Home Cerpen Lucu Ejen
Ejen
Hana Mizari
14/3/2018 00:28:59
5,979
Kategori: Cerpen
Genre: Lucu

Kelihatan kelibat seseorang memakai baju serba hitam dan berkelubung hitam di dalam sebuah bilik yang gelap. Kelibat itu sedang berjalan mundar-mandir di dalam bilik itu. Sebatang lilin yang diletakkan di atas meja menerangi seluruh bilik itu. Beberapa orang sedang duduk mengelilingi meja itu menantikan ucapan daripada sang kelubung hitam. Mereka nampaknya sedang bermesyuarat.

Tiba-tiba sahaja salah seorang yang sedang duduk menanti ketua mereka memulakan mesyuarat mengangkat tangan dan melaungkan, "For the illuminati!" Laungan bersemangat itu disambut dengan sorakan bersemangat daripada ahli mesyuarat yang lain. Ketua mereka bertindak menenangkan mereka dan menyuruh mereka duduk semula di kerusi masing-masing.

Sang kelubung hitam itu pun bersuara, "Baiklah ahli-ahli Illuminati semua, mari kita mulakan mesyuarat!" Mendengarkan arahan ketua mereka, seorang demi seorang ahli mesyuarat itu bangkit untuk membentangkan laporan mereka.

"Saya wakil dari agensi perisikan CIA ingin melaporkan keadaan di negara saya terkawal," ujar Munirah yang duduk di bahagian hadapan.

"Saya ejen MI6, ejen 006 melaporkan bahawa keadaan negara bawah jagaan saya terkawal." Fazirah di sebelahnya pula memulakan bicara.

"Saya wakil dari Planet Xorox ingin menyampaikan mesej khas daripada Maharaja Empayar Xorox bahawa mereka akan menakluki planet kita tidak lama lagi," berkata Risya yang duduk bersetentangan dengan Munirah.

"Saya ejen Burkina Faso ingin melaporkan bahawa keadaan negara saya aman, damai dan tenteram," ujar Syahindah pula.

"Saya ejen penapis air dan air yang berada di bawah seliaan saya ditapis dengan sempurna," berkata Sabrina dengan nada selamba.

Tiba-tiba sahaja cahaya yang amat terang menerjah ke bilik itu. Ahli-ahli mesyuarat itu semua terkejut lalu menutup cahaya itu dengan lengan mereka. Sang kelubung hitam itu juga turut terkejut lalu membuka kelubung yang dipakainya.

"Oi, Yusri silaulah!" teriak sang kelubung hitam yang telah membuka kelubung hitam dan menampakkan wajahnya. Yusri berdiri dengan selamba sambil memegang langsir bilik itu yang baru dibukanya. Dia pun mengatakan sesuatu, "Sudah-sudahlah tu Najla."

Najla yang berang itu pun membalas, "Yusri, tutup semula langsir itu, jika tidak aktiviti rahsia kita akan terbongkar!"

Yusri membuat muka, malas mendengar bebelan Najla. "Aku rasa membazir je korang semua bakar lilin tu lepas tu tutup langsir bilik ni sampai gelap sedangkan kat luar sana matahari memancar terik. Sebab tu aku nak biarkan cahaya matahari masuk ke dalam bilik ini," ujar Yusri dengan nada sinis.

Risya yang berada paling hampir dengan lilin itu meniupnya sampai padam. Sementara itu ahli-ahli lain hanya memerhatikan sahaja pertengkaran mereka berdua itu.

Najla semakin berang. Dia bertindak mengejar Yusri. Yusri lari bertempiaran menyelamatkan diri daripada bilik itu. Pintu bilik itu dihempasnya dengan kuat. Bergoyang-goyang label 'KELAB PENYIASATAN TEORI KONSPIRASI' di pintu bilik itu. Tidak lama kemudian Najla pula keluar dari bilik itu dan mengejar Yusri yang telah jauh meninggalkan bilik itu.

Kelakuan mereka berdua itu diperhatikan seorang pelajar sekolah itu yang kebetulan berada di situ. "Kalau dah chuuni tu chuuni jugalah," desis pelajar itu di dalam hati.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.