Home Cerpen Seram/Misteri KAWAN
KAWAN
Zie Saila
19/4/2019 11:48:13
4,403
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

     Suraya menjerit.Dia bertambah marah apabila tangan dan kakinya dipegang kuat. Orang-orang disekelilingnya dipandang garang. Matanya merah merenung ke arah kakak-kakaknya dan dua-tiga orang kawannya yang sedang bertungkus lumus melawan tenaga Suraya yang ternyata tidak seperti biasa .

      “Lepaskan aku!” Jerit Suraya. Namun, suara garau yang keluar dari mulutnya ternyata bukan suara Suraya.

    

     “Kenapa kau kacau dia?” Tanya ustaz Kamil. Rambut di ubun-ubun Suraya dipegang kejap.

 

     “Aku mahukan dia! Aku suka dia!” Suara garau itu kedengaran lagi.

 

     “Kenapa kau suka dia?” Jerkah ustaz Kamil pula.

 

     “Aku suka berkawan dengan dia! Dia suka layan aku! Dia suka bercakap dengan aku!” Kata suara garau itu lagi.

 

     Suraya terus meronta-ronta. Kakak-kakaknya dan kawan-kawannya terus memegangnya dengan lebih kuat.

 

     “Keluar! Atau aku bunuh kau!” Perintah Ustaz Kamil.

 

     “Aku tak mau! Dia yang ajak aku balik!” Jerit Suraya lagi dengan suara garaunya. Wajahnya merah seperti menahan marah.  Matanya tajam merenung Ustaz Kamil.

 

Sehari sebelum itu...

 

     Suraya meneliti kertas kerja di atas mejanya. Semuanya perlu disiapkan hari itu juga. Kesemua rakan-rakannya telah meninggalkan pejabat, sementelahan jam telah menunjukkan pukul enam setengah petang.

 

     Sedang leka menaip sesuatu di komputernya.  Suraya terdengar seperti kerusi di ruang kerja bersebelahan dengannya ditarik kuat.  Kening Suraya berkerut. Setahu Suraya, Azlina telah lama pulang. Suraya menjenguk. Tiada sesiapa di situ. Suraya hanya menggeleng dan terus menyambung kerjanya kembali.

 

     Seketika kemudian,Suraya terdengar pula seperti seseorang sedang menaip di komputer. Kali ini dari meja di belakangnya pula. Hati Suraya mula tidak senang. Dia tahu, Zamri juga telah meninggalkan pejabat tepat jam lima setengah petang tadi.

 

     “Kau nak main,mainlah. Jangan kacau aku, ya,” kata suraya, seperti bercakap dengan seseorang.

 

     Selepas itu Suraya terdengar pula seperti satu suara garau sedang bercakap-cakap.

 

     “Kau cakap apa tu?Jangan bising-bising ye, aku nak buat kerja, aku tak suka bising- bising” tegur Suraya lagi. Suara itu terus tidak kedengaran lagi.

 

     “Hmm... bagus jugakkau ni, dengar cakap,” ujar suraya sambil tersenyum sendiri. Kerja-kerjanya disambung semula. 

 

     Jam telah menunjukkan pukul tujuh setengah petang. Kebetulan pula Suraya tidak boleh bersolat, jadi dia terus sahaja khusyuk menyiapkan kerja-kerjanya.

 

     Tiba-tiba Suraya terdengar seperti bunyi laci ditarik. Suraya mengeluh. “Haihh... dia buat lagi,” gerutu Suraya.

 

     “Kau mainlah apa yang kau nak main, asalkan jangan ganggu aku, jangan muncul depan aku, okey?” Suara Suraya lagi. 

 

     Tiba-tiba terdengar seperti satu suara garau tertawa kecil. Suraya tersentak. Kecut juga perutnya.Namun Suraya cuba memberanikan diri dan cuba bertenang.

 

     Akhirnya, Suraya dapat juga menyelesaikan tugasannya setelah jam tepat menunjukkan pukul lapan empat puluh lima malam. Setelah segala kerjanya disimpan, Suraya cepat-cepat mengemas barang-barangnya. 

 

     “Yes! Kerja aku dah siap. Jom balik!” Ujar Suraya sambil tersenyum puas.  ‘Earphone’ disumbatkan ke telinganya. Lagu K-Pop dipasang kuat. 

 

     Suraya melangkah santai menuju ke lif sambil bernyanyi-nyanyi kecil mengikut lagu K-Pop yang didengarinya.

 

     Di belakangnya, pintu pejabat yang telah ditutup, terbuka semula dan tertutup kembali. Dan, tanpa disedari oleh Suraya, sesuatu sedang berjalan dan mengikut langkahnya hingga ke kereta.

 

     Sampai di hadapan keretanya, bahu Suraya dicuit. Sebaik sahaja Suraya menoleh, matanya terus terbeliak dan mulutnya terlopong...

 

- TAMAT -

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zie Saila