula.

“Rasanya tak ada masak apa,” kerutan di wajah puan Rabiah terbentuk.

“Ke mak ada hangatkan lauk-pauk tak?” teka Saidee lagi.

“Entahlah, pergi ajelah tengok.” Arah puan Rabiah.

Bergegas Saidee menuju ke arah ruang dapur rumah. Tidak lama kemudian, remaja itu hadir dengan wajah yang kehairanan.

“Tak ada apa-apa pun atas dapur.” Terang Saidee.

“Ke televisyen ni yang berbau hangit? Ah sudah...!” puan Rabiah panik.

Puan Rabiah sudah serik apabila beberapa bulan lepas, peti televisyennya berasap. Kecoh satu rumah. Setelah diperbaiki peti televisyen itu kembali menjadi tontonan semua. Namun rasa bimbang tetap bersarang di dalam dada puan Rabiah. Asal berbau sahaja hangit sudah pasti dia syak peti televisyen yang berasap.

“Itulah abahnya, suruh beli televisyen baru tak nak. Sayang sangat dia kat televisyen lama ni.” Bebel puan Rabiah pada Cikgu Ali yang jaraknya lima kaki dengan televisyen.

Cikgu Ali diam, dia juga turut terbau hangit. Malah bau itu semakin kuat. Bau hangit seperti ada benda yang hangus terbakar. Cikgu Ali melihat persekitaran di dalam rumahnya. Matanya melilau perlahan ke setiap arah, sehinggalah retina matanya terhenti ke arah Asri. Asri yang duduk sambil mengira biji tasbih di sofa berkembar kehairanan. Dia berasa tidak sedap hati apabila Cikgu Ali merenungnya dengan tajam.

“Ke... kenapa abah?” soal Asri tersekat-sekat.

“Benda itu ada kat sebelah kamu.”

Asri melompat dan terus meninggalkan sofa tempat dia berlabuh. Namun dia bergerak perlahan dan berjalan mendekati bapanya. Di situ dia kembali melabuh duduk. Tangannya semakin laju mengira tasbih. Saidee melihat ke arah di mana bapanya berkata itu. Memang bau hangit cukup menyucuk rongga hidung. Seperti bau daging terbakar pun ada.

“Asri kau buat apa?” sergah puan Rabiah.

Dia juga ketakutan di samping anak bongsunya, Aisyah. Saidee pula melihat ke arah bapanya dan kembali melihat ke arah tempat di mana ‘benda’ itu berada.

“Abah... tak nampak apa-apa pun.” Saidee bersuara.

“Pergi ambil beras, kunyit, garam kasar dan biji lada hitam!” arah Cikgu Ali kepada Asri.

“Saidee cepat pergi ambil!” Asri mengarah adiknya pula.

“Kamu yang harus pergi ambil, bukan Saidee.” Marah Cikgu Ali.

Maka terkocoh-kocohlah Asri bergegas menuju ke ruang dapur. Bunyi pinggan berlaga kuat dari arah dapur. Entah apa sahajalah Asri sedang buat.

“Abahnya, apa kita nak buat?” soal puan Rabiah yang sudah tidak keruan.

Cikgu Ali tidak menjawab pertanyaan isterinya. Dia masih merenung tajam ke arah sofa berkembar yang kosong itu. pandangannya dijitukan dengan sepenuh hati.

“Apa mahu kamu?!” jerkah Cikgu Ali.

Suara merengus-rengus kedengaran begitu parau dan menggerunkan. Bulat mata Saidee kerana dia juga turut mendengarnya dengan jelas.

“Siapa hantar kamu?!” soal Cikgu Ali lagi.

“Tak ada sesiapa!” balas suara dari makhluk itu dengan garau.

“Kenapa kau boleh masuk? Keluar dari sini!” serga Cikgu Ali lantang.

Semakin seram suasana di dalam rumah ketika ini. Aisyah dan puan Rabiah sudah tidak boleh dipisahkan. Melekat antara satu sama lain. Saidee pula turut membaca apa yang patut. Terkumat-kamit mulut tiga beranak itu. Peti televisyen sudah lama dimatikan. Suasana hening dan hanya bau hangit sahaja yang menangkap rongga hidung isi rumah itu. Kini seluruh rumah dapat mendengar suara dari makhluk yang menceroboh masuk ke rumah Cikgu Ali itu.

Cikgu ali masih tidak berganjak dari sofa yang didudukinya itu. Namun pandangan matanya tetap tidak berkerdip merenung tajam keberadaan makhluk halus di dalam rumahnya. Tidak lama kemudian hadir Asri dengan bahan-bahan yang dipinta bapanya. Pada waktu inilah Cikgu Ali bingkas bangun dan mencapai mangkuk kecil yang berisi bahan-bahan yang diingininya. Mulut Cikgu Ali bergerak-gerak membacakan sesuatu. Apa yang sempat didengari Saidee, bapanya membaca selawat ke atas nabi dan beberapa patah ayat al-Quran termasuk ayatul Qursi.

Cikgu Ali berhenti dari membaca. Dia berdiri merenung tajam ke tempat yang tidak berpenghuni pada pandangan mata kasar. Di situ dia seperti mengangguk kecil, namun wajahnya tegang. Tajam sekali renungannya sebelum Cikgu Ali kembali bersuara.

“Apa yang kamu mahukan?”

“Aku dahaga!” balas makhluk itu.

“Kau boleh aje pergi ke sungai untuk minum air. Kenapa kau datang ke sini?” duga Cikgu Ali dengan tenang.

“Aku bukan dahagakan air, bodoh! Aku dahagakan darah manusia! Darah manusia angkuh!” ulang makhluk itu dengan kasar.

“Kamu mahukan darah dia?” Cikgu Ali mengerling ke arah anaknya Asri.

“Ya! Aku mahukan darahnya! Aku dahaga!”

Semakin gementar Asri kala dia mendengar akan suara dari makhluk yang dijumpainya ketika di kompleks sukan negeri. Entah berapa kali dia menelan air liurnya, ketakutan telah membuatkan dirinya tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Lidahnya kelu.

“Kamu bercakap tentang anak aku, kamu inginkan darah dari anak aku. Sesungguhnya kamu sudah tersilap langkah mengganggu keluarga aku!”

“Dia yang buat aku sakit! Aku mahu pembalasan!”

“Kamu yang mulakan perkara ini. Kamu yang ganggu kawan anak aku. Kamu yang buat onar dahulu! Makhluk seperti kamu tak sepatutnya diberi muka!”

Tegas Cikgu Ali seperti sedang memarahi seseorang, walhal dia ketika ini sedang berhadapan makhluk halus yang masih belum mahu menjelmakan dirinya. hanya laungan suara bak guruh sahaja yang berkumandang melawan bicara.

“Dia yang buat aku begini! Dia yang bakar aku dengan air itu! Dia angkuh kerana berjaya membakar aku, dia ingat aku ini siapa?!”

Bergema-gema satu suara yang tidak tahu dari mana datangnya. Terasa bergegar seluruh isi rumah. Aisyah dan puan Rabiah sudah terdiam. Ini adalah kali pertama dalam hidup mereka diserbu ketakutan yang amat sangat. Asri pula perlahan-lahan duduk di belakang bapanya. Tidak terjangkau di mindanya, apabila terdengar hadirnya satu suara garau parau dan kasar seperti ada gergasi halimunan di dalam rumahnya.

“Ini amaran dari aku, berambus dari sini sebelum kamu mendapat sakit!” tengking Cikgu Ali dengan lantang.

Saidee merapati ibu dan adiknya. Suasana di dalam rumah ketika ini dirasakan begitu hangat. Bagaikan ada haba panas sedang membara. Lampu di dalam rumah secara tiba-tiba berkelip-kelip. Bau hangit terbakar juga semakin kuat.

“Aku tak akan pergi! Anak kamu itu akan terima balasannya. Dia bakar aku, dia buat aku sakit!”

Bergema-gema suara garau di dalam rumah. Bau seperti daging terbakar menusuk ke rongga hidung. Asri sudah kaku untuk bergerak, dia hanya mampu berdiri di belakang bapanya. Puan Rabiah merangkul anak perempuannya yang menangis ketakutan. Cikgu Ali mengarahkan puan Rabiah serta anak-anaknya lekas ke dapur. Dan tanpa berlengah ketiga-tiganya bergegas masuk ke ruang dapur. Namun begitu Asri tidak berganjak, kakinya bagaikan dipasak ke lantai rumah.

WOARGHHH...!

Satu ngauman keras memekakkan telinga tercetus. Entah bagaimana, secara tiba-tiba datang asap hitam berkepul-kepul berkumpul dan membentuk satu bentuk jasad hitam tinggi dan besar pada pandangan Cikgu Ali dan Asri. Ketinggiannya hampir mencecah siling rumah Cikgu sekolah itu.

“Aku sudah berikan amaran, kamu masih berdegil. Kamu akan menerima akibatnya!” wajah Cikgu Ali tegang sambil mendongak memandang dua biji bola mata yang kemerah-merahan. Biji mata yang sebesar bola tennis itu bagaikan merenung tajam ke arah Cikgu Ali dan Asri. Asri turut melihat akan keberadaan makhluk yang ditumpaskannya ketika di kompleks sukan siang tadi. Kini baharulah dia merasakan dirinya kerdil jika dibandingkan dengan jelmaan yang sudah memperlihatkan dirinya itu. Walaupun Asri hanya melihat kepulan asap hitam dan di dalam kepulan itu terbitnya dua biji mata kemerahan. Tajam mencerlung seperti ingin membaham mangsanya.

“Berambus aku kata! Jangan cuba nak ganggu anak isteri aku!” laung Cikgu Ali.

“Tidak...!”

“Dengan nama ALLAH...”

Cikgu Ali menggauli bahan-bahan yang sudah berada di dalam tangannya, lantas dia menghamburkan bahan-bahan itu ke arah kepulan asap hitam yang tinggi hampir mencecah sepuluh kaki. Satu balingan pada pandangan Asri hanyalah beras yang digauli dengan kunyit, lada hitam dan garam kasar sahaja. Namun pada pandangan batin, Cikgu Ali melemparkan bara api yang menyala ke arah makhluk yang bertubuh besar dan berbulu itu.

“Arghhh...!”

Jeritan kasar kedengaran membingitkan telinga. Makhluk itu bergerak kebelakang. Seperti mengudur dari serangan Cikgu Ali. Cikgu Ali mara ke hadapan dan terus menghamburkan bahan-bahan yang didoakannya dengan ayat suci al-Quran ke arah jelmaan itu. makin kuat makhluk itu menjerit, makin kehadapan Cikgu Ali menyerang. Sepertinya tiada belas langsung buat makhluk berjiwa hitam itu.

“Ampun...! Ampunnn...!” jerit makhluk itu dalam kesakitan. Namun dia masih belum mahu keluar dari dalam rumah Cikgu Ali.

“Sudah aku berikan peluang untuk kamu. Tapi kamu ingkar! Nah inilah balasannya.”

Cikgu Ali melafazkan surah Yassin pada ayat tujuh terakhir dan melepaskan satu kilasan pantas ke arah makhluk itu. Terpegun Asri melihatnya. satu asap hitam yang terbentuk seperti jasad itu hangus dijilat api yang marak. Anehnya api yang besar itu langsung tidak membakar segala isi rumah. Hanya menyerang makhluk hitam bermata merah itu sahaja. Ternganga Asri kerana ini juga adalah kali pertama dia melihat sesuatu yang luar biasa. Bagaikan bapanya memiliki keajaiban yang terpendam.

Jeritan sudah lenyap, kepulan asap juga sudah tidak kelihatan pada pandangan Asri. Yang tinggal hanya bau seperti benda yang hangus terbakar. Asri sudah mula berani bergerak dari tempat dia berdiri. Bulu romanya masih meremang kasar, degupan jantungnya terus berdetak pantas.

“Panggil adik dan mak kamu, lepas itu kamu azan di empat penjuru rumah ini.” Arah Cikgu Ali kepada Asri.

Asri mengangguk faham, dan dia menerima arahan itu dengan akur. Dia berasa lega setelah hilang perasaan takut yang luar biasa sebentar tadi. Perasaan kesal juga mula terbenih di dalam hatinya. Betapa dia lupa dan membidang dada dengan ilmu yang diberikan. Walhal ilmunya masih belum mampu menyentuh permukaan dasarnya lagi. Hanya bermain-main di permukaannya sahaja.

Setelah selesai mengazankan setiap penjuru rumah, suasana hangat dan berbau hangit beransur-ansur hilang. Cikgu Ali menyuruh Aisyah dan Saidee mengambil wuduk sebelum melangkah masuk ke kamar masing-masing.

“Lain kali, jangan bercakap besar. Kita tak tahu apa yang kita sedang berhadapan. Hebat manakah makhluk itupun kita tak akan tahu. Ingat, setinggi mana pun ilmu di dalam dada, ianya takkan mujarab seandainya ada riak di dalam hati.” Tutur Cikgu Ali seraya memberi nasihat buat Asri.

Asri tunduk malu pada dirinya sendiri. Dia memohon maaf sebelum melangkah masuk ke kamar tidurnya. Cikgu Ali kembali menyambung kerja-kerja menyalin ayat-ayat al-Quran ke dalam nota kecilnya. Pada ketika dia sedang asyik menelaah ayat suci ALLAH itu, Saidee hadir melabuh duduk di sebelah bapanya.

“Abah...”

“Ya?”

Cikgu Ali menoleh memandang anak lelakinya itu.

“Makhluk apa tadi? Hantu apa? Seramnya...” soal Saidee. Ada riak ketakutan di tampangnya.

Cikgu Ali tersenyum simpul.

“Jin.” Ringkas dari Cikgu Ali.

“Jin?”

“Ya... Jin Hitam.” Terang Cikgu Ali dengan lebih panjang.

“Jin Hitam? Nama dia Jin Hitam?” terkulat-kulat wajah Saidee mendengar penjelasan bapanya.

Cikgu Ali mengangguk kecil sambil memaniskan roman wajahnya. Dia faham akan reaksi wajah anaknya itu. Tampang yang kebingungan. Mungkin inginkan lebih pencerahan.

“Ya, makhluk itu sejenis dari kaum jin yang kafir. Orang-orang ada yang memanggilnya sebagai Jin Hitam, atau orang-orang kampung menggelarkannya... Hantu Raya.”

Terlopong Saidee kala terdengar nama makhluk yang dicanang bapanya. Tertelan liurnya di saat mengingatkan kembali akan suara garau serta besar sebentar tadi.

“Abah ada satu cerita tentang Jin Hitam ini. Kalau tak salah abah, waktu itu abah baharu berpindah mengajar ke Raub, Pahang.”

“Hah? Sungguh? Ceritanya bagaimana abah?” terlonjak Saidee mendengarnya. Dia amat menggemari kisah-kisah seram. Dan bapanya juga tidak lokek untuk berkongsi cerita dengan anaknya itu.

“Sabar... buat masa ini Saidee masuk tidur dulu ya... keadaan baharu aje pulih.”

“Oh...” sedikit kehampaan terlukis di wajahnya.

“Nanti sampai waktunya abah akan ceritakan kat Saidee. Segala pengalaman abah.” Ujar Cikgu Ali tenang. Dia tahu anaknya itu sudah tidak sabar untuk mendengarnya. Namun waktunya masih belum tiba.

“Betul ke ni abah?”

“Ya... abah janji.” Cikgu Ali mempatrikan janji-janjinya sambil tersenyum.

“Yeay...!”

Saidee tersenyum girang. Dia sudah tidak sabar untuk mendengar cerita dari bapanya itu. Apa yang pasti, dia akan menunggu ketibaan harinya itu dan dia sudah berniat untuk membukukan kisah-kisah pengalaman bapanya di alam mistik.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.