Home Cerpen Islamik CERPEN : AIR MATA MARIAM
CERPEN : AIR MATA MARIAM
Azalea Eshal
14/5/2013 21:08:57
14,806
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik


Tidak semua insan yang sempurna termasuklah aku. Semua orang tidak akan terlepas melakukan dosa. Ya, aku juga tidak terlepas. Disebabkan satu kesilapan ini, ia menghantui aku seumur hidup.

“YA ALLAH, sesungguhnya aku bertaubat. Taubat bersungguh-sungguh dan tidak akan melakukannya lagi.” Air mata aku mengalir. Betapa sedihnya hati. Kesilapan yang aku lakukan ini tiada sesiapa yang tahu termasuk keluarga aku sendiri.

“YA ALLAH, tiada ke peluang untuk aku mengecap bahagia?” Aku masih tertanya-tanya. Sejak hubungan itu terjalin, hidup aku tidak tenang. Sejak aku mengenali cinta manusia, aku lupa pada PENCIPTA. Sejak aku mengenali apa itu cinta lelaki, aku lupa batas-batas pergaulan.

Air mata penyesalan mengalir lagi.

Aku berjalan bersendirian lagi. Tiba-tiba tangan aku direntap oleh seseorang. Safwan? Apa lelaki ini buat di sini?

“Wan!” Aku terkejut. Dengan pantas aku menarik kembali tangan yang lelaki itu pegang. Aku rasa jijik di sentuh olehnya.

“Kau nak pergi ke mana? Kau tak boleh lari dari aku!” kata Safwan dengan kasar.

“Hubungan kita dah lama putus. Dah setahun. Cukuplah tu. Jangan kacau aku lagi.” Air mata yang ingin mengalir lagi, aku tahan. Aku menahannya dengan bersungguh-sungguh. Jika boleh, aku tidak mahu Safwan melihatnya sebagai wanita yang lemah.

“Aku tak peduli! Mak ayah kau sama saja. Sengaja nak menyusahkan aku. Aku cintakan kau bagai nak gila. Sekarang ni kau nak tinggalkan aku begitu saja. Tidak! Aku takkan lepaskan kau! Kalau aku tak dapat kau, orang lain pun takkan dapat. Itu janji aku!” tegas kata-kata Safwan. Sungguh aku terpegun. Janji apa ini?

“Wan, kau jangan nak buat kerja gila.” Aku tidak boleh bersabar. Dia sedang mengugut diriku.

“Aku akan sebarkan video hot kau yang aku rakam senyap-senyap.” Wan tersenyum puas. Sedangkan aku pula bagaikan ingin pengsan mendengarnya. Selalunya aku hanya dapat mesej pesanan ringkas sahaja daripadanya. Tapi hari ini, dia sendiri yang lafazkan.

Lutut aku tak kuat. Bila-bila masa aku akan rebah menimpa bumi.

“Aku akan buat apa yang aku cakap tadi! Walaupun ayah kau dah mati. Aku tetap takkan maafkan kau. Tak kan! Aku akan hancurkan hidup kau!” Safwan berlalu pergi.

Akhirnya aku terduduk. Air mata yang ditahan sejak tadi kini mengalir deras. Menitis satu persatu. Air mata penyesalan itu tidak akan merubah apa-apa. Walaupun aku menangis air mata darah sekalipun, tidak akan membuat Safwan berhenti daripada melakukannya.

Aku mengenali Safwan melalui alam maya yang semakin menjadi kegilaan remaja seperti aku iaitu Facebook. Aku sukakan dia kerana dia kelihatan alim. Pakai kopiah, selalu pergi masjid. Jika aku berhubung dan berbual dengannya melalui telefon, banyak ingatan yang dia pesan. Aku terpikat dengan keprihatinannya.

Dia pun ajak aku berjumpa. Disebabkan aku takut tapi mahu, aku berjumpa juga dia dengan ditemani oleh sahabat aku. Apabila bertemu dengan dia, apa yang dapat aku katakan, wajahnya tidaklah sekacak mana. Badan pun berisi tetapi kerana aku sudah jatuh cinta dengannya membuat aku lupa segalanya.

Sejak itu aku selalu bertemu dengannya.

“Jom jumpa!” ajak Safwan. Aku bersetuju . Makin lama aku semakin berani. Aku sudah berani menaiki motor bersamanya. Kami berpelukan tanpa ingat yang kami ini tidak halal untuk berbuat sedemikian.

Ada dia berpesan.

“Nanti kita jumpa, awak jangan pula pakai baju labuh-labuh atau baju kurung tau.” Pesannya. Apa ini semua? Lelaki yang aku kenal bagaikan watak seorang ustaz berkata begitu.

Aku pun bodoh ketika itu. Aku seperti dipukau dan mengikut katanya tanpa bantahan.

Aku? Aku jenis yang tidak berahsia terutamanya dengan emak dan ayah. Apabila aku bercinta dengan seseorang, aku akan beritahu mereka tanpa berselindung.

“Mak, adik suka dengan seseorang ni...” kata-kata aku terhenti. Ayah yang ketika itu sedang membaca surat khabar, terhenti. Dia memandang aku.

“Kalau macam tu, bawa dia berjumpa dengan mak dan ayah,” kata mak. Aku memang gembira. Begitulah adat keluarga aku. Abang dan kakak aku pun mengikut adat ini tanpa bantahan.

Aku dan Safwan berjumpa lagi. Aku gembira emak dan ayah sudi untuk berjumpa dengan kekasih aku. Kerana terlalu gembira, aku dan dia berjumpa di hotel dan kami berdua-duaan dalam bilik hotel itu.

Dia mencium wajahku. Aku pula merelakan segalanya. Baru sahaja kami hanyut sepuluh minit dengan kucupan, telefon bimbit aku berbunyi. Ayah telefon aku. YA ALLAH! Saat itu barulah aku tersedar akan keterlanjuran aku dengannya adalah dosa. Dosa yang amat besar.

Aku menjawab panggilan itu.

“Adik kat mana ni?”

“Adik... Adik kat rumah kawan ni?” Bohong aku. Air mataku ingin mengalir. Seumur hidup aku, tidak pernah lagi aku menipu dengan ayah dan emak.

“Jangan balik lewat sangat. Nanti ayah risau. Jaga diri tau. Aurat tu jaga. Sejak adik pulang hari tu, ayah nampak adik suka pakai pakaian yang ketat-ketat. Ayah tak ajar tu.” Pesan ayah. Makin tergamam aku mendengar pesan ayah.

“Baiklah ayah!” Aku tersentuh dengan keprihatinan ayah terhadap perubahan penampilan aku. Setelah talian tamat. Aku minta diri untuk pulang sahaja.

Dia memujuk aku tetapi wajah emak dan ayah buat aku bertegas dengan diri. Mujur aku dan dia tidak terlanjur yang menyebabkan mengandung. Akhirnya aku pulang ke kolej.

Pada hujung minggu, aku pulang ke rumah bersama Safwan untuk datang ke rumah. Ayah dan emak melayan Safwan dengan baik sekali. Kami makan bersama. Memang sudah menjadi kebiasaan bagi emak dan ayah melayan tetamu dengan baik.

Petang itu, Safwan pulang.

“Saya pulang dulu. Nanti apa-apa call okey?” pesan Safwan. Aku tersenyum.

Selepas makan malam, ayah dan emak memanggil aku untuk berbincang mengenai Safwan. Aku gembira dengan layanan emak dan ayah terhadap Safwan. Tentu emak suka. Aku sudah meneka sendirian.

“Duduk adik...” arah Ayah. Wajah ayah serius.

“Ayah tak suka dia jadi teman istimewa adik. Putuskan hubungan adik dengan dia.” Tegas sekali suara ayah.

“Tapi kenapa ayah? Adik tahu dia tak kacak macam suami kakak tapi dia baik ayah.” Aku rasa sedih sangat apabila mendengar kata-kata ayah. Aku cuba membela Safwan.

“Dengarlah kata-kata ayah. Mak tahu adik sedih dengan keputusan kami tapi kami lebih makan garam dari adik. Kami tahu yang mana sesuai dengan adik.” Emak cuba memujuk aku.

“Tak. Adik tetap dengan Wan!” Aku mula meninggi suara. Aku tidak pernah meninggikan suara begitu pada emak dan ayah. Tapi kerana cinta yang baru aku kenal beberapa bulan itu, aku sanggup melawan cakap ayah. Malah aku meninggikan suara.

Sejak itu, apabila ada cuti, aku tidak pulang ke rumah. Aku keluar bersama Safwan.

Pada suatu hari, dia menunjukkan sesuatu pada aku. Aku terkejut. Rakaman kami berkucupan tempoh hari yang aku anggap itu pertama dan terakhir dalam hidup aku. Entah bila dia merakamnya, aku sendiri tidak pasti. Walaupun hanya seketika kami melakukannya. Hatiku berdebar kencang. Peluh mula mengalir.

“Nak buat lagi?” soalnya. Aku rasa inilah lelaki yang paling gila pernah aku jumpa. Setelah aku beritahu keputusan ayah dan emak aku mengenai perpisahan kami, dia masih ada hati mahu melakukan perbuatan terkutuk itu.

Baru kini aku sedar, keputusan yang ayah dan emak buat adalah terbaik untuk aku. Saat aku melafazkan kata perpisahan padanya, kakak aku ternampak aku keluar bersama Safwan.

Aku juga ternampak kelibat kakak. Aku tersentak. Ya, selalunya jika aku keluar bersama Safwan. Aku akan menghubungi ayah dan emak terlebih dahulu tetapi kali ni adalah secara rahsia.

Aku rasa bersalah.

Mak hubungi aku dan bertanya mengenai kejadian yang kakak terserempak dengan aku yang sedang bersama dengan Safwan.

“Kenapa tipu mak?” nada mak sedih sangat. Aku anak yang baik dan taat tetapi sejak mengenali cinta, aku jadi seorang penipu. Pembohong emak ayah. Teruknya cinta sebegini.

Aku terdiam.

“Ayah tahu adik tipu ayah. Tapi dia nak adik yang beritahu sendiri pada ayah. Mak tak dapat nak tolong,” kata mak lagi. Ayah? Sejak kecil aku memang manja dengan ayah. Ayah sentiasa melayan aku dengan baik. Aku memang lebih rapat dengan ayah berbanding emak.

Aku terdiam lagi. Aku mula berfikir.

Cinta ini membuat aku menipu orang yang aku paling sayang. Cinta ini membuat aku melakukan dosa zina. Cinta ini membuat aku seperti menjadi orang lain. Orang yang lebih teruk perangainya dan bukannya ke arah kebaikan. Bukan ke arah jalan yang ALLAH redhai. Aku mula sedar.

Aku membuat keputusan untuk berpisah dengan Safwan. Aku tahu, emak dan ayah mahu yang terbaik untuk aku. Aku tersenyum. Esok aku akan pulang ke rumah. Aku rindu dengan ayah. Dah sebulan aku tidak berjumpa dengannya sejak peristiwa ayah meminta aku putuskan hubungan dengan Safwan.

Aku pun masuk ke kamar tidur. Mahu melelapkan mata. Tiba-tiba aku dapat panggilan telefon daripada kakak aku. Aku rasa pelik. Kenapa pula kakak hubungi aku pada waktu-waktu begini.

“Adik, kakak ada perkara nak cakap ni?” nada suara kakak aku begitu lemah.

“Apa dia kak?” Hati aku berdebar kencang. Bagaikan sesuatu yang telah terjadi.

“Ayah dah tak ada. Ayah sesak nafas malam tadi. Ayah dah tak ada,” kata kakak. Saat ini, aku terasa hatiku kosong. Aku meraung sekuat hati.

“Ayah!” Betapa aku rasa bersalah. Memohon maaf kerana aku berbohong padanya pun tidak sempat. Rasa bersalah ini menyebabkan aku menangis sehingga mata aku bengkak. Kepala aku sakit dan akhirnya aku demam. Dan pada hari pengebumian ayah, aku pengsan.

Aku hanya sempat menatap wajah tenangnya ketika tubuhnya dibalut kain putih bersih itu.

Emak dan keluarga memberi aku sokongan dan kekuatan. Emak selalu berkata pada aku yang ayah sudah memaafkan aku tetapi aku tidak percaya. Aku tak percaya! Aku berdosa besar dengan ayah! Aku berdosa.

“Mak, adik berdosa dengan ayah...” Air mataku mengalir deras. Apa lagi yang aku perlu lakukan untuk meredakan perasaan bersalah ini.

“Kalau betul adik sayangkan ayah, jangan menangis lagi. Tabahkan hati. Banyakkan lakukan amal kebaikan. Jaga aurat. Kan itu yang selalu ayah pesan pada adik.” Pesan Emak. Wajah emak tenang. Bagaikan meredhai pemergian ayah. Emak bagaikan sudah bersedia dengan apa yang telah berlaku.

“Tapi mak...” aku masih rasa bersalah.

“Jaga aurat. Kalau tak nak ayah kena seksa dalam kubur, jaga diri. Jangan buat dosa. Banyakkan amal. Hanya doa dan amalan anak yang soleh dan solehah aje yang boleh menyinari kubur ayah di sana. Janji dengan mak.” Kata emak. Kali pertama emak menangis sejak seminggu ayah pergi menyahut illahi.

Emak memang seorang isteri yang cekal hatinya. Sabar dan tabah. Aku mengangguk kepala. Betapa berdosanya aku pada ayah dan emak yang banyak membentuk diri aku kepada kebaikan.

Cinta! Cinta lelaki itu juga yang memusnahkan diri aku. Aku menyesal! Aku menyesal mengenali cinta lelaki.

“Mariam, kenapa menangis ni?” Ayu menegur aku. Barulah aku tersedar yang aku sudah lama duduk di situ. Safwan pun sudah lama menghilang. Lantak!

Walaupun setahun kami sudah berpisah, Safwan masih mengganggunya dengan ugutan rakaman itu.

“Tak ada apa-apa.” Aku cuba tersenyum.

*****

Aku duduk bersendirian dalam masjid. Aku berfikir sejenak. Emak dan keluarga aku tidak tahu menahu mengenai rakaman itu. Apa akan terjadi pada mereka semua jika mereka tahu? Ah, tidak! Tidak sanggup aku mahu membayangkan.

Sejak ayah pergi, kesihatan emak memang tidak begitu baik. Kebimbangan aku pada emak memang tidak dapat aku luputkan dalam fikiran. Kini, aku hanya ada seorang emak sahaja. Emaklah tempat aku membalas jasanya. Ayah? Aku terkilan kerana tidak dapat membalas jasanya selama 20 tahun dia menjaga aku. Memang terkilan. Menyesal kemudian pun tidak berguna.

Aku menelan air liur. Aku masih memikirkan tentang ugutan Safwan. Apa yang perlu aku lakukan? Memang video itu ada padanya. Aku tidak menafikan.

“YA ALLAH. Aku benar-benar bertaubat,YA ALLAH. Sejak kematian ayah, aku tidak lagi bergaul dengan lelaki. Aku takut aku akan melakukan kesalahan yang sama. Aku rela jauh dari lelaki. YA ALLAH, KAU beri aku kekuatan. Kekuatan untuk menghadapi dugaan yang telah KAU berikan ini.” doa aku. Air mata masih setia mengalir.

Sejak setahun yang lalu, memang hanya air mata yang sentiasa mengalir. Menangisi dosa yang telah aku lakukan. Dosa yang hanya beberapa minit aku lakukan bersama lelaki itu, telah menghukum aku seumur hidup. Seumur hidup aku.

Betapa beratnya dosa itu. Kalau pasangan yang telah berzina dan sehingga melahirkan anak, bagaimana pula? Adakah mereka rasa seperti aku? Sempatkah mereka bertaubat. Bagaimana mereka menghadapi dugaan ini?

Terlalu banyak persoalan yang aku sendiri tidak pasti jawapannya. Aku sendiri tidak dapat menjawabnya kerana aku juga tidak kuat.

Sudah banyak kali aku menasihati Safwan. Jangan buat macam itu tetapi ternyata seperti menyiram air ke daun keladi. Ternyata sia-sia.

Kami berdua bersalah dan berdosa. Takkan aku sahaja yang bertaubat dan membiarkan Safwan terus hanyut. Aku tidak boleh pentingkan diri sendiri tetapi apa yang berlaku. Dia mengugut aku pula.

“Kalau kau tak kembali pada aku, aku akan buat apa yang telah aku katakan tempoh hari. Kau hanya milik aku.” Tegas Safwan. Wajahnya tegang. Dia rasa tertekan. Wajahnya tidak seperti kali pertama aku mengenalinya. Amat lain.

Aku terdiam. Orang seperti ini kena pandai psiko tapi aku ni bukan orang seperti itu. Bagaimana untuk aku mengatasi masalah ini?

“Kau dengar tak? Aku akan masuk meminang kau. Kau kena terima pinangan aku. Kalau tidak, aku akan sebarkan rakaman tu.” Lagi sekali Safwan bertegas.

Ketika itu mereka berdua berbincang dalam kereta. Betapa singkatnya fikiran aku kerana setuju untuk berbincang dalam kereta miliknya.

Tiba-tiba Safwan memandu kereta itu. Aku terkejut.

“Wan, aku nak keluar ni.” Pinta aku. Dia pura-pura tidak mendengarnya. Aku semakin hilang sabar. Aku takut untuk bersamanya. Aku takut dia buat yang bukan-bukan pada aku. Takut sangat!

“Aku nak bawa kau ke satu tempat.” Ada senyuman yang meniti di bibir Safwan. Hati aku berdebar kencang. Aku tak mahu!

Disebabkan takut yang melampau, aku menarik tangannya supaya dia hentikan kereta.

“Wan, berhenti! Berhenti!” kataku sambil mengganggu pemanduannya.

“Kau gila ke?” Safwan tidak dapat lagi mengawal kenderaannya. Akhir, aku dan dia kemalangan.

*****

Aku bagaikan tidur dengan lena yang panjang. Tangisan emak bagaikan aku kedengaran. Emak... aku memanggilnya.

Terasa tangan yang hangat menggenggam tanganku. Perlahan-lahan aku membuka mata. Pandangan mata aku kabur. Makin lama makin jelas. Kelihatan emak yang setia di sisi aku. Emak terus memeluk tubuhku apabila melihat aku sudah sedar.

Aku cuma cedera ringan tetapi Safwan....

APA YANG TERJADI PADA SAFWAN? APA KISAH SETERUSNYA TENTANG MARIAM.... BOLEH BACA SAMBUNGANNYA DALAM antologi orang berdosa-ISLAMKU SEKADAR PADA IC.... insya allah akan berada di pasaran tidak lama lagi...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.