Home Cerpen Cinta KIRIM UNTUKKU MUKJIZAT CINTA-MU
KIRIM UNTUKKU MUKJIZAT CINTA-MU
Sri Diah
26/12/2013 09:44:39
3,196
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Bawa daku pergi ke daerah yang belum kutahu

Kerana pemergian ini bukan tanda aku setuju

Ia adalah protes seperti setuju itu adalah dusta yang panjang

__________________________________________

TIDAK ada satu pun adegan yang menarik hati Hanim sepanjang menonton filem sains fantasi yang tertayang di layar panggung wayang TGV Suria KLCC itu. Ingatannya tidak tertumpu langsung pada perjalanan filem fiksyen yang dipuji-puji oleh ramai wartawan hiburan.

Sebaliknyaa, sudah hampir lima kali dia keluar masuk bilik air, sampaikan lelaki yang duduk di sebelah kanannya berdehem-dehem berkali-kali. Memang Hanim betul-betul bosan. Dia juga sudah tak dapat mengira sudah berapa banyak bertih goreng habis dalam gengamannya. Tapi Zaidi kelihatannya asyik sangat menonton wayang gambar itu.

Memang mula-mula lagi Hanim tak setuju bila Zaidi ajak tengok wayang.

Hanim lebih suka kalau Zaidi membawanya jalan-jalan ke mana-mana kompleks beli belah untuk melapangkan fikiran, sempat juga nak cuci mata. Tapi bila Zaidi kata dia dah ambilkan tiket wayang, Hanim terpaksa setuju saja.

Rasanya, dia juga sudah dua kali tertidur.

Kemudian terjaga tak lama kemudian, panggung sudah terang benderang dan Zaidi pula terus saja mengejutnya, mengajaknya keluar. Seorang wartawan hiburan majalah tabloid kelihatan melambai-lambainya dan datang menerpa kepadanya.

“Hei, kau punya assignment ke hari ni?” soal teman itu. “Bila kau bertukar buat hiburan pulak? Dah bosan di general desk ya?”

Hanim geleng sambil melemparkan senyuman. “Tak, saja nak tengok, temankan kawan ni.”

“Cerita tu kurang thrill tau, aku pun terpaksa datang sebab tugas. Okeylah, jumpa lagi,” kata teman itu sambil menjeling memandang ke muka Zaidi.

Oh, akhirnya si teman itu beredar juga. Barulah Hanim dapat tersenyum panjang dan menarik nafas lega. Zaidi tercebik-cebik mendengar komen teman Hanim tadi dan terus mengajak Hanim segera ke tempat letak kereta.

“Kita pergi makan dekat Pertama Kompleks nak?” kata Zaidi.

Hanim cepat-cepat menggeleng. “Pergi tempat lainlah, tak selesa kat situ. Tak banyak pilihan.”

“Makan di Kampung Atap? Kari kepala ikan?” kata Zaidi lagi memberi cadangan dengan wajah cerianya, mengharapkan Hanim setuju tetapi Hanim memuncungkan bibir sambil menggeleng lagi.

“Tidak pun kita pergi makan di Kampung Baru. Makan tom yam, sup ekor dengan daging masak merah,” jawab Zaidi lagi. “Jangan takut, aku belanja!”

“Tapi aku pun boleh belanja kau... jangan ingat aku kedekut sangat nak belanja.” Sampuk Hanim, pantas.

“Okeylah kita pergi Keramat, makan nasi campur. Di sana banyak pilihan.”

“Tak naklah, Hanim nak yang ringan sikit sebab perut Hanim masih kenyang makan nasi lemak pagi tadi,” protes Hanim lagi.

Zaidi menggeleng. “Makan yang ringan? Hei ni waktu makan tengah hari tau. Bukan minum petang. Perut orang putih macam itulah... susah nak jadi perut Melayu.”

Hanim rasa tersindir dan kecewa. Sebaliknya, Zaidi selamba saja dengan wajah bersahaja. Saat itu Hanim teringat mengenai bekas isteri Zaidi yang katanya berasal dari Sydney... ya, mungkin apa yang Zaidi kata `perut orang putih’ itu pernah disebut juga pada bekas isterinya.

Ah, sekurangnya satu rahsia perceraian Zaidi sudah Hanim ketahui.

Sedar-sedar kereta yang dipandu oleh Zaidi itu sudah pun melepasi bangunan stesen Keretapi Tanah Melayu dan membelok masuk ke Bangsar. Kereta yang dipandunya bersimpang-siur, keluar masuk barisan-barisan kenderaan lain. Zaidi diam. Hanim pula diam mematikan diri dan memegang kuat tempat duduk.

Zaidi memberhentikan kereta di gigi Jalan Maarof, Bangsar. “Okeylah, kau boleh turun sekarang. Pergi makan burger kegemaran kau. Aku tak ada selera nak makan burger!”

Dengan penuh gaya marah Zaidi keluar dari kereta dan terus membuka pintu di sebelah tempat duduk Hanim dan menyuruh Hanim keluar. “Cepat. Aku dah tak ada masa.”

Pintu kereta ditutup dengan kuat sebaik sahaja Hanim turun dari kereta, berdentum bunyinya. Sama seperti kuatnya rasa panas baran dan rasa tidak sabar Zaidi. Memang dia sukar untuk berkompromi. Hatinya kering dan kental.

Hanim tidak terkejut apabila perkara itu berlaku. Dia memang sudah lama tahu Zaidi dan tingkah-lakunya. Zaidi sukar dikawal jika kehendaknya tidak dituruti. Zaidi akan bertindak kasar. Seingat Hanim itu dulu... dia fikir Zaidi sudah berubah sekarang. Rupanya tidak.

Sekejap dia romantik. Sekejap dia kasar. Itulah perangainya. Dia gagal mengawal situasi. Hanim cuba menyerap perlakuan kontradik Zaidi itu dan akur ada kisah masa silam yang menjadikan Zaidi bertindak begitu.

“Okey, bye!” Hanim menjerit dan menghentak kaki.

Menonong dia berjalan dan tidak menoleh langsung kepada Zaidi yang masih lagi berdiri tepi kereta. Dari jauh terdengar laungan dan bentak Zaidi. Hanim buat tidak dengar.

Kemudian yang terdengar hanya bunyi desing enjin kereta itu, jauh, dan makin jauh.

Hanim tarik nafas panjang. Puas. Dia terduduk di tubir tembok di tepi jalan itu. Matanya dirapatkan. Dia tak sangka. Betul-betul dia tak duga lelaki yang baru sebentar tadi duduk di sebelahnya, yang dengan manja berbual dengannya dalam gelap panggung wayang dan yang tak silu-silu menuntunnya ke kereta, sekarang telah ‘membuang’ dia sendirian di tepi jalan.

Hanim terfikir agaknya mungkin dalam hati Zaidi berkira-kira dia masih mahu kembali kepada Zaidi. Atau mungkin dia memang sudah tidak ada hati terhadap Hanim. “Kau turun sekarang, tunggulah mana-mana jantan yang rela ambil kau dari tepi jalan itu dan pergilah ke mana kau suka!”

Kalau begitulah kata Zaidi, Hanim redha.

Dia mengeluarkan telefon bimbit dan mencatat pada whats.app:

‘Pergi mampuslah kau Zaidi. Bawalah kereta tu laju-laju. Hendaknya ada kereta yang akan melanggar kereta kau. Mampuslah kau terkedang di tengah-tengah jalan itu. Silap-silap dilanggar lagi oleh bas ekspres. Haram tak mahu aku melawat kau di hospital hinggalah sampai hari kau sepatutnya mati!’

Hanim terus tekan punat send pada telefon bimbit. Puas.

Biar Zaidi terkebil-kebil membaca pesanannya itu.

Peristiwa itu sedikit pun tak mematikan selera makan Hanim. Dia makan burger kegemarannya dengan lahap. Sikit pun dia tak mematikan hati dengan perangai Zaidi sebentar tadi. Dah dasar jantan. Tak sah kalau tak sakitkan hati perempuan.

Zaidi ingat Hanim tagih sangat belanja dia? Zaidi ingat Hanim kebulur sangat nak makan belanja dia. Zaidi ingat Hanim ni perempuan murahan boleh diperkotak-katikkan. Zaidi ingat Hanim akan terpekik terlolong, menangis di tepi jalan itu bila dipaksa turun dari kereta. Zaidi ingat Hanim apa?

Kemudian Hanim terus tahan teksi balik ke Shah Alam. Dia mahu segera sampai ke condonya. Wati tak ada di bilik. Teman-teman serumah pula belum balik dari kerja. Hanim memutar kuat radio dan mendengar lagu kegemarannya, sambil dia memasukkan pakaian kotornya ke dalam mesin basuh dan menekan punat-punatnya.

Dia terus mencapai komputer ribanya. Rasanya elok juga dia tak jadi ikut Zaidi, bolehlah dia menaip beberapa lagi artikelnya yang belum siap yang mesti dihantar kepada editornya hari Isnin nanti.

Hanim nak sambung habiskan cerita Kak Jamilah yang didera suaminya. Minggu ini adalah siri akhir. Hanim nak habiskan kisah Kak Jamilah itu sebaiknya. Dia benar-benar mahu membantu Kak Jamilah hinggalah wanita itu berjaya mendapatkan haknya semula. Ini kerana Hanim betul-betul bersimpati dengan penderitaan yang ditanggung oleh wanita itu.

Ketika mula-mula Kak Jamilah datang kepadanya dulu, Hanimlah yang mencadangkan perempuan itu supaya ambil khidmat guaman. Hanim juga yang mencadangkan beberapa kawan-kawan peguamnya yang dirasakan boleh menolong Kak Jamilah. Paling penting bayarannya berpatutan.

Kemudian bila dia tahu Kak Jamilah tak mampu nak bayar khidmat guaman, Hanim akhirnya cadangkan Kak Jamilah mendaftar saja dengan Biro Bantuan Guaman. Failkan saja kesnya di sana. Lagipun Kak Jamilah bukannya mampu sangat. Gajinya pun selalu tak cukup nak biaya makan pakai anak-anak. Inikan pula nak bayar duit peguam.

Tengah asyik mengadap komputer tiba-tiba Hanim terdengar bunyi pintu diketuk orang. Berkali-kali. Hanim diamkan saja. Dia fikir mungkin jiran sebelah ada tamu. Tapi lama-lama baru dia tersedar rupanya pintu rumah sewanya yang yang diketuk seseorang dari luar.

Bingkas Hanim bangun. Tak mungkin Wati atau kawan-kawan lain terlupa bawa kunci pintu. Hanim intai dari bilik nako. Kemudian tiba-tiba darahnya berderau.

Dia tak mahu melihat siapa yang sedang tercegat di pintu itu. Dia tak mahu langsung berjumpa dengan orang itu. Dia benci. Dia sakit hati dan lebih daripada itu dia langsung tak mahu memaafkan orang itu. Pergi mampuslah dengan egonya itu.

Tetapi pintu itu terus diketuk bertalu-talu sampaikan jiran sebelah menelefon Hanim mengatakan ada orang datang dan suruh Hanim buka pintu. Hanim suruh saja jirannya jawab mengatakan rumah itu tak ada orang. Semua orang pergi kerja, belum balik lagi.

Tapi ketukan itu terus bertalu dan makin kuat. Hanim kecut perut. Dia pastikan pintu itu terkunci dari dalam. Biarlah. Biar pintu itu diketuk bagai nak pecah, Hanim tak akan buka pintu itu.

“Hanim bukalah, ini aku. Aku minta maaf okey!”

Hanim buat-buat tak dengar saja permintaan itu. Dia tak mahu melihat lelaki yang dah jadi ‘mayat hidup’ itu. Pergi jahanamlah dengan Zaidi!

Ketukan di pintu semakin kuat. Sedikit pun hati Hanim tidak runtun, apalagi mendengar suara Zaidi lembut dan mengharap. Memang sahlah, Zaidi patut jadi pelakon lelaki terbaik. Dia wajar memenangi anugerah ‘Lelaki Terhebat Dalam Bercinta’. Wataknya boleh bertukar-tukar dalam sekelip mata, boleh berubah-ubah dari sekasar-kasarnya kepada watak romantis hanya dalam beberapa detik saja.

“Nim, ini aku. Tolonglah buka pintu ni. Aku menyesal okey. Aku janji tak akan buat lagi. Nim, please...”

Perlahan suara itu menusuk ke telinga Hanim yang sejak tadi membatu diri di balik pintu. Di tangannya tergenggam erat, kayu kriket yang memang tersedia ada di sebalik daun pintu.

“Kalau betul aku bersalah, aku minta maaf. Aku janji tak akan buat macam ni lagi.” Keluhan Zaidi terus tak henti-henti. Hanim mula bosan dan mak cik sebelah sudah berkali-kali menelefon.

“Dahlah tu Nim, orang lelaki memang macam tu. Lupakan saja perangai buruk dia tu. Lambat-laun dia akan berubahlah.” Begitu pesan mak cik sebelah yang dia anggap bagaikan keluarga sendiri.

“Bukalah pintu, Hanim selesaikan secara baik,” pesan wanita separuh baya itu lagi.

Namun hati Hanim tetap berkata; jangan buka pintu itu. Jangan benarkan mayat hidup itu masuk dan menerkam kau. Biar dia seorang saja jadi mayat hidup, jadi hantu dan cekik dirinya sendiri!

Ketukan terus bergema, kini makin kuat. Jangan! Jangan! Kata Hanim dalam hati.

Telinganya yang menikus cepat menangkap bunyi telefon yang berdering. Buru-buru dia mengangkat telefon itu. “Hah, kau Wati! Kau pergi mana bila aku telefon tadi?” tengking Hanim.

“Eh kenapa ni? Kenapa Hanim?”

“Boleh tak kau minta dengan bos kau balik rumah sekarang?”

“Kau gila ya?” herdik Wati.

“Tidak pun tolonglah minta cuti separuh hari. Ada orang gila di luar rumah kita, tolong aku Wati”.

“Siapa?” soal Wati.

“Zaidi dah jadi gila! Dia ada di luar rumah kita. Dah dekat setengah jam!”

“Hoi aku tak ada masa nak berlawak. Aku takut, Wati. Tolong aku, mintalah balik awal,” kata Hanim mengharap. Dan telefon diletakkan.

Hanim mula rasa takut. Bermacam telahan bermain di kepalanya. Lelaki akan buat apa saja kalau hajatnya tak terpenuh. Dia pernah membaca frasa itu dalam sebuah buku psikologi. Apakah Zaidi akan bertindak nekad?

Hanim rasa dia sudah terlalu banyak bertolak ansur sejak Zaidi datang semula dalam hidupnya. Contohnya, dia sudah banyak membazirkan masanya dengan memenuhi permintaan Zaidi untuk keluar makan angin, tengok wayang, makan-makan dan macam-macam lagi.

Itu semua tidak mendatangkan faedah bagi dirinya. Semua tidak menyumbang kepada kebaikan. Hasilnya, hanyalah sakit hati dan membuang waktu saja!

Bagi Hanim, Zaidi boleh jadi kekasihnya dengan syarat Zaidi mesti menukar 99 peratus peribadinya hari ini. Tinggalkan peribadi sekarang satu peratus saja dan Hanim akan asuh Zaidi menghimpun kembali 99 peratus yang baru, jiwa yang bersih dan semangat yang baru, jiwa yang bersih dan semangat yang positif.

Sepatutunya, Hanim jangan jumpa Zaidi lagi sejak lelaki itu meninggalkannya terpinga-pinga di Jalan Maarof kelmarin. Sepatutnya Hanim boleh lupakan Zaidi. Jangan jawab telefonnya dan jangan langsung bagi dia mukaeg. Zaidi haram menyentuh dan genggam tangan Hani. Lelaki itu tak patut dikasihani.

Agaknya dengan perangai begitulah punca Zaidi jadi duda.

Duda dengan anak seorang! Memang status duda itu tidak jijik bagi wanita. Tapi bila Zaidi sendiri yang jadi duda, Hanim memang patut menambahkan rasa jijik itu. Atau pun memang tak patut kalau Zaidi tak jadi duda, padan muka dia!

Kemudian baru Hanim sedar, ketukan dan suara keluhan di luar pintu rumah sudah tiada lagi. Bila masanya Zaidi beredar dari koridor itu? Bila masa Zaidi hilang dalam diam?

Hanim bagai tak percaya. Kemudian dengan perlahan dia menyelak langsir berwarna hitam putih itu dan membuka nako perlahan-lahan.

Memang Zaidi dah tak ada. Untuk menyedapkan hatinya Hanim menelefon makcik sebelah rumah dan suruh dia tolong tengok di luar rumah apakah betul Zaidi sudah pergi. Bila mak cik itu jawab memang Zaidi dah tak ada, baru Hanim boleh bernafas lega.

Tidak lama selepas itu, Wati pun sampai.

“Hei, kalau Zaidi tu bawa pistol memang dah lama aku mati tau. Bila kau sampai, kau jumpalah mayat aku yang tergeletak dekat ruang tamu rumah ni,” Hanim mengomel. Wati tidak bersuara. Dia termengah-mengah menarik nafas.

“Kalau boleh aku memang nak bakar lif tu!” Wati membentak. Hanim diam.

“Lif tu menyakitkan hati. Kalau aku superwomen, bolehlah aku terbang. Ah, tak guna bayar sewa, tak guna orang servis lif itu dibayar gaji!”

Baru Hanim mengerti, lif rosak!

“Tak apalah Wati, Zaidi pun dah tak ada.”

“Kau pun satu. Tak guna aku ambil cuti separuh hari. Kau ingat aku kerani ya, menaip dan buka tutup fail, habiskan kerja hari itu untuk hari tu saja? Proposal aku untuk tahun depan kena hantar besok tau! Bos aku dah mula jeling-jeling aku,” keluh Wati sambil terbaring keletihan di sofa. Memeluk kusyen. Tangannya menggenggam minuman dalam botol.

“Aku pun tak perasan bila dia pergi. Jom kita tengok bawah. Jangan-jangan dia dah terjun dan mampus,” kata Hanim diikuti dengan dekah ketawa yang panjang, mencubit paha Wati perlahan dan bangkit menuju ke koridor. Jiran sebelah rumah kebetulan sedang mengunci pintu gril. Dia senyum sinis dan menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Terima kasih cik, saya janji tak kacau lagi,” kata Hanim tersengih.

“Hai, orang mudalah katakan, saya faham,” katanya.

Cuti hari Sabtu, berlalu sia-sia bagi Hanim. Memang minggu itu dia tak ada tuah langsung. Semuanya kerana Zaidi. Kenapa tiba-tiba Zaidi datang dalam hidupku kemudian meninggalkan huru-hara? Kenapa TUHAN datangkan Zaidi untuk mengocak hidupku menjadi makin porak-peranda?

Hanim kesal masanya terbuang, hingga menjebak pula dirinya dalam persoalan yang remeh itu. Dulu dia telah membuang Zaidi dalam hidupnya bila lelaki itu meninggalkannya dan berkahwin dengan wanita entah siapa-siapa,

Akhirnya, Hanim sedar, walau Zaidi kini dah bercerai, bukan bermakna Hanim mesti mengutip Zaidi semula untuk mengisi, memenuhkan kembali hatinya yang telah ditinggalkan kosong.

Ada banyak lelaki lain. Ada bermacam rupa, berpangkat, berkarisma, bertimbang rasa, yang romantik dan lebih berperikemanusiaan berbanding Zaidi, mayat hidup, berambut gondrong!

Hanim mengenang kembali. Menurut kembali zodiaknya tahun ini dia akan beroleh untung akan dilamar seorang lelaki dan prestasi kerjayanya bertambah baik. Hanim mencongak-congak, apakah ramalan zodiaknya itu betul? Jika betul, bilakah ianya akan jadi nyata?

Siapalah agaknya lelaki yang akan mengangkat dirinya ke martabat setingginya, menjadi seorang isteri. Hanim sudah lama impikan detik indah itu. Dia sudah nekad mahu mengakhiri zaman solonya tahun ini juga.

Dia sudah bosan hidup bersendiri. Dia mahukan seseorang yang dapat mengisi malam-malamnya yang panjang dan membosankan. Dia mahu seseorang yang akan mempertahankan dirinya, yang sentiasa ada di sisinya saat susah dan senang.

Dia rindukan belaian seorang lelaki, yang dengan santun akan memeluk dirinya di saat dia kesejukan, yang dengan bahagia akan menggomolnya di saat kegembiraan. Dan lelaki itulah nanti yang menjadi penghubung untuknya melahirkan zuriat-zuriatnya,

Hanim mahu malam-malamnya yang resah terisi dengan suara-suara yang garau parau; memujuk dan mengongsi kerinduan kerana mensia-siakan zaman muda, berlarutan tanpa titik akhir. Tidak salah jika dia mengingini sebuah perkahwinan namun itu belum nampak sebarang bayang.

Sekarang saja sudah masuk setengah tahun. Kelibat lelaki yang menjadi harapannya belum lagi terlihat. Apakah dia harus menanti dan terus menanti saja? Dia boleh menerima siapa sahaja asalkan lelaki itu bertanggung-jawab, jujur dan ada potensi masa depan. Itu sangat penting dalam dunia sekarang.

Hanim tak tahu jawapannya,

“Nim, ada message untuk kau,” jerit Wati dari dalam bilik.

Hanim menerpa mencapai telefon bimbitnya yang tertinggal di dalam bilik. “Terima kasih,” jeritnya sambil terburu-buru melihat paparan pada skrin telefon bimbitnya.

“I still love you! - Zaidi

“Tolong Wati! Aku nak pengsan.” Katanya separuh menjerit.

Wati tergelak besar setelah melihat skrin telefon Hanim. “Hahah... teruskan, itulah azam kau. Masih belum terlambat, Hanim. Aku setuju!”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.