Nama aku Aqila. Aku menuntut ilmu di
sekolah yang agak terkenal dengan kepandaiannya. Kerja rumah setiap subjek ,
setiap hari sudah menjadi perkara biasa bagi murid yang belajar di situ.
Suatu hari, aku berasa sangat letih
sejak pulang dari sekolah. Aku tertidur. Apabila aku bangun, jam di dinding
menunjukkan jam 2 pagi. Meskipun katil sedang melambai-lambai memanggilku untuk
merebahkan badan diatasnya, namun aku harus menyiapkan kerja rumah yang telah
diberi oleh guru.
Dengan malasnya, aku berjalan ke bilik
air untuk mencuci muka. Usai mencuci muka, aku memeriksa bilik tidur ibubapaku
serta bilik adik-adikku. Mereka semua tidur dengan nyenyak sekali. Melihat
mereka semua sudah tidur, membuatkan aku rasa malas untuk menyiapkan kerjaku. Aku
masuk ke bilik dan menyiapkan kerja sekolahku. Kira-kira 20 minit selepas itu ,
aku terdengar adik-adikku sedang bergelak tawa dengan ibu bapaku.
Aku terlupa bahawa mereka semua sedang
nyenyak tidur. Aku pun berlari-lari anak menuju ke ruang tamu dengan harapan
mereka semua masih dalam keadaan seperti tadi. Apabila aku tiba di ruang tamu,
gelap gelita , tv tidak terpasang dan tiada siapa pun disitu. Mungkin aku
keletihan, disebabkan itu aku melihat dan mendengar perkara pelik. Aku
berhasrat untuk tidur untuk menenangkan fikiran.
Baru sahaja aku merebahkan badan aku di
atas katil, aku dengar ada sesuatu mengetuk tingkap bilikku sebanyak 5 kali.
Aku tidak panik, malah aku memberanikan diri menghampiri tingkap. Tiba-tiba
bekalan elektrik terputus. Aku menjerit. Ayahku terjaga dan datang menjengukku.
Aku ketakutan lalu memeluk ayahku kerana terlalu terkejut. Ayah aku memasang
lilin dalam bilik aku dah membuka tingkap lalu memesan kepadaku supaya tidur.
Lalu aku tertidur.
Keesokan paginya , aku berlari
mendapatkan ayahku untuk mengucapkan terima kasih tentang hal semalam. Namun
ayahku tertanya-tanya. Hal semalam? Ayah aku menafikan bahawa dia datang ke
bilikku dan datang meletakkan lilin. Ayah aku jarang untuk bergurau tentang
hal-hal yang sebegini.