Home Cerpen Seram/Misteri Banglo Usang Kampung Cermai
Banglo Usang Kampung Cermai
Zulfati Hanis
4/4/2013 21:39:14
4,522
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Perlahan-lahan Helmi berjalan di lorong kecil yang ditumbuhi lalang. Sejak dari hari pertama dia menjejakkan kakinya di Kampung Cermai, dia sudah tekad untuk melihat banglo usang yang dikatakan penuh misteri dan turut juga dikatakan berhantu ini dari dekat.

Mengikut kata Tuk Aki, banglo ini dibina oleh pasangan suami isteri yang kaya pada era 70an dulu. Tapi lepas setahun mereka tinggal di banglo ini satu-satunya anak perempuan mereka dilaporkan hilang. Puas polis dan orang kampung tolong mencari. Tapi sampai sudah tidak berjumpa. Kecewa dengan apa yang berlaku pasangan itu mengambil keputusan untuk berpindah. Tinggallah banglo itu kosong dan tidak berjaga. Akhirnya menjadi usang seperti sekarang ini.

Kata Tuk Aki lagi ada bermacam-macam teori orang berikan. Antaranya anak pasangan itu disembunyikan oleh orang bunian. Ada juga orang kata kena makan dengan binatang buas. Bila difikirkan teori itu semua kecut juga perutnya. Tapi keinginan untuk melihat banglo usang ini menarik-narik hatinya.

Semakin kakinya menghampiri semakin dirinya berdebar. ‘Duk dak…duk dakk…dukk..dakk…’ Dada Helmi berdebar kencang. Kini dia sudah betul-betul berdiri di depan banglo usang ini. Peluh membasahi leher dan dadanya.

“Aaaaaaaahhhhh…Uuuuhhhhh!..” tiba-tiba Helmi mendengar suara orang mengaduh dari dalam banglo usang itu.

Spontan Helmi melompat ketakutan. Dia terus lari sekuat hatinya. Dia terus memecut laju tanpa ingin menoleh ke kiri, kanan dan apatah lagi ke belakang. Sampai di rumah dia terus duduk di tangga dengan nafas tercunggap-cunggap. Seram sejuk seluruh badannnya.

Wan yang muncul dari laman belakang memandang muka pelik Helmi, cucunya.

“Kamu ni kenapa Mi?” tanya Wan.

“Ta…Takut, Wan. Tadi Mi pergi banglo usang tu. Tiba-tiba dengar suara orang mengerang. Terus Mi pecut balik rumah.” Cerita Helmi dengan suara tergetar-getar. Gemuruhnya masih ada lagi.

“Ya ALLAH!...yang kamu pergi sana tu buat apa? Saja nak cari penyakit. Tuk Aki kan dah pesan jangan nak pergi sana.” Bebel Wan sambil membetulkan tudung yang membalut kepalanya.

“Mi bukan apa Wan. Mi nak tahu betul ke cerita-cerita yang Mi dengar selama ini pasal banglo tu.” Helmi mempertahankan dirinya.

Wan mengeleng sambil dia pun turut duduk di sebelah Helmi. Bahu Helmi ditepuk mesra.

“Dah. Jangan nak pergi sana lagi. Kalau apa-apa jadi kat kamu nanti macam mana? Mama dengan Papa hantar kamu ke sini masa cuti sekolah untuk teman Wan dengan Tuk Aki. Bukannya cari penyakit. Pergilah naik. Pergi mandi. Busuk dah bau badan tu.”

Tanpa membantah Helmi bingkas bangun dan meniti anak tangga anjung untuk masuk ke dalam rumah papan milik Tuk Aki dan Wan.


Sejak peristiwa itu seminggu jugalah Helmi tidak terfikirkan pasal banglo usang itu. Dia pun sengaja tidak gunakan jalan yang berhubung dengan lorong kecil menuju ke banglo usang itu.

Namun keinginannya untuk meneroka banglo usang itu kembali semula pagi ini. Helmi dengan berbasikal berkayuh menuju ke rumah Naufal. Dia ingin mengajak Naufal kali ini untuk menemaninya ke banglo usang itu.

“Assalamualaikum!...” Helmi terintai-intai mencari kelibat Naufal.

“Waalaikumussalam.” Naufal menjawab salam.

Dia melangkah turun mendapatkan Helmi yang tersengih memandangnya.

“Apa hal kau datang pagi-pagi ni?” tanya Naufal sambil menepuk bahu Helmi.

Helmi mendekatkan mukanya ke telinga Naufal. Dia membisikkan hasratnya kepada Naufal. Tak mahu perkara ini diketahui oleh orang lain.

Wajah Naufal berubah. Dia menjarakkan badannya daripada Helmi.

“Kau dah gila ke, Mi? Rumah tu ada hantu, lah!” terkuat suara Naufal yang terkejut dengan hasrat Helmi.

“Syyyy…slow sikit cakap tu. Nanti orang tahulah.” Helmi meletakkan jari telunjuknya di bibir. Takut juga dia kalau-kalau emak Naufal dengar. Mahu telinga mereka berdua berdarah kena bebel dengan Mak Som nanti.

“Aku tak mahu ikutlah. Kerja gila tu.” nada suara Naufal kembali normal.

“Alaaa…Naufal, bukannya kau pergi seorang. Kita berdua. Jomlah.” Helmi memujuk Naufal untuk mengikutnya. Kalau dia pergi seorang dia pun takut juga.

Hati Naufal berbelah bagi untuk mengikut Helmi. Banglo usang itu memang menakutkannya sedari dulu lagi. Tiada sesiapapun dikalangan orang kampung ini yang berani untuk mendekati banglo itu. Naufal menghela nafas panjang.

“Jomlah. Kita pergi kejap aje. Lagipun siang lagi ni. Jomlah.” Helmi mendesak.

“Yalah…Yalah…aku ikut. Tapi janji tau. Jangan lama-lama sangat.”

Helmi tersenyum lebar bila Naufal setuju untuk mengikutnya. Selang beberapa minit dia dan Naufal berbasikal bagi merealisasikan impian Helmi untuk meninjau keadaan sebenar banglo usang yang menjadi misteri sehingga kini.

Naufal dan Helmi masing-masing memberhentikan basikal saat menghampiri lorong kecil yang ditumbuhi lalang kiri dan kanan. Masing-masing menelan liur. Helmi menoleh memandang Naufal. Helmi mengangguk. Naufal turut mengangguk sama.

Baru mereka berdua ingin bergerak menuju lorong kecil itu ada orang sergah dari belakang.

“Woi!...Jangan pergi sana!”

Helmi menoleh kebelakang. Keningnya berkerut bila ternampak Tim gadis tomboy menghampiri mereka.

“Ada hantulah kat rumah tu. Jangan pergi!” laung Tim lagi sambil mempercepatkan kayuhannya.

“Alaaa…kau ni sibuk ajelah, Tim.” Rungut Helmi.

“Apa kau orang nak buat ni ha?” soal Tim sebaik menghampiri Naufal dan Helmi.

“Kita orang nak tengok apa ada kat rumah tu.” Naufal menunjuk ke arah banglo usang itu.

“Ja…jangan pergi. Nanti hantu tu makan kau.” Kata Tim dengan wajah cemas.

“Mi jomlah kita balik. Aku takutlah.” Naufal sudah berbolak-balik hatinya. Takut juga kalau betul ada hantu dan akan memakan mereka nanti.

“Weeiii…kau orang ni janganlah macam ni. Siang-siang ni mana ada hantu. Kita pergi kejap aje.” Pujuk Helmi.

Tim dan Naufal diam tidak menjawab. Helmi mendengus.

“Kalau kau orang tak nak sudah. Aku nak pergi jugak.” Tanpa menunggu lagi Helmi melangkah sendirian memasuki lorong kecil yang kelihatan menyeramkan. Dia tekad untuk pergi sendiri bila sudah alang-alang berada di sini.

Tim dan Naufal saling menjungkit bahu dan akhirnya turut melangkah mengekori Helmi dari belakang. Mereka berdua hampir terlanggar Helmi bila dia berhenti melangkah mengejut.

“Kau dah kenapa berhenti mengejut ni?” soal Tim dengan kerutan didahinya.

“Aku rasa macam ada orang kat dalam rumah usang tulah.” Jawab Helmi dengan matanya terarah ke rumah banglo usang itu. Tadi dia seperti nampak kelibat seorang budak perempuan sebaya mereka.

Naufal menelan liur. Perutnya sudah kecut. Sudah terbayang hantu Korea ‘Ju On’ diruang matanya.

“Wei, kau orang. Entah-entah hantu Ju On kot kat dalam rumah tu.” bisik Naufal yang sudah dikuasai perasaan takut.

Helmi dan Tim saling berpandangan. Mereka menelan liur juga. Kalau betul sempat ke mereka lari nanti.

“Jomlah balik kau orang. Aku dah kecut perut ni,” gesa Naufal yang semakin dihantui perasaan takut.

“Alah…alang-alang kita dah sampai ni apa salahnya kita masuk kejap. Aku nak tengok aje. Jomlah.” Helmi beralasan.

Helmi melangkah. Tim turut sama melangkah. Naufal mengaru pipinya. Dia pandang kiri dan kanan. Sekali lagi dia menelan liur. Bunyi cengkerek dan unggas hutan membuatkan jantungnya berdegup semakin kencang.

“Tolongggggg!!!...” kedengaran suara Helmi dan Tim meminta tolong.

Mata Naufal terbeliak besar sambil terarah ke banglo usang didepannya. Kakinya tak mampu digerakkan. Terkencing juga dia di dalam seluarnya.

“Tolongggggg!!!...” kedengaran suara Helmi dan Tim meminta tolong sekali lagi.

Tanpa menunggu lama Naufal yang baru dapat mengerakkan kakinya berlari pecut meninggalkan kawasan banglo usang itu.

“Tolong!...Ju On makan Helmi dengan Tim!” terjerit-jerit Naufal sambil berlari lintang-pukang.


Helmi membuka perlahan-lahan kelopak matanya. Kepalanya masih terasa sakit akibat dipukul dengan benda tumpul dari belakang. Dia cuba mengangkat tangannya. Tapi tanggannya berikat. ‘Eh, siapa yang ikat aku ni?’ getus Helmi dalam hati. Dia cuba melepaskan dirinya. Tapi ikatan pada tangannya amat kuat.

“Uuuuhhhhh!..” Tim mengadu sakit.

“Tim!...Kau okay tak?” Helmi berbisik kepada Tim yang baru tersedar dari pengsan.

Sama seperti Helmi tadi Tim juga diikat tangannya ke belakang.

“Siapa yang pukul kita ni, Mi?” tanya Tim yang masih kepeningan.

“Entah. Aku pun tak perasan tadi. Lepas kena pukul aku terus pengsan.” Ujar Helmi yang masih berusaha untuk melepaskan dirinya.

“Ki…” belum sempat Tim berkata Helmi mengarahkan dia untuk diam.

“Syyy…ada orang datang. Tipu-tipu pengsan semula.” Arah Helmi dengan nada berbisik.

Helmi dan Tim berpura-pura pengsan. Pintu bilik terbuka dan dari kelopak mata yang dibukak sedikit Helmi dan Tim dapat melihat 2 pasang kaki melangkah masuk.

“Humm…budak-budak ni pengsan lagi. Kita nak buat apa sekarang ni?” kedengaran suara garau bertanya.

“Kau dah kemas semua barang-barang kita ke? Kita kena keluar cepat dari sini. Aku rasa pasti orang kampung akan mula cari budak-budak ni.”

“Dah. Duit degan barang rompakkan tu macam mana? Bila kita nak bahagikan?”

“Mmm…kita tak boleh bahagikan sekarang ni. Tempat ni dah tak selamat. Kita kena cari pot lain dulu. Lepas tu baru kita bahagikan sama banyak. Apa macam?”

“Okay. Tapi budak-budak ni macam mana pulak?”

Salah seorang daripada mereka duduk mencangkung berhampiran dengan Helmi dan Tim. Dikesempatan itu Helmi dapat melihat secara samar-samar wajah orang yang mengikat mereka. ‘Macam kenal aje muka mamat ni. Mmmm…Ha!..dia ni bukan ke perompak yang merompak kedai emas kat pekan minggu lepas. Muka dia dah terpampang kat tv.’ Bisik Helmi dalam hati. Dia kini pasti mereka inilah yang menyerang dia dan Tim tadi. Tak syak lagi.

“Kau bawak budak-budak ni ke belakang, kat perigi buta tu. Kita habiskan dia orang kat situ.”

Helmi dan Tim menelan liur. Kecut perut mereka bila mendengar arahan salah seorang daripada penjahat itu. Mereka bakal dibunuh.

Seperti yang dirancangkan mereka mengangkat Tim dan Helmi seperti mengangkat guni beras gayanya. Sampai berhampiran dengan perigi buta mereka berdua dicampakkan ke tanah.

“Argh!..” Serentak itu Helmi dan Tim mengadu kesakitan.

“Bangun pun!” sergah salah seorang dari pada 2 orang penjahat itu. Wajahnya bengis dengan parut panjang merentas pipinya.

Tim berusaha untuk melepaskan tangannya. Tiba-tiba rambutnya direntap kasar oleh penjahat yang bertubuh sedikit gempal berbanding dengan lelaki berparut tadi.

“Aaaaa….sakitlah!” Tim mengaduh sakit.

Lelaki bertubuh gempal dan berparut itu ketawa gembira.

“Kau orang nak buat apa pada kami, ha?” Helmi memberanikan dirinya menyoal penjahat berdua itu.

“Huhuhu…beraninya budak ni!” lelaki berparut itu menunjal kepala Helmi.

Helmi cuba melawan.

“Hari tu aku dah sergah kau, ingatkan kau dah tak datang sini lagi. Rupanya kau ni degil ek.” Kata lelaki berparut itu sambil mencekak mulut Helmi.

Helmi berusaha untuk melepaskan dirinya. Mulutnya terasa sakit.

“Woi! Lepaskan kami!” Tim menjerit keras.

“Kau diamlah!” lelaki gempal itu melayangkan penampar ke pipi Tim.

Bila kepala tidak boleh digerakkan. Tangan juga sama. Jalan terakhir hanya tinggal kaki. Helmi menggunakan kakinya untuk menyepak celah kangkang lelaki berparut itu.

“Aaaaaa…” Lelaki berparut itu mengerang kesakitan sambil berguling-guling di atas tanah.

Lelaki bertubuh gempal mendapatkan kawannya yang mengerang kesakitan.

“Tim!...Lari!...” dikesempatan itu Helmi ambil untuk melepaskan diri mereka.

Tim dan Helmi berlari sekuat hati.

“Kejar…Kejar…Kejar budak-budak tu! Jangan bagi terlepas.” Arah lelaki berparut itu dalam keadaan yang sakit akibat disepak tadi. Dia berusaha untuk bangun.

Dia dan lelaki bertubuh gempal itu bingkas bangun dan mengejar Tim dan Helmi. Tapi bila mereka berlari meredah bahagian depan banglo usang itu, larian mereka terhenti tiba-tiba. Keduanya terkejut dan mereka berusaha untuk berpatah balik ke belakang semula. Tapi usaha yang sia-sia.

“Angkat tangan! Kami Polis!”

Mereka sudah dikepung oleh anggota Polis dan ada juga beberapa orang kampung di situ. Dua orang budak yang menjadi tawanan mereka pun ada bersama dengan mereka.


“Papa! Berhenti kejap.” Pinta Helmi tiba-tiba.

Berdecit bunyi tayar kereta kerana berhenti mengejut. Encik Zainudin dan Puan Zalora menoleh kebelakang.

“Kenapa Mi?” tanya Puan Zalora cemas.

Tanpa menjawab Helmi membuka pintu kereta. Dia berdiri berhampiran dengan kereta dan mengadap banglo usang yang sudah dibersihkan sekitarnya. Semua itu dilakukan oleh orang kampung atas alasan tidak mahu rumah itu dijadikan sarang penjenayah dan penagih dadah lagi.

Helmi merenung banglo itu lagi. Tadi sewaktu dia di dalam kereta dia nampak kelibat seseorang melintasi banglo itu. Sedang kepalanya mengintai-ngintai matanya dapat menangkap sekujur tubuh dibalik tingkap yang separah pecah. Itulah gadis yang pernah dia lihat sebelum ini. Gadis itu berbaju putih krim dengan rambut diikat dengan reben merah memandangnya.

‘Duk dak…duk dakk…dukk..dakk…’ Dada Helmi berdebar kencang. Dia lantas masuk ke dalam kereta dengan pantas.

“Jalan Papa.” Gesa Helmi tanpa memandang banglo itu lagi.

Tanpa banyak tanya Encik Zainudin memandu kembali. Helmi terus diam membisu. Jantungnya masih lagi berdegup kencang. Tadi dia nampak gadis itu tersenyum padanya sambil kepala gadis itu berpusing 360 darjah. Maknanya betullah banglo usang itu berhantu. Helmi mengigil keseraman.

TAMAT.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.