Home Cerpen Kanak-kanak SAYANGKU SI PUTIH
SAYANGKU SI PUTIH
Amirah Nabilah
11/6/2016 15:57:02
6,804
Kategori: Cerpen
Genre: Kanak-kanak

            Pada suatu pagi yang indah, Danial mengikuti ayahnya, Encik Mustafa ke bandar untuk membeli barang keperluan dapur yang dipesan oleh ibunya, Puan Mariam. Oleh kerana hari tersebut hari Ahad, ayahnya mahu membawa Danial pergi ke bandar kerana Danial bosan bermain seorang sahaja di rumah. Danial merupakan anak tunggal Encik Mustafa dan Puan Mariam. Apabila hari cuti sekolah, ibu bapanya membawanya keluar atau bersiar – siar. Namun, Danial tetap bosan kerana tiada teman untuk bermain bersamanya.

            Dalam perjalanan ke bandar, Danial ternampak seekor kucing yang cacat kaki sebelah kanan sedang menuju ke arah tong sampah. Kucing itu ingin mencari makanan di dalam tong sampah tersebut. Danial yang melihat kucing cacat itu berasa sangat sedih dan sayu. Dia teringat akan kata – kata ustazahnya di sekolah. “Kucing merupakan haiwan kesayangan Nabi. Jika kita memeliharanya, kita akan dapat pahala dan juga akan membuka pintu rezeki kita”. Danial terus tersenyum sendiri..

            “Ayah, boleh tak kita berhenti sekejap di tepi jalan ini?” pinta Danial. Ayahnya berasa hairan lalu memberhentikan keretanya. Danial terus membuka pintu kereta dan menuju ke arah kucing itu. Kucing itu sangat comel kerana berwarna putih, bulunya cantik dan matanya berwarna kelabu. Meow !Meow ! Meow ! Kucing itu pergi ke arah Danial dan bergesel manja di kaki Danial. Danial membelai kucing itu dengan lembut. Ayahnya berasa hairan melihat kelakuan anaknya itu tetapi tersenyum kerana Danial mempunyai hati yang sangat baik dan penyayang.

            “Ayah, Danial nak minta izin boleh tak?”, Tanya Danial dengan lembut. Ayahnya menjawab “Apa dia sayang?”. “Boleh tak kalau Danial nak ambil kucing ni? Danial nak jaga dia di rumah kita nanti. Ustazah pernah beritahu yang kucing ni haiwan kesayangan Nabi dan kita akan dapat pahala kalau memeliharanya. Nanti pintu rezeki kita akan terbuka. Danial kesian lihat dia dalam keadaan cacat macam tu. Danial janji akan jaganya dengan baik. Lagipun nanti Danial boleh bermain dengannya”, pinta Danial sambil merayu. Ayahnya terdiam dan memikirkan perkara itu seketika. Kalau ambil kucing itu, Danial ada teman untuk bermain. Nampaknya Danial seperti sayang akan kucing itu. Ayahnya bercakap dalam hati. “Boleh sayang. Ayah izinkan Danial memelihara kucing itu tetapi Danial mesti berjanji akan jaga kucing itu baik – baik dan akan belajar bersungguh – sungguh”, jawab ayahnya sambil tersenyum. Danial melompat keriangan. “Terima kasih ayah. Danial janji ayah. Sayang ayah”, kata Danial sambil memeluk ayahnya.

            Danial terus mengambil kucing itu dan masuk ke dalam kereta. Danial membelai kucing itu dan mencium mukanya. Meow ! Meow ! Meow ! Kucing itu sangat manja. Danial melihat bulu kucing itu berwarna putih lalu dia mendapat idea untuk memberi nama kucing itu. “Disebabkan kau berwarna putih, aku beri kau nama Si Putih”, kata Danial kepada kucing tersebut. Meow !  Meow ! Meow ! Kucing itu seperti suka akan nama yang diberikan oleh Danial.

            Ketika sampai di pasaraya, Danial memberitahu ayahnya bahawa dia ingin membeli barang untuk kucing. Danial membeli sangkar kucing, makanan kucing, bekas kucing, sabun mandi kucing dan barang keperluan kucing yang lain. Ayahnya tersenyum melihat gelagat anaknya yang semangat untuk memelihara kucing. “Nanti balik rumah, kita main sama – sama okay? Kau akan tinggal di tempat yang selesa bersama kami”, katanya kepada Si Putih. Danial tidak sabar untuk bermain dengan Si Putih di rumah.

            Sampai sahaja di rumah, Danial terus memanggil ibunya.“Ibu ! Ibu ! Cuba lihat apa yang Danial bawa balik”, ujar Danial dengan riang, Ibunya yang hairan terus pergi ke arahnya. Ibunya terkejut melihat Danial membawa seekor anak kucing yang comel tetapi cacat. “Danial ambil kucing ni di mana?”,soal ibunya yang bimbang jika Danial mengambil kucing orang lain tanpa izin.“Danial ambil kucing ni di tepi jalan. Dia tengah cari makanan di tong sampah.Danial kesian melihat keadaan dia yang cacat. Ustazah pernah cakap kucing ni haiwan kesayangan Nabi dan kita dapat pahala kalau memeliharanya. Danial janji akan jaga Si Putih dengan baik dan akan belajar bersungguh – sungguh. Danial dah beli barang keperluan untuk Si Putih”, jelas Danial sambil merayu agar ibunya mengizinkan Si Putih tinggal bersamanya. Ibunya tersenyum mendengar penjelasan Danial yang bersungguh – sungguh mahu memelihara Si Putih. Dia bangga melihat anaknya yang mempunya hati sangat baik. “Baiklah sayang. Ibu izinkan Si Putih tinggal bersama kita”, ujar ibunya sambil tersenyum.

            Danial melompat keriangan lalu membawa Si Putih kebiliknya. Danial meletakkan sangkar Si Putih di luar biliknya supaya memudahkan Si Putih untuk berjalan ke biliknya. Danial bermain dengan Si Putih. Meow !Meow ! Meow ! Si Putih sangat gembira tinggal bersama keluarga Danial di rumah itu. Pada waktu malam, ketika Danial sedang mengulang kaji pelajaran, Si Putih akan menemaninya di sebelah. Ibu dan ayahnya gembira melihat Danial yang semakin hari semakin rajin untuk mengulang kaji pelajaran walaupun selalu bermain dengan Si Putih.

            Setiap kali balik dari sekolah, Si Putih akan menunggunya di pintu biliknya seolah – olah tahu bahawa tuannya itu akan pulang tidak lama lagi. Danial tidak pernah abaikan pelajarannya walaupun dia sentiasa bersama Si Putih. Ketika waktu makan pula, Si Putih juga turut makan di bawah meja sebelah kakinya. Ke mana sahaja Danial pergi, Si Putih akan mengekorinya walaupun dalam keadaan cacat. Danial sentiasa meletakkan ubat di kaki Si Putih supaya dia akan sembuh. Si Putih sayang sangat akan Danial kerana Danial menjaganya dengan baik seperti adik – beradiknya sendiri.

            Pada hujung minggu pula, Danial akan mandikan Si Putih supaya sentiasa kelihatan bersih dan segar. Danial juga sering membawa Si Putihke klinik haiwan seminggu sekali untuk memberi suntikan kepada Si Putih supaya dapat elakkan daripada penyakit. Danial tidak mahu Si Putih jatuh sakit. Danial menjaganya dengan baik. Jika keluarganya bersiar – siar pada waktu cuti sekolah, dia juga turut membawa Si Putih bersamanya. Dia meletakkan Si Putih dalam sebuah bakul yang cantik. Dia tidak akan tinggalkan Si Putih sendirian. Ibu dan ayahnya turut bermain dengan Si Putih. Si Putih sangat manja dan mendengar kata tuannya. Danial tidak membiarkan Si Putih bermain di luar rumah sendirian kerana bimbang ada yang mengambilnya dan hilang.

            Semakin hari keputusan peperiksaan Danial semakin meningkat. Perniagaan ayahnya juga semakin maju. Danial mendapat tempat pertama untuk peperiksaan akhir tahun. Ibu dan ayahnya berasa bangga mempunyai anak yang cerdik dan baik hati seperti Danial. Danial menceritakan tentang kegembiraannya mendapat keputusan yang cemerlang kepada Si Putih. Meow ! Meow !Meow ! Si Putih seakan mengerti dan turut gembira dengan tuannya itu. Semua kejayaan ini berubah menjadi lebih baik sejak kehadiran Si Putih. Rumah itu tidak sunyi lagi. “Sayangku Si Putih!”, ucap Danial sambil memeluk Si Putih.          


                                                                                 - TAMAT -

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.