Home Cerpen Cinta Kau Ilhamku
Kau Ilhamku
A. Darwisy
7/12/2012 00:29:40
6,317
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Kau Ilhamku

Andai mata yang melihat ini merupakan sebuah kamera, barangkali setiap kerdipan akan menghasilkan gambar-gambar yang indah bidikannya. Segala-galanya kelihatan cantik dan tiada cacat cela. Kota Paris yang masyhur dengan nama lainnya, kota cinta. Alangkah tenang perasaan, duduk-duduk sambil menikmati pemandangan Menara Eiffel yang terzahir di pandangan mata. Apatah lagi dapat berdua-duaan dengan lelaki yang sudah halal baginya untuk saling melimpahkan rasa kasih dan sayang.

“Abang... thanks for making my dream come true,” bisik Munirah lembut di cuping telinga suami. Amar tersenyum senang. Di bumi Perancis, mereka berbulan madu.

“Sama-sama...” Amar mengucup pipi mulus kemerah-merahan si isteri. Munirah malu-malu. Adab susila orang Timur, mana mungkin memudar meski di La Ville Lumiére, bercengkerama adalah lumrah.

“Apa pendapat Munirah tentang kota Paris?” tanya Amar, sekadar mahu mendengar buah fikiran si isteri yang nyaman dalam pelukannya.

“Hmm... macam yang selalu orang kata, Paris is the city of love. Di sini pemandangannya terlalu romantis, tidak ubah seperti dalam sebuah poskad. Kenapa abang tanya?” Munirah menyoal lembut.

“Tidaklah... cuma tiba-tiba aje abang terfikirkan sesuatu. Apabila orang kata tentang puisi-puisi cinta, maka terlintas di dalam fikiran, nama Kahlil Gibran. Apakah puisi-puisi cinta sasterawan-sasterawan kita, A. Samad Said misalnya, tidak cukup kuat cintanya?” Munirah cuba mencerakinkan makna. Dia sudah biasa dengan gaya pemikiran si suami yang terkadang, sukar untuk diselami akan apa yang cuba disampaikan.

“Maksud abang... sebut saja tentang cinta, orang akan mengatakan tentang Paris tapi bukan bandar-bandar lain di dunia ini? Begitu?” Munirah semakin bijak menelah apa yang tersirat. Amar menghadiahkan senyuman di wajah. Bagai mahu luruh jantung Munirah kalau si suami tersenyum begitu. Getaran dalam dada, mampu menggoncang sukma.

“Ha’ah. Kenapa tidak Kuala Lumpur dikatakan sebuah kota cinta?” Amar sekali lagi berhujah, membawa sembang-sembang bulan madu itu lebih sensual intelektualnya.

“Barangkali Kuala Lumpur hanya ada menara berkembar bukan menara Eiffel...” jawab Munirah dan kemudian tergelak kecil. Dia tahu dia tidak kritis seperti si suami. “Lagipun, dalam karya-karya cinta, tidak pernah pula Kuala Lumpur dijadikan perlambangan sebuah cinta. Atau saya yang terlepas pandang?”

“Pernah baca novel berjudul Kuala Lumpur, Di Mana Suamiku?” Munirah berfikir sejenak dan dia menganggukkan kepala. Ya, dia pernah baca novel itu. Munirah tergelak kecil lagi. Mudah sekali Amar mematahkan hujahnya.

“Munirah pernah baca, menara Eiffel ini struktur binaannya dikatakan menyerupai susuk tubuh seorang perempuan. Kasihan kan dia lonely...” Munirah tidak turut ketinggalan berbicara serupa orang punya ilmu sastera tinggi di dalam dada.

“Tapi tidak menara berkembar kita... mereka bahagia seperti kita. Saling melengkapi antara satu sama lain. Berpegangan tangan mencecah awan.” Amar merujuk ‘mereka’ itu pada menara berkembar yang baginya seperti sepasang suami isteri yang sedang berpegangan tangan penuh kemesraan.

Munirah semakin selesa dalam pelukan Amar. Bauan cinta yang datang dari kehangatan tubuh lelaki yang dicintai, semakin meresap sebati. Ah, dia larut!

***

Bienvenue à Paris! (Welcome to Paris!) How do you find this place?”

Lovely! The weather is nice, the landscape is spectacular... everything is great here!

I’m glad to here that! Enjoy your night!” ucap ringkas seorang wanita yang begitu baik hati membidik gambar Munirah dan Amar berlatarbelakang Sungai Seine yang bermandikan cahaya oren. Bot-bot persiaran mewah yang menyusur damai sungai itu mengingatkan mereka pada suasana malam di Tasik Putrajaya. Saling tidak tumpah sebenarnya.

Ini malam pertama buat Munirah dan Amar di kota Paris. Selepas makan malam di sebuah restoran, mereka mengambil kesempatan untuk mengisi masa yang ada dengan berjalan-jalan di sepanjang sungai Seine yang begitu signifikan dengan bandar bercahaya itu. Munirah dan Amar erat berpegangan tangan, seakan tiada apa yang mampu memisahkan mereka.

“Indahnya sungai yang mengalir tenang...” bisik Munirah perlahan tetapi cukup kuat untuk didengari Amar.

“Di dalam Al-Quran, banyak sekali surah-surah berbicara perihal syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Sungai begitu signifikan dengan syurga ALLAH. Memang sudah lumrah, siapa-siapa pun akan berasa damai dan tenteram perasaannya apabila melihat sungai yang jernih airnya, mengalir tanpa dipaksa-paksa.” ujar Amar sambil tangan kanannya erat melingkari pinggang isteri tersayang.

“Abang... kalau Munirah minta sesuatu, boleh?” Munirah manja berkata-kata.

“Apa saja untuk bidadari abang ini...”

“Deklamasikan sebuah puisi untuk Munirah...”

Amar tidak mengambil masa yang lama untuk menunaikan permintaan si isteri. Dia berdiri sedikit jauh dari tempat Munirah berdiri. Berdeham-deham lelaki itu kononnya mahu membetulkan suara. Tingkah si suami mengundang tawa bahagia si isteri. Segugus sajak istimewa untuk Munirah.

“Kukenang seberkas kata manis

tika mula belajar bercinta dan mengepung rindu

kulonggokkan dengan sopan dan tenang

di depan imam

Allahku, dengan penuh syukur

aku bertelut di rumah-Mu

Ketika jabat imam erat

dan saat akad lancar meluncur

engkau perempuan, aku mahkotakan

nama dan cintamu dengan sepenuh

ikrar dan seru

Hari pertama bersatu dalam tautan kasih padu

bersama kita kendong mimpi manis

hingga baranya terpercik bulan

di malam terpilih.”

Munirah bertepuk tangan. Amar menundukkan kepala dan membongkokkan badan. Lagaknya seperti seorang penghibur pentas yang baru selesai menyempurnakan sebuah persembahan. Berlari-lari anak Munirah mendakap si dewa pujaan hati.

“Indahnya!... Sajak abang buat sendiri?”

“Abang pendeklamasinya saja. Puisi ini air tangan saudara Ridzuan Harun dari kumpulan puisinya yang bertajuk Buku Si Darwis.” Amar memang hobinya membaca antologi puisi. Terkadang puisi-puisi itu diladungkan dalam lagu. Tidak lain tidak bukan, Munirahlah yang paling beruntung. Dialah penonton, dialah pendengar.

“Abang, kita balik ya?” Munirah mengajak pulang. Tetapi Amar tiba-tiba saja berdetak hatinya akan sesuatu. Sesuatu yang tidak mampu diterjemahkannya dalam bait-bait kata. Lelaki itu berdiri kaku di situ.

“Abang... abang, kenapa ni?” Munirah bertanya risau.

“Abang rasa tak sedap hati...”

Belum sempat angin berbisik amaran, tubuh Amar rebah dalam sekelip mata. Munirah terpempan. Menjerit-jerit perempuan itu bagai si gila. Malangnya, lidah malam seakan menenggelamkan jeritan Munirah. Darah merah semakin membuak-buak keluar dari mulut Amar. Tubuh lelaki itu ditarik dengan kudrat lemah seorang perempuan. Kepala Amar berbantalkan riba Munirah. Berteriak perempuan itu dalam tangis apabila mendapati telapak tangannya berlumuran dengan darah.

“Mu... ni... rah... Abang cintakan... kamu... ALLAH... ALLAH... ALLAH...”

“Abang!!! Jangan tinggalkan Munirah!!!”

***

‘Kuala Lumpur, di mana suamiku?’ Munirah merintih sebak di dalam hati. Di hadapannya, tersergam indah menara berkembar, mercu tanda sebuah cinta. Sudah lima tahun Amar meninggalkannya. Amar yang menemui penghujung hidupnya di kota Paris. Kota Paris yang kejam, merampas Amar daripadanya.

Mengikut laporan pihak polis dari bedah siasat yang dilakukan ke atas jasad Amar, lelaki itu terkena tembakan peluru sesat. Tepat menembusi bahagian belakang kepalanya. Apalah yang termampu Munirah katakan lagi? Sebagai orang beriman, takdir itu terpaksa ditelan.

Dalam menjalani hidup yang masih terikat dengan kenangan, boleh dikatakan saban malam, dia akan ke situ. Duduk-duduk di taman KLCC selepas menunaikan sembahyang Isyak di masjid berdekatan. Memandang menara berkembar di hadapannya, mengingatkan dirinya kepada arwah Amar dan metafora cintanya.

“Jambatan itulah yang melengkapi sebuah kasih sayang,”

“Maksud abang?”

“Dalam hidup ini sayang, mana mungkin akan ada kesempurnaan. Setiap daripada kita, pasti ada kelebihan dan kekurangan. Perkahwinan itulah jambatan pada sebuah kehidupan yang saling lengkap-melengkapi. Bayangkan kalau jurutera yang merancang pembinaan menara berkembar tu, tidak meletakkan jambatan di tengahnya. Tentu aneh saja bukan? Jadilah macam menara Eiffel yang lonely, ketandusan kasih sayang...”

Munirah menangis.

Ah, terlalu banyak kenangan dia bersama Amar. Ya ALLAH, tenangkanlah hatiku ini. Munirah mengelap airmata yang membasahi pipi. Dalam dia sedang melayan perasaan, cuping telinganya menangkap petikan gitar yang cukup indah bunyi-bunyiannya.

“Izinkan kumencuri bayangan wajahmu

Izinkan ku mencuri khayalan denganmu

Maafkanlah oh...

Andai lagu ini

Mengganggu ruangan hidupmu

Kau senyumlah oh...”

Si pemetik gitar itu semakin lama semakin menghampirinya. Munirah hendak bangun dan beredar.

“Tunggu dulu, duhai si peratib malam!”

“Apa awak panggil saya? Jangan berani buat yang bukan-bukan. Kita di tempat terbuka, saya menjerit nanti!” Munirah memberi amaran. Lelaki yang menyenandungkan lagu Kau Ilhamku itu mengangkat tangan. Tidak lagi cuba datang mendekati. Dari jarak yang jauh, lelaki itu bersuara.

“Peratib malam, jangan takut. Aku tidak berniat jahat.”

“Awak hendak apa?” melengking suara Munirah melontarkan pertanyaan. Sekali lagi si pemetik gitar itu menyanyikan lagu Kau Ilhamku di bait-bait korusnya. Entah kenapa, suara lelaki itu bagai mampu menyembuhkan kesakitan yang Munirah alami. Kesakitan ditinggalkan.

“Aku selalu nampak kamu duduk menengadah langit dengan beg telekung di tangan. Apa memang begitu rutin kamu?” tanya si pemetik gitar yang begitu kemas lenggok bahasanya. Tidak ubah seperti arwah Amar.

“Buat apa awak sibuk hendak ambil tahu? Saya sedang mencari ilham,” Munirah mencipta alasan. Masakan hendak berterus-terang akan sejarah hidupnya kepada lelaki yang tidak dikenalinya itu.

“Mencari ilham? Barangkali, ini malam bertuah kamu...”

“Jangan merepeklah!”

“Nama aku Ilham. Muhammad Nur Ilham. Nama kamu, peratib malam?”

Munirah berlari-lari anak meninggalkan lelaki bernama Ilham itu. Dia takut! Takut untuk jatuh cinta lagi dan ditinggalkan kemudiannya!

***

Lagu Kau Ilhamku berkumandang di radio. Munirah teringat akan lelaki yang ditemuinya beberapa hari yang lepas. Sejak peristiwa itu, Munirah tidak lagi duduk-duduk di taman KLCC mengambil angin malam. Dia akan terus pulang selepas menunaikan sembahyang Isyak di masjid Asy-Syakirin. Di dalam kereta, dia berjeda menikmati lagu itu hingga ke nota-nota terakhir.

Jam baru menunjukkan pukul 9:00 malam. Dari Jalan Pinang, Munirah menyusup ke Jalan Bukit Bintang. Tergerak hatinya hendak melihat persembahan busking yakni persembahan jalanan yang lazimnya memeriahkan kawasan berkenaan. Sebaik meletakkan kenderaan, Munirah menyelit antara kerumunan orang ramai yang berhimpun di situ.

“Peratib malam!” laung satu suara. Munirah terperanjat besar. Ilham ada di situ. Baru berkira-kira hendak berpatah balik, bagai ada kuasa dari petikan gitar itu yang membuatkan Munirah terus kaku berdiri.

“Lagu ini istimewa aku tujukan buat peratib malam. Tiada apa yang aku harapkan, cuma satu... sastera cinta dalam lagu ini sampai ke sukmanya,” Ilham memetik gitarnya. Lagu Kau Ilhamku didendangkannya. Munirah tertegun! Hatinya berdebur cinta!

Selesai saja Ilham membuat persembahan, Munirah yang hendak kembali ke keretanya, tersentak dengan satu bunyi letupan. Berlari laju perempuan itu meredah lautan manusia lalu mendakap Ilham. Dua tubuh itu rebah ke permukaan lantai. Dan kemudiannya mengundang gemuruh tepukan orang ramai. Munirah malu dengan tindakan bodohnya itu.

“Kenapa muka kamu pucat, peratib malam? Dan... kenapa kamu tiba-tiba memeluk aku?”

“Maafkan saya. Maafkan saya...” Munirah menangis teresak-esak. Dia sebenarnya teringat peristiwa lima tahun lepas. Bunyi letupan seumpama itulah yang didengarinya bergempita di udara. Dia tidak mahu sejarah berulang buat kali kedua.

“Sudahlah... aku maafkan kamu. Usah menangis lagi... lihat di atas sana, langit sedang bermandikan cahaya. Bunga api meraikan pertemuan kita. Ah, kerja ALLAH... manisnya mengalahkan madu.”

Munirah menepuk-nepuk baju kurungnya yang sudah berlumur debu Kuala Lumpur. Malunya hanya Tuhan yang tahu. Dan dalam keadaan kekok dan kaku, Munirah memperkenalkan diri.

“Nama saya Munirah...”

♥ Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari, DIA datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari, rupa-rupanya Allah hendak memberi kita pelangi.♥

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.