Malam yang gelap, diterangi sedikit oleh cahaya lampu suluh di jalanan.
Angin mendung bertiupan dengan kerap sambil menyanyi. Hujan renyai turun dan
kemudiannya menjadi lebat, namun masih ada hidupan yang berkeliaran di luar
sana. Ada yang berjalan kaki, namun ada yang menaiki kenderaan bermotor.
Kemunculan sebuah helikopter dapat diketahui melalui bunyi sayapnya yang
berputar-putar, namun air hujan yang kerap melimpah ke tanah menenggelamkan
bunyi tersebut.
Amir
seorang diri di dalam biliknya; di hotel yang bernama Miracle. Okeh kerana
cuaca yang tidak bagus, dia terpaksa mengurungkan dirinya. Dari dalam, dia
menoleh pandanganya ke arah tingkap lutsinar dan melihat kenderaan meluncur di
jalan raya, serta lebuh raya berdekatannya. Kelihatan juga sekumpulan manusia
yang memakai pakaian serba hitam, disaluti jaket kulit hitam. Salah seorang
daripada mereka mempunyai parut yang mengerikan berhampiran mata kirinya.
Namun, Amir tidak mempedulikan mereka. Sebaliknya, dia hanya menumpukan ke
arah tingkap biliknya, tanpa sebarang tujuan yang nyata.
Anak muda kelahiran Ipoh itu kelihatan kaku; tiada ekspresi wajah yang
berbeza. Namun, setelah hampir tiga minit berdiri tanpa pergerakan apa-apa, dia
duduk di penjuru katil dan merehatkan mukanya pada kedua belah tapak tangannya.
Kemudian, dia menegakkan kepalanya yang sebelum ini tunduk. Tangannya
direhatkan di katil, tetapi untuk seketika, dia menggenggam kedua-dua belah.
"Saya akan melarikan diri," katanya. "Saya tidak akan
berputus asa."
Tiga orang berjaket hitam menaiki lif ke tingkat tiga hotel. Lif bergerak
pantas tanpa sebarang halangan. Mereka kemudian menuju ke arah bilik bernombor
313.
Bilik 313; bilik yang didiami oleh Amir untuk seketika. Pemuda itu boleh
mendengar tapak kaki tiga orang itu. Dia pun segera bangun dari katilnya dan
bersedia untuk merancang, serta bertindak.
"Cuba ketuk pintu," suara salah seorang didengari.
"Kalau dia tak buka macam mana?" tanya seorang lagi, yang
kelihatan kurus berbanding dua lagi sahabatnya.
"Tahulah apa nak buat nanti," jawab yang ketiga, yang bertubuh
sasa dan pemilik parut berhampiran matanya.
Lalu lelaki yang kurus mengetuk pintu, dilihat oleh dua orang rakannya.
"Tolong buka pintu," katanya.
Namun, tiada yang menjawab setelah dua kali disuruh.
Dia pun menaikkan suara dan mengetuk dengan lebih kuat. "Buka pintu
ni, woi!"
Amir masih di dalam, memalingkan pandangannya bebrapa kali, seakan-akan
memikirkan sesuatu tindakan untuk diambil. Dia tidak memiliki masa yang banyak.
Sekiranya berfikir terlalu lama, samseng-samseng yang mencarinya pasti akan
menangkapnya sebelum dia sempat melepaskan nafas.
Kepalanya berpaling ke arah tingkap di dalam tandas.
Ketiga-tiga samseng berjaket sudah hilang kesabaran. Lelaki yang bertubuh
sasa terus menendang pintu lalu memecahkannya.
"Macam ni lagi senang," katanya kepada rakan-rakannya yang hanya
boleh mengangguk.
Namun, di dalam bilik, selain mereka bertiga, tiada kelihatan sesiapa pun.
Bilik agak bersepah, dengan kain bertaburan di sebalik katil, serta beg yang
tidak berzip yang hanya berisikan buku. Tandas pula dikunci; kedengaran bunyi
air.
"Ada orang dalam tandas," kata lelaki yang bertubuh montel.
"Nampaknya macam tu," jawab rakannya yang sangat kurus.
Lelaki yang bertubuh gempal tidak memberi jawapan, sebaliknya memecah masuk
ke dalam tandas.
"Eh? Tak tahu malu ke?" tanya rakan-rakannya atas perbuatannya
yang dilakukan secara tiba-tiba.
Lelaki sasa itu kemudian mengamuk lalu menendang sinki dan tab mandi yang
di dalamnya diisi dengan banyak air sehingga melimpah ke lantai bilik air.
"Dia sudah lari," kata lelaki tersebut.
Seterusnya, dia dan rakan-rakannya menoleh ke arah tingkap bilik air yang
terbuka luas.
"Alamak!" seru lelaki yang kurus. "Dia terjun!"
Tetapi tidak. Amir tidak terjun, sebaliknya mendekatkan diri ke arah dinding
hotel, mencuba sesaya upaya agar tidak terjatuh ke tanah. Sekiranya jatuh, maka
tamatlah riwayatnya. Amir pernah terfikir bahawa dia lebih rela mati daripada
ditangkap oleh samseng yang sering berkeliaran di kawasan gelap. Akan tetapi,
dia tidak ingin hidupnya tamat dengan cara yang memalukan. Membunuh diri itu
adalah dosa besar.
Amir beristighfar atas kesilapannya. Setelah itu, dia cuba mengimbangkan
dirinya berhampiran tingkap bilik jirannya. Kemudian, dia menajamkan
penglihatannya ke arah kiri.
Sebuah atap bangunan kecil, dia berfikir. Harap-harap saya boleh mendarat
di sana sekarang.
Tiba-tiba, muncul kepala samseng berparut. Wajahnya yang mengerikan telah
disaksi Amir; tidak memberikannya motivasi. Namun, dia tetap ingin melarikan
diri.
"Awak tidak boleh lari dari kami," kata samseng itu.
Amir berfikir sejenak, setelah itu mendiamkan diri untuk seketika. Setelah
itu, dia menjawab, "Saya pasti cuba."
Amir pun menambahkan kelajuannya meskipun hampir terjatuh dari penjuru yang
kecil. Samseng-samseng terkejut dengan tindakannya, namun yang berparut
kelihatan marah.
"Kelilingi dia!" jeritnya.
Rakan-rakannya pun mengangguk dengan terkejut dan mula bergerak. Mereka
keluar dari bilik Amir dan menuju ke bangunan kecil di mana dia ingin mendarat.
Dari jauh, seorang lelaki bertopi keledar meneliti pergerakan mereka dengan
mata tajam.
Mereka bergegas turun melalui tangga, menolak ke tepi sesiapa sahaja dalam
perjalanan. Perbuatan mereka meyebabkan kemarahan orang ramai, terutamanya anak
kepada warga tua yang kedua-duanya ditolak tanpa sebab sehinggakan orang tua
itu hampir terjatuh dari tangga. Mujurlah anaknya pantas menghulurkan tangan
untuk menyelamatkannya.
Pada masa yang sama, Amir berusaha melompat ke arah atap bangunan
bersebelahan hotel. Namun, terdapat sebuah jurang. Amir sedar dia perlu
berhati-hati; sedikit demi sedikit, dia berjalan sambil berhati-hati pada
penjuru yang sempit, hingga dia sampai ke penghujung. Dia terpaksa menggenggam
penjuru tingkap untuk mengelakkan daripada jatuh.
Dengan lafaz Bismillah, Amir memposisikan dirinya dan melakukan lompatan.
Dia menggunkan sepenuh tenaga yang ada pada dirinya.
Setelah melakukan lompatan, dia hampir menjerit apabila terapung di udara
untuk seketika. Setelah itu, dia jatuh tersembam di atap tersebut. Mujurlah dia
tidak tercedera; hanya memperoleh lebam kecil pada dahinya.
Dengan perlahan, pemuda itu bangun untuk meneruskan perjalanan. Dia harus
beredar dari bandar, sekiranya mampu, agar anggota samseng tidak menangkapnya.
Malangnya, dia terlambat; dua orang samseng, seorang yang berbadan montel
dan seorang lagi kurus kering, tiba di hadapannya.
"Nak pergi mana?" tanya yang berbadan montel.
"Hang tak boleh lari dah," kata yang kurus sambil ketawa.
"Dah tiba masa kau ikut kita, ataupun kau mati!"
Amir tidak mampu bergerak ke mana-mana. Dia masih berfikir untuk melarikan
diri daripada mereka, tetapi tiada laluan yang sesuai. Dia mengambil beberapa
langkah ke belakang, namun terlanggar sesuatu.
Dia sedar bahawa samseng berbadan tegap berada betul-betul di belakangnya.
"Berhenti bergeraklah!" jeritnya sebelum menolak Amir yang
betubuh kecil.
Amir berkata, "Hidup dan mati di tangan Allah, bukan kamu semua."
"Kau tetap akan kami bawa ke markas kami," jawab samseng itu.
Dia mengeluarkan tali dari poket jaketnya, lalu bergerak untuk mengikat
tangan Amir yang kelihatan tersekat dan tanpa berbuat apa-apa.
"Saya tidak akan ikut kalian," jawab Amir sambil memandang terus
ke mata samseng bertubuh sasa itu. "Apa-apa pun, saya tidak akan
menjalankan kegiatan jenayah untuk kalian."
"Oh, mahu lawan ya?" Samseng montel merasa jengkel.
"Tembak dia!" seru yang kurus lalu mengeluarkan pistolnya dari
poket seluarnya.
Lelaki yang sasa sudah pun mengacu machine gun miliknya ke arah kepala
Amir. Dia hanya menunggu masa untuk menarik picu. "Tiba masanya kau mati,
sama dengan abang kau yang tak guna itu!"
Amir, tangannya diikat, masih ingin keluar dari sana, tetapi dia hanya
mampu menutup mata. "Bismillahirrahmanirrahim," ucapnya. "Ya
Allah, tolong selamatkan hambaMu yang lemah ini..."
"Selepas dia kena bunuh," bisik yang kurus kepada rakannya yang
bulat, "ranking kitorang naik lah! Boleh kita enjoy lagi. Bos bagi kereta
ke..."
Mereka berdua bergelak ketawa sambil menunggu rakan mereka menarik picu
machine gun.
Mata Amir tertutup, namun dia masih bernyawa. Dia masih boleh bernafas;
boleh mendengar nadi hatinya yang kerap berdegup, serta air hujan yang turun
selari ke atap-atap bangunan berhampiran.
Matanya masih tertutup.
Pada masa itu, ketiga-tiga samseng terserempak dengan tingkap di hotel yang
pecah dengan tiba-tiba. Kelihatan sebuah batu jatuh ke bawah; kemungkinan ia
memecahkan tingkap itu. Namun, bagaimana? Batu tidak boleh bergerak dengan
sendiri.
Samseng yang kurus dikejutkan apabila dia dipeluk dari belakang. Sejurus
itu, bajunya ditarik dan dia memandang ke arah seorang lelaki bertopi keledar.
Lelaki itu tidak banyak bercakap, namun kehadirannya menggerunkan kepada
samseng-samseng itu.
"Siapa ini?" tanya rakannya yang tangannya tidak berhenti
bergetar.
"Tolong aku!" jerit yang kurus. "Tembak dia!"
Yang montel pun, dengan tangannya yang menggigil, menghulurkan tangan
kanannya untuk mengambil pistolnya. Namun, dia terlambat.
Lelaki bertopi keledar melontar samseng bertubuh kecil itu ke arah
rakannya. Kedua-dua pun jatuh pengsan di permukaan atap.
Seterusnya, giliran seorang lagi samseng. Namun, dia lebih cepat; picu
ditarik dan peluru machine gun digunakan dengan sepenuhnya. Salah satu daripada
peluru tersebut terkena lelaki itu, tetapi dia masih berjalan dan mengelakkan
peluru-peluru lain. Pergerakannya sangat laju dan lincah, seperti seekor haiwan
yang mengikuti nalurinya apabila musuh menghampiri.
"Bagaimana...?" Samseng itu tidak dapat memahami bagaimana dia
boleh melompat seperti atlet ginnastik, lebih-lebih lagi dengan topi keledar
yang sepatutnya melambatkan pergerakannya.
Lelaki itu berdiri sambil menghulurkan tanggannya, seakan-akan mengajak
musuh barunya untuk bertanding.
Samseng itu pun hilang sabar. "Oh, kenapa tak beritahu
awal-awal?"
Si sasa terus melancarkan serangan dengan tangannya. Kedua-dua tangannya
dihayunkan untuk memukul lelaki misteri itu, namun kebanyakannya tidak
tersasar. Lelaki itu dapat mengelak dengan cepat.
"Arrrgh!" Samseng yang sudah penat menjerit dengan nada tinggi;
dia sangat marah.
Amir secara perlahan membuka matanya dan menyedari keadaan di
sekelilingnya. Tangannya masih terikat, namun dia boleh melihat dua orang
samseng yang pengsan, dan seorang lagi seperti bertarung dengan seseorang
lelaki misteri.
Seterusnya, pukulannya yang kuat tersasar ke arah topi keledar lelaki itu,
lalu dia pun jatuh. Menyedari yang demikian, dia mengeluarkan sebilah pisau dan
mengacukannya.
Namun dia terlepas.
Hasratnya untuk membunuh lelaki itu tidak tercapai setelah lelaki itu
lenyap entah ke mana. Tiba-tiba, dia muncul semula di belakang samseng itu.
Hujan yang sebelumnya turun dengan lebat mula berkurangan.
Samseng itu cuba menikam secara mengejut dari hadapan, tetapi tetap
dielakkan. Sebaliknya, lelaki bertopi keledar itu menarik baju dan jaket
samseng berparut itu lalu menghentak topi keledarnya dengan kepala samseng itu.
Rakan-rakan samseng mula sedar semula, namun terserempak dengan tubuh rakan
seorang lagi yang jatuh ke arah mereka setelah dicampakkan oleh lelaki bertopi
keledar. Mereka bertiga pun terlantar di atap.
Seterusnya, lelaki bertopi keledar mengikat ketiga-tiga samseng sebelum
membuka ikatan pada tangan Amir.
Amir berterima kasih kepada Allah kerana menyelamatkanNya, dan juga kerana
menghulurkan bantuan dalam bentuk seorang lelaki misteri.
"Terima kasih," katanya sambil mengurut tangannya yang mengalami
luka kecil.
Namun, lelaki berhelmet itu tidak menjawab. Sebaliknya, dia berdiri sahaja
di hadapan Amir.
Amir merasakan perbuatannya agak aneh. "Saya sangat menghargai
pertolongan saudara. Saya tidak tahu macam mana nak balas balik..."
Belum habis bercakap, lelaki misteri itu melambaikan tangannya, seakan-akan
menafikan apa yang Amir telah katakan. Seterusnya, lelaki itu berpaling dan
melompat dari atap.
"Eh, apa awak buat?" Amir sangat terkejut dan takut penyelamatnya
terjatuh.
Dia menarik nafas, dan melihat kawasan jalanan. Namun, tiada kesan lelaki
itu. Sekiranya seseorang itu mati, dia sepatutnya masih ada di sana, dikerumuni
orang ramai.
Amir menarik nafas lega dan mengelap dahinya yang basah. Setelah setiap
perkara yang dialami beberapa minit yang lalu, bagi Amir, ia adalah satu
kejayaan kerana dia masih berdiri. Dia tidak mengalami nasib serupa seperti
arwah abangnya.
Dalam malam yang semakin menggelap dan ditemani angin yang bertiup kencang,
pemuda itu menikmati udara nyaman, sambil melihat ke arah bulan yang bercahaya.
Siren polis didengari dari jauh; kemungkinan seseorang mengetahui tentang
suasana huru-hara dan telah menghubungi polis.
Amir pula terserempak dengan lelaki sama yang telah menyelematkan nyawanya
sebentar tadi. Lelaki itu memandang ke arahnya, lalu melambaikan tangannya
untuk seketika. Amir tercengang; tangannya dilambai kembali. Seterusnya, dia
pengsan.
"Bangun, nak..."
Suara seorang tua boleh didengari di telinganya. Dia membuka matanya secara
perlahan, lalu melihat lelaki beruban, pemilik suara tersebut, yang berpakaian
warna hijau. Tubuhnya sangat kurus; dia duduk di katilnya. Di tepinya seorang
pemuda bertopi hitam dan berambut panjang, duduk di kerusi; manakala seorang
doktor wanita bertudung hijau terang berdiri sambil memegang beberapa keping
kertas.
Amir mula sedar. "Eh...saya di mana?"
"Awak di hospital," jawab doktor itu. "Pihak polis menjumpai
awak di atap bangunan IT Sector malam semalam."
Amir teringat perkara yang berlaku malam yang lalu.
"Pemeriksaan kesihatan menunjukkan awak baik-baik sahaja, walaupun ada
sedikit luka pada kedua-dua belah tangan."
"Awak anak muda yang kuat," kata lelaki tua yang mula berbaring
di katilnya. "Tak sepatutnya bercampur dengan samseng jalanan. Mereka tak
akan bagi kebahagiaan kepada awak."
"Ba...bagaimana..." kata Amir.
"Polis dapat tahu tentang awak," sambung lelaki itu. "Awak
buat apa dengan mereka?"
"Mereka...ingin masukkan saya...dulu abang saya...dia sudah..."
"Kan dah cakap. Kesian abang awak. Tapi..."
Pemuda bertopi itu mencelah. "Ayah, tak perlulah masuk campur dengan
hal dia..."
"Anakku, kita kena membuat keputusan yang betul dalam kehidupan.
Jangan lupa, kita kena mencegah perkara yang tidak baik, selemah-lemahnya
dengan hati kita."
Amir menegaskan dia tidak terlibat dalam jenayah. "Saya berada di
tempat...salah, masa...pun salah...Samseng-samseng itu zalim..."
Doktor mencelah. "Usah risau. Mereka telah ditangkap oleh polis, telah
diuruskan."
"Bagaimana...dengan saya...?" tanya Amir.
"Awak tidak dikenakan tindakan apa-apa," jawab doktor.
"Alhamdulillah," ucap Amir sambil memejam matanya untuk seketika.
Lelaki tua itu senyum, sambil diperhatikan anaknya. Seorang doktor lelaki
tiba di hadapan katilnya untuk memeriksa keadaannya.
"Syukur Alhamdulillah," kata doktor itu. "Awak baik-baik
sahaja. Tetapi saya hairan. Bagaimana awak boleh bertahan dengan tiga orang
ganas?"
Amir menggeleng kepalanya perlahan. "Bukan saya..."
"Apa maksud awak?"
"Ada seorang...telah selamatkan saya..."
Amir tersenyum sambil menumpukan perhatian ke arah tingkap berhadapan
katilnya. Dari jauh, dia boleh melihat lelaki bertopi keledar itu muncul sekali
lagi. Kali ini, dia melompat dari atap ke atap dengan menggunakan sebuah tali
untuk 'melekat'.