Home Cerpen Seram/Misteri NUR
NUR
Zie Saila
11/4/2019 11:53:28
1,058
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

          Suasana bilik yang sunyi-sepi menambahkan debar di hatinya.  Cerita-cerita mengenai bilik hotel yang pernah didengarinya sebelum ini, mula menghantui fikiran.  Alat kawalan jauh televisyen yang berada di sebelahnya dicapai lalu butang ‘On’ ditekan.  Suara dari televisyen melegakan sedikit hatinya.  Biarlah apa rancangan pun yang ditayangkan, dia tidak peduli, asalkan dia tidak rasa kesunyian.

          Syilla memejamkan matanya rapat-rapat buat kesekian kalinya.   Selimut terus ditarik lebih tinggi. Bilik itu benar-benar terasa sejuk walaupun suhu pendingin hawa telah dinaikkan ke 28 darjah celcius.  Bantal peluknya dipeluk erat.  Mulutnya terus kumat-kumit membaca segala ayat yang terlintas di fikiran.

**********

            Penggera di telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Syilla cepat-cepat menekan butang ‘stop’.  Dia memandang lemah ke muka telefon tersebut yang menunjukkan pukul enam pagi.  Keluhan kecil terkeluar dari mulutnya.  Matanya masih terasa mengantuk.  Entah pukul berapa dia terlelap malam tadi. Televisyen di biliknya yang masih terpasang dibiarkan begitu.  Dengan langkah yang lemah, dia menuju ke bilik air.  Seminar pada hari ini bermula jam lapan pagi.  Bermakna, dia masih punya banyak masa untuk bersiap dan bersarapan.    

            Selesai solat subuh dan bersiap-siap, Syilla meninggalkan bilik lalu menuju ke café hotel untuk bersarapan.  Ruang lobi lif di tingkat 25 itu masih sunyi walaupun jam telah menunjukkan pukul tujuh pagi.  Syilla cepat-cepat memasuki lif apabila pintu lif terbuka di hadapannya..

            “Tunggu!”Kedengaran suara seorang wanita, sebaik sahaja pintu lif mahu tertutup.  Syilla cepat-cepat menahan pintu liftersebut.

            “Terimakasih,” kata wanita tersebut sebaik sahaja memasuki lif.  Syilla hanya tersenyum.

            “Hai.  Saya Nur,” tegur wanita tersebut, mesra.  Tangannya dihulurkan kepada Syilla.    Syilla menyambut mesra huluran tangan wanita tersebut.

            “Syilla,”sahut Syilla pendek.

            “Peserta seminar ke?” Tanya wanita yang bernama Nur tadi.

            “Ye.  Awak peserta juga?”  Balas Syilla. Nur mengangguk sambil tersenyum. 

            “Dari mana?”  Kini giliran Syilla pula bertanya. 

            “Dekat-dekat sini je.  Awak?” Tanya Nur kembali.

            “Oh…  Saya dari Johor,” jawab Syilla mesra.

            “Nak pergi breakfast, kan? Saya pun nak kesana.  Kita pergi sekali lah,” pelawa Nur.  Syilla mengangguk bersetuju.  Syilla berasa sedikit lega apabila telah mula mendapat kawan baru di seminar yang sangat asing baginya.  Sementalahan pula ini kali pertama dia sampai ke hotel ini.  Dia bukan nya selalu keluar dari negeri kelahirannya.  Ini pun baru kali ketiga dia sampai di Negeri Selangor ini.

            Setelah mengambil makanan masing-masing, kedua-dua mereka menuju ke sebuah meja kecil di sudut café tersebut.  Perbualan mereka diteruskan dengan sesi suai kenal.  Macam-macam perkara yang dibualkan sehingga tanpa sedar, jam telah hampir ke pukul lapan pagi.

            “Eh! Jomlah kita masuk.  Lambat pulak nanti,”gesa Syilla.  Kedua-dua mereka bergegas ke bilik seminar yang terletak selang beberapa buah pintu dari café tersebut.

            “Syilla,awak masuk dulu ye.  Saya nak ke tandas sekejap.”  Syilla hanya mengangguk dan terus masuk ke bilik seminar yang kelihatannya telah hampir penuh.

            Beberapa ketika kemudian Nur mengambil tempat di sisi Syilla.  Seminar tersebut berjalan lancar sehingga waktu makan tengahari.

            Tiba waktu makan tengahari, Syilla dan Nur beriringan ke café.  Perut yang berkeroncong telah minta diisi.  Setelah mengambil makanan, mereka menuju meja yang sama diduduki pagi tadi     

            “Syilla,saya nak tanya, awak duk seorang ke,dalam bilik?”  Tanya Nur sambil menyuapkan makanan ke mulutnya.

            “Ye.  Saya seorang je,” jawab Syilla jujur.

            Mata Nur kelihatan berseri.  “Boleh tak kalau saya share bilik dengan awak?”  Pinta Nur penuh mengharap.

            “Maaflah Syilla.  Bukan apa, saya macam tak berapa selesa la tinggal sorang-sorang dalam bilik tu. Malam tadi saya tak boleh tidur langsung,” terang Nur.

            “Awak pun tak boleh tidur?  Saya pun sama.  Rasa semacam lah,” tambah Syilla.

            “Kan?  Itulah, kalau boleh, saya nak share bilik dengan awak je.  Taklah saya rasa seram sangat,” jelas Nurlagi.

            “Sekarangawak duduk di bilik mana?”  Tanya Syilla.

            “2517.  Bilik hujung sekali tu,” jawab Nur.

            “Bolehkan? Saya share bilik dengan awak Syilla? Please…” rayu Nur.

            Dengan pantas Syilla bersetuju.  Dia benar-benar berasa lega dengan permintaan Nur. Sekurang-kurangnya dia akan mempunyai teman sepanjang empat malam lagi di hotel tersebut.

**********

            Akhirnya seminar tersebut tiba ke penghujungnya. Setelah selesai makan tengahari, Syilla mahu terus menuju ke bilik untuk mengemas barang-barangnya.  Tidak sabar mahu pulang setelah lima hari meninggalkan keluarganya di kampung.  Syilla meninjau-ninjau sekeliling, mencari Nur.  Selepas makan tengahari tadi, Nur kelam kabut menuju ke tandas berhampiran café tersebut.

            Syilla bercadang untuk menunggu seketika lagi, namun kelibat Nur masih belum kelihatan.  Akhirnya Syilla menjejaki Nur di tandas.

            “Nur…”panggil Syilla sebaik tiba di tandas. Namun tiada jawapan.  Kelihatan satu pintu tandas yang berkunci. “Mungkin Nur kat dalam tu,” bisik hati Syilla.  Seketika kemudian pintu tandas tersebut terbuka tetapi Syilla hampa apabila bukan Nur yang keluar dari situ.

            Satu-persatu pintu tandas ditolak, namun Nur tetap tiada. Kening Syilla berkerut.  “Mana pulak budak ni?”  Tanya Syilla pada diri sendiri.  Setelah pasti Nur tiada disitu, Syilla cepat-cepat keluar.

            Matanya masih liar memerhati sekeliling, kalau-kalau kelihatan Nur di mana-mana, tetapi hampa.  Akhirnya Syilla mengambil keputusan untuk terus naik ke biliknya untuk berkemas.  “Lambat-lambat nanti, lewat pula sampai ke kampung,” getusnya dalam hati.

            Sesampainya di bilik, Syilla berasa hairan kerana katil Nur telahpun siap dikemas.  Barang-barang Nur juga telah tiada.  Syilla betul-betul kebingungan.  Dua-tiga kali Syilla meninjau ke dalam almari pakaian untuk memastikan apa yang dilihatnya. Akhirnya dia akur.  Syilla terfikir sendiri, mungkin Nur telah mengemaskan barang-barangnya dariawal.  Cuma dia yang tidak perasan.  Mungkin juga Nur memang ingin cepat pulang.  Walau bagaimana pun, Syilla sedikit kesal kerana Nur tidak berjumpa dengannya terlebih dahulu sebelum pulang.

            Setelah siap berkemas, Syilla terus turun ke lobi lalu menguruskan pendaftaran keluar dari biliknya.  Pada masa yang sama, perasaan ingin tahunya masih lagi membuak-buak. Dia mahu benar-benar memastikan Nur telahpun mendaftar keluar dari hotel tersebut.

            “Encik,boleh tak kalau saya nak pastikan sama ada kawan saya dah ‘check-out’ ke belum?”  Tanya Syilla sebaik tiba di kaunter pendaftaran.

            “Siapa nama kawan cik ye?”  Tanya petugas hoteltersebut.

            “Nurani bt Mohd,” jawab Syilla.

            “Takada pula ‘guest’ bernama Nurani bintiMohd,” jelas petugas tersebut setelah memeriksa komputernya.

            “Tak ada? Eh! Biar betul dik.  Roommate akak tu.  Cuba cek sekali lagi,”tukas Syilla.  Mungkin petugas tersebut tersalah pandang.  Petugas tersebut terus memeriksa senarai di komputernya semula.

            “Betul Cik, tak ada,” kata petugas itu, agak serba salah.  Syilla mula berasa tidak sedap hati.

            “Dia peserta seminar ke?”  Tanya petugas itukemudian.

            “Haa.  Iya. Betul, betul.  Dia pesertaseminar.  Awak ada senarai nama peserta?  Boleh tolong periksa senarai tutak?”  Tanya Syilla kurang sabar.

            Setelah memeriksa senarai nama peserta seminar, petugas hotel tersebut terus menggeleng.

            “Takada juga, nama dia dalam senarai ni,” kata petugas tersebut sambil menghulurkan senarai nama tersebut kepada Syilla. Cepat-cepat Syilla memeriksa senarai nama tersebut.  Dia benar-benar hairan kerana nama Nur tiada langsung tersenarai di helaian tersebut.

            Tiba-tiba Syilla teringatkan sesuatu.  “Oh ya!.  Kawan saya tu, sebelum ni check-in di bilik 2517.  Cuba check bilik tu.  Guest tu dah check-outke?”  Tanya Syilla agak lega kerana fikirnya, sudah pasti Nur didaftarkan di bilik tersebut.

            “2517?”  Tanya petugas tersebut.

            “Ye.  2517. Bilik hujung tu,” terang Syilla.

            “Cik pasti kawan cik tu dari bilik 2517?” Tanya petugas itu lagi.  Wajahnya kelihatan berubah.

            “Ye.  Dia memang dari 2517, lepas tu dia share bilik dengan saya.  Tapi dia tak check-out pun dari bilik dia masa tu. Cuba check, semula” arah Syilla. 

“Cepatla periksa dik,” gesa Syilla agak kurang sabar apabila dilihatnya petugas tersebut tidak berbuat seperti yang disuruh.

Petugas terus diam sambil cuba memikirkan sesuatu.  “Saya rasa, kawan cik tu, Nurani binti Ahmad, dan bukan binti Mohd, kan?”  Soal petugas tersebut.

Syilla seperti memikirkan sesuatu.  “Eh! Ya! Ya! Betul.  Nurani binti Ahmad.  Tersilap pulak saya.  Jadi, betullah dia ada “check-in di hotel ni ye?” Muka Syilla kelihatan berseri semula.

Petugas hotel tersebut terus terdiam.  “Sekejap ya cik.  Saya panggil pengurus saya.”

“Pengurus?  Kenapa sampai kena panggil pengurus ni?  Saya cuma nak tau pasal kawan saya je,” tanya Syilla hairan. 

“Sekejap ye.  Nanti pengurus saya terangkan pada cik.”  Dia terus mendail telefon di hadapannya dan berkata sesuatu.  Seketika kemudian kelihatan seorang lelaki yang lengkap berpakaian suit dengan logo hotel didadanya, menghampiri Syilla.

“Cik Syilla?”  Tegur lelaki berkenaan.  Syilla mengangguk, sebal.

“Mari kita ke sana sebentar.”  Pengurus hotel tersebut mengajak Syilla kesofa yang berhampiran.  Syilla hanya menurut.  Dalam hatinya tertanya-tanya apa yang terjadi kepada Nur sebenarnya.

“Cik Syilla kata kawan cik,Nurani binti Ahmad menginap di bilik 2517, betul?”  Pengurus tersebut memulakan bicara.

Syilla mengangguk.  “Kenapa encik? Ada apa-apa yang terjadi kepada kawan saya tu ke?”  Risau juga dia sekiranya berlaku apa-apa terhadap Nur.

“Selepas makan tengahari tadi,dia tergesa-gesa ke tandas.  Lepas tu saya cari dia di tandas, tak ada. Kemudian, saya naik ke bilik, tengok-tengok semua barangnya pun dah tak ada.  Macam tergesa-gesa sangat dia check-out.  Risau jugak saya kalau jadi apa-apa pada dia,” terang Syilla panjang lebar.

“Cik...  Kalau saya cerita ni, saya harap cik jangan terkejut ye,”  kata pengurus hotel tersebut, perlahan. 

Syilla semakin hairan.  Dia hanya mengangguk perlahan.  Hatinya tiba-tiba berdebar.

“Sebenarnya bilik 2517 tu dah lama kami tak buka kepada guest.  Memang tak ada sesiapa pun yang check-in ke bilik tu sejak beberapa tahun lepas,”  terang pengurus hotel tersebut agak serba salah. 

Kening Syilla berkerut.  “Saya tak faham,”  getus Syilla.

“Macam ni… Dulu, kami memang ada seorang staff yang bernama Nurani binti Ahmad.  Walau bagaimanapun, beberapa tahun lepas, dia telah ditemui mati dibunuh di bilik 2517. Kalau Cik masih ingat, berita mengenai Nurani tu memang ada keluar diakhbar dan televisyen beberapa tahun lepas,” jelas pengurus hotel tersebut panjang lebar. 

Jantung Syilla terus berdegup kencang.   Bibirnya kelihatan pucat.

“Sejak itu, semua guest di bilik itu sering di ganggu.  Sebab tu kami terus tutup bilik tu dan tak ada sesiapa lagi yang dibenarkan menggunakan bilik tu.  Tetapi sejak akhir-akhir ni,beberapa orang pelanggan kami telah mengadu diganggu, sama seperti cik,”  sambung pengurus hotel itu lagi.

Syilla terus terdiam kaku.  Dahinya mula berpeluh.  Tapak tangannya juga terasa dingin.  Seketika kemudian pandangannya terus gelap.

“Cik! Cik!” Panggil pengurus hotel tersebut, namun panggilan itu tidak lagi didengarinya.

-         TAMAT-

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zie Saila